11
Di Persimpangan Dilema.....& Cucur Durian

Assalamualaikum...

Sejarah awalnya, saya tubuhkan blog ini tiga tahun lepas dengan nama Syeera SC Homemade. Tapi masa tu saya belum benar-benar bersedia makanya blog tersebut semacam hidup tak hendak mati tak mahu. Cuma ada beberapa entri ringkas sahaja…..malah ramai juga yang tidak menyedari akan kewujudannya.

Sejak 6 tahun lepas, saya telah mengikuti dan mencuba pelbagai resepi daripada beberapa blog yang dikenali ramai …..kiranya blog sifoo laa kann…..tambahan pula tika itu blog masakan taklah banyak seperti sekarang yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh kerana terlalu minat hampir setiap hari saya akan baca blog2 sifoo tak kiralah siang ke malam disamping mencari resepi –resepi terkini. Kebanyakan resepi pula saya catit hanya di atas helaian kertas atau apa saja yang sempat dicekau…..simpan pula tak tentu tempat…..makin hari makin bertambah…..ada pula yang dah ghaib ntah mana sebelum sempat dicuba. Sejak itu saya mula terfikir untuk memulakan suatu platform sebagai ruang menyimpan dan mengumpul segala resepi yang telah ada mahupun resepi-resepi yang bakal menyusul. Maka wujudlah Singgahsana Kitchen (SSK) menggantikan Syeera SC Homemade pada Januari 2010 dan mula aktif tiga bulan selepas itu.




Niat saya ikhlas untuk sama-sama berkongsi resepi selain turut sama memeriahkan dunia masakan. Tapi dah resam manusia, orang takkan tahu apa yang ada dalam benak kita kann…..walau jujur macam mana pun kita, akan tetap dipandang serong. Sejak akhir-akhir ini, saya terima masuk beberapa email yang berbaur kurang menyenangkan. Antaranya mengatakan resepi yang dikongsi dalam SSK resepi murahan , resepi tipu…..bila dibuat macam tak yakin dan tak menjadi. Apa faedahnya saya dapat jika buat begitu? Lagipun apalah sangat ada pada SSK sampaikan mereka tergamak memburuk-burukkan. Terus-terang saya katakan perasaan saya sedikit terusik, kecewa dan sedih bila SSK dituduh sedemikian. Namun kekecewaan sedikit terubat bila ada antara mereka yang lain positif menyatakan kejayaan mereka mencuba resepi di SSK tanpa sebarang masalah. Yang buat saya begitu terharu, ada antara mereka yang masih menaruh sepenuh kepercayaan pada SSK minta saya emailkan some resepi …..pada mereka ini, terima kasih atas sokongan.




Seperti yang saya nyatakan , saya ikhlas tak ada niat walau sebesar zarah sekalipun nak menipu . Tidak terlintas hati saya nak buat macam tu. Saya sendiri pun banyak mencuba resepi daripada blog-blog lain. Ada antaranya menjadi dan ada juga yang gagal. Tapi saya tak salahkan resepi atau pun tuan punya resepi seratus peratus. Kerana saya masih ingat lagi pesan nasihat daripada cikgu-cikgu kelas masakan yang saya hadiri, kunci utama kejayaan sesuatu resepi itu sebenarnya terletak pada teknik. Lain orang lain teknik yang digunakan sebab itu resepi sama tapi hasilnya tak sama antara satu sama lain…..tak kurang juga yang gagal. Oleh itu jangan cepat melatah bila resepi yang diikut tidak menjadi dan terus melenting mengatakan resepi tu tak betul laa…..orang tu menipu laa…..dan mungkin banyak lagi kutukan-kutukan lain dibelakang saya kot…..

Sebenarnya saya masih sayangkan blog ini dan teman-teman semua. Selagi saya masih mampu pejam kan mata…..pekak kan telinga…..pujuk hati ini …..saya akan cuba teruskan apa yang telah saya mulakan. Namun saya perlukan masa untuk pulihkan semula semangat yang telah diragut dek tohmahan buruk itu. Jika tidak.....entri ini merupakan entri terakhir daripada SSK…..




Sekarang masih lagi musim durian. Jadi bfast tadi buat cucur durian. Resepi oleh Puan Ruzaimah Hamid daripada buku Kompilasi Masakan Durian terbitan Alaf21.


