2
KEAJAIBAN ALAM GERHANA MATAHARI


.... السلام عليكم


Baru-baru ini berlaku satu keajaiban alam gerhana matahari penuh di Australia. Melihatkan itu tergerak rasa hati nak cari info tentang gerhana. Setidak-tidaknya boleh juga tambahkan pengetahuan sedia ada tentang fenomena alam yang sungguh menakjubkan ini.  Alang-alang mencari, tak salah rasanya jika dimuatkan sekali di blog. Bila dah tersimpan di sini bolehlah dijadikan rujukan bila diperlukan dikemudian hari nanti.


PENGENALAN

Gerhana ialah fenomena alam yang berlaku sejak dahulu. Berbeza dengan tanggapan para saintis dan masyarakat awam, gerhana bukan sekadar kejadian semulajadi yang berlaku secara kebetulan sebaliknya ia adalah bukti  kebesaran Allah SWT yang mengatur dan mentadbir seluruh alam semesta ini daripada yang sebesar-besar galaksi di angkasaraya hinggalah kepada yang sekecil-kecil ulat di dalam batu.

Firman Allah SWT :
Surah Naziaat 79 : ayat 27-30
Maksudnya : (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan kukuh)!  Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).


Surah al-Dhariyat 51 : ayat 47
Maksudnya : Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.


Kejadian gerhana merupakan suatu iktibar kepada manusia bahawa matahari dan bulan yang dijadikan sebagai makhluk adalah kecil dan lemah di sisi Allah. Ia juga memperlihatkan kebesaran Allah SWT ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' 17 : ayat 59 :
Maksudnya :  Kami kirimkan petanda-petanda (kebesaran) semata-mata untuk menggerunkan (hati hamba-hamba Allah SWT).





GERHANA SECARA SAINTIFIK

Gerhana matahari merupakan satu fenomena membabitkan matahari yang sedang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap sebahagian atau keseluruhannya. Secara umumnya, kejadian gerhana ini berlaku apabila bulan yang sedang beredar mengelilingi bumi lalu bersetentangan kedudukannya antara bumi dan matahari. Ketika ini, bulan akan kelihatan perlahan-lahan melindungi cakera matahari, tidak kira samada ianya gerhana penuh, gerhana anulus ataupun separa dan imej bulan pada masa itu kelihatan gelap.

“……..berbeza dengan gerhana bulan, masa gerhana matahari
berlaku adalah berbeza diantara satu lokasi dengan lokasi lain, ……
ini sebabkan kedudukan geografi / lokasi pemerhati dengan
sudut pandang bulan dan matahari.”

Bila bulan menutupi sebahagian atau sepenuhnya cakera matahari, jasad matahari terlindung daripada pandangan penduduk bumi menyebabkan cahaya matahari itu terhalang sampai ke permukaan bumi. Bayang bulan akan jatuh ke atas bumi dan seseorang individu yang berada di dalam bayang bulan akan melihat matahari di tutup oleh bulan. Kawasan gelap yang jatuh ke permukaan bumi ketika berlakunya gerhana matahari itu sebenarnya adalah laluan bayang-bayang bulan tersebut.

“……..Tahukah anda bahawa orbit bulan sebenarnya berbentuk elips.
Setiap tahun bulan menjauhi bumi sebanyak 3.8cm, jadi dalam masa 600 juta
tahun akan datang jarak bulan ke bumi akan bertambah sebanyak 23,500 km,
pada masa itu tidak akan ada lagi gerhana penuh matahari kerana “kedudukan
bulan tidak lagi berupaya menutupi 100 peratus cakera matahari semasa gerhana berlaku”………..”

Fenomena ini hanya dapat berlaku ketika bulan baru, kerana pada masa itu bulan berada di sebelah bumi menghadap matahari. Disebabkan saiz bulan hanya seperempat saiz bumi, maka zon bayangan pusat bulan (umbra) yang jatuh ke permukaan bumi adalah kecil. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana jarak bulan yang lebih hampir dengan bumi (384,400 km). Sedangkan jarak matahari daripada bumi adalah lebih jauh , iaitu 149,680,000 km menjadikan saiz kedua-duanya kelihatan hampir sama jika dilihat dari bumi.

Fasa-fasa gerhana matahari penuh

Bulan mengelilingi bumi sekali setiap bulan dan fenomena ini sepatutnya menyebabkan gerhana berlaku pada setiap bulan. Bagaimanapun ia tidak berlaku kerana sudut bulan mengelilingi bumi adalah condong lebih kurang lima darjah kepada sudut bumi mengelilingi matahari. Ini bermakna bulan biasanya melepasi sedikit ke atas atau ke bawah matahari apabila ia berada antara bumi dan matahari.


