10
OREO CHOCOCHIP COOKIES



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Hari ini merupakan hari Isnin yang agak sibuk. Almaklumlah sekolah sudah dibuka semula.
Raya pun dah masuk minggu kedua. Tapi masih lagi dok tayang cookies raya. Alaa raya kan sebulan. Takpe..... tinggal satu ni aje lagi yang tertangguh. Lepas ni takde dah, tunggulah raya haji akan datang.

Cookies seperti ni bukan saja sesuai untuk raya tapi juga sesuai dibuat kudapan hari-hari. Malahan bila-bila masa di mana jua pun boleh.


Asal tiada oreo tapi dek kerana terikut dengan trend citarasa sekarang..... baik kek, biskut, puding semua bubuh oreo maka saya olah resepi tambah oreo. Resepi asalnya saya kutip daripada sebuah akhbar kira-kira sepuluh tahun lalu. Dah habit dari zaman anak dara lagi nampak resepi dalam suratkhabar tak tunggu apa dah..... capai gunting, gunting dan lekatkan dalam buku khas..... kalau rasa-rasa terlebih rajin saya salin tulis semula. Menjadi atau tidak resepi tu belakang kira yang penting simpan dulu...... kemudian-kemudian boleh cuba.

Setahun jugalah resepi ori tu tersimpan baru cuba. Setelah puas hati akan rasanya, saya buat jualan kecil-kecilan. Masih ingat lagi tahun 2004 itulah pertama kali saya menjual biskut raya. Tak sangka pula dapat sambutan. Tambah pula dah lama pasang keinginan nak bisnes biskut raya. Bermula menjual dengan hanya menggunakan resepi free dari akhbar saya ambil peluang seterusnya dengan hadiri kelas-kelas bagi mendalami ilmu dan mempelajari teknik pembuatan biskut yang betul. Bila dah ada ilmu baru berani ambil banyak tempahan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara.....


Inilah hasilnya setelah diberi sentuhan baru, Oreo Chocolate Chip Cookies..... antara biskut yang menjadi rebutan masa raya haritu.


Resepi OREO CHOCOCHIP
by Iza Akma SSK


Bahan A :
150 gm butter (130gm butter + 20gm marjerin planta)
90 gm gula perang
40 gm gula kastor
secubit garam

Bahan B :
1 biji telur (gred C)
1 tsp esen vanila

Bahan C :
2 tbsp serbuk koko
3 tbsp susu cair

Bahan D :
150 gm tepung rose@cookies flour
1/2 tsp baking powder
1/2 tsp soda bikarbonat

Bahan E :
55 gm nestum
150 gm coklat cip
100 gm almond nib ~ bakar dulu
1 pek oreo ~ cincang kasar, tak perlu buang cream


Caranya :
Ayak (D).
Satukan dengan (E). Ketepikan.
Pukul (A) hingga sebati.
Masuk (B) pukul rata.
Masuk (C) pukul lagi hingga rata dan sebati.
Masukkan (D+E). Gaul dengan senduk kayu atau spatula hingga sebati.
Dengan menggunakan dua sudu kecil atau hujung jari, susun atas dulang pembakar. Bakar hingga masak.
Selepas masak biarkan biskut seketika atas dulang. Baru masak ia lembut tapi akan mengeras setelah sejuk.


2
Krup... Krup... Rangupnya POPIA KACANG



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Alhamdulillah bersua kembali hari ini, 8 Syawal 1434H. Masih lagi dengan suasana raya.
Raya haritu adalah buat tiga empat jenis kuih raya dengan dua jenis kek. Semua kuih raya tu dah pun saya masukkan di sini cuma ada dua aje yang tertinggal..... tak sempat. Kebetulan hari ini ada masa terluang sikit dapatlah saya masukkan entri yang tertangguh haritu.


Pasti ramai yang dah familiar dengan popia nestum atau popia horlick, bukan. Saya juga pernah buat popia bersira horlick dengan nestum untuk raya haji tiga tahun lepas. Sedap..... krup krap, krup krap!

Seminggu sebelum raya, saya beli dua pek kulit popia sebab berniat nak buat popia tu lagi. Tapi entah macam mana last minute berubah fikiran. Tak mahu perisa horlick/nestum anymore tapi nakkan perisa yang something different. Baru teringat saya pernah ternampak popia yang sama rupa seperti popia nestum dalam majalah RASA keluaran tahun lepas. Sama tapi tak serupa kerana popia ini bersalutkan kacang tanah.


Saya buat 2 pek @ 80 keping..... jadi bahan saya gandakan 4..... dapat dalam dua balang (balang untuk 200pcs coklat cadbury dairy milk tuu..). Timbangan kacang tanah dan gula aising tu sebenarnya boleh adjust ikut citarasa sendiri. Saya pun lebihkan sikit kacang daripada resepi asal di bawah serta blendkan gula kastor sebagai ganti gula aising yang dah kehabisan. Ikut info majalah, salutkan ketika masih suam tapi sebab tika itu saya terleka tengok celoteh Sheila Rusly dalam rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan..... popia tu dah sejuk.....mungkin sebab itu kacang kurang lekat. Apa pun still sedap & rangup!

Bila lihatkan kejadian dan rasa popia kacang ni, dapat satu idea. Idea apa itu..... nanti saya cuba realisasikan, ya. Jika berhasil akan saya kongsikan di sini. Jom layaann.....

Resepi POPIA KACANG
by Iza Akma SSK
source ~ Majalah RASA 2012



Bahan-Bahan :
20 helai kulit popia
50 gm kacang tanah ~ sangai, buang kulit & blend halus
60 gm gula aising
1/4 sudu teh garam
1 kuning telur  (saya ganti putih telur)
Minyak untuk menggoreng


Caranya :
Ambil sehelai kulit popia dan gulung dengan kemas. 'Gam' menggunakan putih telur.
Potong gulungan kulit popia secara serong. Ulang proses sehingga kulit popia habis. Ketepikan.
Dalam sebuah bekas, satukan kisaran kacang tanah, garam dan gula aising. Gaul rata. Ketepikan.
Panaskan minyak dalam kuali, goreng kulit popia yang telah dipotong tadi hingga kekuningan.
Angkat dan toskan. Lumurkan gorengan kulit popia ke dalam kacang tanah. Ulang proses hingga semua kulit popia disaluti.
Sedia untuk dinikmati.


Info RASA :
Lumurkan kulit popia sementara ia masih panas supaya kisaran kacang tanah mudah melekat padanya.

2
Kepergian Ramadhan Ditangisi, Kedatangan Syawal Disyukuri.... SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Sudah menjadi fitrah yang disusun oleh Allah SWT bahawa matahari dan bulan akan berputar mengikut paksinya. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Apabila sampai masanya, semuanya akan bertukar ganti. Justeru, Ramadhan ini juga perlu mengundur diri memberi lalulan kepada Syawal yang bakal menjelang.

