6
Ketam Masak Lemak Cili Padi...

Assalamualaikum...


Selamat Tengahari...
Ini dah masuk lunch hour dah ni... Dah lunch ke belum semua...?
Aik tu nampaknya ada yang tak lunch lagi tuh. Apasal pulak...diet ker atau banyak sangat kerja sampai tak sempat nak ambil lunch. Mungkin juga tabiat sesetengah orang tu suka selesaikan sesuatu tugasan dulu...dah siap semua baru lah ada mood nak makan...betul tak?
Kerja tu kerja laa jugak...tapi jangan sampai skip makan...tak baik untuk kesihatan. Cerita pasal makan nih...kalau terkurang makan tak elok terlebih makan pun lagilah tak elok...sebaiknya kita bersederhana bukan dalam bab makan je tapi dalam semua aspek kehidupan duniawi, tak giteww...


Apa lah agaknya menu anda hari ni ek?
Menu Iza tengahari ni biasa-biasa jer...
Hari ini Iza masak lauk ketam kesukaan suami dan anak-anak. Iza ni sebenarnya tak berapa sangat ketam. Masak lemak ni pun Iza curi-curi kuah dengan sayur buncis jer. Kalau masak lemak macam ni memang lah sedap kalau kuahnya buat pekat-pekat gitu...tapi kena beringat...bukan kerana nak sedap makan...lupa kolestrol...lupa lemak-lemak segala...Jangan ingat buat kek ngan kuih jer nak kena sukat...makan pun kena bersukat jugak tauu...hihihi...bukan catu namanya tapi demi kesihatan.  Bila diri sihat, kita akan rasa cergas, ceria dan gembira...barulah kita boleh menceriakan dan menggembirakan orang di sekeliling kita pula...



KETAM LEMAK CILI PADI
source : Mesra.net Resepi
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
1 kg ketam
3 batang serai, dititik
2 helai daun kunyit
2 sudu kecil garam/secukup rasa
1 sudu teh gula/secukup rasa
2 keping asam gelugor
3 cm lengkuas, ditumbuk pecah-pecahkan
300 ml santan pekat
1 gelas air
kacang buncis, dipotong serong ~iza tambah

BAHAN KISAR/TUMBUK :
10 biji cili padi
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 cm halia
4 cm kunyit hidup


CARA MENYEDIAKAN :
❀  Bersihkan ketam dan belah kepada 2 bahagian.
❀  Campurkan kesemua bahan-bahan (kecuali ketam) ke dalam periuk dan kacau perlahan-lahan secara berterusan sehingga mendidih. Masukkan ketam dan kacang buncis.
❀  Tutup api setelah ketam masak.


TIPS :
Jangan masak ketam terlalu lama kerana menyebabkan isi ketam keras dan rasa manis isinya akan hilang.




3
Sardine Puffs

Assalamualaikum...


Selamat petang.
Salam bersiaran kembali...
Apa khabar semua...?
Di harapkan semua yang sedang membaca entri SSK tika ini berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya...moga-moga hidup anda akan sentiasa disinari keceriaan serta dipayungi kebahagiaan di samping insan-insan tersayang...


Dulu-dulu kalau nak buat puff terpaksa fikir dua tiga kali sebab masa tu mana ada jual pastri pastri puff nih...nak kena buat sendiri. Tapi sekarang dah senang...tak perlu lagi bermain dengan tepung bersusah payah buat pastri...menggelek dan mencanai berkali-kali. Jika rasa-rasa mengidam atau gatal tangan nak buat puff...di pasaraya kini dah tersedia menjual ready-made pastry...balik rumah tinggal masakkan inti dah boleh buat...pas tu dah boleh makan sepuas hati...

Intinya boleh dipelbagaikan...nak manis boleh nak pedas pun boleh...terpulang...
tepuk dada tanya selera...:)  Tak nak celoteh panjang sebab ada kerja yang perlu dibereskan pada kadar segera. Jom layannnn....



SARDINE PUFFS
source : Roz@HomeKreation
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
1 tin (425gm) sardin - buang sos & hancurkan
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
2 inci halia* (* tumbuk)
2 sudu besar cili mesin
1 biji bawang besar, didadu kecil
1 biji limau kasturi
garam & gula secukup rasa

1 pack puff pastry jenama "KAWAN" (saiz 4 x 4 inci, ada 10 keping)
kuning telur, disapu
sedikit lada hitam, tumbuk halus


CARA MENYEDIAKAN:
❀  Sediakan inti sardin. Panaskan sedikit minyak & tumis bahan tumbuk sehingga wangi. Masukkan cili mesin & kacau sehingga garing. Masukkan bawang besar & kacau rata. Masukkan sardin, garam & jus limau. Angkat & sejukkan.

❀  Lembutkan puff pastry sehingga mencapai suhu bilik. Gelek & potong saiz yang anda suka. Letakkan inti sardin, lipat & tekan tepi dgn garpu. Sapu kuning telur dan tabur dengan sedikit lada hitam kisar.

❀  Bakar dalam oven pada suhu 190C selama 25 minit atau hingga kuning keemasan. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum dihidang.


Tips :
Jika oven anda mempunyai kipas, boleh "ON" kan semasa membakar pastry puff tadi. Kaedah "hot air circulation" ini akan menambah udara dalam puff pastry menjadikannya lebih tinggi, ringan, garing dan rangup......
(sumber dari 'Martha Stewart')

sedaapp!!...
kerangupan yang sungguh terasa...wallaaa...



6
Puteri Berendam...



Assalamualaikum...


Ada yang memanggilnya puteri berendam ada pula badak berendam...yang mana satu arr...
Alaahaii...kesian pulak tengok emo tu duk terpikio-pikio...hehehe. Dah-dah la tu emo, tak payah pening-pening kepala nak pikio nama mana. Puteri berendam ker badak berendam ker kuihnya tetap sama...berbentuk bebola hijau berinti kelapa dan berendam dalam kuah santan yang pekat.


Lama betul tak makan kuih ni...sampaikan tak ingat bila last sekali makan.
Kuih puteri berendam nostalgik pada Iza sebab ia mengingatkan Iza pada satu kisah yang masih tersimpul di ingatan...kira-kiranya memori si puteri berendam laa nih...(tangan terhenti menaip mengingatkan sambil tersenyum sendirian...) Okey dah dah dah...entah ke mana-mana pulak melalutnya...

Nak buat kuih ni kena tunggu angin R dulu baru boleh buat...sebab kuih ni banyak bebeno stepnya...nak kena sediakan inti dan kuah@dadihnya dulu...pas tu nak gentel bebola lagi...aduyaiii banyaknya kerja. Tapi bila kuih dah siap makan laju sesaja. Satu resepi ni dapat banyak tau. Jika saiz keluarga kecil macam Iza ni buat suku adunan pun dah cukup...itu pun dah banyak rasanya...
Apa lagi  moh ler kita semak bahan-bahan untuk buat puteri berendam ni....



PUTERI BERENDAM
by Chef Aini Salim
source : Iza Akma SSK


BAHAN A-Kuah@Dadih :
  • 1000 ml santan pekat dari 2 biji kelapa parut putih
  • 12 helai daun pandan
  • 2 sudu makan tepung pulut atau tepung jagung ~iza guna tepung jagung
  • 1 sudu teh garam

CARA :
❀  Semua bahan kuah digaul rata dan dimasak sehingga agak-agak pekat saja. Jangan dimasak terlalu pekat sebab bila sejuk ia akan jadi lebih pekat.



BAHAN B-Inti :
  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1 sudu makan tepung pulut ~iza bancuh dgn sedikit air
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 helai daun pandan
  • 250 ml air
  • 100 gm gula tanjung ~iza guna gula merah
  • 100 gm gula melaka
  • 100 gm gula pasir

CARA :
❀  Ketiga-tiga jenis gula dimasak dengan air sehingga mendidih dan gulanya hancur. Tapis.
❀  Masukkan kelapa, garam dan daun pandan. Gaulkan dan masak lagi sehingga pekat.
❀  Baru dimasukkan tepung pulut/tepung jagung dan kacau sehingga inti masak. Sejukkan dahulu, kemudian bulat-bulatkan sebesar guli sehingga habis.

Panduan : Untuk lebih mudah siapkan A & B first then proceed with C...



BAHAN C-Doh :
  • 600 gm tepung pulut
  • 350 gm kentang
(bahan di bawah gaul rata dan tapis)
  • 4 helai daun pandan, ditumbuk halus
  • 500 ml air suam kuku
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu makan gula
  • 1 sudu teh warna hijau, jika suka
  • 1/2 sudu teh warna kuning

CARA :
❀  Kentang dikupas bersih, direbus dan dilecek halus.
❀  Uli semua Bahan C sehingga jadi doh yang lembut.
❀  Ambil sedikit adunan, lalu isikan inti dan bulat-bulatkan.
❀  Didihkan air, masukkan sehelai dua daun pandan dan sedikit garam. Apabila airnya mendidih, masukkan bebola adunan dan rebuslah sehingga timbul. Keluarkan bebola yang sudah masak dan masukkan ke dalam bekas yang telah diisi dengan setengah bahagian kuah@dadih. Kemudian siramkan di atasnya lebihan dadih.
❀  Siap untuk dihidangkan.




5
Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Padi



Assalamualaikum...


Petikan Berita Harian bertarikh 4 Oktober 2002 menyatakan kandungan khasiat Omega-3 yang terdapat pada ikan keli adalah antara yang tertinggi berbanding spesis ikan-ikan lain.
Menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh Technology Park Malaysia (TPM), ikan keli mempunyai kandungan 0mega-3 pada kadar 0.51gm, paling tinggi berbanding  ikan salmon (0.20gm) dan mackerel (0.10gm) bagi setiap 100gm. Manakala kadar lemak yang dimilikki ikan keli (9-12%) juga antara yang tertinggi daripada mana- mana ikan air tawar atau masin, sama ada yang hidup di perairan tropika ataupun kawasan beriklim sederhana. (sumber fakta : SempadanGemilang.com.my)

Pengambilan omega yang terdapat dalam ikan keli ini mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan. Ia amat bagus bagi pertumbuhan otak dan pembesaran kanak-kanak, kerana kandungan DHA yang terdapat di dalamnya. Jumlah tahap DHA yang rendah dalam otak manusia boleh menjurus seseorang kepada penyakit tekanan jiwa. Kebaikan omega lain; berupaya mengurangkan risiko penyakit barah, mengurangkan risiko pembekuan darah yang menjadi punca utama kepada penyakit jantung serta mengurangkan kandungan kolesterol di dalam badan.


Ada sesiapa yang pantang ikan keli?...angkat tangan..hihihi.
Iza pun pantang juga tauu tapi bukan pantang makan...pantang jumpa...:) 
Sama juga anak-anak semua penggemar setia ikan keli...pantang jumpa pasti lauk itu yang dicapai dulu.
Biasa masak berlada tapi kali ni ubah menu...masak lemak pulak. Ikan keli salainya Iza beli yang instant tu jer...alaa yang dah siap bakar tuu...lepas tu baru digulaikan...mudah kerja kann.  Seronok  betul tengok anak-anak makan sampai tak dongak dagu...



IKAN KELI SALAI MASAK LEMAK CILI PADI
source: Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 3 ekor ikan keli salai
  • 15 biji belimbing buluh, dibelah dua
  • 1 biji kecil timun (jika suka), dibelah dua...buang biji & potong ikut suka
  • 2 batang serai, dititik
  • 1 helai daun kunyit, dicarik-carik
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 cawan santan cair
  • 3 keping asam gelugor (bergantung pada masamnya belimbing)
  • garam dan gula secukup rasa
BAHAN TUMBUK :
  • 15-20 tangkai cili padi (kalau suka pedas tambah lagi)
  • 3/4 inci kunyit hidup
  • 3 ulas bawang merah

CARA MENYEDIAKAN :

❀  Tumbuk bahan-bahan tumbuk bersama sedikit garam. Masukkan ke dalam periuk bersama asam gelugor, serai, daun kunyit, timun dan santan cair. Didihkan dengan api perlahan dan kacau selalu.
❀  Apabila kuah agak-agak mendidih, masukkan belimbing buluh. Setelah belimbing kelihatan sedikit layu, masukkan ikan keli salai serta santan pekat dan kacau. Sesuaikan rasa garam, gula dan asam. Ketika ini gulai hendaklah dikacau selalu.
❀  Apabila kuah pecah minyak, angkat dan sedia untuk dihidangkan.




4
Resepi Kuah Kacang

Assalamualaikum...


Jumaat merupakan sebaik-baik hari. Hari yang terkandung satu detik dan ketika yang mana jika seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah, insyaAllah akan dikabulkan permintaannya.

Begitu besarnya hikmah hari Jumaat. Jumaat berasal daripada bahasa arab "jama'a" bermakna 'berkumpul'. Berkumpulnya umat Islam menunaikan solat dan mendapatkan ilmu melalui khutbah dengan duduk sama rendah berdiri sama tinggi bersama jemaah lain tanpa mengira warna kulit dan kedudukan. Hari Jumaat juga hari untuk memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan bagi mendapat keredhaan dan rahmat Allah S.W.T.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut sama mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Semoga kita mendapat iktibar dan panduan dari yang di atas.


Okeyyy masa untuk resepi...
Kuah kacang ni dah pernah buat sebelum ni bersama kuah lodeh sebagai sajian untuk tetamu yang datang beraya raya lepas. Masa tu tak sempat nak ambil gambar segala. Takkan lah depan tetamu kita sibuk-sibuk nak shoot gambar pulak kann...tak manis laa. Jadi hari ni Iza buat sekali lagi supaya boleh dientrikan agar boleh termuat dalam blog ini.
Kuah kacang memang feveret Iza. Kebiasaannya kalau buat kuah kacang dan ada lebih, Iza akan potong timun atau rebus kacang panjang ker pucuk ubi ker...cicah dengan kuah kacang...makan bersama nasi hangat...emmm, sedappp!!



KUAH KACANG
by Dayang Jack
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 300 gm kacang tanah (digoreng/dibuang kulit(jika suka) dan dikisar)
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 5 sudu makan cili kering kisar (boleh tambah/kurang ikut suka)
  • 2 sudu makan gula merah/gula melaka
  • garam dan gula pasir (mengikut citarasa)
  • air secukupnya
BAHAN KISAR :
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1/2 inci halia
  • 3 cm lengkuas
  • 1/2 inci belacan bakar


CARA MENYEDIAKAN :

❀  Panaskan minyak secukupnya di dalam periuk. Tumis bahan-bahan kisar, cili kering dan serai hingga wangi.
❀  Masukkan kacang tanah sedikit demi sedikit diselang selikan dgn air. Masak menggunakan api sederhana.
❀  Masukkan gula merah/gula melaka, garam dan gula pasir secukupnya.
❀  Hidangkan setelah masak.


TIPS
***Untuk mengelak kuah menjadi pekat dan kembang, jangan memasukkan kesemua kacang tanah sekaligus.
***kuah kacang ini sangat enak dimakan bersama nasi impit, sate, roti kosong, dsb.
***untuk mencantikkan kuah, masaklah lama sedikit dengan api perlahan.




3
Mandarin Yogurt Cake

Assalamualaikum...


Entah mengapa hari ni rasa lemau jer nak mengudpate...
Masih ada lagi komen yang belum berbalas.
Begitu juga dengan kunjungan balas...masih belum sempat dilakukan.

Walau apa pun Iza berbanyak terima kasih pada teman-teman tak kiralah samada rakan blogger, rakan fb, pengikut blog ini mahupun pada semua silent readers dari ceruk mana sekalipun yang sudi meluangkan masa mengunjungi dapur maya Iza yang tak seberapanya ini. Kunjungan dari anda semua amat dialu-alukan. Begitu juga dengan sokongan anda amat diperlukan dalam menentukan jatuh bangunnya SSK. TQVM....


Walau macam mana lemau pun...update tetap kena update demi sajian pengunjung. Ya tak....
Hari ni Iza saji anda semua dengan kek yang sungguh enak dan sedap. Rasanya yang fresh dengan keharuman limau pasti akan menggoda sesiapa saja yang merasainya. Ditambah lagi dengan kelembutan dan kegebuannya yang pasti akan menambat selera sesiapa jua...he he he.
Okay lah Iza pun tak nak bebel panjang...maklumlah petang kann. Nanti ada pulak yang tersangap-sangap mengantuk baca kalau bebelan panjang sedepa. Jom semak resepi...



MANDARIN YOGURT CAKE
(adapted from Lemon Yogurt Cake)
recipe            : Food Network
source of ref  : Ummi @ Home Sweet Home 
source           :  Iza Akma SSK


BAHAN  A : diayak bersama
  • 1 1/2 cwn (180gm) tepung serbaguna ~iza guna tepung gandum
  • 2 sudu teh baking powder
  • 1/2 sudu teh garam ~iza guna secubit jer
BAHAN  B :
  • 1 cwn (200gm) plain yogurt
  • 1 cwn (150gm) gula kastor
  • 3 biji telur A
  • 2 sudu teh parutan lemon ~iza guna limau mandarin
  • 1/2 sudu teh esen vanila
BAHAN  C :
  • 1/2 cwn (120ml) minyak sayur ~iza guna marjerin cair
  • 1 sudu besar orange sunquick
    ~iza guna 2 tbsp (sudu metrik) jus limau mandarin
BAHAN D : (iza skip yang ini)
  • 1/3 cwn (65ml) jus lemon diperah
  • 1/3 cwn gula


CARA MENYEDIAKAN :

❀  Panaskan ketuhar dengan suhu 180 C. Griskan loyang dan alas dengan baking sheet.
❀  Dalam sebuah bekas satukan semua bahan (B). Kacau sebati.
❀  Perlahan-lahan masukkan campuran bahan (B) ke dalam bekas yang berisi bahan (A). Kacau sehingga adunan sebati.
❀  Dengan menggunakan spatula, masukkan bahan (C) ke dalam adunan tadi. Pastikan adunannya sebati.
❀  Tuangkan dalam loyang dan bakar selama 50 minit sehingga masak.
❀  Untuk bahan (D) masak jus lemon dengan gula sehingga gula hancur. Ketepikan.(untuk step ini dan seterusnya iza skip)
❀  Apabila kek sudah masak, biarkan kek selama 10 minit dulu. Kemudian perlahan-lahan letakkan kek di atas baking rak. Sementara kek masih suam, tuang larutan (D) yang dimasak tadi ke atas kek dan biar ianya meresap ke dalam kek.
❀  Sejukkan dan kek sedia untuk dihidang.

kek yang sungguh enak...
semerbak mewangi dengan keharuman limau... ...



11
Kuih Cara Berlauk



Assalamualaikum...


Rakyat kat rumah ni dah mula bersungut. Mereka kata semenjak dua menjak nih, suri di dapur ni asyik buat kuih maniiisss jer. Ya tak ya jugak ehh, ...betul juga apa yang dierang kata tu. Dek kerana mengejar list resepi yang harus dicuba semakin hari semakin memanjang...yang entah bila nak surutnya, tak tau ler...buatkan kekadang terlepas pandang dengan kuih savouri yang satu ini.


Dulu sebelum berblog, selalu buat kuih cara berlauk ni. Bila terasa-rasa nak makan jer resepi inilah yang selalu Iza ikut...terutamanya bila bulan puasa sebagai juadah berbuka. Tapi kalau kuih-kuih sedap macam ni tak payah tunggu bulan puasa...anytime pun boleh...asal ada kerajinan...



KUIH CARA BERLAUK
source : Iza Akma SSK


BAHAN UNTUK BERLAUK/INTI :
  • 200 gm daging cincang
  • 2 sudu makan rempah kari daging
  • 1 sudu makan sos tiram
  • sedikit lada hitam, jika suka
  • garam dan gula secukup rasa
  • minyak untuk menumis secukupnya
BAHAN TUMBUK :
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang merah
  • 1 cm halia
BAHAN TABURAN :
  • 1 pokok daun sup, dihiris
  • 1 pokok daun bawang, dihiris
  • 1-2 biji lada merah, buang biji dan hiris
  • sedikit bawang goreng, jika suka

Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan tumbuk.
Bila dah naik bau, masukkan daging cincang. Kacau sebentar.
Kemudian masukkan rempah kari, sos tiram, garam dan gula secukup rasa serta lada hitam jika suka. Biarkan sehingga daging masak dan kering sambil dikacau sekali-sekala. Angkat dan ketepikan.


BAHAN KUIH CARA :
  • 300 gm tepung gandum
  • 23 oz (690gm) santan pekat (dari sebiji kelapa)
  • 2 biji telur
  • 1 tsp garam
  • 1 sudu makan minyak masak
  • pewarna kuning

Satukan tepung, garam dan telur dalam sebuah bekas.
Masukkan santan sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga menjadi adunan yang licin dan halus.
Masukkan pewarna dan minyak. Kacau rata.


UNTUK MEMBUAT CARA BERLAUK :

❀  Panaskan acuan kuih cara. Untuk permulaan sapu minyak/butter/minyak sapi pada acuan. Step ini hanya dilakukan pada permulaan saja tidak perlu seterusnya kerana dalam adunan telah ada dimasukkan minyak...jadi kuih tidak akan melekat pada acuan.
❀  Tuangkan adunan dalam acuan. Letakkan bahan inti beserta bahan taburan.
❀  Tutup acuan supaya kuih cepat masak. Dah masak, angkat dan hidangkan.




9
Asam Pedas Melaka



Assalamualaikum...


Semalam Iza beli ikan nyok-nyok...geram punya pasal sebab tengok ikan tu fresh sangat. Masa tu tak fikir lagi nak masak apa dengan ikan tu. Ikan nyok-nyok ni lembut dan manis isinya. Kalau masak masakan berkuah, kuah akan jadi manis semulajadi. Paling ketara bila dimasak kari, kuahnya sedap sangat. Nak masak kari, baru minggu lepas makan kari. Iza pun tanyalah pada puteri Iza yang seorang tu nak makan lauk apa. Puteri kata nak makan asam pedas. Iza ok aje...lagipun da lama rasanya tak masak asam pedas. Bila sebut asam pedas teringat asam pedas yang pernah Iza makan masa jalan-jalan di Melaka. Tak dinafikan asam pedas negeri Melaka memang sedap...power gilerr...


Iza pun selak-selak buku masakan Chef Zaidah. Kebetulan ada resepi asam pedas melaka yang dicari. Iza tertarik dengan resepi chef kerana bila diamati resepinya kurang menggunakan bawang putih dan halia tapi lebih kepada bawang merah. Yang specialnya chef menggunakan kelapa parut yang disangai dalam ramuan tak seperti asam pedas lain yang pernah Iza cuba sebelum ini. Bila ada penambahan lain bermakna akan wujud rasa yang berlainan di situ.

Pada Iza, asam pedas ni dah hampir-hampir menyamai rasa asam pedas yang makan kat Melaka tu. Itu pada tekak Iza la kann...tak tau la pada orang lain. Selera dan citarasa manusia ni subjektif...mungkin pada tekak kita terasa sedap tapi tidak pada selera orang lain. Ok lah tak nak buang masa jomm semak resepi....



ASAM PEDAS MELAKA
adapted from Buku Masakan Chef Zaidah Mohd Noor @ Cita Rasa Malaysia 1000 Resepi Unggul
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 ekor ikan nyok-nyok anggaran 800gm, disiang dan dibersihkan
  • 3 ulas bawang merah, dihiris
  • 2 ulas bawang putih, dihiris
  • 5 sudu makan kelapa parut, disangai hingga kekuningan
  • 1 sudu kecil halba
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • 3 helai daun limau purut
  • 1/2 cawan air asam jawa dari segenggam asam jawa
  • 2 cawan air
  • belimbing buluh, bendi, daun kesum
  • garam dan gula secukup rasa


BAHAN KISAR :
  • 20 tangkai cili kering
  • 17 ulas bawang merah
  • 3/4 inci halia
  • 3/4 inci kunyit hidup
  • 3/4 inci belacan
  • 1 sudu kecil biji jintan manis
-- setelah dikisar campurkan dengan kelapa yang disangai tadi...gaul sebati dan ketepikan.


CARA MENYEDIAKAN :

❀  Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis hirisan bawang merah dan bawang putih sehingga warnanya kekuningan. Tos dan ketepikan.
❀  Di dalam periuk yang sama, tumiskan halba, biji sawi beserta bahan kisar sehingga wangi. Masukkan air, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Bila dah sedikit didih masukkan bendi, daun kesum, belimbing dan ikan. Biarkan mendidih.
❀  Masukkan daun limau purut dan bawang yang ditumis tadi. Rasakan garam dan gula. Kacau sebentar. Bila dah cukup rasanya bolehlah diangkat dan hidangkan.




12
Ayam Kicap Berempah Mamak Penang

Assalamualaikum...


Saat ini pasti ramai yang sedang terpaku di depan tv menonton filem menarik Kuch-Kuch Hota Hai...sebuah cerita romantik yang cukup menyentuh perasaan sesiapa yang menontonnya selain dendangan lagu-lagunya yang sedap didengar. Sedang tangan menaip entri ini, telinga dibuaikan dengan alunan lagu-lagunya. Pertama kali Iza lihat cerita ni masa duduk Dhaka tahun 1999 dulu...ikut suami bertugas di sana. Sejak itu barulah timbul minat dengan cerita-cerita Hindustan beserta lagu-lagunya. Sejak itu juga Iza baru mengenali siapa itu Shah Rukh Khan, Salman Khan, Amir Khan, Kajol, Rani Mukherjee dan lain-lain. Nampak sangat ketinggalan keretapi kann...he he he...

Pagi tadi fikiran dah buntu nak masak apa. Mulalah duk merayap...diam-diam pi selongkar dapur teman-teman. Lepas satu-satu dapur diterjah. Tiba di dapur kak Wattie, terpandang satu resepi yang sungguh menawan hati. Kalau u all nak tau kak Wattie ni seorang yang memang rajin di dapur. Selain memasak untuk keluarga, kak Wattie juga mengambil tempahan pelbagai jenis kek dan cookies untuk pelbagai majlis. Hasiltangannya semua indah dipandang dan cantik-cantik belaka. Siapa yang nak lihat atau teringin nak menempah bolehlah berkunjung ke SINI ya.


Berbalik pada resepi yang telah menambat hatiku itu.
Masakan ayam kicap berempah ala mamak penang ni memang terasa rempah ratusnya sekaligus menjadikan ia sungguh enak. Jangan pulak takut tengok resepi yang panjang berjela tu ya. Nampak aje panjang tapi kalau dibaca betul-betul kaedah memasaknya sama jer seperti masakan yang lain...cuma penerangan die jer yang buatkan panjang.
Pada sesiapa yang sedang rindu-rinduan dengan masakan penang tu, apakata cuba resepi yang enak banget nih...pasti akan lenyap rasa rindu tersebut. Okay jom redaahh...



AYAM MASAK KICAP BEREMPAH MAMAK PENANG
recipe           : MamakHaji
source of ref : Kak Wattie @ Wattie's HomeMade
sharing         : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 ekor ayam (1.7kg – 1.6kg) dipotong 16 . Masukan serbuk kunyit 1 tsp dan garam 1 tsp. Gaulkan rata dan goreng sehingga separuh masak. Kalau gunakan ayam kampung tidak perlu digoreng kerana isi ayam kampung berkeadaan kental.
  • 3 Biji bawang besar (dikisar halus). Kisaran 1:1 dengan air. Jangan terlalu cair. Tujuan bawang merah ialah untuk mendapatkan kuah. Sekiranya anda tidak mahu kuah anda boleh kurang jumlah bawang merah. Kegunaan bawang merah dalam masakan resipi nasi kandar adalah unik. Air bawang digunakan sebagai kuah. Dengan sebab inilah kuah lauk nasi kandar pekat likat.
    Pes Bawang Putih dan Halia. Harap anda telah mahir dalam penyediaan pes bawang putih dan Halia ini. Untuk masakan ini, satu biji bawang putih dan 3 inci halia sudah memadai. Sekiranya anda telah sedia ada pes ini gunakan 2 tsp.
  • 1 tsp serbuk lada hitam.
  • 3 sudu besar kicap pekat. (kicap ini ada beberapa jenis seperti kicap cair, kicap manis lemak, kicap pekat mee dan juga kicap pekat karamel. Anda gunakan kicap Mee Yakin. Ia punyai rasa dan kemasinan yang moderate). Kehitaman masakan terpulang pada cita rasa anda. Kalu boleh kurang garam dalam masakan kerana ia akan memekatkan perederan darah dalam tubuh badan dan membantu kolestrol terbentuk.
  • 1 sudu besar sos tiram.
  • 1 sudu besar sos cili.
  • 1 tsp air limau nipis.
  • 1 tsp Jintan manis.
  • 1 tsp Jintan Putih.
  • 1/2 serbuk kas-kas (dikecualikan).
  • 1 sudu besar serbuk cili (boleh kurangkan mengikut kepedasan yang anda ingin).
  • 2 sudu besar rempah kari Daging.
  • 3 kuntum bunga lawang, 1 inci kulit kayu manis, buah pelaga 3.
  • 2 batang serai yang telah di ketuk.
  • Garam , Gula secukup rasa.


CARA MENYEDIAKAN :

❀  Panaskan minyak, masukkan ke dalam minyak 2 batang serai, tumiskan bunga lawang, kayu manis danbuah pelaga. Apabila naik bau rempah masukkan pes bawang putih halia sehingga baunya naik. Segera masukan kisaran bawang merah sehingga baunya naik.
❀  Masukan semua bahan-bahan seperti di atas dan biarkan kuahnya didih. Masukan ayam yang telah goreng separuh masak. Kecilkan api dan biarkan selama 10 minit – 15 minit dimasak. Biasanya daging ayam yang telah masak boleh tentukan dengan bahagian peha ayam daging urat mula gelembong dan cuba putus dari tulangnya.
❀  Rasa kemasinan. Kerana kicap dan sos tiram yang digunakan biasanya memepunyai kemasinan yang berlainan. Maka sukatan garam tidak dapat diberi dengan tepat. Sikiranya kurang masin tambahkan garam. Kalau anda terasa masin anda boleh gunakan gula atau serbuk perasa untuk mengurangkan kemasinan.
❀  Tutup api dan masukan perahan air limau 1 tsp . Taburkan bawang goreng. Hidangan telah sedia. Kanak-kanak dalam bulan puasa ini amat gemarkan resepi ini. Untuk kanak-kanak pastikan minyak dan kepedasan perlu dikurangkan.
❀  Apabila hidangkan gunakan tiga warna seperti warna oren – karot. Warna hijau – celery atau pun daun sup dan daun bawang/ daun pudina. merah – Cili Merah. Unggu – Hirisan bawang bulat.

Selamat mencuba.
* tsp – sudu teh dan sudu besar – tablespoon.



NOTA :
Salam, Jangan terkejut resipi ini banyak menggunakan bahan-bahan. Bahan-bahan yang digunakan adalah pada kebiasaannya setiap dapur memiliki. Untuk resipi nasi kandar anda boleh mula mengumpul rempah-rempah dari kedai Rempah. Jangan membeli rempah ini yang terdapat dalam palstik yang rendah mutu. Ujian kesedapan masakan nasi kandar adalah apabila anda buka tuduk penutup …bau rempah mula mengharum dan akan menyelerakan sesiapa sahaja. Kalau kali pertama gagal..cuba lagi. Masakan yang di masak sendiri adalah masakan yang terbaik dan berkualiti disamping itu kita hadiahkan kepada ahli keluarga yang tersayang. Para suami juga boleh mencuba masak resepi – resepi ini untuk kemesraan rukun rumah tangga. Resipi mamak menggunakan kaedah pengalaman bukan sebagai catatan dalam buku resepi yang anda didapati di mana-mana. Mamak bukanlah seorang pakar mengarang resipi tetapi ingin berkongsi dengan anda dalam pengalaman masak. Tujuan blog ini bukanlah ingin mencari nama atau wang tetapi sekadar berkongsi Ilmu di antara insan. Wassalam.





11
Puding Coklat Oreo

Assalamualaikum...


Cuaca di Ampang dua tiga hari ni panas betul.
Dalam keadaan cuaca panas sebegini, andai disaji dengan makanan atau minuman yang menyejukkan...alangkah nyamannya terasa.

Rancang nak buat puding semalam tapi tertunda ke hari ini.
Sebelum terus dengan projek puding memuding tu kenalah diteropong dulu tengok kesesuaian cuaca...panas ker, nak hujan ker...tak gituu. Nanti puding belum pun sempat mengeras...hujan dah turun mencurah-curah...hehhehheh. Lepas ditinjau-tinjau diteropong...nampak cuaca boleh tahan panas juga hari ini. Okey, lampu hijau menandakan projek memuding boleh diteruskan.


Ini lah hasilnya Puding Coklat Oreo yang Iza buat pagi tadi.
Puding ni dah ramai pun rakan blogger yang mencuba. Resepi mengatakan, bila dibiarkan membeku dengan sendirinya puding akan membentuk dua lapisan. Sebab itulah ada yang sukses tak kurang juga yang kecewa sebab kurang menjadi seperti diharapkan.

Makanya Iza ambil jalan mudah...olah sedikit caranya ikut style sendiri. Kira oklah kan...
Puding ni mempunyai paduan rasa coklat dengan oreo. Itu yang buatkannya sungguh istimewa dengan rasa yang tersendiri. Siapa yang belum mencuba tu, silalah cuba sebab rasa puding ni sememangnya mantap...kaya dengan rasa coklat...
Terima kasih Ros atas perkongsian resepi.



PUDING COKLAT OREO
recipe  : Ros @ Jintan Manis
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :(dapat dalam 10-15 acuan jelly)
  • 1/2 paket agar-agar stripe atau (8 gram-1 paket serbuk agar-agar)
  • 6 keping biskut coklat Oreo (inti krim putih keluarkan)~iza buat 10 keping
  • 2 cawan air
  • 2 cawan susu segar (atau boleh ganti dengan susu kacang soya/bancuhan susu pekat manis)~iza guna susu perisa coklat
  • 1/2 cawan gula
  • 1 helai daun pandan, disimpulkan
  • 2 sudu besar serbuk koko*
  • 1 sudu besar air suam* (*bancuh bersama jadikan pes coklat)

CARA MENYEDIAKAN :
❀  Rendam agar-agar kira-kira 2 jam sebelum direbus, kemudian masukkan 2 cawan air dan rebus agar-agar bersama daun pandan. Biarkan agar-agar betul-betul larut.
❀  Sementara itu blender halus biskut oreo, selepas itu masukkan susu segar, gula dan biskut oreo tadi, kacau sebati.
❀  Kemudian curahkan pes coklat ke dalam periuk agar-agar.
❀  Setelah semua sebati, curah dalam acuan dan setelah sejuk baru disimpan di dalam peti ais, agar-agar akan menjadi dua lapis dengan sendirinya, kalau nak lapisan biskut oreo tu lebih tebal, boleh tambahkan kuantiti biskut oreo tadi.
❀  Amat sesuai dimakan masa cuaca panas ataupun sebagai menu sampingan untuk anak-anak.

Selamat mencuba...◕‿◕



CARA IZA :
Selepas agar-agar larut, masukkan susu perisa coklat, gula dan kacau sebati. Lepas tu masukkan pula pes coklat, kacau hingga pes coklat sekadar merata. Keluarkan setengah bahagian agar-agar dan tinggalkan setengah bahagian lagi dalam periuk. Campurkan bahagian agar-agar yang dalam periuk tu dengan oreo yang telah diblend. Masak semula hingga didih. Tuangkan ke dalam acuan yang telah dibasahkan dengan air terlebih dahulu. Biarkan ia.
Apabila lapisan oreo kelihatan hampir mengeras, masak semula baki setengah bahagian agar-agar tadi hingga didih dengan dikacau selalu. Kemudian curahkan ke atas lapisan oreo. Jangan lupa cakar-cakarkan lapisan oreo sebelum dituangkan dengan lapisan yang baru...




7
Roti Silang Kari Daging



Assalamualaikum...


Bertemu kembali...
Dah lima hari tiada sebarang menu masakan dientrikan SSK.
Maka hari ini SSK tampil semula bersiaran dengan menu resepi seperti kebiasaan.


Roti ni sebenarnya dah lama buat. Terlupa pulak nak entrikan...
Tekstur roti sungguh lembut dan gebu...malah masih kekal lembut hingga keesokan hari...
Sesuai dihidangkan di kala sarapan, minum petang mahupun sebagai kudapan di waktu senggang...
Berintikan inti kari daging yang sedap membuatkan roti ini bertambah-tambah enak untuk dinikmati. Tanpa banyak bicara Iza tinggalkan anda semua dengan resepi nun dibawah...



ROTI SILANG KARI DAGING


DOH ROTI (doh roti asas Fida@MyR)

BAHAN-BAHAN :
  • 600 gm tepung roti (5 cawan rata)
  • 120 gm gula halus (1/2 cawan rata)
  • 1 sudu kecil garam
  • 2 sudu besar susu tepung (opt) ~iza guna coffee-mate
  • 5 sudu kecil rata yis segera Mauripan
  • 1 biji telur
  • 250 ml air
  • 60 gm butter-lembut (2 sudu besar penuh)


CARA MENYEDIAKAN :
❀  Satukan semua bahan-bahan dalam mixer dan putar hingga doh tidak melekat pada mangkuk mixer.(Iza uli dengan tangan aje)
❀  Perap selama 45 min atau berganda saiznya.
❀  Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara, bagi doh kepada 2 bahagian. Ambil satu bahagian, canai 4 persegi. Kelar kiri dan kanan doh tadi. Isikan 1/2 bahagian inti di tengah doh. Kemudian lipat bersilang antara jejari kanan dan kiri, buat hingga siap, alihkan ke loyang yang telah disapu sedikit mentega. Buat kaedah sama untuk satu bahagian lagi. (Untuk lebih detail bagaimana membentuk roti silang,  sila rujuk di SINI )
❀  Perap 45 minit atau hingga naik sekali ganda. Sapu telur (baki dari 30 gram tadi) dan tabur serbuk lada hitam atasnya.
❀  Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pasa suhu 190C selama 25 minit atau hingga kuning keemasan.
❀  Sejukkan roti sebelum dihidangkan....


INTI KARI DAGING (by Chef Zaidah Mohd Noor)

BAHAN-BAHAN :
  • 3-4 sudu besar minyak masak
  • 2 sudu besar rempah kari
  • 150 gm daging lembu cincang
  • 3 biji ubi kentang, dikupas dan didadu
  • 2 biji bawang besar, dikupas dan didadu
  • 1 tangkai daun sup, dihiris
  • garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR/TUMBUK :
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar udang kering

CARA MENYEDIAKAN :
❀  Panaskan minyak di dalam kuali. Tumiskan bahan kisar serta rempah kari sehingga wangi. Jika perlu tambah sedikit saja air bagi mengelakkan rempah menjadi hangus.
❀  Masukkan daging dan kacau sebentar.
❀  Masukkan kentang dan masak sehingga kentang empuk.
❀  Masukkan bawang besar dan daun sup. Tambah garam dan gula secukup rasa.
❀  Apabila kering, angkat dan sejukkan sebelum digunakan.