CUCUR DURIAN
sharing : Singgahsana Kitchen


Bahan-Bahan :
250 gm tepung gandum*
1 sudu teh soda bikarbonat* (* diayak )
200 gm isi durian
100 gm gula pasir atau secukup rasa
1/2 sudu makan ovalette
minyak masak untuk menggoreng


Caranya :
  • Lecek isi durian dengan gula pasir dan ovalette.
  • Masukkan bahan yang diayak dan digaul sehingga rata. Biarkan adunan selama 30 minit.
  • Ambil beberapa sudu adunan dan goreng dalam minyak yang panas. Apabila kekuningan, angkat dan toskan.



10
Ice-Cream Mango Pudding


Semalam walau berpuasa tetap juga merajinkan diri buat puding. Saya pilih puding mangga.....tambah pula anak-anak suka sangat mangga dan puding.....boleh juga buat untuk santapan kala berbuka. Tiba time buka.....ahhh, nyaman sekali masuk tekak. Puding mangga ni ada kelainan tauu, ada campuran ice-cream maka rasanya pun lebih lemak berkrim.....sedap sangat.....




ICE-CREAM MANGO PUDDING
sharing : Singgahsana Kitchen

Bahan-Bahan :
100 gm puree mangga
(kisar mangga yang masak ranum tanpa air)
30 gm susu segar
20 gm gelatin
80 gm gula
(sapa lebih suka manis, bolehlah tambah ya)
300 ml air
250 gm ice-cream
(kalau dapat perisa mangga lagi bagus kalau tidak gunakan saja perisa vanila)
200 gm mangga dipotong kiub




Caranya :
  • Satukan air, gula dan gelatin dalam periuk. Masak dengan api kecil sehingga gula dan gelatin larut. Ketepikan dan biarkan sejuk.
  • Setelah larutan gelatine sejuk, masukkan puree mangga, mangga kiub, susu segar dan ice-cream. Kacau hingga ice-cream menjadi cair dan sebati.
  • Tuangkan ke dalam acuan yang digemari. Sejukkan dalam petisejuk.


6
Seri Kaya Pancake



Assalamualaikum...

Lama juga rasanya tak bersarapan dengan penkek.
Penkek merupakan menu sarapan yang paling ringkas dan begitu mudah disediakan. Saya rasa bukan umah ni jer malah umah-umah lain pun kalau dihidangkan menu penkek untuk anak-anak, pasti dalam sekelip mata dah tinggal pinggan kosong kann. Yang banyaknya anak-anak manakala emaknya dapatlah merasa sekeping dua.....hehehe.....

Resepi kali ini agak special sikit kerana ada serikaya dan mayo di dalam. Rasanya seperti penkek yang lain-lain juga.....sedap, lembut dan lemak-lemak gitew.....
Untuk resepi asal boleh lihat Sini eh.....




SERI KAYA PANCAKE
 sharing : Singgahsana Kitchen


Bahan-Bahan :
180 gm tepung naik sendiri (self-raising flour)*
1 sudu teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
4 sudu besar seri kaya (sy guna jenama 'Nona')
2 biji telur, dipukul sedikit
200 gm susu segar
6 sudu besar air
50 gm minyak masak #
2 sudu besar mayonnaise
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam
Madu, Strawberry, Seri kaya untuk dimakan bersama pancake #




Caranya :
  • Dalam bekas, satukan semua bahan kecuali bahan bertanda (#), kacau rata hingga sebati dan masukkan minyak masak, kacau rata dan rehatkan 10 minit.
  • Panaskan non-stick pan dengan sedikit minyak. Tuang satu senduk kecil adunan dan masak dengan api kecil. Tunggu sehingga permukaan pancake berbuih dan kelihatan kering. Terbalikkan. Masak hingga perang, alih dalam pinggan, buat hingga habis.....yang penting guna api yang kecil.
  • Hidangkan pancake bersama madu, strawberry atau seri kaya, jika suka...

Tips: Untuk mendapatkan pankek yang lebih tebal,  sila gunakan pan berdiameter kecil.....


8
Ayam Lada Hitam


Ini adalah menu kami semalam. Resepi ni asalnya resepi Mami Asma Laili,  siapa tak kenal kann. 
Saya rasa semua yang minat memasak pasti kenal siapa beliau.....seorang pakar masakan terkemuka Singapura. Apa yang saya perhatikan masakan lauk-pauk Mami tak pernah lepas daripada daun ketumbar dan daun pudina. Tapi memang pun dua-dua jenis daun ni jika ditambahkan dalam masakan.....masakan akan jadi tambah sedap dan wangi jer. Saya pernah tambahkan daun ketumbar dalam masakan kari dan masak merah.....hasilnya ada sedikit kelainan, memang sedap.....