Walaupun ada di antara kita yang mengharapkan Ramadhan tetap berpanjangan kerana belum puas mengecapi kemanisannya, namun itu semua hanya harapan. Biar setinggi mana pun harapan yang dipanjatkan, ia tetap tidak akan menjadi kenyataan. Ramadhan tetap akan pergi tanda patuhnya kepada peraturan Ilahi. Jadi, biarlah Ramadhan pergi dan simpanlah hasrat untuk bertemu dengannya lagi.


Ramadhan yang pergi ditangisi, Syawal yang hadir disyukuri. Orang-orang yang baik terdahulu sentiasa mendoakan supaya mereka diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadhan. Dan apabila selesai menyempurnakan Ramadhan, mereka mendoakan agar segala amal ibadat yang telah mereka persembahkan akan diterima oleh Allah SWT dan segala dosa mereka akan diampunkan-Nya.

Betapa rugi dan malangnya jika ada dalam kalangan kita yang diberikan kesempatan bertemu dengan Ramadhan tetapi tidak mengambil peluang untuk memohon keampunan. Ketahuilah bahawa berpuasa Ramadhan, menghidupkannya dengan beribadah pada Lailatul Qadar, bersedekah, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan beristighfar; itu semua adalah pintu-pintu keampunan. Tetapi dengan syarat tidak ada yang menghalang keampunan tersebut seperti meninggalkan perkara yang wajib dan melakukan perkara yang haram. Jika perkara-perkara ini tidak dilakukan, maka yakinilah keampunan Allah pasti akan datang.

Firman Allah SWT : " Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian mereka tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha: 82)

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dia sentiasa bersedia untuk mengampunkan hamba-Nya yang memohon taubat dengan penuh keikhlasan. Bersama kita renungi seruan ini : " Katakanlah (wahai Muhammad): " Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dngan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar:53)

Ramadhan sedang melambaikan tangan mengucapkan salam perpisahan. Usah biarkan perpisahan ini berlalu begitu saja. Tingkatkan ibadah di pengakhiran Ramadhan yang masih bersisa ini. Panjatkan segala hajat, luahkan segala rasa. Merintih dan merayulah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Titiskan air mata keinsafan. Rasai nikmat kemanisan tangisan seorang hamba mengharap pengampunan dan rahmat Tuhan. Moga rintihan di penghujung Ramadhan membuahkan seribu satu keampunan.




Sempena Aidilfitri ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung Singgahsana Kitchen yang beragama Islam khususnya teman-teman yang mengenali saya personally, rakan bloggers, followers, pembaca setia, pembaca senyap, rakan fb dan semua semua yang menyokong SSK tak kira walau di mana pun anda berada..... tak ketinggalan mereka yang sudi like website & entri SSK serta juga mereka yang rajin klik klik advertisement. 。◕‿◕。♥♡

Dalam bergembira membuat persiapan menyambut raya, sentiasalah mengutamakan kesederhanaan dan elakkan pembaziran. Raikan kemenangan ini dengan penuh kesyukuran dan medan bermaaf-maafan kita sesama insan. Kepada anda yang sedang on the way menuju ke kampung halaman mahupun yang akan berangkat, berhati-hati di jalanraya. Moga selamat sampai dan dapat meraikan pagi Syawal bersama insan-insan tersayang.


Ditangisi kepergian Ramadhan
Disyukuri Syawal mendatang

Andai jemari tak sempat bersalaman
Andai raga tak dapat bertatap
Seiring beduk yang menggema
Seruan takbir yang berkumandang
Ku aturkan salam lebaran

Jika kalam bicara keterlanjuran kata
Jika suara menikam rasa
Jika gurau dan senda membekas lara

Seikhlas hati menyusun sepuluh jari
Mohon dimaaf kekhilafan diri
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin
Moga silaturrahim kekal terjalin




1
BISKUT MAZOLA KACANG HIJAU (Green Peas Cookies)



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masih lagi dengan kukis raya yang tak habis-habis. Hari ini giliran Biskut Mazola Kacang Hijau atau dikenali juga Green Peas Cookies menampilkan dirinya di sini. Kukis ini saya buat dua hari lepas. Dulu pernah buat sekali guna resepi lain ambil kat internet jugak tapi tak puashati langsung dengan rasanya.


Untuk resepi ini saya just buat satu adunan tapi nampak gayanya nak kena duduk depan oven tu lagi ni for second batch. Sebab the first batch tu tak sempat menunggu raya dah habis. Apa cer..... hahhaha. Tak lain tak bukan sebab biskut mazola ni sememangnya meruntun jiwa sesiapa yang memakannya. Makan satu confirm tak cukup..... nak lagi dan lagi tak boleh stop. Itu pasal lah sehari jer dah habis. Biskut ini seriously sedap. Saya beri 5-star for this recipe. Highly recommended!


Saya lakukan sedikit pengubahsuaian. Adunan saya tambah baking powder, hiasan kuning telur saya tambah sedikit susu cair dengan minyak mazola untuk bagi kesan shiny manakala tepung kacang peas pula saya sangaikan dulu supaya biskut ringan dan gebu..... yang mana semuanya ini tidak terdapat dalam resepi asal.

Resepi MAZOLA KACANG HIJAU
by Iza Akma SSK
source ~ Citarasawan



Bahan-Bahan :
120 gm tepung kacang peas
180 gm tepung gandum
20 gm santan serbuk
100 gm gula aising
1/8 tsp baking powder
1/4 tsp garam
120 gm minyak mazola

Hiasan :
1 kuning telur + sedikit susu cair + sedikit minyak mazola


Caranya :
Terlebih dahulu sangaikan sebentar tepung kacang peas. Biarkan sejuk seketika.
Campurkan semua bahan, masukkan minyak mazola dan uli sehingga membentuk adunan. Biarkan dalam 10 minit.
Sukat 1 suduteh penuh adunan, lalu dibulat-bulatkan.
Sapu hiasan atas biskut. Bakar 160C selama 20 minit.
Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.





10
BISKUT MILKY OREO



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Rata-rata semua sekolah telah pun beri lampu hijau pada warga guru dan pelajarnya bercuti bagi memberi laluan sambutan Syawal diikuti cuti semester persekolahan bermula hari ini selama dua minggu. Dengan ini mudahlah para ibubapa mengatur jadual perjalanan balik ke kampung halaman bagi meraikan Eidul Fitri bersama keluarga tersayang.

Dah dekat-dekat raya ni biasalah entri apa lagi kalau tidak entri kukis. Lepas mencuba dan rasa kukisnya pula melepasi piawaian, tak salah kiranya saya simpankan resepi di sini at least boleh juga saya atau anak-anak buat rujukan bila perlu selain berkongsikan dengan anda semua.


Kejadian biskut ni tak dirancang. Kebetulan ketemu resepi ni dalam majalah masa pergi kedai beli suratkhabar hari tu. Lepas beli suratkhabar tangan ni gatai dok capai satu majalah. Sebabkan nak cepat saya selak-selak rawak jer..... tak dan nak selak page by page. Dalam dok kalut menyelak tu terselak satu page. Berkenan pula tengok rupa biskut tu. Tanpa tengok apa namanya terus hafal kan resepi..... cara buatnya tak payah sebab semua biskut sama jer kaedahnya. Dah hafal, letak majalah terus bergegas masuk kereta pergi pasar beli sayur ikan. Dah sampai pasar sebelum keluar kereta sementara masih ingat ambik tepon catat resepi yang hafal tadi dalam memo.

