3
SERIMUKA DURIAN


.... السلام عليكم


Sejak cuti sekolah ni, SSK asyik tenggelam timbul jer kann....(elehh,,tak cuti sekolah pun cam tu jugak....sama aje).  Biasalah tuu....selagi cuti sekolah belum habis, selagi itulah agenda jalan-jalan makan angin belum tamat. Minggu lepas, suami ajak pi cuti lagi....tak jauh mana....pi Lumut jer. Balik dari situ, sibuk pulak buat persiapan beli barang keperluan dan baju sekolah anak-anak. Sampaikan nak update dapur maya ni pun tak dan. Nak buat lagu mana....kenalah dulukan urusan keluarga....kalau tak nanti ada pulak yang merajuk....lagi haru teman dibuatnya....dah la bab pujuk memujuk nih teman fail....hahaha. Ni pun masih rasa macam dibuai-buai lagi nih....rasa lemau nak hadap lappy pun ada....mungkin sebab terlebih sedut angin laut lar kot jadi lemau cam gini ....hihihi.




Sekarang tengah musim durian. Sana-sini jual durian. Teringin pulak rasanya tekak ni nak makan kuih serimuka durian. Cakap pada suami belikan durian. Sebab nak buat kuih aje kan, jadi soh beli durian biasa-biasa jer. Sekali dia beli Musang King sebab katanya dia ngan anak-anak teringin jugak nak makan durian. Iza pun ok jer....lagi lah bagus dapat musang king....dah la isinya tebal, baunya....adoii menusuk ke hidung wangi sungguh.

Resepi ni masuk list dah lama....dari tahun lepas lagi. Bila dah dapat durian, terus cari balik resepi. Masa kuih ni sedang dikukus, semerbak sungguh seisi ruang rumah dengan haruman durian. Dah siap masak, rasa macam nak terus aje potong dan ngap (macam orang mengidam la pulak)....Sabar jer lah. Empat jam menunggu, gumbira rasa hati....hajat kesampaian. Sambil potong sambil ngap. Memang best sangat-sangat kuih serimuka nih. Rasa duriannya power habis....ye lah musang king kan sure sedap. Tambah lagi dengan aroma gula merahnya....paduan rasa yang sungguh menyerlah bagai pinang dibelah-belah.

KUIH SERIMUKA DURIAN
recipe by Chef Asma ~ Majalah RASA Okt 2011
source : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :

Lapisan Bawah :
500 gm beras pulut
300 ml santan pekat
300 ml air
2 sudu teh garam


Lapisan Atas :

Bahan A :
300 gm gula merah (atau boleh digantikan dgn gula melaka)
50 gm gula pasir
500 ml air
2 helai daun pandan ~ disimpul

Bahan B :
150 gm tepung gandum
250 ml santan pekat
1 sudu teh garam

Bahan C :
100 gm isi durian
5 biji telur


Caranya :

Untuk lapisan bawah, rendam beras pulut selama empat jam. Basuh dan toskan.

Kemudian kukus beras pulut tadi bersama santan pekat, air dan garam selama 30 minit.

Apabila sudah masak, pulut ditekan padat ke dalam loyang dan biarkan dalam kukusan sementara menyiapkan untuk lapisan atas.

Untuk menyediakan lapisan atas pula, masak bahan A sehingga gula larut dan tapiskan.

Kemudian satukan bahan B, kacau sehingga sebati dan campurkan bahan A. Tapiskan dan masukkan ke dalam periuk.

Untuk bahan C pula, kisar isi durian bersama telur sehingga hancur dan masukkan ke dalam periuk. Didihkan sehingga naik wap dan tuangkan ke atas lapisan pulut tadi.

Kukus selama 30 minit.


Nak buat satu resepi takut tak terhabis. Jadi iza telah olahkan sikit untuk disesuaikan dengan keluarga iza yang kecil ni....yang mana muat untuk loyang 7inci bulat dengan sedikit penambahan pulut hitam.

