11
Checkered Bread

.... السلام عليكم


Salam berhujung minggu... Sekejap je kann masa berlari.
Pejam celik...celik pejam dah pun tiba ke penghujung minggu dan hari terakhir bulan mac.

Kalau diperhatikan kat kedai-kedai bakery cha-ya-nun-alif, terpukau mata bila tengokkan pelbagai macam rupa bentuk kek dan roti yang dijual. Semua cantik-cantik. Beli tak boleh...tengok je lah jamu mata. Kadang tu sempat juga curi idea berangan konon nak praktikkan pula kat rumah. Tapi itu lah semangat tu macam hangat-hangat tahi ayam. Masa kat situ punya berkobar...macam-macam rupa bentuk idea yang keluar ...sampai je rumah terus jadi sejuk. Bila dah sejuk idea pun tenggelam sama...lupa daaa...




Semalam iza merajinkan diri meroti. Lepas gian dah lama tak meroti. Lagipun nak perabiskan tepung roti yang dah nak expired tu. Mungkin ada yang kata adoiih buat lenguh tangan je buat roti. Baik beli roti siap senang criter...tangan tak kotor...takde lah nak duduk melangut berjam-jam mengadap dapur. Tapi pada iza seronok uli roti nih boleh lepas geram...nak tumbuk dinding tak leh...doh roti la jadi sasaran. Jadi kalau sesiapa yang rasa rasa geram marah kat suami kat anak-anak tu...buat lah roti yer...ada juga hasilnya...boleh dimakan...ya dak...

Malam sebelumnya dok layan anak-anak main catur...
Tengah-tengah main tu timbul pula idea buat roti ikut pattern papan catur tu. Bila idea dah mai kena lah di cuba kalau tak nanti hanyut lagi idea tu kang...hehehe. Inilah hasilnya setelah bereksperimen. Roti yang sedap, lembut dan gebuuss. Buat sarapan pagi tadi masih maintain kelembutannya...




CHECKERED BREAD
inspired from Bun Pandan RosJintanmanis
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 250 gm tepung roti
  • 50 gm tepung gandum
  • 2 sudu besar marjerin
  • 140 ml air suam / susu segar
  • 1 biji telur-tinggalkan sedikit untuk gliss nanti
  • 2 sudu besar gula
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil yis
  • 1 sudu kecil bread improver / dough softener

  • pewarna hijau & pandan paste
  • coklat emulco & sikit black treackle (jika suka)




CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Masukkan semua bahan dalam bekas adunan. Uli hingga adunan tak melekat pada jari (kalau ada Breadmaker tekan Dough dan On je). Bahagikan doh kepada dua bahagian. Warnakan satu bahagian dengan hijau dan satu lagi coklat. Uli lagi sehingga warna sebati dengan doh. Perapkan adunan sehingga naik dua kali ganda.
❀   Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh untuk keluarkan angin. Bahagikan setiap warna doh menjadi 16 bebola dan biarkan lagi selama 8-15 minit.
❀   Sediakan loyang 9x5x3inci yang telah digriskan nipis. Bulat-bulatkan semula bebola tadi. Untuk lapisan pertama susun 4 bebola hijau dan 4 bebola coklat secara berselang warna seperti corak papan dam. Lepas tu ambil sehelai plastik, letakkan atas lapisan. Rata dan padatkan lapisan hingga tiada ruang yang kelihatan antara bebola-bebola tersebut. Ulang untuk lapisan kedua dengan kaedah yang sama.
❀   Rehatkan lagi selama 40 minit atau sehingga naik dua kali ganda. Gliss permukaan roti dengan sedikit campuran telur, susu dan madu. Bakar pada suhu 180C selama 20 minit atau ikut suhu oven masing-masing.
❀   Setelah masak, sejukkan atas redai. Amat sesuai dijadikan sarapan atau minum petang.

(pesan RosJintanmanis - kalau nak guna water roux pun boleh juga, tapi kena kurangkan sikit kuantiti susu segar...agak-agak dalam 100ml, tengok keadaan doh tu macam mana...)



~~ Selamat Mencuba ~~



4
Tat Telur Portugis

.... السلام عليكم


Ada kalanya tanpa diduga titi hidup kita dilalui oleh masa-masa sulit; yang membuat hidup diruntun rasa kepedihan dan keluh kesah. Namun, pada saatnya jua kegembiraan menyinggah; membuatkan hidup terasa bahagia dan damai. Tanpa sedar bibir basah menguntum senyuman. Serasa enggan melepaskan detik yang menjengah diri di saat itu. Apakan daya, sesungguhnya, sapaan kesedihan, kegembiraan, kekecewaan, keriangan dan emosi-emosi lain hanyalah sementara. Sebagaimana sesaatnya malam ditelan siang. Tak selamanya kesedihan dan kegembiraan mengiringi episod kehidupan. Sesaat ia datang, sesaat ia hilang. Semua itu datang silih berganti, tanpa perlu dinanti...



Airmata yang tumpah
bukan hanya sekadar titisan-titisan
yang mengalir begitu sahaja
namun ianya adalah kalimat-kalimat
gambaran dari lafaz kelukaan hati

tumpahnya ia
 tatkala kemelut meredah diri
kerana siempunya tidak terdaya melafaz bicara
maka airmata itu
pengganti diri melafaz kata

bahawasanya air mata
tiadalah ia memilih tempat untuk jatuh...
tidak pula memilih waktu untuk menitis...




