6
Resepi Rempah Opor



Assalamualaikum...


Stok daging korban lepas masih berbaki lagi lima kilo. Aduyaii, banyaknyaaa...
Teruk juga nak habiskan daging sebanyak itu. Tambah pulak daging, bukan boleh makan selalu...tak bagus untuk kesihatan. Tu yang Iza simpan sampai laa ni...bila teringin sangat baru masakkan. Pendeknya untuk tiga empat bulan ni pergi pasar tak payah beli daging dahh...kurang-kurang jimatlah sikit belanja dapur...nak-nak bila harga barang keperluan sekarang semakin hari semakin meningkat.

Fikir duk fikir teringin nak masak opor. Bila digoogle hampir semua resepi opor menggunakan rempah khas untuk opor. Puas lah meronda kat tesco, giant, carrefour...semua tempat tak jumpa...penat jer pusing sana sini. Biasanya macam tu lah...bila masa berkehendak sesangat tak jumpa...bila tak nak berlambak-lambak...


Tak boleh jadi macam nih. Nampak gayanya terpaksalah Iza buat rempah sendiri...baru boleh dapat merealisasikan opor daging tu. Walau rempah ready-made tak jumpa itu tak mematahkan semangat Iza untuk terus mencuba. Teknologi sekarang kan dah canggih...semuanya hanya di hujung jari. Apa-apa, semua rujuk kat pakcik google. Kat situlah tempat Iza duk melepak cari apa-apa resepi yang patut. Akhirnya bertemu juga dengan apa yang dicari...bak kata orang nak seribu daya, mahu seribu cara...

Jadi, hari ni Iza nak kongsikan dengan semua bagaimana nak buat rempah opor sendiri. Manalah tau kalau-kalau terdesak boleh juga digunapakai resepi ni. Terima kasihlah bebanyak pada penyumbang resepi. Kalau nak tahu kan aroma rempah ni...mak aiii, harumnyaaa...teramatlah wangi bauan rempahnya. Bila gunakan rempah ni untuk masak opor...waduh-waduh, bukan main sedap lagi opor tu...menyelerakan. Ni tak tipu tau...bukan nak promosi ker apa tapi memang betul-betul sedapp!! Resepi opor daging tu, kalau sempat malam nanti Iza update...eh eh malam ni puan umah nak duk santai tengok drama romantik 'Vanila Coklat'...esok aje okay.  Jom layan rempahnya dulu...redaahh...^___^



RESEPI REMPAH OPOR JOHOR
source : Mama Vogue
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
(resepi ni anggaran untuk seekor ayam, boleh digandakan mengikut jumlah ayam)
  • 20 tangkai lada kering
  • 2 1/2 sudu besar ketumbar
  • 1/2 sudu teh jintan putih
  • 2 sudu teh jintan manis
  • 7 biji buah pelaga
  • 1/2 butir buah pala ~iza ganti dgn 1/2 sdt serbuk pala
  • 1/4 sajira (jika ada) ~tak buat
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 2 sudu teh lada hitam ~yg ni iza tambah


CARANYA :
❀  Kesemuanya dicuci dan dijemur sehingga benar2 kering (iza tak sempat jemur...terus sangai dlm kuali).
❀  Kesemua bahan di atas digoreng tanpa minyak@sangai sehingga hampir garing.
❀  Bahan-bahan yang digoreng tadi hendaklah digiling semasa masih panas atau diblend kering saja. Kalau rajin lebih baik digiling kerana aromanya sungguh wangi semasa digiling panas-panas.(iza blend kering je...nak cepat...)
❀  Rempah boleh disimpan seperti rempah-rempah yang lain.



10
Kek Pisang Prune



Assalamualaikum...


Selamat Pagiii...
Apa khabar anda hari ini? Moga hidup anda pagi ini dan hari-hari seterusnya sentiasa riang, ceria...seceria secerah sinaran mentari pagi, seriang unggas berterbangan, semekar flora yang berkembangan di taman.

Hidup tak seindah yang diharapkan. Kamus kehidupan penuh misteri untuk dirungkaikan dengan kata-kata. Seringkali juga tak tercapai dek akal memikirkan. Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. Hati benar-benar terusik dengan sikap manusia yang tiada berkesudahan. Jalan hidup kini berada di persimpangan...ibarat timun dengan durian; digilis luka, tergilis pun luka. Walau sebaik mungkin dilakukan namun tak semua sukakannya. Bukan belas bukan simpati, sekadar luahan jauh di kamar hati yang sering tak kesampaian...



KEK PISANG PRUNE
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 250 gm butter
  • 200 100 gm brown sugar (sorry yer typing error bukan 200 tapi 100gm)
  • 80 gm gula kastor (boleh tambah bergantung pada kemanisan pisang)
  • 5 biji telur
  • 100 ml susu segar
  • 2 sudu teh esen vanila
  • 200 gm pisang, lecek
  • 60 gm coklat rice
  • 10 biji prune, dihiris halus
  • 320 gm tepung naik sendiri*
  • 1 sudu teh soda bikarbonat* (*diayak)


CARA PENYEDIAAN :
❀  Lengser loyang bulat 22cm. Alaskan dasarnya dan lengserkan lagi dengan marjerin.
❀  Pukul butter dan gula hingga kembang dan putih.
❀  Masukkan telur satu persatu sambil diputar rata.
❀  Bubuh susu dan vanila. Kacau sebati.
❀  Masukkan pula pisang dan prune. Kacau rata dengan spatula.
❀  Akhir sekali, masukkan 1/3 tepung dalam adunan...kaupbalikkan. Masukkan 1/3 lagi, kaupbalikkan. Dan baki 1/3 lagi tepung digaulkan dengan coklat rice dan masukkan ke dalam adunan, kaupbalikkan hingga rata.
❀  Tuangkan dalam loyang. Bakar hingga masak.





4
Nasi Goreng Ikan Rebus



Assalamualaikum...


