1
DAGING BADAMI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Mungkin ramai antara kita takut untuk memakan badam (almond). Begitu juga dengan jenis-jenis kekacang yang lain kerana kandungan lemaknya yang tinggi. Sebenarnya tidak perlu takut kerana walaupun badam mengandungi kuantiti lemak yang tinggi, namun 90% lemak yang terkandung adalah lemak tak tepu (unsaturated fat) yang diperlukan oleh badan.

Masyarakat di Timur Tengah seperti Iran, Afghanistan, Pakistan & India, beribu tahun dahulu mengambil badam sebagai salah satu sumber makanan tambahan bertujuan meransang minda dan meningkatkan daya ingatan untuk penghafalan al-Quran, Hadis dan pelbagai ilmu. Kanak-kanak amat sesuai amalkan memakan badam kerana khasiatnya berupaya membantu menguatkan minda selain membantu membina tulang dan gigi yang sihat. Manakala pada orang dewasa pula ia membantu menyihatkan jantung.




Diantara kebaikan badam adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan Tahap Intelektual yang tinggi.
  • Menurunkan Paras kolestrol
  • Merendahkan Risiko Darah Tinggi
  • Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
  • Menghalang Osteoporosis.
  • Menghalang Obesiti (Kegemukan)
  • Melindungi dari Diabetes
  • Menurunkan Risiko Batu Karang
  • Mengelak Sembelit
  • Menghalang Kanser Usus (colon)
  • Mengurangkan penyakit Alzheimer (nyanyuk)
  • Mencantikkan Kulit
  • Menambah Tenaga
  • Kesihatan Rambut
  • Menghalang daripada Anemia
  • Bagus semasa hamil kerana kandungan folate yang tinggi.

Tetapi Awas! Mereka yang bermasalah buah pinggang dinasihat supaya mengelak dari memakan badam.




Hari ni SSK nak share resepi daging yang sungguh tidak terkata sedapnya. Lauk ini diberi nama Daging Badami kerana menggunakan badam dalam ramuannya. Mesti ada yang tertanya-tanya macam mana lah rasanya lauk ini ehh.

Okay, kalau nak tahu camner.....cuba tutup mata bayangkan yang anda sedang makan kek ataupun biskut yang ada campuran badam dalamnya. Sedap tak? Sedapkan, terasa lemak-lemak dengan harum badam. Haaa, macam tu jugaklah masakan Lauk Daging Badami ini.

Lauk ni tak langsung guna santan tapi rasanya sungguh lemak macam ada bubuh santan jer. Kuahnya pulak pekat sebab adanya campuran kisaran badam. Aromanya, hmmm.....menusuk hidung menikam kalbu, wangi dengan haruman daun pudina dan ketumbar bersama rempah-rempah yang lain.

Tak nak cakap banyak. Apakata kita redah resepi tengok apa isi bahannya. Jomms....



Resepi DAGING BADAMI
by Iza Akma SSK
recipe ~ Mumtaj Begum Omar



Bahan-Bahan :
1  kg daging ~ dihiris ikut suka
1/2 cawan yogurt
1  sudu teh serbuk kunyit
2  helai daun pandan disimpul
5  biji buah pelaga
5  kuntum bunga cengkih
2  inci kulit kayu manis
4  biji bawang besar ~ dihiris halus
2  biji lada hijau ~ dibelah dua jangan putus
1  biji lada merah ~ dibelah dua jangan putus
1  sudu makan pes halia
1  sudu makan pes bawang putih
5  biji tomato ~ didadu
2  sudu makan serbuk jintan putih
3  cawan air
1/2 cawan daun ketumbar (asingkan sikit untuk tabur)
1/2 cawan daun pudina
10  biji badam ~ dikisar dengan 1/2 cawan air
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa


Caranya :

Gaul daging, yogurt, kunyit dan perap selama 30 minit. Sementara itu, panaskan minyak dalam periuk. Goreng daun pandan sehingga wangi. Masukkan pelaga, cengkih dan kayu manis. Tumis lagi selama 3 minit.

Masukkan bawang hiris, lada dan tumis lagi. Setelah layu, masukkan pes halia dan pes bawang putih. Masukkan tomato dan balik-balikkan. Selepas 5 minit, masukkan serbuk jintan putih, daun ketumbar, daun pudina dan 1 cawan air (air drpd 3 cawan tadi). Kacau rata, tutup periuk, kecilkan api dan renehkan selama 10 minit.