TAT TELUR PORTUGIS
source of ref : CMG@DTS
source           : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • Kulit puff pastry secukupnya
  • 2 kuning telur
  • 200 ml whipping cream
  • 50 ml air ~iza guna susu
  • 40 gram gula halus (resipi asal 55 gram)
  • 1/2 keping keju chesdale, disiat2 ~iza buh 1 keping
  • 1 camca teh esen vanilla
  • 1 titik pewarna kuning


CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Satukan whipping cream bersama gula dan air, kacau rata dan didihkan perlahan menggunakan api kecil. Kuning telur tadi dikacau. Tuang sedikit whippung cream suam, dan kacau pantas dengan whisk sehingga sebati.
❀   Tuang bancuhan telur tadi ke dalam baki whipping cream, masukkan juga esen vanilla, kacau lagi dan masak hinga sedikit pekat, gunakan api kecil, masukkan keju yang telah disiat2 kecil, kalau hingga larut dan sejukkan.
❀   Puff pastry dipotong mengikut saiz acuan tat, tekat kemas dah potong lebihannya. Buat hingga siap. Tuang 3/4 penuh dengan no. 2, buat hingga habis dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 190C selama 25 - 30 minit, atau hingga kuning keemasan.
❀   Sejukkan atas jaringan sebelum dikeluarkan dari acuan...



~~ Selamat Mencuba ~~

2
Cucur Tofu Sayuran


.... السلام عليكم


Salam Manis buat teman-teman yang sedang membaca entri tika ini.
Waktu ini baru lah ada kelapangan mengadap blog kesayangan setelah seharian busy semalam. Ni pun baru jer lepas siap bakar Portuguese Egg Tart...sat lagi sessi bermain lensa pulak. Adoyaiii penat tu memang lah penat...tapi minat dah ke situ...penat macam manapun semua tolak tepi...


Entri hari ni cucur tofu atau cucur tauhu.
Alkisahnya semalam kebuntuan nak masak apa untuk juadah minum petang. Kita ni taklah kisah sangat...ada ker takde ker...tapi anak-anak dok bising tak habis-habis tanya, '...mak tak wat kuih apa-apa ker petang niii?'...haaa amik kau...hehehe. Memandangkan waktu tu dah hampir sangat dengan waktu minum petang...kepala pun apa lagi ligatlah memikir untuk buat something yang ringkas, cepat siap tapi berbaloi dan disukai seisi rumah. Check fridge tengok ada sepeket tauhu...terus dapat idea...buat cucur jer lah dengan tauhu ni. Maka inilah hasilnya cucur tauhu dengan campuran sayuran di dalamnya. Selain minum petang cucur ni juga sesuai untuk sarapan. Cukup berkhasiat, mengenyangkan...yang penting sedaapp...!!



CUCUR TOFU SAYURAN
by Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 pek (300gm) tofu lembut
  • 1 biji cili merah, dibuang biji & hiris halus
  • daun sup & daun bawang, dihiris halus
  • sedikit kobis bulat, dihiris halus
  • sedikit carrot, dihiris halus memanjang

  • 170 gm tepung gandum
  • 100 gm tepung beras
  • 20 gm tepung jagung
  • 1 tsp baking powder
  • 1/2 tsp soda bikarbonat
  • 1/2 tsp perasa ikan bilis
  • 4 tsp serbuk kari ikan
  • 1/2 tsp serbuk lada sulah
  • garam secukup rasa
  • 250 gm air


CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Hancurkan tofu dengan garfu... jangan terlalu hancur, biar kasar-kasar. Satukan dengan cili dan hirisan sayuran yang lain. Gaul rata dan ketepikan.
❀   Dalam bekas lain, campurkan semua tepung bersama bahan-bahan lain. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga dapat adunan yang agak pekat. Adunan kena pekat bukan cair kerana bila dimasukkan tofu adunan akan jadi sedikit cair.
❀   Kemudian campurkan campuran tofu, sebatikan.
❀   Goreng dengan api sederhana hingga kekuningan.



~~ Selamat Mencuba ~~



12
Kek UbiKayu Pelangi Kasih

.... السلام عليكم


Selamat Petang... SSK kembali menemui anda hari ini.
Janggal pula rasanya nak start balik berblog bila dah lama berehat. Tapi seronok juga bila membawa diri jauh buat sementara waktu daripada laptop, daripada dunia blog...minda jadi ringan dan kurangnya bebanan dirasa. Jadi masa yang ada tu boleh digunakan untuk memberi lebih perhatian pada perkara lain yang lebih memerlukan...


Selama membawa diri kelautan sepi tuu...sempat jugalah mencuba kek ubikayu nih. Jangan disangka ubikayu hanya sedap dimakan rebus, dibuat kuih...buat kek pun sedap tauu. Rasanya memang lain daripada kek kek yang biasa tu. Kalau tak cayer cubalah dan rasakan sendiri...

Iza follow resepi yang telah diolah oleh CMG. Cuma iza bagi color sikit. Manis kek ni just nice. Resepi asal AlongRoz juga iza sertakan sekali sebagai panduan. Mana lah tahu kalau kalau nak buat lagi lain kali...tak payah susah-susah nak selongkar selongkar lagi dah...