Hari Jumaat adalah hari yang paling baik di antara hari-hari lain dalam seminggu. Di dalamnya terkandung saat-saat dikabulkan doa.
Abu Hurairah meriwayatkan apabila Rasulullah s.a.w menceritakan tentang keutamaan hari Jumaat beliau bersabda : " Pada hari itu ada suatu saat, tiada seorang muslim yang sedang sembahyang bertepatan dengan saat itu, kemudian memohon kepada Allah melainkan dapat dipastikan Allah dapat memberinya".
Imam Muslim meriwayatkan dari hadith Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari bahawa saat yang paling mustajab pada hari Jumaat ialah saat diantara duduknya imam di atas mimbar hingga selesai sembahyang Jumaat".

Manfaatkan hari Jumaat yang mulia ini untuk kita mendapatkan lebih sukses dalam kehidupan, lebih cemerlang dan lebih kuat berbanding hari-hari yang lain. Apa pun yang kita lakukan hari ini, pastikan ia adalah yang terbaik dan terhebat untuk diri kita dan keluarga.


Iza kalau masak nasi goreng suka masukkan lebihan lauk semalam macam ayam goreng, ikan goreng, ikan masin, sardin...tengoklah apa yang ada. Alaa setakat masak nasi goreng semua boleh kann. Lagipun memasak  nasi goreng bukanlah sesukar mana. Ia boleh dipelbagaikan ikut citarasa masing-masing. Resepi di bawah tu simple aje pun. Tapi nak juga tulis di sini sebagai rujukan. Maklum lah kita ni umur makin meningkat...manalah tau tup-tup satu hari resepi yang sempoi macam ni pun boleh jadi lupa pulak...sapa nak jawab ne...hehhehheh.



NASI GORENG IKAN REBUS
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 5 cawan nasi
  • 1-2 ekor ikan rebus, digoreng & siat-siatkan ambil isinya saja
  • 2 biji buah tomato, dipotong dadu
  • 2-3 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar cencaluk
  • 2 sudu teh serbuk lada hitam
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menumis

BAHAN KISAR :
  • 5 biji cili merah, dibuang bijinya
  • 6 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu makan ikan bilis

HIASAN :
  • 2 biji telur, didadar
  • daun bawang
  • bawang goreng


CARA PENYEDIAAN :

❀  Panaskan minyak dalam kuali.
❀  Tumiskan bahan kisar sehingga wangi.
Masukkan cencaluk bersama isi ikan tadi.
❀  Kemudian masukkan tomato dan kicap manis. Gaul rata.
❀  Masukkan nasi, lada hitam dan garam secukupnya. Kacau hingga rata. Sesuaikan rasanya.
❀  Ketika menghidang, taburkan daun bawang, bawang goreng dan telur dadar.



8
Banana Chocolate Rice Cake



Assalamualaikum...


Salam manis...Salam penuh keceriaan...Kepada semua yang mengunjungi Singgahsana Kitchen.
Pada yang pertama kali datang...Selamat Datang...Kecil tapak tangan, nyiru Iza tadahkan...
Tibanya anda sebagai pengunjung...pulangnya anda sebagai tetamu.
Kunjungan anda suatu penghargaan buat SSK. Setinggi-tinggi terima kasih Iza ucapkan.


Bila kak Ummi tayang kek pisang coklat rice hari tu, hati terus tergoda. Hati dah berkira-kira nak buat...beli lah pisang. Bila dah beli pisang, diri pula tak larat sungguh...mana dengan batuk, demam lagi. Jadi pisang tu Iza buangkan kulit dan simpan dalam petisejuk. Dua tiga hari ni, alhamdulillah diri mula beransur sihat.

Semalam, barulah dapat Iza teruskan misi membaking yang lama tertangguh. Nasib baiklah pisang tu elok lagi sebab dalam petisejuk jangkahayatnya panjang laa sikit.
Lepas sudah hajat di hati. Memang sedap kek pisang ni, lembut dan gebu segebu-gebunya.
Terima kasih kak Ummi...kongsikan resepi yang best ni. Jom redah...


BANANA CHOCOLATE RICE CAKE
Resepi & Sumber : Buku Lovely Butter Cakes oleh Amy Wong & KS Lee
Dicuba Rasa & Terjemahan : Ummi @ Home Sweet Home
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN A :
  • 150 gm marjerin 
  • 150 gm gula kastor (akak letak 135 gm je) ~iza guna 130gm
  • 3 biji telur
  • 100 gm susu segar
  • 100 gm pisang ranum yang dilecek (*akak guna pisang berangan)

BAHAN B :
  • 200 gm tepung berprotein rendah (akak guna tepung naik sendiri) ~iza guna tepung gandum
  • 30 gm chocolate rice ~iza buat 40gm,nampak mcm tak cukup...next time kena tambah lagi
  • 1/4 sudu teh soda bikarbonat

HIASAN :
  • 2 biji pisang ( dipotong nipis bulat)
  • 1/4 cawan hirisan badam (ni akak tambah)
    ~untuk hiasan iza cuma tabur almond nib & hawaian coconut



CARA PENYEDIAAN :

❀  Pukul marjerin (mentega) dan gula hingga nampak keputihan.
❀  Masukkan telur satu persatu (*pukul telur hingga bercampur rata, baru dimasukkan yang berikutnya.) Pukul hingga sebati.
❀  Secara berselang seli, masukkan bahan B dan susu, adun rata.
❀  Perlahan-lahan masukkan pula pisang lecek dan gaul sebati dengan spatula.
❀  Tuangkan ke dalam loyang saiz 8x3x3 inci yang telah digris dan dialas
❀  Ratakan adunan dan susun hirisan pisang di atasnya.
❀  Bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 170C selama 40 minit/hingga masak.




3
Chocolate Cheese Toast



Assalamualaikum...