4
Pedoman Dari Maulidur Rasul....



Assalamualaikum...


Menjelangnya Maulidur Rasul esok, dah tiga episod SSK ketengahkan melalui entri Semarakkan Maulidur Rasul 1,2&3. Info bersifat ilmiah agama tersebut dirasakan cukup berguna untuk diketahui selain menambah pengetahuan yang telah sedia ada.

Sambutan Maulidur Rasul bertujuan mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Rasulullah merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidupan. Sebab itu, saban tahun hari kelahiran baginda diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Baginda adalah contoh terbaik yang bersifat universal. Keseluruhan hidup baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh sepanjang zaman. Ia merangkumi seluruh aspek daripada kehidupan harian individu kepada aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud : 'Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu'. (al-Ahzab:21)

Sebagai individu, Rasulullah mempunyai peribadi luhur dan murni yang sentiasa mengajak manusia kearah kebaikan dengan menyeru kepada jalan Allah. Nabi juga seorang ketua negara yang menerajui bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap di samping seorang suami mithali, bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak-anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan banyak lagi sifat terpuji yang lain.

Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda sentiasa jujur dan benar, sehingga baginda berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah bercakap yang baik atau diam sahaja.


Islam amat menekankan sifat kasih sayang, persaudaraan dan prihatin sesama insan dalam kehidupan. Sehinggakan orang islam itu diibaratkan oleh Rasulullah sebagai satu tubuh badan, apabila salah satu anggota sakit, maka keseluruhannya akan turut berasa sakit. Daripada Nu'man bin Basyir r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, rahmat-merahmati dan kemesraan adalah seperti sekujur tubuh, apabila salah satu daripada anggotanya merintih kesakitan, maka segala anggota lain akan turut sama berjaga malam dan demam (dalam menanggung kesakitan). (riwayat Bukhari & Muslim).

Jika diperhatikan, nilai peradaban manusia kini dah semakin hanyut bersama arus kemodenan dunia. Apa yang dianjurkan oleh Rasulullah kian dipinggirkan. Kasih sayang dan keprihatinan sesama manusia semakin luntur di hati setiap insan. Banyak perpecahan berlaku samada dalam negara dan kepimpinannya, kekeluargaan malahan dalam masyarakat. Sehingga timbulnya sikap berpuak-puak di kalangan manusia. Ia ketara  dilihat dalam sistem politik negara...yang sini duk mengata yang sana...yang sana pula duk kata yang sini. Kalau masing-masing terus-terusan kata mengata dendam mendendami, sampai bila pun persengketaan tak akan berakhir. Negara lain bangsa lain tak akan kerugian apa-apa. Mereka berpeluk tubuh bertepuk tangan bersorak gembira melihatkan telatah bangsa Melayu dan Islam berpecah belah. Siapa yang rugi...kalau tak Islam dan anak Melayu sendiri...

Kepimpinan negara yang diterajui oleh pemimpin sekarang yang rata-ratanya Islam telah jauh menyimpang dari landasan kepimpinan sebenar seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah. Tidak seperti pemimpin era tahun 70-an seperti Tun Abdul Razak. Beliau seorang pemimpin yang cukup disegani dan disayangi rakyat kerana lebih berjiwa rakyat serta lebih prihatin dengan kehendak rakyat. Tapi pemimpin sekarang berpolitik lebih bertujuan  mencari kepentingan diri semata bukannya berjuang membela nasib rakyat. Jika diimbas kembali satu masa dulu heboh diperkatakan tentang kemiskinan sifar. Konon nak hapuskan kemiskinan di kalangan rakyat. Apa dah jadi? Kemiskinan masih tetap wujud dengan jurang yang masih besar. Masih ramai lagi rakyat yang menderita hidup susah...buktinya tengok saja dalam slot 'Bersamamu' terbitan tv3.

Kadang-kadang boleh jadi bingung juga memikir apakah yang dimaksudkan dengan Konsep Satu Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Difikir-fikirkan ada banyak maksud tersirat dan tersurat di balik ungkapan tersebut. Soalannya, sesuai kah konsep itu digunapakai dan dilaung-laungkan dengan begitu megah sekali...? Sedangkan kepimpinan negara harapan rakyat yang ada sekarang ini bercakaran antara satu sama lain...bukan orang lain...tapi dengan saudara sesama Islam juga...Adakah ini contoh terbaik yang ditunjukkan pemimpin kepada rakyatnya...bak kata bidalan ; seperi ketam mengajar anaknya berjalan...

Perpaduan adalah wajib sebaliknya perpecahan adalah haram. Sedari lah orang Islam semua ; di kala musuh Islam bersatu, umat Islam terus berpecah, ini merupakan kerugian yang amat sangat. Walaupun bilangan umat Islam ramai tetapi tidak dapat memberi manfaat dan kekuatan kerana ditimpa penyakit cintakan dunia.

Jadi  bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang jatuhnya 5hb. February 2012 bersamaan 12 Rabiul Awal 1433H marilah kita semua bermuhasabahkan diri dan renungkan kembali sifat-sifat terpuji yang ada pada diri Rasulullah SAW beserta ajaran yang disampaikannya. Contohilah apa yang terbaik dan hindarkan yang tidak baik. Moga yang demikian kita umat Islam semua kembali bersatu hati demi meningkatkan nilai murni peradaban Islam yang semakin dilupakan.


Saya selaku penulis blog ini ingin mengucapkan SALAM MAULIDUR RASUL kepada semua pembaca blog ini. Bersama kita renung dan hayati erti sebenar Maulidur Rasul dengan penuh penghayatan perjuangan serta pengorbanan Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syariah Islam ke seluruh dunia. Marilah bersama-sama kita berzikir, berwirid, dan memperbanyakkan selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW membuktikan kecintaan kita pada baginda.