KEK UBIKAYU
source : CMG@DTS
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 190 g mentega
  • 160 g gula halus
  • 3 biji telur gred A
  • 120 g tepung gandum*
  • 1/2 camca besar baking powder*(*digaul rata dan diayak)
  • 420 g parutan ubi kayu, diperah airnya
  • 1/4 cawan susu sejat
  • 1/2 camca besar esen vanilla
  • 1/2 camca teh pewarna kuning

CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser tin berukuran (8x8x3) inci dengan mentega dan alas dasarnya dengan kertas minyak, lenser juga permukaan kertas dengan mentega. Ketepikan.
❀   Putar mentega dan gula hingga putih, masukkan telur satu persatu dan terus memutar hingga kembang. Kemudian masukkan ubi parut tadi dan gaul rata.
❀   Pada kelajuan sederhana, masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu sejat hingga habis. Gaul rata.
❀   Akhir sekali masukkan esen vanilla dan pewarna kuning. Kacau hingga semua sebati. Tuang ke dalam tin kek tadi dan ratakan. Bakar selama 25 - 30 minit atau hingga masak, bergantung pada oven masing2. Sejukkan kek sepenuhnya atas jaringan...



Resepi asal sebelum diolah...

KEK UBIKAYU
recipe by AlongRoz  (loyang 9 inci persegi)

  • 1 1/2 cwn tepung gandum
  • 1 1/2 cwn gula kastor
  • 3 cwn ubikayu (sagat & tapis)
  • 1 1/2 cwn (375gm) mentega
  • 1/2 tin susu pekat manis
  • 1 sudu makan baking powder
  • 1 sudu makan vanilla
  • 5 biji telur

CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Pukul Mentega & Gula sehingga kembang. Masukkan Telur satu-persatu sambil di pukul.
❀   Masukkan Tepung, Susu pekat, Baking Powder sambil di pukul.
❀   Masukkan Ubikayu & akhir sekali Vanilla. Sedikit pewarna kuning jika suka.
❀   Bakar 175 Celcius, selama 45-50 minit sehingga masak.



~~ Selamat Mencuba ~~



11
Mee Rebus Johor


.... السلام عليكم


Dah empat lima bulan dah simpan resepi ni...tulisan pun cakar ayam jer atas helaian kertas. Itu pun dapat cara kebetulan masa tengok rancangan masakan Sajian Kontemporari yang dikendalikan oleh anak-anak Chef Wan, Serina bersama Chef Riz. Bila Chef Riz kata nak tunjukkan resepi mee rebus, cepat-cepat capai kertas pen salin. Menurut cerita Chef Riz, resepi ni asalnya dapat dari seorang kawannya anak johor...dan kemudian telah diubahsuaikan olehnya...biasalah chef kann...kenalah oter sana sikit oter sini sikit...


Mee rebus ni iza masak weekend lepas. Masa tu ada pulak keledek oren...apalagi teruskan misi. Bak kata orang tak ada ruginya mencuba dan pelajari sesuatu resepi baru kan kan...Percubaan ternyata menjadi.  Mee rebus ni memang sesuai dan kena dengan tekak kami sekeluarga malahan suami yang anak johor pun turut mengakui kesedapan kuahnya yang pekat gituu... Memandangkan kuahnya ada berlebih, esoknya iza celur mihun makan dengan mihun pula. Dua-dua sedap...dengan mee sedap dengan mihun pun sedapp... 

Chef Riz ada pesan lebih bagus guna keledek oren berbanding putih sebab yang oren tu buatkan kuah menjadi lebih manis semulajadi...dan petua chef lagi keledek jangan diblend cuma dilenyek sahaja...Itulah rahsianya...Nak tahu apa lagi rahsia lain yang ada dalam kuah yang sedap nih...jommm...



Resepi KUAH MEE REBUS JOHOR
recipe : Chef Riz
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 300 gm daging kisar/udang segar ~iza guna daging batang pinang dan hiriskan nipis-nipis
  • 1/2 cawan udang kering, disangai & kisar halus
  • 5 sudu makan cili kisar (nak pedas lagi boleh tambah)
  • 2 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar
  • 1 kiub pati daging
  • 250 gm keledek oren, rebus & lenyek
  • 1/2 cawan air asam jawa
  • garam & gula secukup rasa
  • air secukupnya
  • minyak untuk menumis
BAHAN TUMIS :
  • 2 batang serai, dititik
  • 8 bunga lawang
BAHAN KISAR :
  • 3 labu bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 3/4 inci lengkuas
  • 1 biji buah keras
  • sedikit air


CARA PENYEDIAANNYA :
❀  Panaskan minyak. Masukkan bahan tumis. Bila dah naik sedikit baunya, masukkan bahan kisar dan tumis lagi.
❀  Masukkan pula cili kisar dan teruskan menumis sehingga bahan tumisan garing dan berbau harum.
❀  Seterusnya masukkan udang kering yang telah dikisar kering dan halus tadi. Goreng lagi.
❀  Masukkan daging, kacau-kacau sebentar. Terus masukkan rempah kari dengan serbuk ketumbar. Kacau goreng hingga sebati. Lalu masukkan air secukupnya. (kuantiti air terpulang ikut kepekatan kuah yang dikehendaki)
❀  Bila dah setengah didih masukkan kiub daging dan biarkan mendidih.
❀  Akhir sekali masukkan keledek yang dilenyek, air asam jawa,  garam dan gula secukupnya. Didihkan kuah hingga pekat.
❀  Setelah cukup rasanya bolehlah diangkat. Sedia untuk dihidangkan.