Kemudian masukkan daging sahaja, ketepikan dahulu air perapannya. Besarkan api dan gaul daging sehingga sebati dengan rempahnya. Barulah boleh dimasukkan air perapan daging serta baki 2 cawan air dan garam. Gaul rata, tutup periuk dan masak sehingga daging 3/4 empuk. Kacau setiap 15 minit.

Tuangkan badam kisar, kacau rata, masak sehingga dagingnya empuk dan kuahnya pekat. (jika kuahnya menjadi pekat tapi daging belum empuk boleh tambahkan sedikit air lagi ) Jangan lupa kacau setiap 15 minit untuk mengelakkan lauk daripada melekat di dasar periuk. Apabila daging sudah empuk, kuahnya pekat dan minyaknya naik, padamkan api dan tabur daun ketumbar. Jangan dikacau lagi. Tetapi sebelum menghidang hendaklah digaul dahulu.



2
KEISTIMEWAANNYA BULAN REJAB....



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Bulan dalam bahasa Arab disebut "Al-Syahru" bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Taqwim hijriyah dimulai dengan bulan Muharram diikuti seterusnya Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Nama-nama bulan tersebut merupakan nama-nama yang biasa dipakai secara tradisi di dalam masyarakat Quraisy (jahiliyah) sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

" Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa."  
Surah Al-Taubah : 36



Hari ini bersamaan 13 Rejab 1434H. Tidak terlewat rasanya untuk saya memuatkan serba sedikit ilmu berkenaan bulan Rejab, bulan kebajikan dan kebaikan Allah kepada hambaNya. Pada bulan Rejab inilah dilipat gandakan pahalanya, dilipat ganda keampunan dosa-dosanya dengan mudah mendapat keampunan dan taubat dari Allah SWT, diangkat darjat keimanan oleh Allah di dunia, dan diangkat darjat yang tinggi di dalam syurga di akhirat kelak.

REJAB ertinya ta'zim iaitu kebesaran, keagungan, kemuliaan. Kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya, kebajikanNya serta balasan pahala yang tidak terhingga kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan bulan Allah. Bulan yang diperintah untuk banyak perbuat amal kebajikan padaNya, bulan yang digalakkan berbuat amal ibadat, sembahyang fardhu dan sembahyang-sembahyang sunat, bulan diperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan taubat ke hadrat Allah, berzikir, bertasbih, berselawat, berdoa, bersedekah, dan segala rupa kebaikan dan kebajikan yang diperintah Allah dan RasulNya.



PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

1. Hijrah Pertama Dalam Islam
Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.


2. Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.





