4
Pedoman Dari Maulidur Rasul....



Assalamualaikum...


Menjelangnya Maulidur Rasul esok, dah tiga episod SSK ketengahkan melalui entri Semarakkan Maulidur Rasul 1,2&3. Info bersifat ilmiah agama tersebut dirasakan cukup berguna untuk diketahui selain menambah pengetahuan yang telah sedia ada.

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Rasulullah merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan. Sebab itu, saban tahun hari kelahiran baginda diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Baginda adalah contoh terbaik yang bersifat universal. Keseluruhan hidup baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh sepanjang zaman. Ia merangkumi seluruh aspek daripada kehidupan harian individu kepada aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud : 'Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu'. (al-Ahzab:21)

Sebagai individu, Rasulullah mempunyai peribadi luhur dan murni yang sentiasa mengajak manusia kearah kebaikan dengan menyeru kepada jalan Allah. Nabi juga seorang ketua negara yang menerajui bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap di samping seorang suami mithali, bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak-anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan banyak lagi sifat terpuji yang lain.

Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda sentiasa jujur dan benar, sehingga baginda berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah bercakap yang baik atau diam sahaja.


Islam amat menekankan sifat kasih sayang, persaudaraan dan prihatin sesama insan dalam kehidupan. Sehinggakan orang islam itu diibaratkan oleh Rasulullah sebagai satu tubuh badan, apabila salah satu anggota sakit, maka keseluruhannya akan turut berasa sakit. Daripada Nu'man bin Basyir r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, rahmat-merahmati dan kemesraan adalah seperti sekujur tubuh, apabila salah satu daripada anggotanya merintih kesakitan, maka segala anggota lain akan turut sama berjaga malam dan demam (dalam menanggung kesakitan). (riwayat Bukhari & Muslim).

Jika diperhatikan, nilai peradaban manusia kini dah semakin hanyut bersama arus kemodenan dunia. Apa yang dianjurkan oleh Rasulullah kian dipinggirkan. Kasih sayang dan keprihatinan sesama manusia semakin luntur di hati setiap insan. Banyak perpecahan berlaku samada dalam negara dan kepimpinannya, kekeluargaan malahan dalam masyarakat. Sehingga timbulnya sikap berpuak-puak di kalangan manusia. Ia ketara  dilihat dalam sistem politik negara...yang sini duk mengata yang sana...yang sana pula duk kata yang sini. Kalau masing-masing terus-terusan kata mengata dendam mendendami, sampai bila pun persengketaan tak akan berakhir. Negara lain bangsa lain tak akan kerugian apa-apa. Mereka berpeluk tubuh bertepuk tangan bersorak gembira melihatkan telatah bangsa Melayu dan Islam berpecah belah. Siapa yang rugi...kalau tak Islam dan anak Melayu sendiri...

Kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin sekarang yang rata-ratanya Islam telah jauh menyimpang dari landasan kepimpinan sebenar seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah. Tidak seperti pemimpin era tahun 70-an seperti Tun Abdul Razak. Beliau seorang pemimpin yang cukup disegani dan disayangi rakyat kerana lebih berjiwa rakyat serta lebih prihatin dengan kehendak rakyat. Tapi pemimpin sekarang berpolitik lebih bertujuan  mencari kepentingan diri semata bukannya berjuang membela nasib rakyat. Jika diimbas kembali satu masa dulu heboh diperkatakan tentang kemiskinan sifar. Konon nak hapuskan kemiskinan di kalangan rakyat. Apa dah jadi? Kemiskinan masih tetap wujud dengan jurang yang masih besar. Masih ramai lagi rakyat yang menderita hidup susah...buktinya tengok saja dalam slot 'Bersamamu' terbitan tv3.

Kadang-kadang boleh jadi bingung juga memikir apakah yang dimaksudkan dengan Konsep Satu Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Difikir-fikirkan ada banyak maksud tersirat dan tersurat di balik ungkapan tersebut. Soalannya, sesuai kah konsep itu digunapakai dan dilaung-laungkan dengan begitu megah sekali...? Sedangkan kepimpinan negara harapan rakyat yang ada sekarang ini bercakaran antara satu sama lain...bukan orang lain...tapi dengan saudara sesama Islam juga...Adakah ini contoh terbaik yang ditunjukkan pemimpin kepada rakyatnya...bak kata bidalan ; seperi ketam mengajar anaknya berjalan...

Perpaduan adalah wajib sebaliknya perpecahan adalah haram. Sedari lah orang Islam semua ; di kala musuh Islam bersatu, umat Islam terus berpecah, ini merupakan kerugian yang amat sangat. Walaupun bilangan umat Islam ramai tetapi tidak dapat memberi manfaat dan kekuatan kerana ditimpa penyakit cintakan dunia.

Jadi  bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuhnya 5hb. February 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433H marilah kita semua bermuhasabahkan diri dan renungkan kembali sifat-sifat terpuji yang ada pada diri Rasulullah SAW beserta ajaran yang disampaikannya. Contohilah apa yang terbaik dan hindarkan yang tidak baik. Moga yang demikian kita umat Islam semua kembali bersatu hati demi meningkatkan nilai murni peradaban Islam yang semakin dilupakan.


Saya selaku penulis blog ini ingin mengucapkan SALAM MAULIDUR RASUL kepada semua pembaca blog ini. Bersama kita renung dan hayati erti sebenar Maulidur Rasul dengan penuh penghayatan perjuangan serta pengorbanan Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syariah Islam ke seluruh dunia. Marilah bersama-sama kita berzikir, berwirid, dan memperbanyakkan selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW membuktikan kecintaan kita pada baginda.



4 sweet comments:

AZLITA AZIZ said...

Salam Maulidur Rasul juga dari akak Iza..
Semoga ianya menjadi pemangkin utk kita tingkatkan amalan dan sentiasa bersyukur atas nikmat Allah SWT

mimie@Sugar 'n' Spice said...

Salam kenal2an n salam maukidur rasul dr saya....

cik cek said...

Salam Maulidulrasul...

~~zAnAfAhMi~~ said...

Salam maulidurrasul dari Sabah utk Iza Akma sekeluarga, lama tak melawat blog ni.