1
AYAM KARI TOMATO


.... السلام عليكم


Seperti yang diwar-warkan dalam entri Roti Saj semalam, iza gandingkan roti tu dengan kuah kari kan. Haaa....ini dia kari dah mai. Masakan ini dinamakan Ayam Kari Tomato. Sebab apa ada tomato kat hujungnya tu dan bukan hanya kari ayam?

Jawapannya kerana kari ni menggunakan buah tomato masak ranum yang direbus dan dilenyek hancur. Dengan kaedah ini secara tak langsung dapat mengurangkan penggunaan gula, tidak menggunakan asam selain tomato tersebut berfungsi sebagai agen pemekat kuah secara semulajadi. Maka penggunaan santan pekat yang banyak dapat dikurangkan. Yang lain-lain sama macam masak kari ayam yang biasa.




Selain zat mineral yang dikandung buah tomato baik untuk kesihatan diri, ia juga bagus untuk kecantikan kulit. Ia dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk pada tomato juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit dan penyeri wajah.

Dipendekkan cerita....jom semak resepi.... ;)
AYAM KARI TOMATO
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 kg ayam
  • 1 peket kecil (25gm) serbuk kari daging/ayam
  • 1 1/2 sudu makan serbuk cili kering
  • 7 biji buah tomato, dibuang biji
  • 12 biji tomato ceri
  • 2 biji kentang
  • 1 biji lobak merah
  • 1 pokok daun ketumbar
  • 1/2 cawan santan pekat (jika suka)
  • garam secukup rasa
  • air secukupnya (ikut kepekatan)
  • gula (jika perlu)
BAHAN TUMIS :
  • 1 labu bawang besar, dihiris
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 tangkai daun kari
BAHAN KISAR :
  • 1 inci halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 8 ulas bawang merah


CARANYA :

❀   7 biji buah tomato direbus dengan air sehingga lembut. Toskan dan lenyek hingga hancur. Ketepikan.
❀   Panaskan minyak. Tumiskan bahan tumis. Sementara itu satukan serbuk kari dengan serbuk cili, bancuh dengan sedikit air. Bila tumisan dah agak-agak naik bau, masukkan bahan kisar bersama bancuhan serbuk kari.
❀   Bila bahan rempah dah nampak pecah minyak dan agak garing masukkan ayam. Biarkan hingga air ayam jadi sedikit kering. Kemudian masukkan tomato lenyek, kentang, lobak merah, air, garam dan biarkan mendidih.
❀   Akhirnya masukkan tomato ceri, daun ketumbar dan santan pekat jika suka. Masakkan hingga kepekatan kuah yang dikehendaki. Rasakan garam dan gula. Bila dah cukup rasanya....boleh diangkat.



1 sweet comments:

laskar pelangi said...

Paha ayam tu buat saya terliurlahhh..Ehehehe =D