Peristiwa Yang Berlaku Sebelum dan Semasa Perjalanan Israk Rasulullah SAW
  • Didatangi malaikat Jibril.
  • Hati Rasulullah disuci.
  • Menunggang Buraq.
  • Bertembung dengan jin Afrit.
  • Berjumpa kaum berhuma dan mengetam pada hari yang sama (satu kebajikan dibalas dengan 700 kali ganda atau lebih banyak lagi).
  • Tercium bau harum. (Bau Masitah yakni penyikat rambut anak Firaun yang berani mempertahankan aqidahnya)
  • Kaum yang memecahkan kepala (Umat yang memberatkan kepala mereka untuk menunaikan atau beribadat kepada Allah)
  • Kaum yang memakan zakum (batu dan bara api Neraka jahanam). Balasan untuk mereka yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Kaum yang memakan daging mentah. Isteri atau suami yang mempunyai suami atau isteri yang halal tetapi mereka mendatangi lelaki atau perempuan (pelacur) untuk melakukan zina
  • Duri di jalan. Perumpamaan kaum yang duduk di tepi-tepi jalan (lepak dan mengintai-gintai orang yang lalu di jalan tersebut bertujuan menganggu dan sebagainya).
  • Berenang dalam lautan darah sambil dilontarkan batu ke mulutnya. Perumpamaan umat yang memakan riba.
  • Menghimpun beberapa berkas kayu yang dia tidak terdaya memikulnya tetapi semakin ditambah pula kayu tersebut. Perumpamaan seorang yang memegang amanah tetapi tidak mampu untuk melaksanakannya tetapi masih juga dia hendak menerima amanah lain.
  • Kaum yang menggunting lidah dan bibir mereka. Inilah diumpamakan seseorang manusia yang mengajar dan mereka tidak membuat apa yang mereka ajarkan.
  • Kaum yang menggaru muka dengan kuku tembaga. Perumpamaan mereka makan daging saudaranya dengan mengumpat serta menjatuhkan maruah orang lain.
  • Lembu keluar dari lubang sempit kemudian cuba masuk semula tapi tidak berjaya. Perumpamaan seseorang yang memperkatakan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah, kemudian dia meyesali atas perbuatannya itu tetapi dia tidak mampu untuk menyesalinya.
  • Rasulullah ditegur oleh pihak kanan (Yahudi) dan kiri (Nasrani). Rasulullah tidak menjawab teguran tersebut. Sekiranya beliau menjawab nescaya ramailah umatnya yang akan menjadi pengikut Yahudi dan Nasrani.
  • Rasulullah diseru oleh perempuan yang memakai perhiasan yang cantik. Rasulullah tiada menjawab seruan itu. Jika ia menjawab maka ramailah umatnya yang lebih mementingkan dunia dari Akhirat.
  • Rasulullah diseru perempuan berhias serta seorang tua. Kiasan / perumpamaan umur dunia.
  • Rasulullah imam segala para nabi serta mursalin semasa solat di Baitul Maqdis.
  • Rasulullah terasa dahaga. Jibrail membawa 3 jenis minuman iaitu susu, arak dan madu. Rasulullah memilih susu. Maka Jibril membenarkan pilihan Rasulullah SAW sambil berkata, "Sesungguhnya engkau telah memilih asal kejadian dan jika engkau meminum arak, nescaya umat engkau akan ramai yang sesat dan tiada yang beriman melainkan jumlah yang sedikit."
  • Rasulullah di datangi bidadari dari Syurga.




Peristiwa Yang Berlaku Semasa Perjalanan Mikraj Rasulullah SAW
  • Rasulullah menaiki langit pertama- berjumpa dengan Nabi Adam A.S
  • Rasulullah menaiki langit yang kedua - bertemu Nabi Isa dan Nabi Yahya.
  • Rasulullah menaiki langit yang ketiga - bertemu Nabi Yusuf.
  • Rasulullah menaiki langit yang keempat - bertemu Nabi Idris.
  • Rasulullah menaiki langit yang kelima - bertemu Nabi Harun.
  • Rasulullah menaiki langit yang keenam - bertemu Nabi Musa.
  • Rasulullah menaiki langit yang ketujuh - bertemu Nabi Ibrahim.
  • Bertemu kaum yang mandi di sungai.
  • Memasuki Baitul Makmur.
  • Pokok dan sungai di syurga.
  • Melihat rupa Jibril yang sebenar.
  • Memasuki syurga. Terdapat 8 jenis Syurga ( Jannatul Firdaus, Jannatul Adnan, Jannatul Khuld, Jannatun Naim, Jannatul Makwa, Jannatus Salam, Jannatul Jalal, Janatul Maqamu Wal Qarar.)
  • Kelebihan orang memberi hutang. Pintu Syurga tertulis: "SEDEKAH ITU ADALAH 10 KALI GANDA DAN MEMBERI HUTANG ITU 18 KALI GANDA."
  • Melihat Telaga Al-Kausar.
  • Diperlihatkan kepada Rasulullah keadaan Neraka. Terdapat 7 jenis neraka iaitu (Neraka Jahanam, Neraka Lazha, Neraka Khutamah, Neraka Saeir, Neraka Saqar, Neraka Jahim, Neraka Hawiyah.)
  • Berpisah dengan Jibril untuk ke Sidratul Muntaha.
  • Perjalanan untuk bertemu Allah diperdengarkan suara malaikat menyerupai suara Abu Bakar.
  • Menemui Allah Rabbul Jalil.
  • Berdailog dengan Nabi Musa.
  • Berulang-alik antara Nabi Musa dengan Allah.
  • Allah memfardukan lima waktu solat.
  • Turun semula ke bumi.
  • Meninggalkan Baitul Maqdis.



3. Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran. Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


4. Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah, orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5. Lahirnya Imam Syafie RH
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.





Hadith- Hadith berkaitan Bulan Rejab

Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadith-hadith Sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah.

Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.