Bahan Lapisan Bawah :
200 gm beras pulut
100 gm santan pekat
100 gm air
1 sudu teh garam
5-6 sudu makan pulut hitam siap rebus ~ siram dengan air lalu untuk buangkan kanji  (dimasukkan selepas pulut masak....taburkan secara rawak atas pulut dan gaulkan sehingga pulut hitam itu serata dengan pulut)


Bahan Lapisan Atas :

Bahan A :
140 gm gula merah
20 gm gula pasir
250 gm air
1 helai daun pandan ~ disimpul

Bahan B :
75 gm tepung gandum
125 gm santan pekat
1/2 sudu teh garam

Bahan C :
60 gm isi durian
2 biji telur (medium size)


Cara memasaknya sama seperti di atas.

lapisan pulut dan lapisan kastadnya sama tebal.....
.....enak tak terkata



1
CUTI-CUTI (Part 2) : D'PADI HOMESTAY LANGKAWI & IDAMAN SURI...Destinasi Popular di Langkawi


.... السلام عليكم


Jumaat, 30hb. November 2012

Seawal jam 5 pagi kami dah bangun. Sambil menunggu giliran untuk mandi tu, sempatlah kemas-kemas apa yang patut, melipat kain baju yang dah kering selepas dibasuh malamnya. Untung kan kalau homestay ada washing machine....paling tidak yang dah kering tu boleh dipakai semula...tak perlulah nak bawa banyak baju....beg pun tak berat.

Pagi ni sarapan kami ala kadar aje. Selesai sarapan, kami bersiap. Jam 8.45 pagi, kami gerak meninggalkan homestay De Palma menuju ke jeti. Tiba di jeti, mak aiii....sesak sungguh dengan orang ramai yang berpusu-pusu dengan hala tuju yang sama....ke tanah Mahsuri.  Suami dan ayah iza berhentikan kereta depan terminal ....turunkan kami dan beg. Lepas tu, suami dan ayah pergi park kereta tak jauh dari situ. Bayaran untuk park kereta, RM15 sehari untuk berbumbung dan RM10 tidak berbumbung.

Ingatkan bolehlah dapat tiket jam 9.30 tapi tak dapat....dah habis....dapat jam 10.30. Tambang feri untuk dewasa RM18 dan kanak-kanak RM13. Lepas dapat tiket, kami duduk-duduk lah dalam terminal sambil-sambil melihat pelbagai gelagat orang....heheheh.... Dah jam 10.30, feri yang ditunggu masih tak jugak muncul-muncul. Aduhhh!! menunggu lah jawabnya. Nasib tak lama. Setengah jam kemudian baru nampak kelibat feri tu....lega.

Satu jam berada dalam feri, sampai Langkawi. Lama betui tak mai sini....banyak juga yang berubah. Itu baru terminalnya belum lagi kat luar-luar sana.


  


Sampai sini menunggu lagi....tunggu owner homestay tu datang bawa kereta. Taklah lama....dalam 20 minit giteww, kereta pun sampai. Di Langkawi ni iza ambil pakej homestay bersekali kereta....lebih mudah dan jimat. Untuk keselesaan, iza pilih Innova supaya dapat memuatkan kami yang seramai 8 orang. Kami dipandu arah oleh En. Azizi, owner homestay dari terminal menuju ke penginapan. Di sepanjang kiri dan kanan perjalanan tu, banyak perubahan yang dapat dilihat....jauh beza....dah tak macam kunjungan terakhir 8 tahun lepas.

Lebih kurang 20 minit memandu, sampai lah kami di D'padi Homestay yang letaknya di Makam Purba. Waduhh, waduhh! Sekali lagi homestay kami berlatarbelakang sawah padi. Memang cantik sangat view kat sini. D'padi ni ada 5 type. Sebetulnya iza berkenan dengan type 1. Tapi masa call nak booking tu, En Azizi bagitau yang tu dah ada orang booked. Alaahaii melepas....lewat sikit jer. Apa nak buat....takde rezeki. Itu buat tempahan awal Ogos tuh....kalau last minute....ntahlah. Tapi nasib baik lah merasa jugak menginap kat sini dengan type 3 nih.