Alhamdulillah menjadi percubaan ku. Saya namakannya Biskut Milky Oreo. Rasanya sedap, crunchy..... sebab ada pelbagai campuran di dalamnya. Nak tahu apa bahan yang ada dalam kukis, tengoklah resepi kat bawah tu. Oklah sampai sini aje dulu untuk hari ini ya..... tak leh lelama..... tengah sibuk kat dapur tu dengan projek biskut raya..... sambil-sambil nunggu biskut tengah bersauna dalam oven tu sempatlah update blog sekejap. Nak harapkan free ntah bila..... petang pulak nak masak untuk berbuka lagi..... adoyaii lunyai.....

Resepi MILKY OREO
by Iza Akma SSK


Bahan A :
130 gm butter
70 gm gula kastor
1/4 tsp esen vanila
Secubit garam

Bahan B :
170 gm tepung gandum
20 gm tepung jagung
20 gm tepung beras
20 gm cornflakes ~ kisar halus
20 gm serbuk badam ~ bakar dulu
20 gm badam nib ~ bakar dulu
20 gm serbuk oreo
1/8 tsp baking powder

Cadangan Hiasan :
Coklat Putih
Serbuk Oreo


Caranya :
Pukul bahan (A) hingga sebati.
Masukkan bahan (B) dan uli hingga jadi doh. Biarkan selama 20 minit.
Canai dan terap dengan acuan yang disukai dan bakar hingga masak.
Setelah masak, biarkan sejuk.
Celup dengan coklat putih dan terus tabur serbuk oreo.
Selepas coklat kering bolehlah simpan dalam bekas kedap udara.
Tips SSK Mencairkan Coklat Putih :
Terlebih dahulu didihkan air dalam periuk kecil.
Potong coklat kecil-kecil, masukkan dalam bekas tahan panas. Tambahkan sedikit shortening. Timbangan shortening yang digunakan adalah 10% daripada timbangan coklat.
Setelah air mendidih, kecilkan api. Jika perlu tutup api. Tapi saya biasa kecilkan saja. Lepas itu letak bekas berisi coklat di atas periuk didihan. Kaedah ini dinamakan double boiler. Perlu diingat, meletakkan bekas berisi coklat itu hendaklah dilakukan tanpa menyentuh air tersebut. Kita hanya perlukan wap panas air didihan itu sahaja untuk mencairkan coklat putih..... berlainan dengan coklat masakan.

6
BISKUT RED VELVET COKLAT CHIPS / RED VELVET CHOCOLATE CHIP COOKIES



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Populariti biskut coklat chips di kalangan ramai memang tidak disangkal lagi. Sebut saja biskut coklat chips ramai yang dah terbayangkan kukis yang beraroma harum yang dipenuhi dengan cip coklat dan kekacang. Jika ke pasaraya dan melalui pula kawasan jualan coklat chip famous amos pastinya keharuman kukis ini mengekori deria bau kita biarpun telah melepasi sehingga beratus langkah.

Dan sekarang idea pembuatan biskut cip coklat maju setapak lagi dengan mengambil ilham daripada kek red velvet..... kek si baldu merah tu. Campuran warna merah dengan serbuk koko dalam kek tersebut telah mencetuskan inspirasi baru kepada terciptanya Red Velvet Chocolate Chip Cookies (RVCCC).


Walaupun RVCCC ni masih baru tapi jangan tak tau dah ramai peminatnya tau. Jika tidak masakan kukis ni famous di laman fb. Ramai yang dok tayang RVCCC yang depa buat. Saya terfikir juga apasal ek ramai yang taknak ketinggalan mencuba. Daripada pening-pening kepala tertanya-tanya sendirian apakah istimewanya, bagaimana rasanya..... baik sendiri cuba baru tahu.

Ada beberapa resepi dah dikumpul tapi untuk permulaan saya bikin resepi ini dulu, resepi kak Sha @ Shahriah Abdullah Novelis.Pada pengamatan saya kan, rasa kukis ni not bad..... sedap..... ceria mengancam dengan warna merahnya. Agaknya kan kot-kot lah ada esen red velvet di pasaran boleh bubuh ni ganti vanila..... confirm rasanya lagi malatops..... hehhehe.


Untuk RVCCC ini, saya gantikan kismis dengan cranberry. Setelah dicubarasa, saya lebih suka kiranya penggunaan buah kering itu diabaikan saja dan lebihkan penggunaan chips..... boleh campurkan cip coklat dengan cip putih. Tapi perlu diingat jika lebihkan chips dan chips tu pula manis, sila kurangkan gula. Membakarnya pun ada dua cara sama ada nak crispy keseluruhan atau just crispy di luar lembut di dalam..... terpulang ikut citarasa.

Resepi BISKUT RED VELVET COKLAT CHIP (Red Velvet Chocolate Chip Cookies)
by Iza Akma SSK
rcp source ~ Sajian Istimewa Shahriah Abdullah
source ~ Phong Hong Bakes



Bahan-Bahan :
200 gm butter
100 gm gula perang
50 gm gula kastor
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila
250 gm tepung gandum*
1 sudu besar susu tepung*
20 gm serbuk koko* (* ayak )
Secubit garam
200 gm coklat cips
200 gm badam cincang
100 gm kismis (jika suka)
1 sudu teh pewarna merah (sy guna warna bright red)


Caranya :
Pukul butter, gula perang, gula kastor dan garam sehingga kembang dan putih.
Dalam satu bekas, campurkan pewarna merah dan esen vanila dengan telur. Kacau rata. Masukkan dalam adunan butter. Pukul lagi sehingga sebati.
Masukkan susu tepung, coklat cips, badam cincang dan kismis. Kacau rata.
Masukkan campuran tepung yang diayak sedikit demi sedikit hingga dapat adunan yang lembut.
Sudukan atau jemput-jemputkan adunan dengan hujung jari dan susun atas dulang pembakar.
Bakar dengan suhu 170C selama 15-20 minit (ikut oven masing-masing).

2
URAP JANTUNG PISANG LADA HITAM



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Mesti ramai antara anda pernah menikmati menu sebegini atau yang sewaktu dengannya ini di restoran, kedai-kedai makan ataupun daripada airtangan anda sendiri.


Lauk-lauk tradisi sememangnya kita cari-cari dalam memenuhi selera terutamanya ketika bulan puasa. Maka pada Ramadhan yang ke-22 ini saya nak ketengahkan berkongsi dengan anda satu hidangan tradisi yang tak kurang hebatnya iaitu Urap Jantung Pisang.


Sebelum saya berjumpa dengan resepi ni, selalu juga saya makan urap macam ni ketika menjamu selera diluar..... memang suka sangat. Masa tu nak buat sendiri belum ada keyakinan tak berapa pasti bahan ramuannya.


