2
KEISTIMEWAANNYA BULAN REJAB....



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Bulan dalam bahasa Arab disebut "Al-Syahru" bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Taqwim hijriyah dimulai dengan bulan Muharram diikuti seterusnya Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Nama-nama bulan tersebut merupakan nama-nama yang biasa dipakai secara tradisi di dalam masyarakat Quraisy (jahiliyah) sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

" Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa."  
Surah Al-Taubah : 36



Hari ini bersamaan 13 Rejab 1434H. Tidak terlewat rasanya untuk saya memuatkan serba sedikit ilmu berkenaan bulan Rejab, bulan kebajikan dan kebaikan Allah kepada hambaNya. Pada bulan Rejab inilah dilipat gandakan pahalanya, dilipat ganda keampunan dosa-dosanya dengan mudah mendapat keampunan dan taubat dari Allah SWT, diangkat darjat keimanan oleh Allah di dunia, dan diangkat darjat yang tinggi di dalam syurga di akhirat kelak.

REJAB ertinya ta'zim iaitu kebesaran, keagungan, kemuliaan. Kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya, kebajikanNya serta balasan pahala yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan bulan Allah. Bulan yang diperintah untuk banyak perbuat amal kebajikan padaNya, bulan yang digalakkan berbuat amal ibadat, sembahyang fardhu dan sembahyang-sembahyang sunat, bulan diperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan taubat ke hadrat Allah, berzikir, bertasbih, berselawat, berdoa, bersedekah, dan segala rupa kebaikan dan kebajikan yang diperintah Allah dan RasulNya.



PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

1. Hijrah Pertama Dalam Islam
Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.


2. Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.





Peristiwa Yang Berlaku Sebelum dan Semasa Perjalanan Israk Rasulullah SAW
  • Didatangi malaikat Jibril.
  • Hati Rasulullah disuci.
  • Menunggang Buraq.
  • Bertembung dengan jin Afrit.
  • Berjumpa kaum berhuma dan mengetam pada hari yang sama (satu kebajikan dibalas dengan 700 kali ganda atau lebih banyak lagi).
  • Tercium bau harum. (Bau Masitah yakni penyikat rambut anak Firaun yang berani mempertahankan aqidahnya)
  • Kaum yang memecahkan kepala (Umat yang memberatkan kepala mereka untuk menunaikan atau beribadat kepada Allah)
  • Kaum yang memakan zakum (batu dan bara api Neraka jahanam). Balasan untuk mereka yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Kaum yang memakan daging mentah. Isteri atau suami yang mempunyai suami atau isteri yang halal tetapi mereka mendatangi lelaki atau perempuan (pelacur) untuk melakukan zina
  • Duri di jalan. Perumpamaan kaum yang duduk di tepi-tepi jalan (lepak dan mengintai-gintai orang yang lalu di jalan tersebut bertujuan menganggu dan sebagainya).
  • Berenang dalam lautan darah sambil dilontarkan batu ke mulutnya. Perumpamaan umat yang memakan riba.
  • Menghimpun beberapa berkas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya tetapi semakin ditambah pula kayu tersebut. Perumpamaan seorang yang memegang amanah tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya tetapi masih juga dia hendak menerima amanah lain.
  • Kaum yang menggunting lidah dan bibir mereka. Inilah diumpamakan seseorang manusia yang mengajar dan mereka tidak membuat apa yang mereka ajarkan.
  • Kaum yang menggaru muka dengan kuku tembaga. Perumpamaan mereka makan daging saudaranya dengan mengumpat serta menjatuhkan maruah orang lain.
  • Lembu keluar dari lubang sempit kemudian cuba masuk semula tapi tidak berjaya. Perumpamaan seseorang yang memperkatakan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah, kemudian dia meyesali atas perbuatannya itu tetapi dia tidak mampu untuk menyesalinya.
  • Rasulullah ditegur oleh pihak kanan (Yahudi) dan kiri (Nasrani). Rasulullah tidak menjawab teguran tersebut. Sekiranya beliau menjawab nescaya ramailah umatnya yang akan menjadi pengikut Yahudi dan Nasrani.
  • Rasulullah diseru oleh perempuan yang memakai perhiasan yang cantik. Rasulullah tiada menjawab seruan itu. Jika ia menjawab maka ramailah umatnya yang lebih mementingkan dunia dari Akhirat.
  • Rasulullah diseru perempuan berhias serta seorang tua. Kiasan / perumpamaan umur dunia.
  • Rasulullah imam segala para nabi serta mursalin semasa solat di Baitul Maqdis.
  • Rasulullah terasa dahaga. Jibrail membawa 3 jenis minuman iaitu susu, arak dan madu. Rasulullah memilih susu. Maka Jibril membenarkan pilihan Rasulullah SAW sambil berkata, "Sesungguhnya engkau telah memilih asal kejadian dan jika engkau meminum arak, nescaya umat engkau akan ramai yang sesat dan tiada yang beriman melainkan jumlah yang sedikit."
  • Rasulullah di datangi bidadari dari Syurga.




Peristiwa Yang Berlaku Semasa Perjalanan Mikraj Rasulullah SAW
  • Rasulullah menaiki langit pertama- berjumpa dengan Nabi Adam A.S
  • Rasulullah menaiki langit yang kedua - bertemu Nabi Isa dan Nabi Yahya.
  • Rasulullah menaiki langit yang ketiga - bertemu Nabi Yusuf.
  • Rasulullah menaiki langit yang keempat - bertemu Nabi Idris.
  • Rasulullah menaiki langit yang kelima - bertemu Nabi Harun.
  • Rasulullah menaiki langit yang keenam - bertemu Nabi Musa.
  • Rasulullah menaiki langit yang ketujuh - bertemu Nabi Ibrahim.
  • Bertemu kaum yang mandi di sungai.
  • Memasuki Baitul Makmur.
  • Pokok dan sungai di syurga.
  • Melihat rupa Jibril yang sebenar.
  • Memasuki syurga. Terdapat 8 jenis Syurga ( Jannatul Firdaus, Jannatul Adnan, Jannatul Khuld, Jannatun Naim, Jannatul Makwa, Jannatus Salam, Jannatul Jalal, Janatul Maqamu Wal Qarar.)
  • Kelebihan orang memberi hutang. Pintu Syurga tertulis: "SEDEKAH ITU ADALAH 10 KALI GANDA DAN MEMBERI HUTANG ITU 18 KALI GANDA."
  • Melihat Telaga Al-Kausar.
  • Diperlihatkan kepada Rasulullah keadaan Neraka. Terdapat 7 jenis neraka iaitu (Neraka Jahanam, Neraka Lazha, Neraka Khutamah, Neraka Saeir, Neraka Saqar, Neraka Jahim, Neraka Hawiyah.)
  • Berpisah dengan Jibril untuk ke Sidratul Muntaha.
  • Perjalanan untuk bertemu Allah diperdengarkan suara malaikat menyerupai suara Abu Bakar.
  • Menemui Allah Rabbul Jalil.
  • Berdailog dengan Nabi Musa.
  • Berulang-alik antara Nabi Musa dengan Allah.
  • Allah memfardukan lima waktu solat.
  • Turun semula ke bumi.
  • Meninggalkan Baitul Maqdis.



3. Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran. Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


4. Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah, orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5. Lahirnya Imam Syafie RH
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.





Hadith- Hadith berkaitan Bulan Rejab

Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadith-hadith Sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah.

Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.




Antara Hadis yang menjelaskan kelebihan Bulan Rejab

1.   Sabda Nabi S.A.W : hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.

2.   Sabda Nabi S.A.W : bulan Rejab Bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.

3.   Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul -Qadarnya.

4.   Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi ( Firdaus) . 