Antara Hadis yang menjelaskan kelebihan Bulan Rejab

1.   Sabda Nabi S.A.W : hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.

2.   Sabda Nabi S.A.W : bulan Rejab Bulan Allah, bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.

3.   Kemuliaan Rejab dengan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul -Qadarnya.

4.   Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi ( Firdaus) . 


5.   Puasa 2 hari dilipatgandakan pahalanya.

6.   Puasa 3 hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang yang menghalang dia ke neraka ( panjangnya setahun perjalanan).

7.   Malam awal Rejab mustajab doanya ( dalam Kitab Raudhoh Imam Nawawi).

8.   Puasa 4 hari pada bulan Rejab diafi'atkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajjal di hari Qiamat.

9.   Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur. 


10. Puasa 6 hari pada bulan Rejab keluar daripada kubur bercahaya mukanya.

11. Puasa 7 hari pada bulan Rejab ditutup daripadanya tujuh pintu neraka.

12. Puasa 8 hari pada bulan Rejab dibuka lapan pintu syurga.

13. Puasa 9 hari pada bulan Rejab akan mendapat mengucap ketika keluar dari kubur dan tidak ditolak masuk ke neraka.

14. Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di titian siratal-Mustaqim pada tiap-tiap batu.

15. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam Syurga, dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

16. Puasa 19 hari pada bulan Rejab dibina baginya sebuah mahligai di hadapan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.

17. Puasa 20 hari pada bulan Rejab diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

18. Berkata Saidina Ali :
      -  Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
      -  Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
      -  Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

19. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala qalam.

20. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga.

21. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat diatas titi 
siratal-Mustaqim di hari kiamat.

22. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya hidup.
Berseru dari langit :  Gembiralah kamu dengan kemuliaan yang besar ; dan diminumkan dia ketika hendak mati. Mati dengan puasa, masuk kubur dengan puasa, keluar kubur dengan puasa, dan masuk syurga dengan puasa (Al-Hadis), lepas dari azab kubur (Al-Hadis) - (berpuasa pada siang hari dan beribadat pada malamnya).

23. Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan

bertaubat kepada Allah. Puasa bulan Rejab wajib baginya :
    - Diampunkan dosanya yang lalu.
    - Dipeliharakan umurnya yang tinggal.
    - Terlepas dari dahaga di hari qiamat.

24. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya.

25. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.

26. Siapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

27. Tiap hari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan rejab seperti ibadat seribu haji dan umrah. Dibina seribu mahligai, seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali, kerana keistimewaan bulan Rejab, bulan Allah.

28. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka, kerana kemuliaan bulan Rejab.

29. Allah jadikan dibelakang bukit Jabar Qaf bumi yang putih yang penuh dengan malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada umat Muhammad. Allah menjawab : Telah aku ampunkan mereka!

30. Barang siapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali pada bulan Rejab diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

31. Sesiapa berpuasa pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya : " Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggianKu dan kebesaranKu, tiada aku tolakan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah ArasyKu, engkau kekasihKu dari segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antara engkau". ( Dari Kitab RaudhatulIfkar).

32. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa 60 bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa 1000 tahun. Kerana kebesaran hari Israk Mikraj.

33. Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kepicikan oang mukmin pada bulan rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam Syurga Firdaus.

34. Siapa berpuasa 3 hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga) seperti dia berpuasa 3000 tahun. Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasad, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di mizan, 70 hajat ketika berlalu di titi S
iratal-Mustaqim




Sungguh beruntung sekali bagi hamba-hambaNya yang menggunakan kesempatan terindah bulan rejab ini berlumba-lumba memperbanyakkan amalan ibadat dalam hidupnya. Sungguh satu rahmat Allah yang terbesar yang dianugerahkan kepada hambaNya dengan mendapat keredhaanNya yang besar dan rugilah orang-orang yang ketinggalan rahmat yang melepaskan kita daripada azab neraka dan mendapatkan kita ke dalam syurga.



src : http://www.jais.gov.my



19
MAKARONI BAKAR...



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Satu dish yang amat jarang sekali dibuat. Pertama kali makaroni bakar keluar daripada ovenku. Tak taulah macam mana boleh timbul rasa hati nak buat sedangkan sebelumnya tak pun. Dijadikan cerita adalah sekali tu pergi rumah SIL, dia hidangkan makaroni bakar ni lar.....sedap. Dengan muka selamba, saya tanyakan resepi walaupun tahu kat internet berlambak ada. Masa SIL bagitau tu.....kita ni catit laa kat hp satu persatu bahannya.....makaiihhh banyaknya guna telur.....patutlah makaroni dia buat tu sedap lemak.....sib baik tak pengsan masa makan tu.....heh hehe.