Setelah mencuba resepi daripada Pak Engku ni..... barulah tahu rupanya mudah dan murah aje bahan-bahannya. Walaupun mudah tapi rasanya wallah. Bukan bulan puasa jer sesuai bulan tak puasa pun boleh. Nak makan dengan nasi atau nak ratah macam tu saja pun suka suka hati sebab dua-dua sedap.

Siapa nak lebih pedas bubuh lah lada hitam lebih-lebih. Lagipun aroma lada hitam dan udang kering itu lah yang menambahnaikkan aroma urap ni menjadi lebih bertambah-tambah enak. Pada peminat urap jangan lupa mencuba, okay.....

Resepi URAP JANTUNG PISANG LADA HITAM
by Iza Akma SSK
source ~ Santapan Lauk Pauk Tradisi Pak Engku



Bahan-Bahan :
1 biji jantung pisang abu ~ direbus
1 labu bawang merah besar*
9 tangkai cili api*
1 batang serai* (* hiris )
1 sudu besar udang kering**
Sedikit lada hitam** (** tumbuk )
300 ml santan
Secubit garam@secukup rasa


Caranya :
Jantung pisang direbus sehingga empuk. Toskan dan hiris kasar.
Masukkan santan, bahan hiris dan udang kering tumbuk ke dalam periuk. Didihkan seketika menggunakan api kecil.
Setelah mendidih, masukkan lada hitam dan garam secukup rasa.
Apabila kuah santan hampir pekat, masukkan hirisan jantung pisang. Jangan masak terlalu lama.
Angkat dan hidangkan.

4
BISKUT MAKMUR LEBANESE



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Dok bercita-cita lama dah nak buat kukis ni tapi entah berapa kali raya kesudahannya tak juga jadi-jadi. Dan buat kesekian kalinya terlaksana juga hasrat di hati......
Akhirnya inilah kuih makmur yang dicitakan tu..... projek kukis pertama untuk raya ini.
Kalau nak tahu, makmur ni bukan sebarang makmur tau. Nampak saja simple tapi sangat sedap!




Dinamakan Makmur Lebanese kerana rasanya seperti kuih makmur dan lebanese tu pula diambil sempena asalnya kuih ni iaitu Lebanon.

Cuma bezanya kuih makmur tradisi kita tu menggunakan kacang tanah dan letaknya di dalam sebagai inti. Manakala makmur ini agak istimewa, mewah dengan kacang pistachio yang diadun sekali bersama adunan.




Ikut resepi asal, tiada hiasan. Tapi saya make-up kan jugaklah ala kadar dengan lorekkan coklat putih. Jadi taklah kelihatan kosong sangat. Saya cuma buat half daripada resepi di bawah. Jadi lah..... itu pun banyak juga dapatnya. Untuk pistachio, saya guna ready-made yang jual kat pasaraya tu aje..... tak perlu nak bakar lagi dah..... cuma leceh sikit nak buang kulit dia tu.

Jika ada sesiapa rasa berkenan nak cuba, silakan. Nah ini resepinya.....


Resepi MAKMUR LEBANESE
by Iza Akma SSK
source ~ DianaA@myresipi



Bahan-Bahan :
580 gram tepung gandum
50 gram tepung jagung
350 gram ghee
190 gram gula halus
1 sudu teh vanilla
1 biji telur
100 -150 gram kacang pistachios, dibakar terlebih dahulu dan tumbuk kasar


Caranya :
Gaul sehingga sebati ghee, gula dan vanilla.
Kemudian masukkan telur dan digaul sehingga sebati.
Masukan bahan-bahan lain dan adun sehingga menjadi doh.
Terap mengikut bentuk disukai. Bakar pada suhu 170–180C sehingga masak.

3
DAGING MASAK HITAM MANIS



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Pagi ini sejenak kita renung dan fikirkan. Mana lebih afdal dan lebih utama? Antara Bebaskan Hamba, Sedekah Fakir Miskin ataupun Nafkah Keluarga?

Dari Abu Hurairah, ujarnya; Rasullullah SAW bersabda : “ Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan hamba serta satu dinar yang engkau belanjakan untuk sedekah kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu yang paling besar pahalanya ialah satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu.” (HR.Muslim.)

Nabi SAW menganjurkan umatnya bersedekah. Akan tetapi menyedekahkan lebihan harta itu hendaklah dilakukan selepas mengambil kira kemampuan diri iaitu sesudah keperluan diri sendiri mencukupi kerana menafkahi diri sendiri juga merupakan sedekah. Demikian juga orang-orang dalam tanggungan, keperluan mereka juga harus dicukupi terlebih dulu. Bila semua nafkah diri dan tanggungan telah disempurnakan kewajipannya, maka lebihannya itu boleh disedekah pada mereka lain yang memerlukan.

Syarat pemberian sedekah pula haruslah secara berurutan, dimulakan kepada kerabat yang paling hampir, kemudian menyusul kerabat yang jauh. Hendaklah didahului sedekah kepada orang yang paling dekat hubungan kekeluargaan. Setelah itu baru kerabat yang jauh; di mulai dengan yang lebih penting, kemudian diikuti yang penting. Ini menjelaskan bahawa sedekah itu perlu diberikan mengikut keutamaan urutan.

Nafkah kepada keluarga juga termasuk sedekah. Sehingga tidak boleh memberikan sedekah kepada selain keluarga mereka, sebelum mereka mencukupi nafkah (yang wajib) bagi keluarga mereka, sebagai pendorong untuk lebih mengutamakan sedekah yang wajib (nafkah) mereka keluarkan dari sedekah yang sunah. Rasulullah SAW bersabda : “ Seseorang apabila menafkahi keluarganya dengan mengharapkan pahalanya maka dia mendapatkan pahala sedekah.” ( HR. al-Bukhari dan Muslim)




Masa yang mendatang makin pantas berlalu menandakan akhir zaman kian merapati. Diam tak diam dah masuk 18 hari kita berpuasa hari ni. Bulan puasa macam ni, ramai yang ambil kesempatan mencuba pelbagai resepi baru untuk sajian keluarga.

Jika dikira kalau setiap hari paling kurang ada 4 juadah berbuka yang berbeza.....18 hari dah lebih 70 juadah.....hmmm banyak tu.....baru untuk berbuka belum lagi sahur.....kalau himpunkan dah boleh jadi satu buku dah tu. Bila semua resepi dah dicuba, dimasak mungkin jadikan kita kebuntuan sekejap.....tercari-cari resepi baru yang lain.




Jadi hari ni saya nak kongsikan satu resepi daging masak hitam yang diberi nama Daging Masak Hitam Manis. Ada macam-macam style orang masak daging hitam ni.....daripada versi utara sampailah selatan. Kalau google, berderet-deret keluar sampaikan tak tahu nak pilih resepi mana satu.