BAHAN SAMPINGAN YANG LAIN :
mee/mihun, dicelur
tauhu, digoreng & dihiris
taugeh
telur, direbus
bawang goreng
cili merah & cili hijau, dihiris
daun sup & daun bawang, dihiris


~~ Selamat Mencuba ~~
والسلام



5
Eggless Chocolate Chip Banana Bread

.... السلام عليكم


Maaf lah ya...hari ni lewat sikit mengentri. Dari pagi tadi sibuk sikit. Entah apa yang disibukkan pun tak tahu lah. Uruskan sana uruskan sini...tak sedar hari pun dah petang. Bila waktu dah semakin menginjak senja begini semangat nak mengupdate tu agak merundum sikit namun digagahi juga demi teman-teman semua...


Selalunya bila beli pisang payah benor nak habiskan. Dah macam tu pun masih tak serik-serik beli dan beli lagi. Pendeknya bila tak habis iza akan buat kek tak pun cekodok itu yang paling senang dan gerenti habis punya.

Kek pisang dah selalu...kali ni buat banana bread pulak lagipun resepi tak guna telur...laju jer ler...  Banana bread ni rasanya macam kek juga...cuma bila tergigit tu ada sikit-sikit rasa roti sebab adanya penggunaan wholemeal. Okeeyyy hari pun dah senja sangat dah ni. Apakata layan terus resepi...



ROTI PISANG COKLAT CIP tanpa TELUR
source  : Wana@Potret Kasih
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 140 gm (1 cup) tepung gandum 
  • 70 gm (1/2 cup) tepung wholemeal
  • 1 tsp baking powder
  • 1 tsp baking soda
  • 110 gm (1/2 cup) gula perang ( brown sugar )
  • 110 gm (1/2 cup) gula halus ( boleh kurangkan 1/4 cawan gula
    jika tak suka manis )
  • 1 1/2 tsp vanilla extract ~iza buh perisa butterscotch
  • 100 gm (1/2 cup) mentega
  • 4 biji pisang masak ( saya guna pisang montel ) ~iza guna pisang berangan
  • 1/2 cup  coklat cip


CARA PENYEDIAANNYA :
❀  Ayak tepung, baking powder dan baking soda ke dalam satu bekas.  Kemudian satukan dengan tepung wholemeal.  Gaul rata dan ketepikan.
❀  Di dalam food processor atau blender satukan pisang yang telah dilecek,  gula, vanilla dan mentega.  Kisar hingga hancur dan sebati.
❀  Satukan bahan yang telah dikisar tadi dengan campuran tepung hingga sebati.
❀  Kemudian masukkan coklat chip.  Gaul hingga rata.
❀  Masukkan adunan di dalam acuan loaf 9″ x 5″ yang telah dialas dengan kertas minyak dan dilenser dengan butter.
❀  Bakar dalam oven 180 darjah celcius selama 45 minit – 1 jam.


* jika pisang masak yang digunakan agak manis sila kurangkan gula kepada 3/4 cawan sahaja.
** Kalau nak lebih sedap...biar semalaman dulu barulah dipotong dan dimakan...kek akan lebih moist dan lembut jika di biarkan semalaman terlebih dahulu...


~~ Selamat Mencuba ~~
والسلام



4
Kuih Beko Kelapa

.... السلام عليكم


Salam bersua kembali...
Hari ini rutin anak-anak kembali seperti biasa meneruskan pembelajaran setelah seminggu bercuti.
Pada kaum ibu bapa, hari ini mungkin hari pertama memulakan tugasan setelah menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Semoga hari baru minggu baru ini mencetuskan semangat baru dalam diri untuk lebih maju dalam apa jua bidang yang diceburi...


Pernah dengar nama kuih beko? Kuih beko ni kuih tradisi negeri kelantan. Kalau kat perlis kuih ni dipanggil kuih dangai dan kat brunei dipanggil kuih rangin. Macam-macam nama kan...lain tempat lain nama panggilannya...namun ada apa pada nama... ;)   Biar seribu nama yang wujud, kuihnya lebih kurang sama kerana menggunakan bahan asas yang sama. Cuma yang membezakan kuih beko ada campuran air dan telur manakala dangai atau rangin tak ada.



KUIH BEKO / BINGKA KELAPA
recipe   :  Resepi Citarasawan
sharing :  Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 200 gm kelapa parut putih
  • 80 gm gula kastor
  • 150 gm tepung pulut 
  • 1 biji telur A - di pukul ringan 
  • 4 sudu besar air 
  • 1/2 sudu kecil garam 
  • 1/4 sudu teh pandan emulco - jika suka 

CARA PENYEDIAANNYA :
❀  Satukan kelapa parut, gula, garam dan tepung, gaul rata. Masukkan telur, pandan emulco dan air sedikit demi sedikit sambil di kacau rata. Adunan tidak cair atau terlalu pekat, kelihatan parutan kelapa bila di adun.

❀  Leser acuan baulu / cara dengan minyak. Kemudian panaskan di dalam oven hingga minyak betul-betul panas. (iza bakar dalam loyang muffin jer...)

❀  Keluarkan acuan, masukkan adunan hingga penuh. Bakar selama 20 - 30 minit di dalam oven pada suhu 200C atau hingga permukaan kuih keperangan.