Saya ni pulak jika nak buat apa-apa, bahan pertama yang dilihat dulu telur kedua gula tapi gula tak apa boleh adjust ikut kesesuaian rasa.....telur? Bukan kedekut cuma keprihatinan pada kesihatan. Kesihatan keluarga kita sikit sebanyak bergantung juga pada apa yang kita masakkan untuk mereka. Berdasarkan fakta, telur tidak boleh diamalkan makan secara berlebihan.....boleh memudaratkan kesihatan. Masa tengah muda sekarang kira ok lagi tapi kesannya bila dah berumur nanti.....macam-macam penyakit boleh hinggap.....masa tu baru terfikir nak kawal pemakanan dah tak guna dah.....terlambat sudaa.

Hampir terbantut jugaklah hasrat nak buat. Fikir-fikir balik takkan semua resepi pakai banyak telur, ya dak. Mulakan pencarian di google. Banyak jumpa.....sudahnya berkenan sangat dengan resepi yang satu ni.....tak ada telur langsung. Yesss, ini dah cukup bagus.




Makanan ala-ala begini nak-nak yang bercheese memanglah menjadi kegilaan anak-anak.....sebaliknya saya dan suami agak kurang.....cukup sekadar merasa. Tapi oleh sebab anak-anak dah suka, diusahakan juga lah. Kalau terbanyak buat pun tak jadi kisah.....tak perlu nak risau boleh habis ke tak habis sebab diorang boleh perhabiskan. Cukup berpuashati dengan resepi ini. Two-thumbs up. Marvellous!!



Sos Daging yang telah siap.....
Dibiarkan sejuk seketika yang kemudiannya akan digaul bersama-sama makaroni.....



Yang ini pula Sos Cheese yang akan dilapisi bersama makaroni nanti.....
Resepi sos cheese ni memang mantap.....sedapp!


MAKARONI BAKAR
by Iza Akma SSK
adapted from Resepi Pilihan Diana with some modification



Bahan A :
250 gm makaroni
Cheese Mozarella untuk taburan


Bahan B ~ Sos Daging :
4 keping daging burger ~ dipotong dadu kecil-kecil
1/2 tin cendawan butang
250 gm sos spaghetti Prego
250 gm air
1 labu bawang besar holland ~ dipotong dadu
2 ulas bawang putih ~ dicincang
1 biji capsicum hijau ~ dipotong dadu
2 sudu besar minyak masak
2-3 helai daun bay
sedikit oregano
garam & gula secukup rasa


Bahan C ~ Sos Cheese :
125 gm cheese Cheddar
300 gm susu segar
150 gm air
1 1/2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar butter
2 sudu besar lada hitam ~ ditumbuk kasar



Caranya :

Panaskan air, sedikit minyak dan garam hingga mendidih. Masukkan makaroni dan rebus hingga empuk. Angkat dan toskan.

Sediakan sos daging. Panaskan minyak. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan sos prego, air dan daun bay. Sukatan untuk sos dan air hendaklah sama. Kalau 1 cawan sos, airnya pun 1 cawan. Kacau sebati. Masukkan daging burger dan masakkan hingga pekat. Masukkan cendawan, capsicum, garam, oregano dan masakkan lagi hingga pekat. Padamkan api. Masukkan makaroni tadi dan gaul hingga rata.

Sediakan sos Cheese. Panaskan butter hingga cair. Masukkan tepung dan kacau hingga tepung tidak bergentel. Masukkan cheese dan kacau hingga likat. Jangan bagi hangus. Kecilkan api. Masukkan susu segar dan air. Masakkan hingga pekat dan berkilat. Masukkan lada hitam. Kacau-kacau dan angkat.

Makaroni yang telah digaul dengan sos daging tadi dimasukkan ke dalam caserol dan lapiskan dengan sos cheese. Saya guna loyang biasa bersaiz 8" square dan lengserkan dengan sedikit butter. Mulakan dengan makaroni diikuti dengan sos cheese. Ulang balik sehingga menjadi beberapa lapisan dan pastikan lapisan atas ialah sos cheese.