Gambarajah Ringkas Mengenai Gerhana

sumber : Wikipedia
Rajah (1) : Menunjukkan susunan Matahari, Bulan, dan Bumi semasa gerhana matahari. Kawasan kelabu gelap di bawah Bulan merupakan Umbra, di mana Matahari tersembunyi sepenuhnya oleh Bulan. Kawasan kecil di mana bayangan gelap Umbra menyentuh permukaan Bumi merupakan di mana kawasan gerhana penuh boleh dilihat. Kawasan kelabu cerah yang lebih besar merupakan Penumbra, di mana hanya gerhana separuh boleh dilihat.
Rajah (2) : Menunjukkan kedudukan bulan pada jarak berbeza. Kedudukan bulan yang lebih jauh daripada bumi menyebabkan bulan tidak dapat menutupi sepenuhnya matahari. Kesannya bayang bulan Umbra (kelabu gelap) tidak sampai ke bumi, sebaliknya bayang Autumbra (putih) pula yang sampai.



JENIS-JENIS GERHANA
Gerhana matahari terbahagi kepada gerhana penuh/Total Solar Eclipse (TSE), gerhana separa /Partial Solar Eclipse (PSE), gerhana anulus/ Annular Solar Eclipse (ASE) dan gerhana hybrid / Annular-Total Solar Eclipse. (sumber : Unit Astronomi Puskal)


Gerhana Penuh Matahari (TSE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sebaris, dan bulan pada masa itu berada dalam keadaan "perigee" (hampir dengan bumi). Kedudukan "perigee" ini menyebabkan saiz bulan melindungi keseluruhan cakera matahari daripada pemerhati di bumi. Ketika ini, pemerhati di kawasan bayangan pusat (umbra) akan mengalami gerhana penuh, manakala di kawasan bayangan luar (penumbra) akan melihat gerhana sebahagian sahaja. Gerhana Matahari penuh dapat disaksikan hanya dalam lingkungan 25 kilometer (km). Kawasan yang mengalami gerhana Matahari penuh akan menjadi gelap seperti malam yang disinari bulan. Ini membolehkan planet-planet dan bintang-bintang kelihatan. Suhu juga di dapati jatuh beberapa darjah.


Gerhana Separa Matahari (PSE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan hampir sebaris, menyebabkan bulan melindungi sebahagian daripada cakera matahari.




Gerhana Anulus Matahari (ASE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sebaris, tetapi disebabkan bulan berada dalam kedudukan "apogee" (terjauh dari bumi) menyebabkan saiz bulan pada masa itu kelihatan agak kecil dan dan cakera matahari pula lebih besar, bulan akan kelihatan di tengah cakera matahari tetapi tidak dapat melindungi keseluruhan cakera matahari. Cakera matahari masih kelihatan di sekeliling bulan, pemerhati di bumi akan melihat seolah-olah matahari berbentuk cincin dipanggil "annulus" / annular.
Perlu diingat, gerhana jenis ini menghasilkan lingkaran cincin yang bercahaya terang pada fasa maksimum. Cahaya ini sangat berbahaya kepada mata dan boleh menyebabkan buta.


Gerhana Hybrid Matahari 
Berlaku apabila matahari, bulan dan bumi dalam kedudukan selari. Tetapi disebabkan kedudukan bulan berada di antara "apogee" dengan "perigee" dalam ertikata lain ia adalah antara TSE dan ASE. Bermakna sebahagian titik kawasan bumi akan menyaksikan gerhana anulus manakala sebahagian lagi menyaksikan gerhana penuh. Walau bagaimanapun gerhana hybrid agak jarang berlaku.



Umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat gerhana matahari pada masa gerhana ini berlaku.

Bilakah fenomena gerhana matahari diramalkan akan berlaku lagi, boleh lihat di SINI



video fenomena gerhana matahari penuh 
- 13/11/2012 di Cairns, Queensland 


:::~ Semoga catatan ini ada manfaat buat diri saya dan kalian yang sudi membacanya. Terima kasih.

**********   **********




2 sweet comments:

Anonymous said...

Subhanallah... Setiap kejadian menunjukkan kekuasaan Allah yang memerintah alam semesta ini.

Kita sebagai hambaNya, perlulah mengambil iktibar dan pengajaran bagi menambahkan ketaqwaan kita kepadaNya.

IZA AKMA said...

@Anonymous
Setuju dengan anonymous. Setiap kejadian Allah tu bukan saja2 Dia adakan tp bertujuan menyuruh manusia gunakan akal berfikir dan ambil iktibar drpd setiap yg berlaku. Agar manusia tak lalai dan lupa dari mengingati-Nya...bahwa sebesar2 kuasa manusia di mukabumi ini...besar lg kekuasaan Allah.
Btw, terimakasih sudi luangkan masa membaca catatan yg tak seberapanya ini.