Pertama kali mencuba ayam lada hitam ini.....hmmm.....marvellous, sungguh menepati citarasa. Rugi tau siapa yang tak cuba. Sesuai sangatlah jika hendak digandingkan bersama nasi minyak, beriani, tomato atau apa-apa nasi pun. Jom semak resepi.....


AYAM LADA HITAM


Bahan-bahan : ( 5 orang )

1 ekor ayam, buang segala lemak dan kulit, potong 12
2½ sudu makan lada hitam, ditumbuk kasar
Garam secukup rasa
-- Bahan diatas digaul rata dan diperap selama ½ jam --

4 sudu makan kerisik putih
1 sudu makan lada serbuk
1½ sudu teh serbuk jintan halus
1½ sudu makan serbuk ketumbar
1 sudu teh kunyit serbuk
3 biji bawang besar, dihiris halus
3 biji tomato, didadu
1 jari kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
3 sudu makan pes halia dan pes bawang putih
1 pelepah daun ketumbar, dirampai
Garam secukup rasa
1 sudu teh gula
1 cawan minyak kanola
Lagi 2 sudu makan lada hitam, ditumbuk kasar


Caranya :
  • Panaskan minyak didalam kuali. Goreng ayam sehingga ¾ masak. Angkat dan ketepikan.
  • Masukkan pula minyak yang sama, hirisan bawang, kayu manis, cengkih dan pelaga. Tumis sehingga naik aromanya.
  • Masukkan pes halia / bawang putih dan tomato. Masak selama 5 minit. Selepas itu, masukkan lada serbuk, kerisik, serbuk ketumbar, serbuk jintan halus, kunyit dan garam. Tuang ½ cawan air.
  • Masukkan kepingan ayam goreng dan masak selama 5 minit lagi. Taburkan gula, lada hitam, hirisan daun ketumbar dan renihkan selama 5 minit.
  • Enak disajikan dengan sebarang nasi mahu pun roti.


6
Kaswi Durian


Ahaa.....jangan salah sangka.....walau warnanya sama hijau.....bukan kaswi pandan tau tapi kaswi durian.....hehehe. Sebelum ni saya pernah postkan resepi kaswi keladi yang sedap tu ( leh semak kat menu index ) .....kali ini saya nak kongsikan pula resepi kaswi durian.  Saya ni memang tak boleh makan durian macam tu jer puas dipaksa tetap tak boleh. Pendeknya, kalau orang kenduri durian depan kita pun.....ada aku kisah....tak hairan.  Tapi akan jadi kisah dan hairan bila dah jadi kuih.....apa-apa laa kuih yang ada durian semua suka. Macam tu jugak lah dengan kaswi durian nie.....mengancam abiss.....lemak-lemak manis dan kenyal-kenyal.....memang sedap. Pada siapa yang nak tau rasanya kaswi durian ni,  jangan lah ragu-ragu untuk mencuba ya.....


KASWI DURIAN
resepi asal : Chef Aini Salim


Bahan A :

200 gm tepung beras
60 gm tepung ubi
60 gm tepung jagung
200 gm santan pekat (dlm kotak)
200 gm air
1/4 sudu teh esen durian
2 sudu teh air kapur
1/4 sudu teh garam
secukupnya pewarna hijau & kuning

Bahan B :

50 gm santan pekat (dlm kotak)
150 gm air
180 gm gula pasir
120 gm gula melaka
(kuantiti gula pasir & gula melaka boleh disesuaikan ikut citarasa
.....sy pun kurangkan kerana tak suka manis-manis)

Bahan C :

200 gm isi durian
50 gm santan pekat (dlm kotak)
150 gm air


Caranya :
  • Satukan semua bahan (B) dan masak hingga gula larut. Ketepikan.
  • Satukan bahan (A) dan kacau hingga rata. Tuangkan pula bahan (B) yang dimasak tadi. Kacau lagi hingga rata.
  • Kisar bahan (C) dan masukkan ke dalam adunan (A) dan (B).
  • Masak adunan sehingga naik wap (jgn terlalu pekat). Tuangkan ke dalam loyang 10inci atau acuan lompang yang telah disapukan sedikit minyak.
  • Kukus adunan selama 40 minit jika menggunakan loyang dan 20 minit jika menggunakan acuan lompang.
  • Tunggu sehingga benar-benar sejuk barulah dipotong atau dikeluarkan daripada acuan.