Taburkan keju mozarella menutupi permukaan sos cheese. Bakar dengan suhu 180C selama 45-45 minit. Bakar sehingga nampak sos cheese menggelegak dan permukaannya merah.

Hidangkan dengan sos cili.




0
LINDUNGI DARI FITNAH AL MASIH AD DAJJAL...



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Semalam sempat menonton rancangan ilmiah agama Signs of The Hereafter di tv9, sebuah rancangan berbahasa inggeris dikelolakan oleh ilmuan agama terkenal, Syeikh Alaa El Sayed. Dalam episod itu, beliau telah ceritakan perihal dajjal. Antaranya apakah yang dimaksudkan dengan dajjal, siapa dajjal, mengenal sifat-sifat dan bentuk fizik dajjal, fitnah dajjal serta doa pelindung diri dari fitnahnya.

Rancangan berinformasi keagamaan itu bagus kerana menyalurkan ilmu pengetahuan yang cukup bermanfaat dalam mendidik jiwa. Saya cukup tertarik dengan isi kandungannya. Ia telah memberi idea pada saya untuk menitipkan ilmu yang dikutip itu di blog ini agar dapat dijadikan pedoman dan peringatan bukan saja untuk saya sekeluarga malahan untuk anda yang membaca.

Berpandukan bahan pada internet, saya gabungkan semua maklumat yang diperolehi dengan maklumat yang saya tonton dan dengar semalam. Cumanya di sini tiada perincian mendalam tentang fizikal dan rupa dajjal sepertimana yang diterangkan oleh Syeikh Alaa El Sayed. Bagaimana rupanya dajjal itu tidak berapa penting yang pentingnya fitnah yang dibawanya itu yang perlu diketahui.




Dajjal merupakan satu perkara yang pasti. Ia adalah salah satu daripada 10 tanda-tanda besar qiamat, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Kewujudan dajjal ini akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

Perlu menjauhinya, tidak mendatanginya kecuali seorang yang yakin tak akan terkena mudarat. Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa mendengar (keluarnya) Dajjal hendaknya menjauh darinya. Demi Allah, sungguh ada seorang yang mendatanginya merasa dirinya beriman tapi kemudian mengikuti Dajjal dikarenakan syubhat-syubhat yang dilontarkan Dajjal.” (HR. Ahmad)



Fitnah Al Masih Ad-Dajjal

Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya.

Tiada bahaya besar sepertinya sejak Nabi Adam a.s. sampai hari qiamat. Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda : “ Sejak Allah SWT menciptakan nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti tidak ada satu ujianpun yang lebih dahsyat daripada Dajjal.”

"Sejak terciptanya manusia hingga datangnya Hari Kiamat, tak ada fitnah lebih besar daripada fitnahnya Dajjal". (Misykat, hal. 472) Hadith Riwayat Muslim

“Aku benar-benar akan memperingatkan kalian tentang Dajjal. Tidak ada seorang nabi melainkan ia pernah memperingatkan kaumnya tentang masalah tersebut. Tetapi aku akan mengatakan kepada kalian suatu ucapan yang belum pernah dikatakan oleh seorang nabi pun sebelumku. Dia itu (Dajjal) cacat (sebelah matanya) sedangkan Allah tidaklah cacat (sebelah mata)”. (Sahih Jami’ shogir 3495/ Al-Bany) Hadith Riwayat Bukhari



gambar sekadar hiasan-google


Sebelum kemunculan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang selama tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan kurang sabanyak 1/3 daripada biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3 daripada biasa dan pada tahun ketiga hujan terus tidak turun. Umat ketika itu akan dilanda kebuluran dan kemarau. Di saat itulah Dajjal akan muncul membawa ujian. Dalam satu riwayat, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung roti (makanan) sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran.

Dalam hal ini, sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW : “Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah? ” Rasulullah SAW menjawab : “Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan.”

Dalam satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: “… Lalu Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di barat dan merekapun datang berbondong ke hadapan Dajjal dan menunjukkan kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata kepada Dajjal : “Gunakanlah kami untuk apa sahaja tujuanmu”. Dajjal menyahut “Ya! aku akan berbuat demikian. Maka pergikanlah kamu pada kesekelian manusia dan usahakanlah supaya mereka meyakini bahawa aku adalah tuhan mereka. Khabarkan kepada mereka bahawa aku telah membawa untuk mereka syurgaku dan nerakaku.”

