0
PANKEK TAPAI UBI / FERMENTED TAPIOCA PANCAKE


.... السلام عليكم


Ada 2 jenis tapai yang digemari ramai iaitu tapai pulut dan tapai ubi. Tapai dibuat dengan kaedah memasak pulut atau ubi sehingga masak. Setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Maka terhasillah tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.




Samada tapai pulut atau tapai ubi amat jarang sangat iza beli. Jika ada orang hidangkan depan-depan pun iza takkan jamah....malah tak kisah pun sebab dari kecil lagi dah memang tak makan. Kekadang en.suami beli juga sebab dia nak makan. Bila tengok dia makan macam sedap jer....kita cuba-cuba juga ler barang sesudu dua tapi tak boleh lah....tekak ni tak menangkap....

Iza akan beli tapai bila rasa-rasa nak buat kuih saja. Kes ni lain sikit....bila tapai dah diadun jadi kuih, kek atau puding....yang ni iza makan tapi sikit saja lah sekadar nak merasa....selebihnya tu bagi anak dan suami perhabiskan.

Pankek ni iza buat breakfast pagi tadi. Asalnya guna durian. Pasal durian takde....yang ada hanya tapai ubi....belasah sajalah guna tapai.  Godek, godek, godek....menjadilah pankek tapai yang sungguhlah gebunya. Pankek ni lembut....malah sesiapa yang makan dan tak diberitahu ada campuran tapai di dalamnya....memang mereka tak akan tahu sebab kelihatannya sama seperti pankek lain. Layannn....



PANKEK TAPAI UBI
:: by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
130 gm tepung naik sendiri (self-raising flour)
1 tsp baking powder
1 biji telur (A)
30 gm gula kastor
50 gm butter, dicairkan
100 gm tapai ubi ~ dilecek halus
190 gm susu sejat / susu segar / kombinasi kedua-duanya
sedikit esen vanila
secubit garam
mentega, madu & jem untuk dimakan bersama pankek


Caranya :

Satukan tepung naik sendiri, baking powder dan garam halus, gaul rata dan ayak. Dalam satu bekas, masukkan telur, gula, mentega cair dan tapai ubi, kacau dengan whisk sehingga semua sebati dan rata.

Masukkan susu, kacau dan tambah tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata. Tuang esen vanilla, gaul rata dan rehatkan adunan 20 minit.

Panaskan non-stick frying pan dengan api sederhana. Lenser dengan sedikit minyak. Sudukan anggaran 1/3 cawan adunan tadi. Ratakan.

Tutup pan tadi dengan tudung periuk sekejap. Bila permukaan pancake berbuih-buih dan kelihatan agak kering, perlahan-lahan terbalikkan. Masak lagi untuk 1 minit. Alih dalam bekas sesuai dan buat kaedah yang sama untuk baki adunan.

Hidangkan bersama mentega dan curahan madu...hmm sedappp u!..Nak makan dengan ais krim pun ok juga....ikut pilihan masing-masing yea....
Resepi asal di SINI


lihatlah, gebu kann...

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan. Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir??

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai dengan kuantiti banyak pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.

(sumber info : Laman Emjay)



0 sweet comments: