1
DAGING BADAMI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Mungkin ramai antara kita takut untuk memakan badam (almond). Begitu juga dengan jenis-jenis kekacang yang lain kerana kandungan lemaknya yang tinggi. Sebenarnya tidak perlu takut kerana walaupun badam mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% lemak yang terkandung adalah lemak tak tepu (unsaturated fat) yang diperlukan oleh badan.

Masyarakat di Timur Tengah seperti Iran, Afghanistan, Pakistan & India, beribu tahun dahulu mengambil badam sebagai salah satu sumber makanan tambahan bertujuan meransang minda dan meningkatkan daya ingatan untuk penghafalan al-Quran, Hadis dan pelbagai ilmu. Kanak-kanak amat sesuai amalkan memakan badam kerana khasiatnya berupaya membantu menguatkan minda selain membantu membina tulang dan gigi yang sihat. Manakala pada orang dewasa pula ia membantu menyihatkan jantung.




Diantara kebaikan badam adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan Tahap Intelektual yang tinggi.
  • Menurunkan Paras kolestrol
  • Merendahkan Risiko Darah Tinggi
  • Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
  • Menghalang Osteoporosis.
  • Menghalang Obesiti (Kegemukan)
  • Melindungi dari Diabetes
  • Menurunkan Risiko Batu Karang
  • Mengelak Sembelit
  • Menghalang Kanser Usus (colon)
  • Mengurangkan penyakit Alzheimer (nyanyuk)
  • Mencantikkan Kulit
  • Menambah Tenaga
  • Kesihatan Rambut
  • Menghalang daripada Anemia
  • Bagus semasa hamil kerana kandungan folate yang tinggi.

Tetapi Awas! Mereka yang bermasalah buah pinggang dinasihat supaya mengelak dari memakan badam.




Hari ni SSK nak share resepi daging yang sungguh tidak terkata sedapnya. Lauk ini diberi nama Daging Badami kerana menggunakan badam dalam ramuannya. Mesti ada yang tertanya-tanya macam mana lah rasanya lauk ini ehh.

Okay, kalau nak tahu camner.....cuba tutup mata bayangkan yang anda sedang makan kek ataupun biskut yang ada campuran badam dalamnya. Sedap tak? Sedapkan, terasa lemak-lemak dengan harum badam. Haaa, macam tu jugaklah masakan Lauk Daging Badami ini.

Lauk ni tak langsung guna santan tapi rasanya sungguh lemak macam ada bubuh santan jer. Kuahnya pulak pekat sebab adanya campuran kisaran badam. Aromanya, hmmm.....menusuk hidung menikam kalbu, wangi dengan haruman daun pudina dan ketumbar bersama rempah-rempah yang lain.

Tak nak cakap banyak. Apakata kita redah resepi tengok apa isi bahannya. Jomms....



Resepi DAGING BADAMI
by Iza Akma SSK
recipe ~ Mumtaj Begum Omar



Bahan-Bahan :
1  kg daging ~ dihiris ikut suka
1/2 cawan yogurt
1  sudu teh serbuk kunyit
2  helai daun pandan disimpul
5  biji buah pelaga
5  kuntum bunga cengkih
2  inci kulit kayu manis
4  biji bawang besar ~ dihiris halus
2  biji lada hijau ~ dibelah dua jangan putus
1  biji lada merah ~ dibelah dua jangan putus
1  sudu makan pes halia
1  sudu makan pes bawang putih
5  biji tomato ~ didadu
2  sudu makan serbuk jintan putih
3  cawan air
1/2 cawan daun ketumbar (asingkan sikit untuk tabur)
1/2 cawan daun pudina
10  biji badam ~ dikisar dengan 1/2 cawan air
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa


Caranya :

Gaul daging, yogurt, kunyit dan perap selama 30 minit. Sementara itu, panaskan minyak dalam periuk. Goreng daun pandan sehingga wangi. Masukkan pelaga, cengkih dan kayu manis. Tumis lagi selama 3 minit.

Masukkan bawang hiris, lada dan tumis lagi. Setelah layu, masukkan pes halia dan pes bawang putih. Masukkan tomato dan balik-balikkan. Selepas 5 minit, masukkan serbuk jintan putih, daun ketumbar, daun pudina dan 1 cawan air (air drpd 3 cawan tadi). Kacau rata, tutup periuk, kecilkan api dan renehkan selama 10 minit.

Kemudian masukkan daging sahaja, ketepikan dahulu air perapannya. Besarkan api dan gaul daging sehingga sebati dengan rempahnya. Barulah boleh dimasukkan air perapan daging serta baki 2 cawan air dan garam. Gaul rata, tutup periuk dan masak sehingga daging 3/4 empuk. Kacau setiap 15 minit.

Tuangkan badam kisar, kacau rata, masak sehingga dagingnya empuk dan kuahnya pekat. (jika kuahnya menjadi pekat tapi daging belum empuk boleh tambahkan sedikit air lagi ) Jangan lupa kacau setiap 15 minit untuk mengelakkan lauk daripada melekat di dasar periuk. Apabila daging sudah empuk, kuahnya pekat dan minyaknya naik, padamkan api dan tabur daun ketumbar. Jangan dikacau lagi. Tetapi sebelum menghidang hendaklah digaul dahulu.



1 sweet comments:

Gee® said...

Sedapnyaaaa...