  


Type ni pun tak kurang juga menariknya....cantik kan. Rumah ni ada 3 bilik dilengkapi dengan katil queen size di setiap bilik (2 daripada biliknya ada air-cond & satu lagi kipas), 2 bilik air,  dapur serta complete dengan kemudahan-kemudahan lain seperti di rumah sendiri. Memang selesa dan best sangat-sangat. Untuk lebih detail boleh lihat di D'padi Homestay.

Jam menunjukkan  hampir 2 petang. Lepas tinjau-tinjau persekitaran sekejap, kami pun keluar cari kedai makan bagi mengisi perut yang mula terasa lapar....agaknya kena lambung dengan ombak laut dalam feri tadi kot. Tak perlu memandu jauh kerana kedai makan tu dekat sangat dengan simpang masuk ke homestay ni. Kedai makan tu menghidangkan pelbagai masakan lauk kampung. Murah jugak makan kat sini....8 orang makan tak sampai pun RM50....lauk pun boleh tahan sedap.

Habis lunch, balik homestay....rehat-rehat, mandi-mandi sejukkan badan. Lepas solat jamak qasar zohor asar, kami keluar ke pekan Kuah. Kononnya destinasi pertama nak ke Idaman Suri. Tapi boleh tak jumpa. Pelik sungguh sebab 8 tahun lepas Idaman Suri tu senang jer jumpanya. Tengah pusing-pusing mencari, jumpa Haji Ismail Group (HIG)....masuklah tengok-tengok apa yang ada kat dalam. Macam-macam jugak ada kat sini....pinggan mangkuk, peralatan dapur, kain-kain batik pelikat dan beraneka coklat.

Tapi sebabkan nak juga ke Idaman Suri tu....tanya pada seorang pekerja HIG tu lokasi Idaman Suri. Mana taknya Idaman Suri ni merupakan salah satu destinasi wajib & popular bagi kaum Hawa jika ke Langkawi....rugilah kalau tak pergi....bak kata orang, tak sah ke Langkawi kalau tak ke sini. Dah tau tu....kami terus serbu sini pulak.




Oooo...kat sini Idaman Suri tu megah berdiri. Patut pun tak jumpa....dah berubah lokasi rupanyer. Dulu letaknya di celah-celah deretan kedai di pekan Kuah tu jer tapi sekarang dah punya bangunan sendiri yang besar tersergam di Taman Seri Berlian. Dari luar lagi dah tau confirm ramai sebab cari parking pun payah bebenor. Masuk-masuk jer, ishhh 3x....ramai betul laa orang kat dalamnya tengah giler sakan menyopping....dah tak pandang kiri kanan dah....masing-masing sibuk dengan hal sendiri sedang asyik memilih.

Kat dalam ni, mata dah mula rambang. Tak tahu dari mana nak dimulakan. Sebab dalam ni macam-macam ada daripada barangan dapur sehinggalah pada cadar dan langsir. Tapi yang paling hot semestinya lah peralatan kulinari....semuanya cantik-cantik belaka....bikin mata dan hati geram jer. Asyik membelek-belek leka memilih-milih sampai terlupa nak snap gambar suasana di dalam....hehehe. Tapi nasib baiklah sempat snap yang satu ni....itu pun dari luar jer. Barangan di Idaman Suri dilihat lebih murah berbanding di HIG. Murah-murah pun hanya indah dipandang boleh dipegang tapi tak boleh dimilikki. Ikutkan hati, mau berkotak-kotak borong tapi sebab fikirkan payah nak usung angkut masuk feri balik nanti....jadinya beli mana yang sesuai aje yang boleh muat dalam beg.

