2
KUAH LODEH / LONTONG



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Alhamdulillah, hari ini genap seminggu kita berpuasa. Kita bertuah kerana kita adalah antara insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan ini.

Alangkah beruntungnya kita hidup dalam keadaan negara jauh lebih baik jika dibandingkan dengan saudara seakidah di bumi Islam lain. Misalnya, tengok saja apa yang berlaku di Palestin. Rakyat dan bumi Gaza terus diganyang rejim Zionis sehinggakan kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dengan rakus dirampas Yahudi menjadikan ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi. Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali Allah SWT dan jangan berpecah-belah. Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.




Kita bernasib baik kerana bukan sahaja berpeluang hidup dalam keadaan aman damai malah dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan tenang, cukup segala kemudahan serta dilimpahi mewah dengan pelbagai pilihan makanan. Tetapi suasana yang kita rasakan tidak dirasai oleh saudara kita di Palestin.

Walaupun hidup mereka terus-terusan dihimpit kesengsaraan namun setiap kali menjelang Ramadhan mereka akan sambut ketibaan bulan mulia ini dengan kegembiraan. Mereka berpuasa dalam keadaan serba sulit. Bekalan elektrik terputus, menyebabkan mereka bergelap ketika bersahur atau berbuka puasa. Bekalan elektrik dicatu atau diberi berselang seli mengikut kawasan. Kalau hari ini tiada bekalan elektrik ketika bersahur, esok tiada bekalan elektrik ketika buka puasa. Mereka juga tidak dapat mendengar azan untuk mengetahui waktu berbuka puasa kerana sistem pembesar suara tidak boleh berfungsi. Lebih memburukkan keadaan, kadangkala mereka terputus bekalan gas, menyebabkan sukar untuk memasak selain kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Bayangkan, jika kita berada di tempat mereka, mampukah kita lalui semua kesukaran itu? Masih bolehkah senyuman terukir, meneruskan perjuangan hidup dengan semangat kental ataupun sentiasa merintih berkeluh kesah mengenang nasib yang menimpa dengan bersekali hilangnya juga kekebalan semangat di jiwa? Akan menebal atau goyahkah iman kita kepada-Nya jika hidup dizalimi tiada bernoktah? Renung-renungkan sejenak.....




Inilah seperti yang dijanjikan.....Kuah Lodeh / Kuah Lontong. Masuk yang ini, entah keberapa kali dah buat.....tak ingat. Yang pasti dah berulang-ulang kali sebab puashati dengan resepi yang ini. Sepatutnya kena ada serunding, sambal tumis barulah complete.....tapi saya tak buat.....pada saya kuah lodeh dengan kuah kacang saja pun dah cukup sedap. Sesuai disajikan pada bila-bila masa. Siapa yang nak cuba, bolehlah cuba memandangkan musim perayaan pun tak berapa minggu lagi kan. Enjoy!!



Resepi KUAH LODEH / LONTONG
by Iza Akma SSK
source ~ Fida @ MyResepi



Bahan-Bahan :
2 batang serai ~ dititik
1/2 jari lengkuas ~ dititik
4 helai daun salam
200 gm udang hidup

Bahan Sayuran :
1/2 biji kobis
8 batang kacang panjang
1 batang lobak merah
1 biji kecil sengkuang
1 biji terung panjang
4 biji kentang
4 keping tauhu ~ dipotong kecil dan goreng
4 keping tempe ~ dipotong & digoreng
2 ikat su'un ~ direndam
1 keping tauhu kering ~ direndam
4 biji cili merah ~ dipotong serong
4 biji cili hijau ~ dipotong serong
2 liter santan pekat dan cair drpd 3 biji kelapa
air secukupnya
garam secukupnya
1/4 cawan minyak untuk menumis

Bahan Di Kisar Halus :
10 tangkai cili kering
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 jari kunyit hidup
1 hiris halia
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar ikan bilis
2 sudu kecil biji jintan manis ~ disangai dulu
sedikit belacan jika suka
Caranya :

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan udang dan tumis lagi. Masukkan santan, daun salam, lengkuas dan masak hingga mendidih.
Masukkan sayuran bermula dengan yang keras dulu dan tambah air secukupnya hingga sayur tenggelam. Bubuh garam secukup rasa dan masak lagi hingga mendidih dan sayur lembut.
Hidang sayur lodeh dengan lontong, ketupat atau nasi impit dan juga sambal tumis, serunding, rendang, kuah kacang dan juga telur rebus.


2 sweet comments:

tun_telani said...

sedapnyer.. mcm menu raya dh ni... dh lama tun xmakan lontong.

Anonymous said...

Sedapnya..yan ingin mencubanya pada majlis (open house) nanti. Easy and clear demo.thks miss Iza.