Dari ‘Uqbah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW berkata tentang Dajjal : “ Sungguh Dajjal akan keluar dan bersamanya ada air dan api. Apa yang dilihat manusia air sebenarnya adalah api yang membakar. Apa yang dilihat manusia api sesungguhnya adalah air minum dingin yang segar. Barangsiapa di antara kalian yang mendapatinya hendaknya memilih yang dilihatnya api, karena itu adalah air segar yang baik.” (HR. Muslim no. 2935)

Kemudian syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya, hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah itu: “Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?” Tuan rumah itu menjawab: “Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara perempuanku, ini saudara lelakiku.”

Tuan rumah itu berkata lagi: “Apa khabar kamu semua?” Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: “Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan kepada kami keadaan engkau.”

Tuan rumah itu pun berkata: “Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat kerosakan).” Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: “Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah”.

Ketika itu tuan rumah tadi berkata: “Kamu semuanya pembohong. Kamu adalah syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT. Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam untuk membunuhnya.”

Kalau tuan rumah itu berkata demikian akan surut dan diam lalu mereka (syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan dan kehinaan.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: “Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda :

“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.”

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.”


“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.”


“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. ”


Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab : “ Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “ Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya : “ Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan menggergaji dibelah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai : “ Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “ Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman menjawab : “ Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”

Kata Rasulullah SAW lagi : “ Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.”

Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.

Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Kerana keduanya adalah negeri yang aman tak bisa dimasuki Dajjal. Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak ada satu negeri pun kecuali akan dimasuki Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Dia tidak mendapati celah/ jalan masuk kecuali padanya ada malaikat yang berbaris menjaganya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu)
Dan termasuk yang tidak didatangi Dajjal juga adalah Masjidil Aqsha serta bukit Tursina (dalam riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban sebagaimana dalam Qishshatu Masihid Dajjal)

Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

Dari Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “ Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”

Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah SAW menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.” Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.


Dari nas-nas tentang Dajjal, kesimpulannya :

Luasnya rahmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, kerana Dia telah membekali mereka dengan senjata yang bisa mematahkan hujjah dan fitnah Dajjal. Ini terwujud dengan penjelasan sifat-sifat yang menunjukkan kedustaannya, kaum mukmin diberi kemampuan untuk membaca apa yang tertulis di kening Dajjal yang menunjukkan kekufurannya. Juga Allah SWT bimbing kita untuk menghafal sepuluh ayat pertama dalam surat Al-Kahfi sebagai perisai dari Dajjal.

Dajjal adalah susuk manusia yang sangat jelas sifat-sifatnya sebagai manusia.....sebelah matanya buta, manakala sebelah lagi seperti anggur, bertubuh besar, berambut kerinting dan kusut masai.
Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah SAW bersabda  : “ Sesungguhnya Dajjal buta matanya yang kanan, matanya seperti anggur yang menonjol.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim no. 2932)  
Dari An-Nawwas bin Sam’an radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda : “ Dia adalah seorang pemuda yang sangat keriting rambutnya, hilang cahaya matanya, seakan-akan aku menyerupakannya dengan Abdul ‘Uzza bin Qathan.” (HR. Muslim: 2937)

Dajjal mempunyai sifat dan fitnah-fitnah yang telah digambarkan dengan terperinci - keluarnya di akhir zaman, muncul dari arah antara Syam dan Iraq dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali, diberi kemampuan mematikan dan menghidupkan, membawa syurga dan neraka, menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, tertulis di antara dua matanya KAF-FA-RA, dan sifat lainnya.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda : “ Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh hari. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”



Amalan Doa :

Bila seseorang selesai membaca tashahhud (akhir), hendaklah ia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara, iaitu: " Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa neraka jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal'. [Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan utk dirinya sesuai kepentingannya]". (Hadith riwayat Muslim, Abu 'Awanah, Nasa'i dan Ibnu jarud dalam al-muntaqa [27].)

Dalam riwayat abu daud dan ahmad dengan sanad yang sahih, Nabi selalu membaca doa tersebut dalam tasyahhudnya.

Lihatlah betapa pentingnya untuk kita berlindung dari fitnah dajjal tersebut, Nabi SAW seorang manusia yang secara mutlaknya mendapat lindungan dari Allah sendiri selalu memohon perlindungan dari fitnah dajjal, sedangkan siapa kita di sisi Allah?.