3
Sup Ayam Hadnyai


Bersua lagi pada petang ini.
Pagi tadi keluarkan ayam.....ingat nak masak ayam lada hitam. Tapi bila mr hubby message request nak makan sup ayam.....terpaksa lah tukar menu. Tapi nak masak sup style apa pulak kali ni ya?  Baru teringat sikit masa lalu teringin benar nak cuba dan merasa sup ayam hadnyai kat Myr tu. Pegi cari balik kat sana. Bahan-bahan pun senang semuanya ada.....apa lagi boleh lah try.  Menurut sumber resepi, sup ayam ni merupakan masakan orang thai@pathani.....itu yang membuatkan saya lebih tertarik untuk mencuba. Bila lihat hasilnya, sekali pandang ada iras tom yam. Yang pasti rasa sup ni memang best dan sedap sangat.....kena sekali dengan citarasa. Jom layan.....


SUP AYAM HADNYAI
source : pyhonda@Myr


Bahan-Bahan :

1/2 ekor ayam, dipotong ikut suka
7 cm lengkuas dihiris sederhana nipis, tumbuk untuk pecahkannya
5 batang serai ditumbuk untuk pecahkan
2 biji bunga lawang
5 biji buah pelaga
3 ketul kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
daun sup, daun bawang dan batang sadri
saya tambahkan 2 biji kentang & 1 batang kecil karot

Bahan Ditumbuk/Kisar Halus :

3 ulas Bawang putih
5 ulas bawang merah
3 biji cili merah
4 cm halia ditumbuk
2 sudu besar ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih


Caranya :
  • Tumiskan bahan kisar bersama bunga lawang, buah pelaga, kayu manis, bunga cengkih, lengkuas dan serai sehingga naik bau yang semerbak harum dan mewangi.
  • Masukkan ayam yang sudah dipotong-potong mengikut citarasa kedalam tumisan tadi dan gaulkan sehingga rata.  Tutup dan biarkan 5 minit.
  • Masukkan 5 cawan air, karot dan ubi kentang dan biarkan sehingga mendidih.
  • Bila dah mendidih masukkan batang sadri. Biarkan mendidih sekali lagi.
  • Tambahkan garam secukup rasa dan sedikit saja gula untuk menyedapkan rasa kuahnya.
  • Hiriskan daun bawang dan daun sup.  Taburkan pada hidangan. Perahkan sedikit limau nipis. Sedia untuk dimakan dan dihirup.


7
Super Moist Carameled Banana Cake


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, SSK bersiaran kembali setelah lama bercuti panjang. Bila dah terbiasa menghabiskan masa sehari-hari tanpa mengadap lappy sepanjang bercuti.....rasa lemau pulak nak mulakan semula. Buat semua pengunjung dan pengikut SSK, terima kasih.....kerana masih terus meluangkan masa menziarah ke sini.
Dalam pada duk bersenang-senang tu.....berkesempatan juga menerai beberapa resepi. Antaranya, inilah.....kek pisang lembap berkaramel. Masa terpandang resepi ni di MYR.....nampak macam ada kelainan kerana kek pisang ni ada karamel yang tiada pada kek pisang yang lain. Kek ni teramat lembut dan lembap.....kombinasi aroma pisang bersama karamelnya.....hmmm.....membuatkan kek ni sungguh harum dan sedap.....


SUPER MOIST CARAMELED BANANA CAKE
source : Kak Fida@MyR

Bahan-bahan : ( loyang 8 inc. / 9 inc. )

1 cawan pisang lecek (240 g)
1 cawan gula halus (200 g) - boleh kurangkan kalau pisang
dah manis > saya campur gula kastor dgn brown sugar
125 g mentega (1/2 buku)
1 sudu teh bicarbonate soda
2 sudu besar susu segar
2 biji telur - A
1 1/2 cawan tepung naik sendiri (200 g) - ayak



Caranya :
  • Pisang lecek, gula, mentega, baking soda dan susu disatukan dalam periuk bersih.
  • Masak atas api perlahan sambil dikacau hingga berkaramel.Sejukkan dan alihkan ke dalam mangkuk pengadun.
  • Masukkan telur dan tepung sambil dikacau hingga adunan sebati. Tuang adunan ke dalam loyang yang beralas dan gris.
  • Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dulu pada suhu 160C selama 45 min atau hingga masak.
  • Sejukkan kek sebelum dipotong dan dihidangkan.
  • Adunan boleh juga dikukus...