Tengoklah bahan-bahannya...mudah kan...tak perlu modal yang banyak...semua dah memang tersedia di dapur. Cara membuat pun tak banyak kerenah...sambil pejam mata pun daahh boleh siap...hehe

Pertama kali menggigit kuih beko ni teringat pada sejenis kuih yang pernah makan masa tengah study dulu-dulu...suka sangat sampaikan jadi feberet. Tapi sayang tak tau nama. Apa yang pasti keenakan kuih itu masih lagi terbayang hingga sekarang. Masa berlalu...persoalan terjawab sudah. Kini ku temui semula kuih yang pernah jadi kegilaan ku suatu waktu dulu...memang tak syak lagi. Kuih ni sedap dimakan panas-panas. Apalagi lepas keluar daripada dulang pembakar. Di luar rasanya rangup di dalamnya lembap. Jangan risau...bila dah sejuk sekalipun kuih maintain lembut tak liat walau diperbuat daripada tepung pulut.


~~ Selamat Mencuba ~~
والسلام



8
Bingka Roti Kukus Pandan

.... السلام عليكم


Alhamdulillahi Rabbil’alamin...

Segala puji bagi Allah yang telah banyak memberikan ku nikmat. Limpahan nikmat yang tak terhitung banyaknya...nikmat sihat, nikmat iman, nikmat ihsan dan pelbagai nikmat yang lain.

Penuh Syukur ku panjatkan pada-Mu Ya Allah...Kau masih memberikan aku bonus waktu satu hari, hari ini...tiada yang dapat meneka apa yang akan terjadi satu detik kemudian, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam yang memberikan aku satu kesempatan yang cukup berharga...

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, rahmat dari sisi-Mu. 
Dengan rahmat-Mu Engkau menerangi hatiku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau mengumpulkan dan memudahkan urusanku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau balikkan sesuatu yang tiada dariku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau angkat kesaksianku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau sucikan amalku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau ilhamkan kedewasaanku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau kembalikan sesuatu yang hilang dariku. 
Dengan rahmat-Mu Engkau jaga aku dari segala keburukan.”

Amin Ya Rabbal'alamin....



Salam Manis...Salam Ceria buat semua pengunjung yang dikasihi...

Cuti persekolahan dah pun bermula. Ke mana agaknya hala tuju destinasi percutian anda di musim cuti kali ini? Biar ke mana jua destinasi anda diharapkan anda bersama famili ceria dan gembira...seriang segembira sang camar yang berterbangan.  Semoga percutian anda memberi sejuta pengertian bersama kuntuman memori indah. Hargailah setiap detik memori yang datang kerana tak mungkin detik itu akan berulang buat kedua kalinya. Sayangilah apa yang dimilikki sementara ia masih milik kita...


Okey lah, kali ni menu daripada roti mengambil tempat memenuhi ruang entri. Sesiapa kat dapur ada roti yang susah sangat nak habis apa kata try resepi ni. Bingka roti ni teramatlah sedapnya...nama jer bingka tapi rasanya macam puding...makan sejuk-sejuk lagi lah sedap...best sesangat...!!


BINGKA ROTI KUKUS PANDAN
recipe  : Notabilia
source : Ummi@Home Sweet Home
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 8-10 keping roti putih (akak guna 9 keping roti Gardenia - x perlu disiat kecil)
  • 200 ml santan - (akak guna santan kotak Kara je)
  • 200 ml air
  • 1 cawan gula (akak letak 3/4 cawan je gula kastor)
  • 4 biji telur - (akak buang tali pusatnya)
  • 1 sudu teh garam halus
  • 1/2 sudu teh pes pandan
  • 2 helai daun pandan - disimpul

CARA PENYEDIAAN :
❀  Dalam mangkuk besar, kacau bersama santan, air, gula, telur, garam dan pes pandan dengan menggunakan whisk sahaja.
❀  Kemudian rendamkan kepingan roti ke dalam adunan di atas dan biarkan sekurang-kurangnya 10 minit.
❀  Pindahkan kepingan roti yang direndam tadi ke dalam loyang bulat 8 inci (akak sapu dulu loyang dengan sedikit mentega). Tuangkan lebihan adunan juga ke dalam loyang.
❀  Letakkan daun pandan yang telah disimpulkan di atas permukaan roti tadi.
❀  Sediakan kukusan dan bila air mendidih, kukus bingka selama 15 - 20 minit. (akak balut penutup kukusan dgn kitchen towel agar air kukusan tidak menitis di permukaan bingka).
❀  Sejukkan pada suhu bilik sebelum dihidangkan. (Letak dalam fridge dan di makan sejuk pun sedap...)


~~ Selamat Mencuba ~~
والسلام



2
Kari TomYam Ikan Bawal

.... السلام عليكم


Setelah puas hujan membasahi bumi...
Sang suria menyembunyikan diri...
Hari ini sang suria kembali memancarkan sinarnya yang indah nan berseri sekali.
Syukur Alhamdulillah...


Kali ni iza mencuba resepi daripada seorang rakan Fb, Chef Arm. Anda tahu dan kenal siapa Chef Arm? Jika anda berkunjung ke kedai-kedai buku anda akan berjumpa dengan pelbagai buku-buku resepi hasil sentuhan idea beliau yang semuanya kelihatan enak-enak belaka.

Sebanyak 11 buah buku resepi beliau terbitan Buku Prima & Pts Milennia telah pun berada di pasaran. Selain menghasilkan buku,  beliau juga sering menyumbangkan resepi-resepi hebat beliau di majalah-majalah dan akhbar. Antaranya majalah Rasa, Seri Dewi & Keluarga, Saji, Maskulin, Wanita, Jelita dan majalah masakan The Cook, akhbar Harian Metro dan Berita Harian untuk tatapan pembaca.