Jadi kali ni saya decide nak cuba satu resepi.....apalagi kalau bukan daripada majalah zaman batu bila ntah. Actually, jumpa resepi ni kat rumah my brother. Lepas dibelek-belek, ditenung-tenung dalam-dalam resepi dalam majalah tu rasa berkenan pulak.....terus salin atas kertas. Almaklumlah kertas kan senang jer melayangnya.....maka sebelum ianya ghaib baiklah dicuba.....mana tau kot-kot bakal jadi feberet. Tengok resepinya saja dah tau sedap sebab ada satu bahan special yang tak ada dalam resepi daging masak hitam yang lain.

Percubaan yang memuaskan. Jangkaan yang tepat. Sedap tak terkata. Marvellous...!!
Nak tahu apa bahan specialnya tu.....jomm lah semak resepi.....


Resepi DAGING MASAK HITAM MANIS
by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
500 gm daging ~ dihiris nipis
1 biji bawang besar ~ dipotong bulat
2 biji cili merah ~ dihiris
2 biji cili hijau ~ dihiris
2 sudu besar serbuk rempah kurma
3 biji ubi kentang ~ belah empat
500 ml santan
1/2 - 3/4 cawan kicap lemak manis
2 sudu besar cuka
3 keping biskut cream crakers ~ dikisar asing hingga halus
1 biji buah keras ~ dikisar asing hingga halus
1 sudu besar serbuk cili
2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu besar minyak sapi
Gula & Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Tumis :
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 cm kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang

Bahan Kisar :
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm lengkuas
1 batang serai


Caranya :
Daging dicuci bersih dan toskan airnya
Panaskan minyak dengan minyak sapi. Tumis bahan tumis dan bahan kisar sehingga naik bau.
Masukkan buah keras, serbuk cili, rempah kurma dan kacau hingga rata. Biarkan sampai rempah betul-betul masak dan terbit minyak.
Kemudian masukkan daging, biarkan sampai lembut. Masukkan santan, kentang, serbuk biskut dan akhir sekali baru masukkan cuka, kicap, serbuk lada hitam, gula dan garam.
Bila kuahnya hampir pekat masukkan hirisan bawang besar dengan hirisan cili. Masak lagi sehingga kuahnya pekat


7
KUIH CUCUR BADAK



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Dah lama tak buat cucur badak. Tetiba pula rasa nak buat lepas dengar celoteh Abby Fana dengan Kak Engku di Sinar hari tu yang asyik dok sebut-sebut pasal kuih cucur badak yang tiada badaknya, hehehe. Pernah post sekali.....dah lama dah.....resepi Rubiah Suparman. Kalau nak nengok pepandailah u olz geledah dapur ni ya.

Saya ni dari zaman anak-anak lagi memang suka sesangat kuih cucur badak ni. Tapi anak-anak zaman sekarang ni tak suka. Tu la pasalnya jarang buat kuih ni sebab anak-anak tak makan. Kita ni jenuh lah duk suruh depa makan tapi idak jugak maunya. Takpe lah taknak sudaahh.....

Saya guna keledek oren sebab keledek jenis ni lebih sedap rasanya manis berbanding keledek putih. Dah lama tercari-cari keledek oren ni. Cari kat pasar malam takde pulak jualnya. Takkan nak panjat Cameron Highlands semata-mata nak gi beli keledek oren......tak kuasa haiihh. Ini pun kebetulan masa balik dari Mersing hari tu, singgah Air Hitam jap dapatlah beli.....murah pun murah sekilo kalau tak silap rm3.




Biasanya kalau nak buat kuih cucur badak atau keria, jap-jap tu jugak rebus keledek.....then sejuk aje sikit terus bancuh doh. Tapi kali ni saya rebuskan keledek sehari sebelum. Dah siap rebus, toskan dan apabila dah sejuk simpan dalam petisejuk. Bila nak buat, keluarkan sekejap, lenyek dan bubuh tepung. Masa menguli hati berkata-kata, " ehhh, senang pulak membentuk doh ni.....tak lembik tak melekit pun macam selalu-selalu tu." Sukatan tepungnya tepat, tak lebih dan tak kurang. Ada kemungkinan doh jadi mudah diuli dan dibentuk sebab keledek tu dah disimpan semalaman dalam petisejuk dan airnya dah betul-betul tersejat.

Saya puji dohnya, sedap.....ada kenyal-kenyal bila digigit.....memang terbaik. Untuk inti saya tambah udang hidup, nak bagi rasa lebih umppph serta kunyit hidup agar warna intinya sedikit kuning. Saya juga sangai biji rempah supaya aroma intinya lebih bangkit dan harum.

Kalau u olz nampak, kulitnya tebal dari inti.....hehhe.....sebab saya ni suka yang macam tu. Siapa suka nipis buatlah nipis, suka tebal dan tembam macam cucur badak saya tu, buatlah tebal. Nak hasil yang macam mana terpulanglah pada tangan situkang buatnya, tak gitew. Apa lagi jom kita tengok resepinya.....jomms


Resepi CUCUR BADAK
by Iza Akma SSK
src ~ bdaria with slightly changes



Bahan Inti :
1/2 biji kelapa parut
15 ekor udang hidup sederhana besar ~ buang kulit, potong dua
5-6 biji lada kering - dipotong dan direndam dengan air panas terlebih dahulu *
1/2 tsp biji jintan manis*
1/4 tsp biji ketumbar*
2 batang serai-dihiris halus*
3 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
1 inci kunyit hidup*
20 gm udang kering ~ dibasuh terlebih dahulu
2 tbsp gula
sedikit garam
sedikit minyak masak
1 cawan air


Caranya :
Sangai biji jintan manis dan ketumbar. Kemudian kisar bersama-sama bahan lain bertanda * sehingga halus. Masukkan udang kering dan putar sekali sahaja.
Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan udang hidup, garam, gula dan tumiskan sebentar.
Masukkan kelapa dengan secawan air dan masaklah sehingga kering. Walaupun kering tapi masih ada lembap-lembap sikit sebab saya tak suka inti yang terlalu kering. Angkat dan sejukkan.
 
Bahan Doh Keledek :
700 gm keledek oren
150 gm - 200 gm tepung (lebih kurang 20-30% berat keledek)
50 gm tepung ubi (7% drpd berat keledek)
sedikit garam
1 sudu minyak untuk kegunaan ketika membentuk


Caranya :
Kupas dan potong kecil keledek. Rebus keledek sehingga empuk. Masukkan garam dalam air rebusan. Sentiasa jaga jangan sampai ia terlalu empuk sebab keledek oren agak serap air dan lembik.
Angkat dan toskan sehingga air kering dan biarkan sejuk sebentar
Masukkan dalam bekas dan lenyek hingga hancur,
Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis atau sehingga adunan boleh dibentuk. Jika adunan masih melekit ditangan walaupun tepung sudah habis, jangan risau.
Basuh tangan dan keringkan. Sapu minyak di tangan dan bulat-bulatkan adunan kepada bebola doh kecil yang seberat 40gm (ikut suka anda)
Leperkan doh dan masukkan inti dan tutup rapat.
Bulat-bulatkan dan kemudian leperkan sedikit. Sapu minyak di tangan jika doh melekat.
Leserkan minyak atas dulang dan letak cucur anda. (saya tabur tepung aje sebab biasa tengok my mum buat macam tu.....)


