20
BISKUT COKLAT CHIPS RANGUP


.... السلام عليكم


Dah jadi kebiasaan, baik raya puasa mahupun raya haji....biskut tetap kena ada selain juadah-juadah yang lain. Tapi untuk raya haji selalunya cuma buat biskut yang simple-simple jer....yang penting sedap dan menjadi kegemaran seisi rumah.

Untuk biskut iza lebih suka guna marjerin planta berbanding marjerin jenama lain. Ini kerana dengan planta   akan buatkan kuih, biskut dan kek tu harum semerbak dengan rasanya yang sedap dan lebih lemak berkrim. Teringat nostalgia zaman kecil-kecil dulu, samada musim raya atau tidak stok planta wajib sentiasa ada. Setiap bulan bila bonda menyenaraikan barang keperluan dapur yang perlu dibeli....marjerin planta pasti tak ketinggalan. Kalau nak raya pulak jangan cakaplah, bonda siap beli marjerin planta tin hak paling besar sekali tu untuk buat biskut dengan kek. Usahkan kek biskut....apa saja kuih yang menggunakan marjerin pasti bonda akan gunakan planta....even sapu atas roti pun guna planta.




Itu cerita dulu....cerita hari ni lain pula. Dek tertarik dengan iklan dan promosi yang masing-masing duk canang produk mereka....pernah jugaklah iza curang sekali dua....cuba-cuba tukar jenama....tapi akhirnya balik semula guna asal. Bukan nak kata jenama lain tak bagus tapi sebabnya lidah ni yang sebati sangat dah dengan rasa planta. Walaupun harganya sikit mahal berbanding jenama lain namun ia tetap menjadi pilihan kami sekeluarga....punyalah setianya kami dengan planta hinggalah ke hari ni....jangan mare jenama lain-lain tu yer.

Begitulah istimewanya planta pada kami. Jika sebelum ni tradisi menggunakan planta iza warisi daripada bonda tapi tradisi kesetiaan tu kini turun pula pada anak-anak. Ehhh....banyak pulak celotehnya....jomlah iza nak cerita sikit pasal biskut ni lak.




Biskut ni merupakan resepi Datuk Redzuawan Bin Ismail atau lebih dikenali seantero dunia dengan panggilan Chef Wan. Resepi iza tukil daripada buku masakan beliau " Juadah Manisan Istimewa" yang menghimpunkan lebih daripada 200 resepi dessert dan pastri. Koleksi resepi yang terkandung dalam buku tersebut sesuai sekali dihidangkan sebagai sarapan, minum petang bersama keluarga, rakan-rakan atau untuk memeriahkan sesuatu majlis istimewa.

Kesedapan biskut ni memang dah dijangka kerana resepi-resepi chef Wan selalunya tidak mengecewakan. Warna biskut choc chips ni akan jadi kehitaman setelah masak walau hanya menggunakan serbuk koko biasa....so tak perlulah nak gatai-gatai tangan duk tambah coklat emulco ya....rasa coklatnya semua dah cukup di situ. Ditambah lagi dengan kerangupannya membuatkan biskut ni sungguh enak untuk dinikmati oleh sesiapa saja, di mana jua. Dengan sekelip mata gerenti akan boleh habis sebalang. Tak caya....cubalah....

Resepi BISKUT COKLAT CHIPS
:: by Chef Wan Ismail
source : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
  • 1 cawan mentega tanpa garam
  • 1 cawan gula kastor > iza sukat 3/4 cwn jer
  • 1/2 cawan mampat gula perang gelap > iza sukat biasa jer...tak mampatkan pun
  • 1 biji telur
  • 1 sudu teh esen vanila
  • 1/3 cawan serbuk koko
  • 2 sudu besar susu segar
  • 1 3/4 cawan tepung gandum >  iza guna cookies flour
  • 1/4 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 cawan kacang pecan atau walnut ~ dicincang > guna whole almond...tu jer stok yg ada...bakar & cincang kasar
  • 70 gm buah kurma ~ dicincang
  • 1 cawan coklat chip separuh manis > guna dark coklat chip

Caranya :

Dengan mesin pengadun putar mentega pada kelajuan tinggi. Campur esen vanila dan kedua-dua jenis gula dan pukul sehingga gebu. Masukkan telur. Kurangkan kelajuan ke paras rendah, masukkan koko sambil dipukul diikuti dengan susu.

Di dalam mangkuk lain, gaulkan tepung dengan baking soda sehingga rata menggunakan senduk kayu. Campurkan kekacang, kurma dan coklat chip, kacau rata-rata. Masukkan ke dalam adunan mentega dan adun rata-rata.