Apa khabar semuaaa... 
Bagaimana cuti panjang anda?
Tentunya percutian yang panjang ini diisi penuh dengan aktiviti-aktiviti yang berguna dan menyeronokkan. Mungkin ada yang menggunakan kesempatan ini dengan holiday bersama keluarga atau mungkin juga balik ke kampung. Apa pun, peluang beginilah paling sesuai mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang selama ni sering kesibukan.


Hari ini, Iza nak kongsikan satu menu sarapan yang paling paling mudah disediakan.
Tak perlu susah-susah...ambil kuali...nak menggoreng itu ini.
Sarapan yang cukup senang, jimat masa...yang penting sedaapp.
Dengan coklat dan cheese dah pasti menggamit selera anak-anak malah sesiapa jua...di mana jua...



CHOCOLATE CHEESE TOAST
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • roti sandwich
  • cheese cheddar
  • coklat rice


CARANYA :

❀  Ambil sekeping roti, tabur secukupnya cheese cheddar diikuti coklat rice...tangkupkan sekeping lagi roti di atasnya.
❀  Toast menggunakan sandwich maker.





2
Tepung Boko Ubi Kayu



Assalamualaikum...


Kuih Tepung Boko atau Tepung Boko Ubi Kayu, nama yang dikenali dalam masyarakat Kelantan.
"Boko" bermaksud Talam dalam bahasa Kelantan.

Kaedah membuat boko ubikayu ni lebihkurang sama jer macam talam ubi. Cuma bezanya, kuih talam ubi mempunyai lapisan santan@kepala santan yang dikukus sekali bersama lapisan ubi dan kuih boleh dipotong cantik manakala boko ubi hanya mempunyai adunan ubi yang dikukus...dengan tekstur yang lebih lembut...dihidangkan bersama sos santan pekat sebagai pelengkap. Rasa ubi kayu yang lemak manis disirami lagi dengan sos santan pekat yang lemak masin membuatkan kuih ini cukup enak untuk dinikmati.


Dalam google hampir semua tepung boko ubi asli bewarna hijau kerana penggunaan jus pandan.
Iza tak ada daun pandan. Tak ada daun pandan bukan alasan untuk tak mencuba kan. Apa yang Iza buat...bubuh sedikit perisa pandan dalam adunan...bahagikan adunan...warnakan hijau dan kuning. Kemudian kukus berselang warna menjadi tiga lapisan.

Setelah dicuba rasa, kuih ni sedap...lapisan ubinya lembut, cukup manisnya (pada yang tak suka manis boleh dikurangkan sedikit gula). Bila dimakan bersama santan pekat tu rasanya tak ubah seperti makan talam ubi. Jadi pada sesiapa yang rasa-rasa tiada kerajinan nak buat talam ubi sebab leceh kan tapi mengidam sesungguh...tepung boko ubi kayu inilah alternatifnya...cuba lah dan rasakan sendiri. Terima kasih kak Wan...


TEPUNG BOKO UBI KAYU/TEPUNG TALAM UBI KAYU 
source  : Resipi Citarasawan 
sharing  : Iza Akma SSK


BAHAN A :
  • 500gm ubi kayu
  • 200ml air

BAHAN  B :
  • 50gm tepung ubi
  • 220gm gula
  • 400ml air
  • 8 helai daun pandan
  • sedikit pewarna hijau

BAHAN C : (SOS SANTAN PEKAT)
  • 200ml santan pekat KARA
  • 300ml air
  • 30gm tepung beras
  • 1 sudu teh garam halus

Loyang 8"



CARA PENYEDIAAN :

❀  Kupas, buang urat dan potong kecil ubi kayu. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar dengan air hingga halus. Tapis ubikayu ke dalam mangkuk, biarkan selama 15 minit. Keluarkan air jernih dari dalam mangkuk dan ambil mendapan pati ubi kayu, campurkan bersama parutan ubi yang ditapis.
❀  Bahan B, Kisar daun pandan dengan air, kemudian tapis. Satukan bersama bahan B yang lain. Masukkan parutan ubi kayu, gaul rata.
❀  Panaskan pengukus dan loyang. Tuangkan adunan ubi, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 30 minit.
❀  Sebatikan semua bahan C, Tapis ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana hingga kental.
❀  Cara Menghidang, sudukan ubi kayu ke dalam mangkuk dan tuang kepala santan diatasnya.




2
Cocoa Chips Bread



Assalamualaikum...


Asalnya nak buat roti silang. Inti dagingnya pun dah siap masak.
Last-last tak jadi. Terus simpan inti dalam petisejuk...lain kali lah buat roti silang tu.
Jadi nak buat apa dengan doh roti nih...jenuh juga memikir...

Tetiba datang idea menggabungkan serbuk koko dengan coklat cips. Lagipun suami dan anak-anak penggemar coklat. Iza pun capai lah serbuk koko dengan coklat cips meneruskan misi. Sebab tu rotinya pun dah bertukar nama kepada nama roti koko cips ...kihkihkih. Tak tau nak bagi nama apa daa...nama itu jer yang sempat difikir...tanya anak-anak nak bagi nama apa, semua buat dek jer. Tapi kan sedaapp roti ni...lembut dan gebu sesangat. Laa, tulis punya tulis tak sedar hari pun dah mengintai senja dah ni..jom-jom intai resepi...



