3
KARI DAGING UTARA



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masih ingat lagi Roti Jala Beetroot dalam entri tempohari. Haa, inilah dia kuah kari yang dijanjikan itu. Lama betul kari ini ambil masa untuk memunculkan resepinya. Maaf ya semua atas keterlewatan.

Resepi ini saya ambil daripada blog Sajian Dapur Bonda. Menurut kata Kak Noor (SDB), kari ini adalah resepi orang Utara kerana sejak dahulu lagi resepi inilah yang dimasak oleh bondanya. Kak Noor menamakan masakan tersebut, Kari Masak Merah Daging Cincang kerana menggunakan daging cincang dengan serbuk rempah masak merah Cap O.




Saya gunakan daging lembut batang pinang untuk resepi ini. Manakala rempahnya pula, rempah darat atau dipanggil juga dengan nama rempah kawah. Bila tengok resepi sekali lalu macam banyak sangat bahan-bahan yang diguna tapi sebenarnya lebih kurang saja dengan kari-kari lain. Cuma bezanya pada cara penyediaan yang mana ada sedikit lain tetapi hasilnya amat-amat berbaloi.




Walau Kari Daging Utara ini saya dah ubah sedikit namun tidaklah banyak lari daripada yang asal. Hasilnya sungguh tip-top.....sedap.....kuahnya yang pekat, rempahnya yang cukup terasa menambahkan lagi keenakan kari ini. Nak tengok versi original boleh lihat pada link yang disertakan di bawah. Terima kasih pada Kak Noor atas perkongsian resepi yang delicious ini.

Mungkin sesetengah orang suka kari yang kurang pekat untuk makan dengan roti jala. Tapi saya tak kira lah makan dengan roti jala atau dengan nasi, kuah karinya mestilah kena pekat.....baru terasa.  Tepuk dada tanyalah selera.....rambut sama hitam citarasa lain-lain.



Resepi KARI DAGING UTARA
by Iza Akma SSK
original rcp ~ Kak Noor (SDB)



Bahan-Bahan :
1/2 kg daging batang pinang
1 cawan santan pekat
4 biji cili hijau ~ dibelah dua
1 biji bawang besar ~ dipotong empat
3 keping asam gelugor
3 cawan air / secukupnya
Ubi kentang
Gula & Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis


Bahan A : Untuk Pes Rempah (dikisar)
3 sudu besar rempah gulai kawah
1/2 sudu besar biji jintan manis
1/2 sudu besar biji jintan putih
1 biji bawang besar (kuning)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar


Bahan B : Untuk Tumis
1 biji bawang besar ~ dihiris halus
3 ulas bawang putih ~ dihiris halus
2 inci halia ~ dihiris halus
3 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
8 sudu besar cili kisar


Caranya :

Daging dicuci bersih dan toskan. Satukan daging dengan Bahan (A) yang telah dikisar bersama 2 sudu besar gula. Perapkan sekurang-kurangnya 1 jam supaya pes rempah menyerap ke dalam daging.

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis Bahan (B) sehingga bawang kekuningan dan terbit bau. Masukkan cili kisar dan tumiskan lagi sehingga terbit minyak.

Masukkan daging yang telah diperap tadi ke dalam periuk dan kacau sehingga sebati. Masukkan 2 cawan air dalam periuk. Tutup periuk dan masak sehingga daging empuk. Sekiranya air telah kering dan daging masih tidak empuk, tambahkan air dan masak lagi sehingg daging empuk.

Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang. Kacau rata dan biarkan ubi kentang 3/4 masak.

Kemudian masukkan santan pekat bersama 1/2 cawan air. Tambahkan garam, gula dan asam gelugor. Kacau rata. Biarkan masakan ini mendidih dengan cara renih di atas api kecil sehingga kentang empuk.

Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong empat dan cili hijau. Renihkan lagi sekejap. Setelah cukup rasanya bolehlah diangkat.

Sedia untuk dihidangkan.



3 sweet comments:

ady said...

salam
sedap di mkn dgn roti perancis ni kak

cik cek said...

Emmmm...kari memang fav....suka sgtnya....:)

atharali said...

Dah try tadi, sangat sedap walaupon simple. Tq