Bulat-bulatkan adunan dengan sudu teh. Atur di atas dulang pembakar. Bakar pada suhu 175C selama 12-13 minit atau ikut suhu oven masing-masing. Sejukkan biskut selama 2 minit sebelum diangkat dari dulang pembakar.
choc chips cookies sedang berposing....
dengan warna kehitamannya yang menawan kalbu....


2
KARI KETAM KERALA


.... السلام عليكم

Dah lama rasanya tak masak ketam. Walaupun iza bukan peminat ketam tapi orang-orang kat umah ni hantu ketam jadi sesekali tu kenalah masakkan juga favorite dish mereka tu....bukan selalu pun.

Minggu lepas pergi pasar cari ketam takde pulak jual. Bila time berkehendak sangat, bayang ketam pun tak nampak....bila tak nak....banyak pulak adanya....tapi itu lah time ketam berlonggok-longgok kat pasar....kita ni lak jual mahal tak mahu beli....kononnya keinginan nak beli dan masak ketam tu tak mai lagi. Kalau kat pasaraya tu usah ceritalah....setiap kali pergi ada memang ada jer....tapi iza ni lebih suka beli yang kat pasar sebab lebih fresh....lagipun dah biasa dengan tokeh tu....boleh dapat harga murah sikit.

Kepingin sangat nak masak ketam versi lain cam gini. Akhirnya bertemu jua hajat di hati....semalam pergi pasar baru nampak bayangnya si ketam....apalagi laju jer langkah tuju ke situ. Biasa beli ketam, masak sambal paling tak pun masak lemak cili api. Tapi kali ni iza nak bawa u alls untuk merasai satu menu ketam yang tidak kurang juga hebatnya.




Rasa ingin mencuba tu datang setelah menonton rancangan Selera@TV3 yang dihoskan oleh Chef Rose. Resepi ni agak istimewa kerana ramuan yang digunakan serta cara memasaknya lain dari yang lain. Masakan kari ni tak langsung guna rempah instant tu tauu....hanya menggunakan rempah ratus yang ada kat dapur jer.. Namun rasanya wallaaaah....!!

Nak tau rasanya? Cer lihat namanya betul-betul....Kari Ketam Kerala. Di hujung namanya siap tertulis lagi perkataan Kerala. Dalam peta dunia, Kerala tu  terletak di south-west India....of course rasanya akan-akan masakan india laa kan. Inilah kari ketam yang sungguh-sungguh enak tak terkata sedapnya....dengan kuahnya yang pekat lagi kaya dengan rasa rempah ratusnya yang asli. Best wooo....power....i tell u.

Tq, chef Rose....your curry ketam is so so marvellous....Two-thumbs up!!
Jomlah....apa tunggu lagi....sure semua dah tak sabar nak tahu macam mana memasak kari ketam yang sedap ni kann. Moh kita....



Resepi KARI KETAM ALA KERALA
:: by Chef Rose
source : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
  • 1 kg ketam
  • 1 biji bawang besar ~ dihiris
  • 4 ulas bawang putih ~ dihiris
  • 1 inci halia ~ dihiris halus
  • 4 biji buah tomato ~ dihiris
  • 3 biji cili hijau ~ dihiris
  • 1 sdb serbuk cili
  • 1 sdb serbuk kunyit
  • 1 sdb serbuk ketumbar
  • 300 ml air
  • sedikit santan pekat
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa (jika perlu sahaja)

Bahan Pes Rempah :
  • 1/2 cawan kelapa parut
  • 1 sdb serbuk cili
  • 1 sdb serbuk kunyit
  • 1 sdb serbuk ketumbar
  • 3 tangkai cili kering

Bahan Tumis Darat :
  • 2 sdb biji sawi
  • 1 genggam kecil daun kari
  • 4 tangkai cili kering ~ dipotong serong
  • 100 ml minyak masak


Caranya :

Terlebih dahulu sediakan bahan untuk pes rempah:-
Sangai kelapa parut lebih kurang 8 minit atau sehingga kekuningan. Kemudian masukkan serbuk cili, serbuk kunyit, serbuk ketumbar dan cili kering. Teruskan menyangai untuk selama beberapa minit sehingga berbau harum. Selepas itu, tumbukkan bahan tersebut sehingga menjadi kerisik dan pecah minyak. Ketepikan.

Panaskan minyak. Tumiskan hirisan bawang, bawang putih dan cili hijau. Bila dah layu sikit, masukkan hirisan halia. Teruskan menumis sehingga bangkit bau.