3
AYAM MASAK LEMAK CILI API (Tanpa Santan)



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masak lemak cili api adalah masakan trademark Negeri Sembilan. Dengan kuah pekat, rasa pedas merupakan ciri-ciri masakan nogori. Di situlah keistimewaannya. Walau kadangkala kepedasan kuahnya boleh menjuraikan air mata si pemakan namun dek kerana terlalu sedap juraian air mata tidak dihiraukan.....cuma mungkin diselangi dengan tegukan air sejuk bagi meredakan bahang pedas dalam mulut. Bak kata orang, kecil-kecil cili padi. Begitulah umpamanya juga cili padi @ api dalam masakan.....nampak yo kocik lotak sikik pun dah teghaso podeh.....kalau banyak mak aihh mau beghasap tingo dibuek eh.....

My family pun antara penggemar masakan nogoghi. Antaranya masak lemak cili api daging salai, nangka, pucuk ubi, rebung dan banyak lagilah.....tak tersebut kat sini kalau nak sebut satu persatu. Semua tahu masak lemak nogori mahupun masak lemak negeri lain tak sah kalau tak guna banyak santan terutamanya santan pekat sebab dari santan pekat inilah yang timbulkan rasa lemak dan memberi rasa sedap tu.




Maka hari ini bersamaan 10 Ramadhan saya nak kongsikan dengan pengunjung semua dengan masak lemak cili api tanpa santan. Sekali pun tidak bersantan tetapi rasa sedap, enak, lemak dan pekat itu masih tetap ada. Pendek kata siapa-siapa yang merasa mesti tidak menyedari masakan ini tiada santan sebab rasanya sama saja dengan masak lemak bersantan. Yang pastinya sihat daripada kolestrol.




Saya buat half daripada resepi di bawah. Istimewa lainnya masakan ini selain tiada santan, ia dibubuh serbuk buah pala. Harum buah pala inilah yang memberi keunikan aroma dan rasa gulai lemak ayam ini. Resepi ini betul-betul buat saya jatuh cinta pandang pertama. Cuba lah dan rasakan sendiri.....

The best recipe, must be kept!



Resepi LEMAK AYAM CILI API (Tanpa Santan)
by Iza Akma SSK
rcp ~ Chef Joha Hassan



Bahan-Bahan :
1 ekor ayam ~ dipotong 16
2 batang serai ~ dititik
300 ml susu cair / susu rendah lemak
8-10 biji cili api ~ tumbuk kasar
1 kiub ikan bilis
secubit serbuk buah pala
2 helai daun pandan
2 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan Tumbuk/Kisar Halus :
4 ulas bawang putih
3 biji buah keras
18 biji gajus
6 biji badam
3 sudu besar bawang besar kisar
1/2 inci halia
1 sudu kecil serbuk kunyit

Hiasan :
Bawang goreng
Sedikit daun ketumbar

** saya tambah 1 biji kentang untuk 1/2 resepi


Caranya :

Kepingan ayam digoreng bersama garam dan kunyit. Ketepikan.
Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan rempah yang ditumbuk /kisar dengan 2 batang serai yang dititik serta daun pandan. Bila aroma rempah naik bau, masukkan ayam goreng dan tuangkan susu cair. Masukkan serbuk buah pala dan kacaukan supaya sebati. Biarkan ayam, kecilkan api, dan kacau sekali sekala.
Perasakan garam. Bila kuahnya mendidih, tutupkan api. Biarkan sementara sebelum disaji.
Taburkan bawang goreng dan daun ketumbar sedikit. Sediakan bersama sambal belachan dan nasi putih panas.


** Cara saya : Untuk 1/2 resepi saya guna 1 cwn air + 1/2 cwn susu cair. Masa step masukkan susu dalam cara di atas, saya masukkan air. Bila hampir nak masak baru tuangkan susu kerana jika susu cair dimasukkan awal-awal, kuah akan menjadi terlalu pecah minyak dan tidak cantik.

2
KUAH LODEH / LONTONG



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Alhamdulillah, hari ini genap seminggu kita berpuasa. Kita bertuah kerana kita adalah antara insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan ini.

Alangkah beruntungnya kita hidup dalam keadaan negara jauh lebih baik jika dibandingkan dengan saudara seakidah di bumi Islam lain. Misalnya, tengok saja apa yang berlaku di Palestin. Rakyat dan bumi Gaza terus diganyang rejim Zionis sehinggakan kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dengan rakus dirampas Yahudi menjadikan ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi. Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali Allah SWT dan jangan berpecah-belah. Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.




Kita bernasib baik kerana bukan sahaja berpeluang hidup dalam keadaan aman damai malah dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan tenang, cukup segala kemudahan serta dilimpahi mewah dengan pelbagai pilihan makanan. Tetapi suasana yang kita rasakan tidak dirasai oleh saudara kita di Palestin.

Walaupun hidup mereka terus-terusan dihimpit kesengsaraan namun setiap kali menjelang Ramadhan mereka akan sambut ketibaan bulan mulia ini dengan kegembiraan. Mereka berpuasa dalam keadaan serba sulit. Bekalan elektrik terputus, menyebabkan mereka bergelap ketika bersahur atau berbuka puasa. Bekalan elektrik dicatu atau diberi berselang seli mengikut kawasan. Kalau hari ini tiada bekalan elektrik ketika bersahur, esok tiada bekalan elektrik ketika buka puasa. Mereka juga tidak dapat mendengar azan untuk mengetahui waktu berbuka puasa kerana sistem pembesar suara tidak boleh berfungsi. Lebih memburukkan keadaan, kadangkala mereka terputus bekalan gas, menyebabkan sukar untuk memasak selain kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Bayangkan, jika kita berada di tempat mereka, mampukah kita lalui semua kesukaran itu? Masih bolehkah senyuman terukir, meneruskan perjuangan hidup dengan semangat kental ataupun sentiasa merintih berkeluh kesah mengenang nasib yang menimpa dengan bersekali hilangnya juga kekebalan semangat di jiwa? Akan menebal atau goyahkah iman kita kepada-Nya jika hidup dizalimi tiada bernoktah? Renung-renungkan sejenak.....




Inilah seperti yang dijanjikan.....Kuah Lodeh / Kuah Lontong. Masuk yang ini, entah keberapa kali dah buat.....tak ingat. Yang pasti dah berulang-ulang kali sebab puashati dengan resepi yang ini. Sepatutnya kena ada serunding, sambal tumis barulah complete.....tapi saya tak buat.....pada saya kuah lodeh dengan kuah kacang saja pun dah cukup sedap. Sesuai disajikan pada bila-bila masa. Siapa yang nak cuba, bolehlah cuba memandangkan musim perayaan pun tak berapa minggu lagi kan. Enjoy!!