Chef Arm juga turut mengajar kelas masakan, menjadi juri pertandingan dan seringkali juga menerima undangan mengadakan demonstrasi masakan di seluruh Malaysia. Beliau merupakan seorang Selebriti Chef Muda Tanah Air yang semakin melonjak naik yang mana pernah beberapa kali muncul sebagai pengacara di kaca TV dalam beberapa program masakan di TV3 dan TV9.


Beliau juga terlibat sama dalam menjayakan program TryMasak bagi mencipta Rekod Memasak Tanpa Henti dalam tempoh 24 jam bagi Malaysia Book of Record. Nak tahu lebih lanjut mengenai Chef Arm bolehlah lawati di Bidang Masakan Dunia Hidupku.

Tapi sebelum tu, intai-intailah resepi kari tomyam ikan bawal kat bawah tu yer...Rasanya ada sedikit kelainan...paduan rasa kari dengan tomyam. Jika nak tau bagaimana rasanya bila kari dikawinkan dengan tomyam...sudi-sudi lah mencuba...



KARI TOMYAM IKAN BAWAL
recipe by Chef Arm
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 2 ekor ikan Bawal Putih ~iza guna bawal hitam 
  • 2 sudu besar minyak masak 
  • 2 sudu besar Pes Tomyam 
  • 1 sudu besar Serbuk kari 
  • 1 sudu besar Serbuk Pati Ayam 
  • 100 ml Santan ~iza buat santan pekat 1/2 cawan 
  • 300 ml Air ~iza buat 1 1/2 cawan 
  • 1 sudu teh Gula Pasir 
  • 5 batang Kacang Bendi ~iza ganti dgn 1 biji terung bulat 
  • 2 biji Tomato, dipotong berbaji 
  • 1 biji Bawang Besar, dipotong berbaji


CARA PENYEDIAANNYA :
❀  Campur gaulkan serbuk kari dengan sedikit air untuk menjadikannya pes & ketepikan.
❀  Panaskan 2 sudu besar minyak masak dalam kuali. Tumis pes tomyam bersama pes kari sehingga naik bau.
❀  Tuangkan air & didihkan.
❀  Taburkan serbuk pati ayam, bendi, tomato, bawang besar dan sedikit gula.
❀  Kemudian masukkan santan dan ikan bawal. (jika nak kuah lebih pekat...lebihkan kuantiti santan, kurangkan kuantiti air)
❀  Reneh sehingga ikan masak dan hidangkan panas-panas.

Selamat Mencuba...

والسلام





7
Ayam Harum Thai

.... السلام عليكم


Masa iza tulis entri semalam cuaca cerah jer tak nampak tanda-tanda akan turunnya hujan.
Namun kuasa Allah melebihi segala. Bermula seawal jam 5 petang semalam hujan dah mula turun membasahi bumi KL dengan begitu lebat sekali tanpa henti hinggalah ke malam...dan bersambung semula jam 7 pagi tadi sehinggalah jam 9.

Ekoran hujan lebat beserta ribut yang melanda Lembah Klang lebih tujuh jam itu menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di ibunegara, di ikuti kejadian tanah runtuh berskala kecil di kawasan cerun bukit serta kejadian pokok tumbang. Kejadian-kejadian seperti ini dah tak asing lagi pada warga KL...pantang hujan sikit pasti inilah yang berlaku...Apa nak buat kann mengeluh panjang pun tak baik juga. Sebaiknya redha dan pasrah seadanya...


Hari ni iza masak menu ayam. Ikut kata kak Ummi, dalam resepi asal ayam ni tak digoreng tapi biasalah sifoo kan adjust sana adjust sini terus anak murid pun ikut la jugak...hihihi...
Apa-apa pun memang kelas lah ayam masak style gini...
Harum dengan aroma daun limau...Sedap dan berselera sungguh...
Thanks kak Ummi... 



AYAM HARUM THAI
recipe  : TryMasak
source : Ummi@Home Sweet Home
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1/2 ekor ayam (dipotong kecil/ikut suka), dibersihkan
  • 2-3 batang serai, dititik
  • 4-6 helai daun limau purut 
  • 2 biji lada benggala - belah 4 ~iza guna cili hijau & merah
  • gula dan garam secukup rasa
  • 4 sudu besar minyak untuk menumis
BAHAN A (dihiris nipis/ditumbuk) :
  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
BAHAN B (dicampur, jadikan sos) :
  • 3 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar pes tomyam
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 1 biji limau nipis - ambil jusnya
  • daun sup - dihiris halus-halus



CARA MENYEDIAKAN :
❀  Gaul ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Gorengkan sekejap sekadar separuh masak saja. Angkat dan ketepikan.
❀  Tumiskan bahan A sampai wangi. (bahan A ni iza tumbuk)
❀  Masukkan bahan B dan kacau rata dan naik bau wangi.
❀  Masukkan ayam, serai dan daun limau purut.
❀  Masak dengan api perlahan dan gaul sekata.
❀  Masukkan lada benggala dan bila ayam telah masak, tutup api.
❀  Hidangkan dengan nasi putih panas-panas.


Selamat Mencuba...

والسلام





10
Puding Kentang


.... السلام عليكم


Selamat Petang...
Di Ampang hari ni nampaknya cuaca baik dan cerah gitu...
Tak macam semalam sepanjang hari mendung...petang pula mencurah hujan.
Kalau dah hujan sessi fotografi terpaksalah ditangguh dulu tidak pun dibatalkan terus andainya cuaca tidak mengizinkan langsung. Maklumlah iza ni bukan lah pro...ibarat bayi yang baru nak merangkak, masih mentah dan masih terlalu lalu banyak lagi yang perlu dipelajari tentang seni fotografi.