Masukkan bahan kerisik yang ditumbuk tadi bersama dengan 1 sdb serbuk kunyit, serbuk cili, dan serbuk ketumbar. (jika masa ini tumisan terlalu pekat dan kering ....tambahkan sedikit air) Teruskan menumis untuk beberapa minit.

Dah harum, masukkan ketam dan balik-balikkan ketam tersebut agar serata dengan rempah tumisan. Setelah ketam berubah warna, masuk air dan hirisan buah tomato serta garam. Bila dah separuh didih, masukkan santan dan masaklah hingga kuah pekat atau ikut kepekatan yang disukai. Rasakan garam dan tambahkan gula jika perlu sebab rasa manis ketam akan turun ke kuah. (iza masukkan air anggaran 2 cawan....sebab iza nakkan lauk tu berkuah....santan pula iza guna santan kotak jer anggaran 1/4 cawan....kalau tak nak guna santan pun boleh sebab kuahnya memang dah pekat)

Sementara itu untuk menyediakan tumis darat; panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan bahan-bahan tumisan darat hingga harum. Dan tuangkan ke dalam kari tadi. 



2
MEREBUT KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH


.... السلام عليكم


Bulan Zulhijjah menjengah lagi. Mungkin tak ramai di kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama. Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (al-Taubah:36)

Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Bulan-bulan haram ini memiliki keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya.


Kita kini memasuki 1 Zulhijjah 1433H, bulan mulia yang banyak kelebihannya. Bulan Zulhijjah merupakan kemuncak bulan-bulan haram. Dan kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama yang di dalamnya banyak kemuliaan dan keutamaan. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh.

Maka seorang Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkannya dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah Taala di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar. 10 hari pertama di bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat mulia dan penuh barakah.



AMALAN-AMALAN BAIK YANG DIANJURKAN PADANYA.

    SOLAT, HAJI dan UMRAH. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu." [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.

Menunaikan ibadah haji dan umrah merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya, Sabda Nabi SAW : "Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga".


 2    PUASA. Disunatkan berpuasa sejak hari pertama hingga ke-9 Zulhijjah. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.


 3    TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Rasulullah SAW juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Ini kerana hadis Ibnu Umar mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ))

[رواه أحمد 5446-صحيح]

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. [HR Ad-Darimi- Hasan].
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر.
لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.


 4    PUASA PADA HARI ARAFAH. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah SAW.Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]

Maksudnya: “Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” [HR Muslim].


Berpuasa pada hari Arafah itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari tersebut.

Walau bagaimanapun puasa ini hanyalah disunatkan untuk orang yang TIDAK mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.


 5    MEMPERBANYAKKAN AMALAN soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pahalanya pada hari-hari tersebut.

Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya." (Muttafaq ‘alaihi).

Sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat lain.


 6    Disyariaatkan IBADAH QURBAN (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ibadat qurban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail AS kerana taat akan perintah ALLAH SWT. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak ALLAH SWT maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, ALLAH gantikannya dengan seekor kibas.

Daripada Aisyah RA Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu." (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Zaid bin Arqam berkata: "Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim." Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan." Mereka bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda : "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berqurban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya",

Bagi sesiapa yang berniat melaksanakan ibadah qurban, maka disunatkan baginya untuk tidak memotong kuku dan bulu di tubuhnya hingga ia menyembelih haiwan qurbannya. Menurut ulama, anjuran itu bertujuan agar seluruh bahagian tubuhnya (termasuk kuku dan bulunya) bebas dari api neraka apabila Allah mengampuni dosanya ketika pertama kali darah haiwan qurban menitis ke tanah. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan qurban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.


 7    KELEBIHAN HARI RAYA QURBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZULHIJJAH. Kebanyakan orang Islam lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).

Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan.

Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

Disyariaatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.


Kesimpulan:
Disunatkan berpuasa selama 9 hari dari 1 hingga 9 Zulhijjah, jika tidak mampu puasalah berapa hari yg mampu, atau paling kurang pada hari ke 9. Jika tidak mampu melakukan semua, janganlah tinggalkan semua. Begitu juga dengan amalan-amalan lain yang dianjurkan di atas.
Ibadah solat, puasa dan zikir yang dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini ganjaran pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain. Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: Solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.


Sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan bahagian dari nikmat Allah yang besar atasnya. Hanya orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikan segera untuk menghormatinya dengan semestinya. Dan kewajiban seorang Muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah Taala atas hamba-Nya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan kepelbagaian bentuk ketaatan agar semangat seorang Muslim sentiasa berpegang teguh di atas jalan-Nya, tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Allah.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Sekian, wassalam.