Resepi KUAH LODEH / LONTONG
by Iza Akma SSK
source ~ Fida @ MyResepi



Bahan-Bahan :
2 batang serai ~ dititik
1/2 jari lengkuas ~ dititik
4 helai daun salam
200 gm udang hidup

Bahan Sayuran :
1/2 biji kobis
8 batang kacang panjang
1 batang lobak merah
1 biji kecil sengkuang
1 biji terung panjang
4 biji kentang
4 keping tauhu ~ dipotong kecil dan goreng
4 keping tempe ~ dipotong & digoreng
2 ikat su'un ~ direndam
1 keping tauhu kering ~ direndam
4 biji cili merah ~ dipotong serong
4 biji cili hijau ~ dipotong serong
2 liter santan pekat dan cair drpd 3 biji kelapa
air secukupnya
garam secukupnya
1/4 cawan minyak untuk menumis

Bahan Di Kisar Halus :
10 tangkai cili kering
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 jari kunyit hidup
1 hiris halia
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar ikan bilis
2 sudu kecil biji jintan manis ~ disangai dulu
sedikit belacan jika suka
Caranya :

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan udang dan tumis lagi. Masukkan santan, daun salam, lengkuas dan masak hingga mendidih.
Masukkan sayuran bermula dengan yang keras dulu dan tambah air secukupnya hingga sayur tenggelam. Bubuh garam secukup rasa dan masak lagi hingga mendidih dan sayur lembut.
Hidang sayur lodeh dengan lontong, ketupat atau nasi impit dan juga sambal tumis, serunding, rendang, kuah kacang dan juga telur rebus.


2
Resepi KUAH KACANG (2)



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Biasa lah.....kalau di bulan-bulan puasa selera makan kita ni satu macam aje. Masa ini lah selera tu pandai memilih itu memilih ini. Kekadang tu pulak serasa seperti mengidam sesuatu. Aneh betul selera ni kan. Pokok pangkalnya pada kita. Kita yang kena pandai kontrol diri seperti kata peribahasa, ' Ikut hati mati, Ikut rasa binasa, Ikut nafsu lesu'.

Sebenarnya sebelum puasa lagi asyik duk teringat-ingat nak makan nasi impit dengan kuah lodeh dan kuah kacang. Tapi tu lah selalu tertangguh-tangguh sampai lah masuk puasa. Nak ditangguh, raya lambat lagi.....puasa pun baru jer. Akhirnya dengan gigih menjadi jugak kuah kacang dengan lodeh idaman untuk iftar semalam. Ahli rumah tiada bantahan sebab depa pun memang suka.




Elok juga buat nih, tak payah lagi nak masak nasi lauk-pauk segala. Walaupun penyediaan bahan-bahan rempah ratusnya agak meremehkan tapi hasilnya berbaloi, puashati. Makan ini saja pun dah lebih dari cukup.....mengenyangkan.....tak perlu bermacam-macam makanan lain.

Lagipun ahli rumah ni bukan lah pemakan sangat lagi-lagi bulan puasa ni. Masak pun ala kadar.....banyak-banyak nanti buat bazir jer. Tambah pulak dengan harga barang makanan sekarang ni dah tak macam dulu lagi .....semuanya naik mencanak macam roket. Kalau berbelanja ikut nafsu yang kaya pun boleh kayap jadinya. Dan kalau makan pulak ikut nafsu boleh hilang nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan. Jadi ada baiknya kita ini bersederhana dalam semua segi. Itu yang dituntut.




Kalau raya nasi impit buat sendiri tau.....tak main lah yang instant sebab yang buat sendiri tu lagi best, lagi lembut berbanding segera. Tapi kalau untuk sesaja makan macam nih yang segera tu jugak yang dicari sebab lebih mudah.....tak perlu buang tenaga tanak nasi mengimpit bagai.....hi hi hi.

Pada siapa yang ingin mencuba, silakan. Untuk kuah lodehnya akan menyusul.....



Resepi KUAH KACANG (2)
by Iza Akma SSK


Bahan A :
150 gm kacang tanah ~ sangai, buang kulit dan tumbuk
1/2 cawan air asam jawa
2 sudu makan gula merah
garam & gula pasir secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan Kisar :
1 sudu kecil biji ketumbar*
1/2 sudu kecil biji jintan manis*
1/2 sudu kecil biji jintan putih* (* sangai )
1 batang serai
1 inci lengkuas
12 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1/4 inci kunyit hidup ~ yang ni agak-agaklah ya


Caranya :
Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik aromanya.
Masukkan 2 cawan air dan kacau rata.
kemudian masukkan kacang tanah, gula merah, gula pasir, garam dan air asam jawa. Biarkan mendidih dan kecilkan api. Masak hingga kuahnya pekat.
Hidangkan bersama nasi impit atau ketupat.



3
BUBUR SOM SOM TROPICANA



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Ramadhan Kareem.....

Detik indah bersahur dan berbuka yang dirindui selepas setahun ditinggalkan kembali dirasai semula semalam dengan penuh rasa kesyukuran dan kenikmatan. Alhamdulillah sekali lagi kita direzekikan oleh Allah SWT bertemu dan beribadah di dalam bulan mulia, bulan hebat yang mempunyai 1001 rahmat dan keampunan.

Namun apakah pasti rezeki ini akan dapat kita lewati hingga ke hujungnya. Justeru, sama-sama kita menggandakan amal, mengikhlaskan diri, memperbanyakkan tilawah Al Quran, sedeqah dan pelbagai amalan lain. Rebutlah peluang yang dihadirkan sekali setahun ini untuk kita menjana saham akhirat sebanyak mungkin. Semoga rahmat dan keampunan Allah dapat diraih.....

Ramadhan yang penuh barakah seharusnya menjadikan umat Islam manusia lebih hebat, produktif dan cemerlang. Ini kerana umat yang beribadah dalam bulan ini pada hakikatnya terbangun di atas dinamika ketaqwaan dan keimanan yang sekali gus dijelmakan dalam kehidupan mereka seharian. Bersamalah kita berdoa agar segala ibadah kita di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini mampu membasuh daki di hati, membersih dan menyucikan jiwa kita hendaknya.




Juadah manisan sama ada kuih, puding, bubur atau apa saja yang manis selain tamar wajib ada di kala iftar sebagai mengiringi juadah-juadah lain di meja hidangan. Tak tahulah orang lain macam mana. Tapi pada saya dan keluarga ia satu kemestian.....bak kata orang, tak boleh tidak. Sejenis pun dah memadai sebagai penyejuk tekak nak-nak cuaca panas pulak tu.....

Inilah Bubur Som Som.....favourite time berbuka. Rasanya yang lembut dan lemak-lemak itu bikin hati tergoda you.....bermandikan lagi dengan sirap pandan.....fuhhh, sedaapp!



Resepi BUBUR SOM SOM TROPICANA
by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
2 cawan tepung beras
2 sudu besar penuh tepung ubi
7 cawan santan
1 sudu kecil garam
3 helai daun pandan ~ disimpul

Satukan semua bahan kecuali daun pandan dalam satu bekas. Kacau dengan whisk hingga adunan sebati. Tapis bancuhan ke dalam periuk. Masukkan daun pandan dan masak atas api kecil sambi terus mengacau hingga likat dan berkilat selama lebih kurang 20 minit.