Kalau dah cuaca panas dan kering macam ni menu apalagi yang sesuai kalau tak menu puding.
Lama juga tak memuding. Hari tu banyak beli kentang sebab dah plan nak buat puding ni dari minggu lepas lagi. Tapi asik tertangguh-tangguh. Hari ni ada free sikit dapatlah buat puding idaman ni...


Akhirnya puding yang diidamkan berhasil sudah...
Impian kini menjadi kenyataan...
Dapat menikmati puding yang sedap, lembut dan lemak manis...



PUDING KENTANG
source : MyResepi
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 peket agar-agar
  • 4-5 biji kentang sederhana besar
  • 2 biji telur
  • 1 tin susu cair
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1 sudu teh garam
  • 1 1/2 cawan gula (boleh tambah/kurang)
  • 5 cawan air

CARA MENYEDIAKAN :
❀  Kupas kentang, kemudian potong 4 dan rebus. Bila dah empuk, tutup api, tos dan ketepikan.
❀  Masak agar-agar dengan air hingga hancur. Masukkan gula, masak lagi hingga gula hancur.
❀  Sementara itu, masukkan kentang, telur, santan pekat, susu cair, esen vanila dan garam ke dalam blender. Blend hingga hancur.
❀  Masukkan kentang yang diblend tadi ke dalam agar-agar tadi sambil dikacau di atas api yang kecil.
❀  Kacau dalam 2 - 3 minit...tutup api, tuang puding ke dalam loyang dan sejukkan. Kemudian masukkan ke dalam peti sejuk.
❀  Boleh diwarnakan/dimarblekan jika suka. Jika nak marblekan, sendengkan (tinggikan sebelah) loyang. Kemudian ambil 2-3 senduk adunan puding, tuang dlm loyang. Lepas tu ambil lagi 2-3 senduk lagi adunan warna yang lain, tuang ke dasar loyang yang senget tu. Teruskan dengan warna-warna yang lain. Buat sampai abis. Bila dah habis ratakan semula loyang dan lorek-lorekkan supaya nampak bercorak.

Selamat Mencuba...

والسلام





3
Roti Sardin Goreng Rangup

.... السلام عليكم


Allah SWT memerintahkan kita agar tidak membazir. Membazir adalah saudara Syaitan, orang membazir dibenci Tuhan. Manusia pembazir, rezeki mereka akan menjadi saksi di akhirat terhadap pembaziran mereka di dunia. Pendeknya, membazir boleh menjadi punca seseorang masuk neraka, wal i’yazubillah.

Bersesuaian mukadimah tersebut, menu kitar semula mengisi ruang entri untuk hari ini. Menu ringkas ini boleh disajikan pada waktu sarapan, minum petang ataupun sebagai snack untuk anak-anak.


Di dapur ada roti yang hampir nak expired. Rakyat rumah ni usahkan nak makan jeling pun tak mau. Jadi sebelum roti-roti tu berkulat eloklah iza buatkan sesuatu. Sememangnya banyak resepi mengunakan roti. Memandangkan dah lama tak buat roti goreng rangup maka iza pilih yang ini.

Dulu sebelum ada blog dah pernah buat tapi guna kaya sebagai inti. Memang sedap dan rangup terutamanya tika panas-panas. Kali ini iza gunakan lebihan lauk sardin sebagai inti. Sebagai tambahan iza tambahkan dengan potongan bawang dan cili ke dalam sardin.
Hasilnya selepas digoreng...wallaah...sedap dan rangup sekali...

Rasanya dah ramai tahu resepi ni...
Tapi tak apalah iza nak kongsikan juga sebagai rujukan...



ROTI SARDIN GORENG RANGUP
adapted from Roti Goreng Rangup@Hasue
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 1/2 cawan air
  • 2 sm marjerin
  • 1 sudu kecil garam dan gula (gula bukan sebagai perasa tapi nak bagi kuih sedikit berkilat)
  • sedikit pewarna kuning
  • 8 keping roti
  • secukupnya Inti Sardin
  • sedikit bancuhan tepung - sebagai gam

CARA MENYEDIAKAN :
❀  Di dalam bekas, satukan tepung bersama marjerin, garam dan gula. Bancuh dengan air (nak senang guna whisk ya...). Warnakan kuning dan ketepikan.
❀  Untuk roti : Ambil sekeping roti, canai sehingga agak-agak nipis. Potongkan pada dua bahagian. Ambil satu bahagian isikan dengan sedikit inti. Basahkan keliling dengan gam. Lipatkan dua dan tekan sekeliling dengan garfu. Buatlah sehingga habis.
❀  Panaskan minyak di dalam kuali untuk menggoreng.
❀  Celupkan roti tadi ke dalam adunan tepung dan goreng segera sehingga keperangan. Sedap dimakan masa panas-panas...


Selamat Mencuba...

والسلام





8
Bingka Cempedak


.... السلام عليكم


Memulakan warkah bisu ini, Iza nak uji minda anda dulu dengan satu teka teki...bolehhh?
Okey dah sedia..? Teka tekinya berbunyi, katakan jika sebuah pulau terbakar, segala yang ada di pulau tu semuanya musnah hangus dijilat api tiada satupun yang berjaya diselamatkan...Tapi ada tiga jenis buah yang terselamat daripada kebakaran tersebut...Apakah tiga jenis buah yang terselamat itu? Fikir fikirkan...Ada yang dah dapat jawapan? Sama tak dengan jawapan kat bawah...