COCOA CHIPS BREAD
adaptasi daripada resepi Roti Silang Inti Cendawan CMG
source : Iza Akma SSK


BAHAN DOH :
  • 250 gram tepung roti (high protein flour)
  • 50 gram gula halus @ gula kastor
  • 1/2 camca teh garam halus
  • 10 g susu tepung (mat guna susu "everyday")~iza guna coffee-mate
  • 1/4 camca teh bread improver
  • 1/4 camca teh bread softerner
  • 30 g telur (pecahkan 1 biji, kacau sedikit dan timbang)
  • 6 gram instant yeast
  • 20 gram mentega
  • 125 ml air suam (kalau guna Breadmaker guna air biasa)

BAHAN TAMBAHAN LAIN :
  • serbuk koko/coklat emulco
  • coklat cips
  • sedikit bijan & coklat cips untuk taburan


CARA PENYEDIAAN :

❀  Larutkan yis dalam air suam, biar berbuih.
❀  Satukan semua bahan lain kecuali mentega, masukkan bancuhan yis dan gaul rata hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus menguli hingga mendapat doh yang kenyal dan anjal (kurang lebih 20 minit).
❀  Bulat-bulatkan doh, letak dalam bekas dan balut dengan plastik bersih, biarkan 45 minit hingga naik.
Jika Menggunakan Breadmaker :
Satukan semua bahan2 untuk doh dalam breadmaker, pilih setting untuk "DOH" dan tekan "ON", tunggu hingga siap (selalunya BM mengambil masa 30 minit menguli dan 1 jam memerap, ikut jenis BM masing-masing).
❀  Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, bagi doh kepada dua bahagian. Ambil satu bahagian, tambahkan dengan serbuk koko/coklat emulco. Uli lagi hingga rata. Masukkan coklat chips dan uli lagi hingga coklat cips bercampur rata dengan doh.
❀  Ambil doh plain dan canai menjadi empat persegi. Ketepikan. Ambil pula doh coklat, canai juga menjadi empat persegi sama besar dengan yang plain tadi. Tindihkan lapisan coklat ke atas lapisan plain dan tekan sikit supaya melekat antara satu sama lain. Kemudian gulungkan seperti menggulung swiss roll. (step mencanai dan menggulung agak rumit sikit sebab adunan melekit...jadi iza terpaksa alaskan dengan plastik disamping bermain dengan tepung...)
❀  Padatkan gulungan dan potong kepada 16 bahagian atau ikut ketebalan yang disukai. Aturkan dalam loyang yang telah disapu sedikit mentega (iza guna loyang loaf 9.5"x 4.5"x 3"...8 bahagian pada lapisan pertama dan 8 bahagian lagi pada lapisan kedua).
❀  Perapkan lagi 45 minit atau hingga naik sekali ganda. Sapu telur (baki dari 30 gram tadi) dan tabur bijan putih dan coklat cips atasnya. Bakar.
❀  Iza bakar dalam oven yang telah dipanaskan pasa suhu 165C api atas & bawah with fan selama 25 minit.  Lagi 10 min masa membakar tamat, keluarkan dan sapukan roti dengan kuning telur lagi. Teruskan membakar hingga masa tamat atau sehingga kuning keemasan.
❀  Sejukkan roti sebelum dihidangkan....



2
Opor Ayam Merah



Assalamualaikum...


Salam hari Isnin, bermulanya hari baru minggu baru...
Alhamdulillah, dengan limpah kasih sayang Maha Esa...kita semua masih diberikan peluang bernafas di alam maya ini. Masih dapat melihat sinaran mentari, kebiruan langit, kehijauan alam, kicauan burung dan flora berkembangan, insan sekeliling terutamanya dapat menjalani rutin hidup berbakti pada keluarga tersayang. Yang penting masih berpeluang melaksanakan kewajipan beribadah mendekatkan diri pada-Nya dengan lebih sempurna dan penuh rasa tanggungjawab. Kasih sayang Pencipta pada makhluknya sungguh tidak ternilai harganya. Sebagai makhluk yang tahu bersyukur dan membalas budi letakkanlah seluruh kasih sayang yang abadi kepada-Nya tanpa rasa ragu. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.

Sabda Nabi S.A.W :
"Beradalah engkau di dunia ini seolah-olah engkau itu seorang pedagang atau pengembara." 

Anda juga tentu pernah mendengar :
"Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." 

Dan Ibn Umar r.a pernah berkata:
"Apabila engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menantikan waktu petang, 
dan ambillah peluang waktu sihatmu untuk waktu sakitmu dan masa hidupmu untuk 
masa matimu."  (Riwayat Bukhari) 



Ini lah sajian Iza tengahari tadi. Ingatkan bila masak lauk macam ni adalah selera nak makan. Jangan salah sangka. Bukan sebab lauk tak sedap tapi sebabnya Iza yang tak berapa nak sihat. Dah dua tiga hari batuk-batuk sampaikan tekak sakit...kepala sakit...badan pun lemah-lemah, sengal-sengal, seram sejuk dek kehadiran virus yang tak di undang. Biasa lah sakit yang lazimnya disebabkan faktor cuaca. Harap-harap cepat lah sembuhnya kerana bila dah sakit diikuti rasa demam macam ni semua kerja di rumah jadi kurang lancar. Bak kata bidalan, sakit ni kalau nak datang macam ribut...nak pergi macam semut...Sabar je lahh.

Opor Ayam Merah ni sedap sangat. Pada Iza, rasanya lebihkurang ayam masak merah cuma bezanya opor ni lebih harum beraroma kerana menggunakan banyak bawang goreng dalam ramuan. Terima kasih buat Noreen berkongsikan resepi.



OPOR AYAM MERAH
source : Noreen@my home cooking blog
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
1 ekor ayam - dibuang kulit dan segala lemaknya, dipotong 8
1 sudu makan kerisek
1 cawan bawang goreng - ditumbuk halus
1/2 tin tomato puree
2 biji tomato - dipotong dadu
1 biji bawang besar - dihiris
1/2 biji kelapa - untuk ambil 1-2 cawan santan
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa


BAHAN DIKISAR HALUS :
10 tangkai cili kering
3 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh jintan manis
8 hiris halia
3 hiris lengkuas
5 biji bawang merah/kecil


CARA PENYEDIAAN :
❀  Gaul rata ayam dengan rempah kisar, perap sebentar.
❀  Panaskan minyak, tumis bawang hiris sehingga kuning.
❀  Masukkan ayam yang bergaul rempah. balik-balikkan sebentar.
❀  Kemudian masukkan pula bawang goreng yang telah ditumbuk halus dan gaul sehingga rata.
❀  Masukkan tomato puree, tomato dadu dan kerisek. Masak sehingga kering.
❀  Apabila sudah kering, masukkan pula santan, garam dan gula secukup rasa.
❀  Biarkan sehingga naik minyak dan ayam masak. Balikkan ayam sesekali.
❀  Sedap di makan dengan sebarang nasi, pulut atau roti.