5.   Puasa 2 hari dilipatgandakan pahalanya.

6.   Puasa 3 hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalang dia ke neraka ( panjangnya setahun perjalanan).

7.   Malam awal Rejab mustajab doanya ( dalam Kitab Raudhoh Imam Nawawi).

8.   Puasa 4 hari pada bulan Rejab diafi'atkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajjal di hari Qiamat.

9.   Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur. 


10. Puasa 6 hari pada bulan Rejab keluar daripada kubur bercahaya mukanya.

11. Puasa 7 hari pada bulan Rejab ditutup daripadanya tujuh pintu neraka.

12. Puasa 8 hari pada bulan Rejab dibuka lapan pintu syurga.

13. Puasa 9 hari pada bulan Rejab akan mendapat mengucap ketika keluar dari kubur dan tidak ditolak masuk ke neraka.

14. Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di titian siratal-Mustaqim pada tiap-tiap batu.

15. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam Syurga, dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

16. Puasa 19 hari pada bulan Rejab dibina baginya sebuah mahligai di hadapan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.

17. Puasa 20 hari pada bulan Rejab diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

18. Berkata Saidina Ali :
      -  Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
      -  Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
      -  Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

19. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala qalam.

20. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga.

21. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat diatas titi 
siratal-Mustaqim di hari kiamat.

22. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya hidup.
Berseru dari langit :  Gembiralah kamu dengan kemuliaan yang besar ; dan diminumkan dia ketika hendak mati. Mati dengan puasa, masuk kubur dengan puasa, keluar kubur dengan puasa, dan masuk syurga dengan puasa (Al-Hadis), lepas dari azab kubur (Al-Hadis) - (berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malamnya).

23. Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan

bertaubat kepada Allah. Puasa bulan Rejab wajib baginya :
    - Diampunkan dosanya yang lalu.
    - Dipeliharakan umurnya yang tinggal.
    - Terlepas dari dahaga di hari qiamat.

24. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya.

25. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.

26. Siapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

27. Tiap hari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan rejab seperti ibadat seribu haji dan umrah. Dibina seribu mahligai, seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali, kerana keistimewaan bulan Rejab, bulan Allah.

28. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka, kerana kemuliaan bulan Rejab.

29. Allah jadikan dibelakang bukit Jabar Qaf bumi yang putih yang penuh dengan malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada umat Muhammad. Allah menjawab : Telah aku ampunkan mereka!

30. Barang siapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali pada bulan Rejab diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

31. Sesiapa berpuasa pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya : " Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggianKu dan kebesaranKu, tiada aku tolakan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah ArasyKu, engkau kekasihKu dari segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antara engkau". ( Dari Kitab RaudhatulIfkar).

32. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa 1000 tahun. Kerana kebesaran hari Israk Mikraj.

33. Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kepicikan oang mukmin pada bulan rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam Syurga Firdaus.

34. Siapa berpuasa 3 hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga) seperti dia berpuasa 3000 tahun. Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasad, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di mizan, 70 hajat ketika berlalu di titi S
iratal-Mustaqim




Sungguh beruntung sekali bagi hamba-hambaNya yang menggunakan kesempatan terindah bulan rejab ini berlumba-lumba memperbanyakkan amalan ibadat dalam hidupnya. Sungguh satu rahmat Allah yang terbesar yang dianugerahkan kepada hambaNya dengan mendapat keredhaanNya yang besar dan rugilah orang-orang yang ketinggalan rahmat yang melepaskan kita daripada azab neraka dan mendapatkan kita ke dalam syurga.



src : http://www.jais.gov.my



2 sweet comments:

Sue @ Nenie said...

Assalamualaikum..Sue CnP info untuk simpanan dan ingatan utk diri sendiri yaaa...

IZA AKMA said...

@Sue @ Nenie
W'kumussalam....boleh aje Sue silakan. Sememang tujuan sy muatkan di sini untuk perkongsian ilmu kita bersama.