Tiga jenis buah tu ialah buah cempedak, buah keranji dan pisang emas...hehehe...
Sebab apa tau...sebab buah tu ada kena mengena dengan pantun warisan yang pernah kita duk belajar masa sekolah sekolah dulu. Ingat lagi dengan pantun buah cempedak di luar pagar, buah keranji dalam perahu dan pisang emas dibawa belayar. Sebab itulah buah tu jer yang terselamat daripada terbakar... Saja gurau-gurau hari Isnin...kalau asik-asik resepi jer bosan pulak, ye dak :)


Cempedak biasanya bermusim. Cempedak boleh dimakan segar, digoreng, dijadikan jem juga boleh dijadikan kuih, kek dan puding. Salah satu kuih yang sedap menggunakan cempedak sebagai bahan utamanya ialah kuih bingka ni. Mula-mula buat tu buat setengah resepi jer...tak sempat nak bergambar...daahh habis licin. Ini buat lagi untuk kali kedua. Memang sedap laahh bingka ni...aroma kuih pun harum jer. Bau cempedaknya tu yang buat bingka ni sedap...bila dah makan sekali susah nak stop...gerenti nak lagi...lagi dan lagi. Apa lagi jom lah kita semak resepi...



BINGKA CEMPEDAK
recipe : Chef Aini Salim
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 300 gram isi cempedak (kisar)
  • 240 gram tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 650 gram santan
  • 150 gram gula (jika cempedak manis, boleh kurangkan gula)
  • 80 gram mentega (cairkan)
  • 1/2 sudu teh pewarna oren (jika perlu)
  • 1/2 sudu teh garam


CARA MENYEDIAKAN :
❀  Satukan cempedak, santan, gula dan kisar hingga lumat.
❀  Satukan tepung, telur dan garam dalam sebuah bekas. Tuangkan bahan yang dikisar dan gaul sebati.
❀  Masukkan mentega cair dan pewarna oren. Kacau lagi hingga sebati dan tepung tidak bergentel-gentel.
❀  Sapu mentega pada loyang berukuran 20cm x 20cm x 7cm dan alas kertas. Sapu mentega lagi. Kemudian tuang adunan ke dalam loyang.
❀  Bakar dalam ketuhar bersuhu 160C selama 45 min hingga 60 minit atau sehingga bingka betul-betul masak dan garing permukaannya.

Selamat Mencuba...
والسلام





3
Kek Pisang ...

.... السلام عليكم


Petang-petang macam ni dengan cuaca yang suram, kalau dapat makan goreng pisang...tak pun cekodok pisang...lawan pulak dengan teh O panas atau nescafee panas...emmm...sedapnya...alamat makan tak toleh kiri kanan dah...hehe.

Pagi tadi masa sambil-sambil masak untuk lunch sempat lah godek-godek kek pisang ni. Tak plan pun nak buat. Tapi bila tengok pisang kat dapur tu dah ranum sangat...tu yang buat...maka terhasillah kek pisang sebagai juadah untuk minum petang ini. Lagipun buatnya tak lah susah mana...masuk blender tekan suis...kacau-kacau...tuang dalam loyang dan bakar...siapp...

Jomm jemput...kita minum petang sekali, sambil mengunyah kek pisang yang sedap nih... :)



KEK PISANG
recipe  : kak besah@MyResepi
sharing : Iza Akma SSK



BAHAN-BAHAN :
  • 3 cawan (300gm) tepung gandum
  • 2 cawan pisang lecek/lenyek
  • 1 1/4 cawan (230gm) minyak masak
  • 1 cawan (200gm) gula pasir ~iza buat 180gm je
  • 4 biji telur
  • 1 1/2 sudu besar soda bicarbonate
  • secubit garam
  • 60 gm blackcurrant ~yg ini iza tambah

CARA MENYEDIAKAN :
❀  Lenyekkan pisang (jangan diblend nanti tak nampak jalur2/urat2 pisang pada kek...tak cantik). Campurkan soda bicarbonate & lenyek lagi hingga pisang berbuih...(jika soda berketul, ayak dengan penapis teh terus ke dalam pisang).

❀  Blend telur & gula (guna blender cili je) hingga berbuih & gula hancur. Kemudian masukkan minyak dan blend lagi dalam 5 saat. Selepas tu campurkan bahan yang diblend tadi dengan pisang, gaul dengan senduk. Akhir sekali campurkan tepung sambil digaul sebati...jangan diblend ya, guna senduk saja.

❀  Masukkan ke dalam acuan yang telah disapu minyak/majerin, serta telah dipanaskan terlebih dulu. Bakar dengan suhu 180'c selama lebihkurang 40 minit. Biarkan betul-betul sejuk sebelum dipotong. Kek akan bertambah gelap dengan jalur-jalur pisang yang ketara.


Pesan kak Besah :
* soda bicarbonat tu bubuh la dalam 1/2 sudu besar campur 1/2 sudu teh atau 2 sudu teh penuh
* kalau tak nak guna banyak soda, boleh bubuh 1 sudu makan saja soda dicampur 1/2 sudu besar baking powder
* nak dapatkan urat-urat yang banyak, gunakan pisang awak/abu/nipah...dengan syarat pisang tu betul-betul ranum
* kalau nak lagi mengancam boleh tambah 1 sudu kecil esen pisang

Selamat Mencuba...Insyaallah tak kantoi...

والسلام