Nota:
lauk ini seeloknya dimasak malam dan dihidangkan keesokkan harinya...rempah menjadi mesra...rasanya lebih sedap.



13
Cucur Susu Lemak Manis



Assalamualaikum...


Tadi pagi sibuk memikirkan apa lah juadah yang hendak dimasak untuk sajian tengahari. Sebaik selepas makan tengahari, belum pun sempat berehat...fikiran kembali memikirkan apa pula menu untuk minum petang. Begitulah rutin para ibu hampir setiap hari.

Itu tak termasuk lagi kerja-kerja rumah lain yang harus di laksanakan sebaik mungkin. Kadang-kadang kan boleh stress juga tau. Ya lah, kita ni bukannya robot atau mesin yang boleh dipaksa terus-terusan bekerja sepanjang masa.  Sesekali kena luangkan masa berehat...rehatkan tubuh...rehatkan minda...Berehat ni diumpamakan seperti mengecas bateri. Setelah dicas barulah kita akan beroleh tenaga baru dan lebih bersemangat menguruskan keluarga.

Alangkah seronok dan berbahagia di hati andai apa yang dilakukan dihargai oleh insan-insan sekeliling yang kita sayangi. Tapi jika hanya dipandang sebelah mata...tidak dihargai...akan terpalit rasa sedih di hati, meruntun duka di jiwa.



CUCUR SUSU LEMAK MANIS
source : Fida @ MyR
sharing : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
1 1/4 cawan tepung gandum
1/2 sk baking powder
1/2 sk bicarbonate soda
6 sb susu manis (lebihkan jika suka)
1/2 cawan susu segar/cair
garam secukup rasa


Cara Penyediaan :
❀  Ayak bahan-bahan kering ke dalam mangkuk. Masukkan susu manis dan tuang susu segar/cair sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga adunan licin dan sebati.
❀  Goreng cucur dalam minyak yang panas sambil dibalik-balik untuk mendapatkan cucur yang bulat gelembong hingga keperangan...
❀  Angkat cucur dan hidangkan.


Taraa...ini dia cucur susu yang Iza buat untuk minum petang.
Kat luar tu pun tengah hujan sekarang ni. Pekena pula cucur susu lemak manis panas-panas bersama secangkir nescafe...aduhhh...memang sedap. Meh ler join sekali makan cucur...air bawa sendiri eh...not sponsored.. ^_^




6
Trifle Istimewa Twiggies...



Assalamualaikum...


Menurut berita di tv3 semalam, jabatan meteorologi meramalkan keadaan cuaca akan berterusan panas hingga akhir Januari ini. Walaupun cuaca panas tapi senario kilat dan petir masih berlaku pada lewat petang. Telah menjadi fitrah manusia, kalau musim panas...bersungut panas, minta hujan. Tapi bila tiba tengkujuh...hujan tak henti-henti...minta panas. Pelik kan manusia ni. Seharusnya kita bersyukur sama ada panas atau hujan kedua-dua Allah jadikan punya rahmat disebaliknya.

Tapi awas, dalam kes cuaca yang ekstrem, episod hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari dan boleh menyebabkan berlakunya banjir besar. Sematkan dalam ingatan bahawa air pabila kecil kawan baik tapi di kala besar akan berubah menjadi lawan...


Iza mulakan bicara berkenaan cuaca panas kerana ada kaitan dengan entri kali ini. Biasanya bila dalam cuaca panas begini, tekak sering meminta-minta sesuatu yang dingin sebagai penyejuk badan...betul tak...? Jadi semalam Iza buat sesuatu yang dingin sebagai dessert iaitu trifle.

Lazimnya trifle dilihat mempunyai beberapa lapisan...kek sponge, puding, jelly dan buah-buahan koktel. Semua bahan dah ada cuma kek saja yang tak ada...nak buat tak ada kerajinan pula. Kalau tak dibuat lapisan kek tu...macam tak puashati...bukan kah lebih sempurna kejadiannya bila ada kek kan. Tengah kepala fikir-fikir, terpandang twiggies yang masih belum berusik lagi. Selalu beli untuk kudapan Puteri. Twiggies itulah yang Iza korbankan sebagai galang ganti kek dalam trifle. Apa komen trifle ni...? Tak payah komen lah...dah semestinya delicious and marvellous.


TRIFLE ISTIMEWA TWIGGIES
adaptasi daripada Resepi Trifle Istimewa Mat Gebu
source : Iza Akma SSK


BAHAN KEK SPONGE :
(iza gantikan dengan twiggies coklat)
  • 200 gram tepung optima (instant cake flour)
  • 3 biji telur gred B
  • 50 gram mentega, cair dan sejukkan
  • 50 ml susu segar
  • 1 camca teh esen vanilla

BAHAN KASTARD :
  • 200 ml susu sejat IDEAL
  • 100 ml air
  • 2 kuning telur
  • 2 camca besar penuh tepung kastard
  • 4 camca besar gula atau secukup rasa
  • 3/4 camca teh esen vanilla

BAHAN JELLY :
  • 1/2 camca teh konnyaku jelly powder
  • Gula secukup rasa
  • 500 ml air
  • 1/2 camca teh strawberry emulco
  • Beberapa titik pewarna merah

BAHAN LAIN :
  • 1 tin besar buah2an koktel, ditoskan, asing jusnya (iza tambahkan juga dengan nata de coco)
  • 200 ml whipping cream (1 kotak kecil), disejukkan
  • Jus dari buah2an koktel tadi


Cara Penyediaan

UNTUK SPONGE CAKE :
Satukan semua bahan kecuali mentega cair dan esen vanilla, ke dalam mesin kek, putar pada kelajuan sederhana sehingga semua bahan bersatu, kemudian putar pada kelajuan tinggi hingga adunan kembang dan pekat. Masukkan mentega dan esen vanilla, kaup balik hingga adunan rata. Tuang dalam loyang 12 inci x 12 inci yang telah dialas kertas minyak dan bakar pada suhu 180C selama 20 - 25 minit (pastikan oven telah dipanaskan). Sejukkan atas jaringan bila kek masak.