Kemudian masukkan ke dalam bekas-bekas pilihan atau dalam loyang (sapu sedikit minyak) dan biarkan hingga sejuk.



Sirap Pandan :
1 cawan gula pasir ~ ikut sesuai selera
2 cawan air
Daun pandan ~ disimpul
Beberapa titik Pandan Pes

Masak hingga mendidih. Setelah mendidih, tutup api dan tambahkan pandan pes. Biarkan sejuk.



Sirap Gula Melaka :
1 ketul gula melaka
3/4 cawan gula pasir
2 cawan air
2 helai daun pandan ~ disimpul

Masak semua bahan sirap hingga mendidih dan gula larut. Biar mendidih perlahan-lahan untuk 2-3 minit lagi. Angkat, sejukkan dan tapis.


Hidangkan sirap bersama bubur som som.....Aduhhh nyamann sekali!!!




7
INDAHNYA RAMADHAN....DATANG LAGI !



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Marhaban Ya Ramadhan.....

Bertuah dan syukur kita kepada ALLAH sebagai umat Islam kerana dapat menyambut dan melaksanakan ibadah Ramadhan pada tahun ini. Semoga kita semua umat Islam dapat menunaikan puasa dan ibadah-ibadah lain dengan baik.

Kedatangan Ramadhan bulan yang mulia sememangnya dinantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Ramadhan adalah bulan istimewa kerana ia satu-satunya bulan menuntut umat Islam berkewajipan menunaikan ibadah utama yang merupakan sebahagian daripada Rukun Islam dengan menahan lapar dan dahaga demi meraih cinta dan redha-Nya.

Inilah peluang terbaik untuk kita memperbaiki disiplin dari pelbagai aspek dan mendidik akhlak yang baik dengan akhlak terpuji dan murni. Muhasabah diri harus dilakukan agar kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu. Kerana dengan bermuhasabah diri dapatlah kita perbaiki kelemahan yang telah kita lakukan pada tahun-tahun sebelumnya dan berazam untuk lakukan yang terbaik. Firman Allah SWT, bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertaqwa." (Al-Baqarah:183)

Puasa seharusnya mendidik manusia menjaga hati dan juga lidah serta pancaindera lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat." (Riwayat Imam Malik).




Justeru, puasa Ramadhan sewajarnya mendidik umat Islam menuturkan kalimah yang baik dan ucapan yang baik. Sentiasa mengungkapkan kalimah mulia kerana amalan baik adalah sedekah yang digandakan pahalanya. Elakkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kesucian Ramadhan dan juga menyakiti hati orang lain sama ada dengan perlakuan mahupun pertuturan.

Jadikan puasa Ramadhan perisai diri dan masjid tempat mentarbiyahkan hati dan diri ke arah kebaikan serta ketaqwaan. Seperti ingatan Rasulullah, " Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki lapar dan hausnya." (Riwayat Al-Bukhari). Bermakna ucapan yang tidak baik seperti fitnah dan berdusta mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia sahaja.

Oleh itu, jadikan puasa sebagai ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah, mendidik sifat kemanusiaan dan kesederhaan, melakukan perubahan ke arah kebaikan dan juga memahami dan menghayati kesyumulan Islam.

Jadikan Ramadhan yang datangnya setahun sekali ini, sebagai bulan ke arah menjana taqwa dan meningkatkan keimanan. Justeru ucapan dan perbuatan sia-sia, tohmahan, maki, keji dan seranah, berbicara bohong dan menyebar fitnah sama ada melalui tulisan dan lisan adalah perbuatan yang patut dijauhi. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Demikianlah ajaran Allah dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (Al-Hajj:32)

Alangkah ruginya kita jika berpuasa tanpa mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda, " Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Al-Bukhari).





Khas buat semua rakan-rakan Muslim yang mengenali diri ini dan SSK, tak lupa juga pada semua pengunjung dan pembaca Muslim yang tidak jemu singgah, membaca dan melontarkan pandangan dan komen manis di blog ini.....terimalah kad ucapan yang tidak seberapanya ini istimewa daripada SSK dengan ucapan ikhlas.....' Salam Ramadhan Al-Mubarak'  dan ' Selamat Menjalani Ibadah Puasa '.

Moga puasa kali ini mendapat keberkatan dari-Nya dan lebih baik daripada sebelumnya. In sha Allah.




11
NUTELLA CHOCOLATE CHIP COOKIES



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Tak berapa hari lagi kita semua berkewajipan menunaikan tuntutan rukun Islam ke-4, berpuasa Ramadan. Semoga kita diberikan Allah SWT dengan kesihatan yang baik agar dapat menyempurnakan ibadah sebaik yang boleh, lebih baik daripada tahun sebelumnya. In sha Allah.




Walaupun raya masih jauh lagi perjalanan, ramai yang dah berkira-kira biskut apalah nak buat untuk raya kali ini. Jangan terkejut. Ini bukan biskut untuk raya tau. Ini saja-saja testing jer dulu. Sekaligus mempelbagaikan koleksi biskut chips yang sedia ada dengan aneka versi.

Biskut Coklat Chips Nutella ini berbaloi sungguh membuatnya.....tak rugi mencuba sebab rasanya memang mantap. Pada yang nak mencuba, sila lah ya. Pasti anda seisi keluarga akan menyukainya.





Resepi BISKUT COKLAT CHIPS NUTELLA
by Iza Akma SSK
adapted from Citarasawan with slightly changes



Bahan A :
200 gm butter
50 gm shortening
40 gm nutella
60 gm gula kastor
90 gm gula perang
1 tsp esen vanila
1 biji telur (gred C)
secubit garam

Bahan B :
330 gm tepung gandum*
10 gm serbuk koko*
1 tsp baking powder*
1 tsp soda bikarbonat* (*diayak bersama)
30 gm coffee-mate

Bahan C :
100 gm chocolate chips
100 gm chocolate button white ~ patahkan kecil
80 gm almond nibs ~ bakar dahulu
60 gm cornflakes ~ ramas kasar


Caranya :
Satu dan gaulkan Bahan (B) yang diayak dengan coffee-mate beserta Bahan (C). Ketepikan.
Pukul semua Bahan (A) dengan senduk kayu hingga sebati.
Masukkan campuran Bahan (B) dan (C) tadi. Gaul hingga jadi doh yang lembut.
Sudukan atau punjut-punjutkan adunan dengan hujung jari ke dalam dulang pembakar.
Bakar pada suhu 160C selama 20-25 minit.



Panduan Daripada SSK :
Biskut ini saya bakar pada suhu 125C menggunakan api atas dan bawah bersekali kipas selama 40 minit. Selepas 20 minit pertama pusingkan dulang. Jika membakar dua dulang sekaligus, selepas 20 minit pertama tukarkan dulang di rak bawah ke atas dan atas ke bawah. Teruskan membakar untuk 20 minit lagi.