Gitu gini gitu gini....dah jam 6 petang. Kami gerak pula ke Kedawang....ada jemputan makan malam oleh kawan ayah iza kat rumahnya. Waauu! Memang makan besar punya lah. Kami dijamu dengan masakan seafood belaka....senangin bakar, ketam rebus, udang masak masam manis, udang celup tepung, ikan goreng dan kari ikan senangin. Agaknya kat Langkawi ni makanan laut murah kot. Dah namanya seafood kan....semestinya lah sedaappp....ada sambal belacan lagi....huhhh! berselera....

Setelah dua jam lebih di situ, makan-makan dan sembang-sembang....kami pulang ke homestay. Bila dah balik bermakna aktiviti untuk hari ni tamat di sini. Esok aktiviti baru bermula....



5
CUTI-CUTI (Part 1) : HOMESTAY PERLIS DE PALMA, KUALA PERLIS


.... السلام عليكم


Boleh dikatakan hampir 99% isi entri SSK berkisar makanan. Teramat jarang sekali dan tak pernah rasanya iza bercerita kongsikan pengalaman percutian keluarga di blog ini. Kali ini terbuka hati untuk menyisipkan serba sedikit cerita berserta sebahagian foto yang sempat dirakamkan masa percutian baru-baru ni.

Khamis, 29hb. November 2012

Jam 9 pagi kami memulakan perjalanan menuju ke utara dengan dua kereta. On the way tu, kami singgah di R&R Sungai Perak, minum-minum dan R&R Gurun untuk makan tengahari. Alhamdulillah sepanjang perjalanan cuaca baik. Selepas 6 jam perjalanan, kami pun selamat sampai di Kuala Perlis. Panas betul cuaca tika tu....bahang panasnya tak sama macam kat KL.

Jadi sementara menunggu penjaga homestay tu datang....kami singgah ke satu gerai membasahkan tekak yang dah kering. Lepas hampir sejam, orang tu pun sampai dan dia pandu kami menuju ke homestay. Lokasi homestay tu kalau tak silap di Kg. Sanglang lebih kurang 15-20 minit daripada terminal feri Kuala Perlis. Perjalanan menuju ke situ bertepikan laut selat melaka.


  

Ruang tamu yang cukup luas dan selesa dengan air-cond.
Dilengkapi dengan segala kemudahan homestay seperti mesin basuh, peti ais, cerek elektrik, 
televisyen dan dapur pada mereka yang ingin memasak.

  

Mempunyai 3 bilik tidur dengan 2 katil queen size, 2 bilik air serta 1 tempat wudhu khas. 
Setiap bilik dilengkapi kipas. Turut disediakan juga sejadah, selimut, bantal, tilam dan toto tambahan.
Yang lain-lain tu macam tuala, sabun mandi dan ubat gigi, sendiri bawa lah ya....

  


Sesampainya di homestay....Waauuu!! Terpaku sejenak, terpesona dengan pemandangan sekitar. Walau cuma pemandangan kampung namun teramatlah indahnya sebab bungalow tu dikelilingi oleh sawah padi yang menghijau. First time dapat homestay tengah bendang u....tentu lah excitednya terlebih sikit....hihihi.

Selama ni selalu jugak duk fikir macam manalah rasanya kalau rumah tengah-tengah sawah....nak jugak rasa. Akhirnya bagai pucuk dicita....dapat jua merasai suasana seperti itu....tenang, aman, nyaman....Memang seronok dan suka sangat-sangat....jauh dari hiruk-pikuk kota yang membingitkan.


  


Petang tu masing-masing dah keletihan....kami tak dan nak kemana pun. Cadangan awalnya petang nak ke Padang Besar. Tapi kami diberitahu yang Padang Besar tutup jam 6 dan perjalanan dari homestay ke situ pulak mengambil masa sejam. Masa tu jam dah 4.30 ptg....terpaksa kami batalkan sebab memang tak sempat dah pun. Jadi kami habiskan masa petang tu bersantai-santaian menghirup udara segar sambil-sambil merakamkan panorama keindahan alam yang mencuri perhatian.