UNTUK KASTARD :
Satukan semua bahan kastard kecuali esen vanilla, kacau rata dan masak dengan api sederhana sambil dikacau tanpa henti hingga bancuhan menjadi pekat. Masukkan esen vanilla, kacau rata dan ketikan.

UNTUK JELLY :
Satukan semua bahan2 untuk jelly dalam periuk, tang gula tu pandai2 lah agak, tapi jangan manis sangat, manis sikit-sikit sudah cukup yea. Kacau rata dengan whisk dan jerang hingga mendidih dan gila hancur, kacau hingga sebati. Ketepikan dan biar sejuk sedikit.

UNTUK TRIFLE :
Sediakan bekas sesuai, potong kek sponge tadi, bagi kepada 2 bahagian dan susun 1 bahagian seperti dalam gambar. Basahkan kek sponge tadi dengan jus buah koktel. Sementara itu putar whipping cream hingga kembang dan kental, jangan terlebih putar. Lapiskan whipping cream tadi atas kek. Tabur 1/2 bahagian buah2an koktel tadi. Susun lebihan kek atas buah2an koktel tadi. Basahkan dengan jus. Tuang kastard suam atasnya dan ratakan dengan spatula. Biar sejukk sekejap. Tabur baki buah2 tadi, rata. Dan akhir sekali, sendukkan jelly cair atasnya hingga memenuhi ruang seperti dalam gambar. Simpan dalam peti ais hingga jelly membeku.. sedap dihidangkan dingin...hmmm..




9
Mee Goreng Jawa...



Assalamualaikum...


Salam manis penuh keceriaan.....

Kalau mee jawa dikenali ramai dengan keenakannya.
Bagaimana pula dengan Mee Goreng Jawa...?
Iza terjumpa resepi ni masa blogwalking kat blog kak Ayu.
Bagi Iza sekeluarga inilah pengalaman pertama merasai mee goreng jawa. Sumbangan resepi oleh Kak Aidah yang duk jauh di Kuantan nun. Ia sedikit berbeza daripada mee goreng biasa kerana menggunakan buah keras dalam resepinya.


Nak membuatnya agak leceh sikit tapi nak rasa punya pasal sanggup diharungi.
Walaupun penyediaannya agak remeh tapi penat lelah tak sia-sia.
Rasanya sedap juga tau.....basah-basah gitew.....sesuai dimakan tika panas-panas.
Terima kasih pada penyumbang resepi. Izinkan Iza panjangkan pula di sini ya.....



MEE GORENG JAWA
recipe  : Kak Aidah
sharing : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
1 kg mee kunig
10 biji buah keras - dikisar halus
2 biji bwg besar - 1/2 ditumbuk halus dan 1/2 lagi dihiris
5 sdm cili kering yang telah dikisar
lengkuas sebesar ibu jari - dititik
3 ulas bawang putih - dikisar
1 sdm lada hitam - dikisar
1 genggam udang kering - dikisar
1/2 kg udang basah - dikopek dan diambil kulitnya dan direbus untuk dijadikan air rebusan
200 - 300 gm sotong
Sawi
Kobis
Lobak Merah
Bunga jagung ~iza tak letak
2 sdm kicap pekat
2 cawan air rebusan udang
sedikit aje garam

**jika suka boleh tambahkan taugeh, telur dan serbuk perasa


Cara Penyediaannya :
❀  Tumiskan bawang besar yang dihiris sehingga kekuningan.
❀  Kemudian masukkan cili kering, bawang putih dan bawang besar kisar, lada hitam, buah keras & udang kering.
❀  Apabila bahan tadi garing masukkan air rebusan udang diikuti dengan udang & sotong
❀  Masukkan mee. Jika air rebusan tidak mencukupi boleh ditambah sedikit air.
❀  Kemudian masukkan sayuran diikuti dengan kicap pekat.
❀  Akhir sekali masukkan garam mengikut cita rasa masing-masing.



12
KECUBUNG BERENDAM



Assalamualaikum...


Pasti ada yang berkerut dahi dengar perkataan kecubung tu kann.  Apa itu kecubung.....?
Sumber google menyebut, kecubung atau dikenali amethyst merupakan sejenis batu permata yang terhasil dalam lapisan bumi selama jutaan tahun lampau. Biasanya ia memiliki warna dasar ungu tapi ada juga yang bewarna merah muda. Di Malaysia, permata batu kecubung @ amethyst yang ditemui tergolong dalam kelas kedua terbaik, bersaiz duit syiling 10 sen, berwarna campuran ungu gelap dan ungu cerah.
Mengikut sejarah dahulu kala raja, ratu, kaum kerabat dan para penguasa kerajaan lain sering memiliki berlian yang terhasil daripada batu kecubung ungu. Semakin gelap warna ungunya semakin tinggilah gred dan  kualitinya.


Kalau nak tahu, Kecubung Berendam ni rasanya lebihkurang sama seperti bubur butir nangka. Yang ini ada tambahan keledek makanya seperti candil keledek. Dalam cuaca panas begini pekena pula bubur candil yang sejuk-sejuk.....aduhaii, sodap bonar raso eh!..... Kini dah jadi favorit kami seisi keluarga.