12
KEK KUKUS VELVET HAWFLAKES


.... السلام عليكم


Bertemu kembali. Dah sebulan blog tak berupdate. Sebulan dua ni pergerakan blog SSK agak slow sikit. Muncul dua tiga kali ....pas tu terus tenggelam sedalam-dalamnya....tak timbul-timbul....




Sebulan hilangkan diri. Mula-mula tu ingat nak rest sekejap jer....bagi laluan Puteri menduduki upsr. Mungkin ada yang berbisik....apa kena mengena anak periksa dengan cuti blogging. Ada kena mengenanya dek non....jangan tak tau. Hanya yang dah jadi ibu saja tau kenapa dan mengapa. Naluri semulajadi seorang ibu akan mengharapkan kejayaan setiap anaknya tapi disebalik hatinya bertandang rasa resah, gelisah, risau....membuatkan si ibu apa buat pun serba tak menjadi. Tanyalah pada semua ibu....pasti itulah yang dirasakannya....satu perasaan yang sememangnya tak boleh dinafikan....walaupun dah berkali-kali melaluinya.




Setelah habis upsr....ingatkan bolehlah start balik blogging....tapi bermacam pulak halangan yang datang tanpa diundang selain keadaan kesihatan yang tak mengizinkan. Apa nak buat....sabar jer lah....terima dengan penuh redha....kerana Dia lebih mengenali seseorang hamba itu daripada dia mengenali dirinya sendiri. Semuanya itu sedikit sebanyak merentap semangat yang ada....sekaligus membantutkan terus mood mengupdate blog.




Selama SSK senyap sunyi dari sebarang entri, dilihat pengikut makin bertambah dari sehari ke sehari....begitu juga mereka yang sudi 'Like' blog SSK....TQVVM pada u alls yang ikhlas menyokong dan menolong menaikkan rating blog ini. Dan pada mereka yang dah mencuba mana-mana resepi daripada sini....terima kasih banyak-banyak kerana terbuka hati untuk mencuba. Alhamdulillah feedback yang diterima setakat ini semuanya positif....terima kasih sekali lagi.




Sebagai pembuka tirai, jom sama-sama kita lihat resepi yang sungguh lah marvellousnya, kek yang gebu, ringan, lembut....bila tergigit tang asam manisnya waduhhh enak banget sih....Pastinya tip top! Cubalah gerenti tak cukup dengan hanya sekali buat....pasti ingin buat lagi, lagi dan lagi....



Resepi KEK KUKUS VELVET HAWFLAKES
source of rcp : Kak Fida @ MyR
tested            : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan (loyang 10x7):
  • 5 biji telur grade A (yg sejuk dr peti ais)
  • 225 gm gula halus (1 cwn rata + 2 sb rata)
  • 220 gm tepung gandum* (2 cwn rata)
  • 1 tsp rata baking powder*
  • 1 tbsp ovalette ~ 20gm
  • 150 ml susu cair
  • 1/2 tsp garam
  • 100 ml minyak jagung / masak
  • 1 tsp esen vanilla
  • pewarna merah, kuning, hijau dll ikut suka
  • secukup hawflakes (akak gunakan yg sebesar syiling 50 sen)

Caranya :

❀   Ayak tepung dan baking powder kemudian campur kesemua bahan-bahan di dalam mangkuk mixer kecuali minyak, hawflakes dan pewarna.
❀   Pukul adunan hingga sebati dan gebu. Masukkan minyak jagung / masak dan digaul dengan senduk atau spatula hingga sebati.
❀   Loyang dialas kertas dan sapu minyak. Ratakan adunan pertama dan susun secukup hawflakes dipermukaannya dan kukus selama 5-7 min dalam kukusan yg telah dipanaskan dulu.
❀   Buat hingga habis lapisan seterusnya dan susun hawflakes dan kukus.Untuk lapisan yang akhir kukus selama 20 min supaya kek masak keseluruhannya.


Nota :
**untuk membahagikan sama rata setiap lapisan akak ambil 4 senduk lauk dan dibahagi kpd 5 mangkuk dan warnakan. Untuk lapisan terakhir susun hawflakes jika suka. Setelah kek masak, biarkan di dalam loyang selama 10 min kemudian dibalikkan di atas redai kek supaya sejuk.

**untuk membuat kek lapis perisa choc dan choc chip...adunan dibahagi dua dan bubuh 2 tbsp serbuk koko yang dicampur air atau 2 tsp choc paste pada 1 bahagian adunan.Tabur choc chip padd lapisan putih ketika mengukus.