  
  


Lepas solat maghrib, kami keluar cari makan malam. Kami makan malam di Komalaut, tak jauh dari jeti. Tak susah pun mencari Komalaut ni sebab masa sampai petang tadi ada lalu dan dah nampak tempat ni yang letaknya hanya tepi jalan jer. Kat situ pelbagai macam pilihan seafood ada....cuma siapkan RM dan pilih saja mana yang berkenan.  Harganya kira berpatutan jugaklah dan agak murah berbanding KL.

Tengah sedap-sedap makan....hujan pulak turun mencurah-curah....terpaksalah kami terus duduk di situ sementara menunggu hujan sedikit reda. Dah reda kami gerak pulang. Malamnya kami semua beradu awal kerana esoknya kami akan ke destinasi kembara seterusnya....Langkawi.



3
PUDING TAPAI UBIKAYU


.... السلام عليكم


Lama tak ke udara. Terima kasih pada yang email dan inbox message bertanyakan khabar, bertanyakan ke mana lama menghilang. Iza alhamdulillah sihat. Tak menghilang ke mana pun....ada di sini. Cuma dalam dua minggu ketiadaan entri baru, biasalah cuti sekolah....penuhi masa dan peluang yang ada bercuti jalan-jalan makan angin bersama keluarga.

Ok lah, berbalik cerita dessert ni. Iza buat puding ni sebelum start bercuti dua minggu lepas. Kiranya entri tertunggak lah ni. Memandangkan resepi ni pun dah agak lama iza simpan jadi masa beli tapai ubi tu, memang iza lebihkan sebab dah plan nak buat juga puding ni. Selepas buat Pankek Tapai Ubi dengan Kek Marble Tapai, lebihannya tu buat puding. Akhirnya, dapat jua merasai sendiri keenakan puding tapai ubi ni seperti yang diwar-warkan oleh siapa yang dah mencubanya.




Resepi asalnya daripada Kak Ummi tapi iza follow olahan oleh AlongRoz. Masa iza buat puding ni, buah koktel pulak tak ada. Jadi nak tak nak terpaksa iza gantikan dengan nata de coco sebab itu jer yang ada....kira boleh lah kan daripada takde langsung. Nata de coco tu pulak putih....jadi kena fikirkan something untuk naikkan seri warna puding ni agar tak lah pucat sangat.

Jadi iza olahkan lagi dengan menambahkan sagu yang diwarnakan merah di atas puding sewaktu menghidang biar tampak lagi lebih manis berseri giteww. Sementara untuk sos kastadnya pula, iza tak bubuh telur seperti resepi asal Kak Ummi tapi iza tambahkan sedikit tepung kastad.

Memang Sedap!! Tak sia-sia mencuba. Puding ni kalau nak tau....rasa macam aiskrim pun ada jugak tau.
Tq to both of you, kak Ummi & Along... :)



PUDING TAPAI UBIKAYU
source : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
6 ketul (250gm) tapai ubi - buang empulur tengahnya
1/2 cwn gula
500 ml susu segar
1 biji telur (B)
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar pes pandan


Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam mesin pengisar, kisar halus.
Masukkan ke dalam bekas-bekas kecil dan kukus 20 minit.
Sejukkan pada suhu bilik dan kemudian dalam petisejuk.



Bahan Sagu Merah :
100 ml air
50 gm sagu biji kecil
15 gm gula kastor
1/4 sudu teh pewarna merah


Gaulkan sagu dengan gula, air dan pewarna merah.
Rendam selama 10 minit.
Kukus 10 minit.


Bahan Untuk Sos Kastad :
1 tin susu sejat
1/2 cwn gula
1 cwn air
1 helai daun pandan
1 sudu teh esen vanila
10 gm tepung kastad


Campur semua bahan dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Sejukkan dalam petisejuk sebelum dihidangkan.



Cara Penyediaan :
Sediakan puding yang telah siap dikukus.
Masukkan 1 sudu besar sagu di atasnya dan juga buah-buahan campuran.
Tuangkan sos kastad di atasnya.
Sedia untuk dihidangkan. Lebih enak dihidangkan sejuk.