KECUBUNG BERENDAM
recipe  : K.Mon@Nina Suria
ref     : Dapur Mamasya 
sharing : Iza Akma SSK


Bahan Doh keledek :
500 gm tepung pulut
200 gm ubi keledek rebus di lecek halus- letak 300gm (utk 1/2 adunan 150gm)~iza guna keledek ungu
air secukup untuk menguli
secubit garam
sedikit pewarna ungu


❀  Masak air 2 liter dalam periuk hingga mendidih.
❀  Sementara itu campur tepung pulut dengan air sedikit demi sedikit. Sehingga menjadi sebiji doh lembut.
Campurkan doh bersama ubi keledek dan pewarna ungu, uli hingga sebati.**
❀  Bentukkan guli-guli kecil dan tekan dengan hujung jari tunjuk ditengah-tengahnya . Buatlah sampai habis.
❀  Bila air sudah mendidih masukkanlah guli keledek tadi dan angkat bila guli-guli itu timbul.


Bahan Kuah Santan :
2 ketul gula melaka di cincang halus
4 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
5 lembar daun pandan di simpul
secubit garam
**tambah 3 sb sagu biji


❀  Masukkan santan,sagu, garam, gula melaka dan daun pandan yang disimpul didalam periuk. Masak dengan api yang perlahan.
❀  Bila hampir mendidih masukkan santan pekat. Masak lagi sebentar dan kacau selalu supaya kuah santan tidak pecah minyak(boil below boiling point). Angkat ketepikan.
❀  Masukkan guli-guli yang telah masak ke dalam kuah santan.
❀  Hidangkan panas-panas atau dinginkan di dalam peti sejuk baru di hidangkan.


**nota dapurmamasya
langkah ke-2 untuk doh keledek di ubah sikit; adunan tepung dengan ubi keledek dicampur dulu, kemudian pewarna dan ditambah air sikit-sikit, uli hingga jadi doh. Tambah sagu untuk pekatkan kuah (resepi asal tak letak sagu).



4
Sweet Potatoes Swirl Bread



Assalamualaikum...


Masih lagi projek dalam usaha menghabiskan keledek oren yang masih berbaki. Tak diusahakan takut kecut pula nanti. Jadi kena jugalah merajinkan diri dengan meroti. Petang-petang macam ni, rasa malas pula nak berceloteh panjang, dah kehabisan tenaga duk menguli roti....jari-jemari pun naik sengal-sengal dah ni.....


Okay lah, puan rumah nak berehat sekejap sambil-sambil layan tv.....
Sat lagi nak ke dapur semula untuk masak makan malam......adehhh. Jom terus ke resepi.



SWEET POTATOES SWIRL BREAD
by Frozen Wing 
source : hanamemories.blogspot.com 

Bahan-Bahan :
130 ml susu soya/susu segar (xtra lagi lebihkurang 20ml)
1 biji telur
200 gm keledek (kukus & lenyek)
300 gm tepung roti
155 gm tepung gandum
8 gm yis
40 gm badam kisar
5 gm garam
2 tbsp butter

Cara Penyediaan :
❀  Satukan susu dan telur. Kacau.
❀  Dalam mixer bowl/BM, satukan tepung roti, 65gm tepung gandum, yis, badam kisar dan garam. Masukkan susu+telur sedikit demi sedikit dan teruskan memutar hingga doh smooth. Masukkan 1 sudu besar butter dan uli lagi hingga betol2 lembut dan elastik.
❀  Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Tinggalkan 1 bahagian dalam mixer bowl dan masukkan keledek lenyek , 90g tepung gandum, 1 sudu besar butter dan sedikit pewarna oren. Uli lagi hingga doh lembut dan tidak melekat. - akceli adunan nih sedikit melekat, jangan bubuh tepung lagi.....nanti masa canai baru main dengan tepung. dikhuatiri roti akan keras jika terlebih tepung.
❀  Bulat2kan kedua2 doh ke dalam mangkuk berasingan. Tutup dengan kain/plastik wrap dan biarkan doh naik dua kali gannda lebih kurang 40min.
❀  Tumbuk2kan doh untuk keluarkan udara, taburkan tepung ke atas papan canai. Canai kedua2 doh dengan ketebalan lebih kurang 1inci dan sama besar . Letakkan doh plain ke atas doh keledek. Gulung dengan kemas. Dan masukkan doh ke dalam loaf tin. Naikkan doh sekali lagi lebih kurang 40min lagi hingga double size.
❀  Panaskan oven suhu 170C, bakar selama 30min atau hingga roti masak. Sejukkan di atas redai baru potong.



7
Pankek Coklat



Assalamualaikum...


Selamat  Tengahari semua.....
Waktu-waktu begini tentunya ada yang sedang menikmati hidangan tengahari. Juadah apa lah agaknya hari ni ya? Mesti sedap dan berselera gituu. Yang baru lepas makan pula.....sedang duduk menyandar kekenyangan nampaknya tu. Apa pun juadah hari ini, ucapkanlah Alhamdulillah.....Bersyukur lah dengan nikmat rezeki limpahan Allah SWT itu kerana itulah rezeki yang ditentukan untuk kita hari ini manakala esok belum tentu pasti lagi.

Pagi tadi iza buat pankek atas permintaan Puteri. Malam tadi sebelum masuk tidur Puteri dah pesan nak bawa bekal pankek esok. Dia cuma kata nak pankek tapi tak pula sebut pankek yang macam mana. Makanya iza bebas buat pilihan pankek apa pun mengikut kesesuaian bahan yang ada di dapur.


Kebetulan ada lebihan putih telur dalam petisejuk. Inilah peluang iza untuk mencuba pankek coklat yang dikongsikan oleh Rahel di dalam blognya. Kebiasaanya buat pankek guna telur kuning bersama putihnya sekali. Tapi kali ini iza nak rasa apa bezanya pankek yang ada kuning telur dengan pankek yang semata-mata guna putih telur. Sebelum tu jom kita semak resepi dulu.....



PANKEK COKLAT 
source : RAHEL masak apa? 
sharing : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
200 gm tepung superfine/tpg gandum *
10 gm serbuk koko*
1/2 sdb serbuk penaik* (*ayakkan)
30 gm gula kastor
210 ml susu cair/air
30 gm marjerin,dicairkan
100 gm putih telur (4 biji putih telur B)
1/2 sdt garam


Cara Penyediaan :
❀  Masukkan susu cair dan marjerin cair ke dalam bahan yang diayak tadi sedikit-sedikit sambil digaul rata. Ketepikan.
❀  Pukul putih telur bersama garam selama 1 minit, tambahkan gula sedikit demi sedikit sambil dipukul lagi selama 4 minit.
❀  Masukkan adunan putih telur ke dalam adunan tepung tadi. Gaul rata.
❀  Panaskan kuali leper anti lekat.Tuangkan 4 sdb adunan ke dalam kuali. Biarkan hingga masak kemudian terbalikkan untuk masak bahagian sebelah lagi. Biar sekejap hingga masak. Angkat.
❀  Buat seperti ini sehingga semua adunan habis di guna.
❀  Hidang bersama madu atau sos pilihan masing-masing.

# Kuali tak perlu disapu minyak/marjerin ketika hendak memasak pancake.

Rasa pankek coklat ini tak banyak beza dengan pankek lain yang ada kuning telur. Oleh kerana hanya menggunakan putih telur, rasa lemaknya datang daripada penggunaan susu cair dan marjerin. Setelah dinilai rasa oleh juri-juri tetap di rumah ni.....pankek coklat ini melepasi piawaian citarasa kami. Terima kasih Rahel. Satu lagi idea untuk menghabiskan lebihan putih telur selain dibuat kek dan masakan yang lain.

curahkan madu.....taburkan coklat rice.....ngapp



0
NASI LEMAK UTARA + SAMBAL TUMIS IKAN BILIS



Assalamualaikum...


Selamat petang dan salam manis buat semua pengunjung yang budiman.
Entri ini sepatutnya dientrikan pagi tadi. Tapi faham-faham saja lah kan, hari ni hari pertama persekolahan sessi 2012 bermula. Jadi pagi-pagi tu banyak kerja rumah yang perlu dilangsaikan.


Pagi seperti biasa sebelum subuh dah bangun, siapkan sarapan pagi. Pagi tadi iza masak Nasi Lemak Utara. Dari mana datangnya Utara? Adakah kerana resepi ini berasal dari negeri sebelah utara sana atau sekadar hanya pada nama saja? Yang pasti iza tiada jawapan kerana yang empunya resepi Chef Sabri lebih arif akan jawapannya. Ini lah sarapan kami sekeluarga merangkap bekalan anak-anak ke sekolah pagi tadi.



NASI LEMAK UTARA 
source of ref : Buku Dunia Masakan Chef Sabri
source             : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
5 cwn beras Super A1
4 cwn santan cair
2 cawan santan pekat
3 sdm mentega
20 gm halia*
80 gm bawang besar*
10 gm bawang putih*(*dititk)
5 gm halba campur
1 helai daun pandan
2 sdm garam
2 sdm gula

***untuk beras iza guna beras biasa
      mentega iza gantikan dengan marjerin
      manakala halia, bawang besar, bawang putih dan halba setelah ditimbang:
         ~halia anggaran 2cm
         ~bawang besar 1 labu
         ~bawang putih 2 ulas (semuanya iza hiris saja)
         ~halba lebihkurang 1/2 sdb
      sebagai tambahan iza masukkan 1 batang serai yang diketuk


Cara Penyediaan:
❀  Panaskan mentega dan tumis bawang besar, bawang putih, halia, halba campur, daun pandan dan serai hingga naik bau.
❀  Masukkan beras dan kacau hingga rata.
❀  Masukkan santan, garam dan gula. Tanak nasi seperti biasa hingga kering.





Lawan nasi lemak dah semestinya sambal. Sambal pula terpulang samada hendak sambal ikan bilis, sotong/sotong kering, udang, ayam.....terpulang pada selera masing-masing. Yang wajibnya sambal mesti ada tak boleh tidak sebagai pelengkap kepada nasi lemak.



Nasi lemak memang favorit suami dan anak-anak. Nak tahu apa mereka komen.....sedaappp.....two-thumbs up!! Nasi dan sambal resepi Chef memang sedap dan berperisa. Tak rugi rasanya memiliki buku masakan Chef Sabri ini untuk dicuba rasa resepi di dalamnya.



SAMBAL TUMIS IKAN BILIS 

Bahan-Bahan :
200 gm ikan bilis/sotong/udang
2 labu besar bawang merah (dikisar)
2 ulas bawang putih (dikisar)
4 sdm pes cili
1 labu bawang besar (dipotong bulat)
1 sdk belacan
8 sdm air asam jawa
1/2 sdm garam
2 sdm gula

***untuk setengah resepi iza gunakan 2 cwn ikan bilis.....digoreng hingga garing.    cili kisar iza bubuh 4sdm penuh dan 1 labu bawang besar(kuning) dihiris bulat 
air asam, gula dan garam ikut sesuai rasa


Cara Penyediaan :
❀  Panaskan minyak masak. Tumiskan bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.
❀  Masuk pes cili dan belacan. Kacau hingga pecah minyak.
❀  Masukkan air asam jawa, sedikit air tambahan, garam dan gula. Renihkan sehingga sambal masak.
❀  Bila nampak sambal dah pekat sikit-sikit tu, kecilkan api. Masukkan ikan bilis yang digoreng tadi bersama bawang besar yang dihiris bulat. Kacaukan. Sesuaikan rasa garam dan gulanya. Angkat.