Bahayanya fitnah dajjal ialah, ia bukan sahaja mengelirukan orang awam yang rendah ilmu dan imannya, tetapi jika di lihat sejarah, berapa ramai ulama' terkeliru dengan dajjal ini, baik dajjal kiasan ataupun realiti. Fitnah dajjal amat dasyat, boleh jadi seseorang yang awalnya Islam akan tersesat di akhir hayatnya....kemungkinan akan murtad...Nauzubillah.....

Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini. Seperti yang di ajar baginda SAW dalam doa tahiyyat akhir yang sunnat doa itu kita baca setiap kali kita sembahyang. Doa itu adalah:




ruminya : Allaahumma inni a'uuzu bika min 'azaabil qabri, wa min 'azaabi jahannam , wa min fitnatil mahyaaa wal mamaati, wa min syarri fitnatil masiihid dajjaal

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari siksa kubur, dari siksa neraka jahannam, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal

Semoga kita semua terlepas dari fitnah dajjal.....



Ayat Al-Quran Pelindung Dari Fitnah Dajjal

Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang HAFAL 10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan Dajjal.” (Dalam riwayat lain HAFAL 10 ayat terakhir surah Al-Kahfi)




Drpd Abi Darda’ Radiyallahu ‘Anhu Berkata Nabi SAW,
“ Barangsiapa yang menghafaz 1-10 ayat dr surah Al-Kahfi dipelihara dan di selamatkanya dari Fitnah Dajjal.” (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, An-Nasaie)

Disunnahkan membaca surah Al-Kahfi pada siang hari atau malam harinya (Jumaat) sebagaimana pendapat Imam Syafi’i (Lihat Al-Adzkar oleh Imam Nawawi). Seorang muslim yang menghafal sepuluh atau tiga ayat pertama dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal, atau siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dan sepuluh ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.

Dalilnya adalah hadits dari Abu Darda radliallahu `anhu dari Nabi berkata:
“ Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat pertama dari surah Al- Kahfi terjaga dari fitnah Dajjal.” (HR. Muslim, Abu Dawud, Nasai, Tirmidzi)

Pada lafadz Tirmidzi: “ Barangsiapa menghafal tiga ayat dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.” Dia berkata: “Hadits hasan.”

Pada hadits yang diriwayatkan dari Imam Ahmad dari Abu Darda radliallahu `anhu bahwa Nabi SAW berkata ; “ Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Hadits tersebut juga diriwayatkan oleh Muslim dan Nasai dari Qatadah radliallahu `anhu. Dan pada lafadz Nasai menyatakan:
“ Barangsiapa membaca sepuluh ayat (mana saja) dari surah Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal.”

Pada hadits yang marfu’ dari Ali bin Abi Thalib :
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jum’at maka ia akan dijaga dari setiap fitnah sampai delapan hari walaupun Dajjal keluar ia akan tetap terjaga dari fitnahnya.” (Lihat Tafsir Ibnu Katsir Surah Al-Kahfi)


Wallahu’alam.....


Sumber Rujukan :
hasnulhadiahmad.com
qurandansunnah.wordpress
ustaznaim.blogspot




3
RICH AND MOIST CHOCOLATE BANANA BREAD



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Buah pisang bukan saja kaya dengan pelbagai vitamin tapi kaya dengan seribu satu khasiat. Hidangan pisang boleh dipelbagaikan cara masakannya seperti merebus, menggoreng, dibuat pengat, lepat, jemput-jemput, kek, puding, biskut, jika pisang muda dibuat gulai dan banyak lagi. Bunyinya saja sudah sedap apatah lagi makan sudah pasti enak!. Tetapi awas! Sungguhpun pisang sedap dimakan, baik untuk kesihatan dan membantu merawat penyakit tertentu tetapi ia tidak sesuai bagi pesakit kencing manis kerana kandungan gula yang amat tinggi.




Khasiat Buah Pisang :-

#   Menurunkan tekanan darah tinggi
#   Mengurangi risiko strok
#   Membantu merendahkan kolestrol
#   Amat sesuai merawat cirit-birit
#   Merawat anaemia
#   Meredakan tekanan, meningkatkan mood, menceriakan kemurungan
#   Merawat Pening/Mabuk-mabuk
#   Penambah Tenaga
#   Membantu penghadaman (mengatasi sembelit)
#   Mengatasi ulser
#   Meningkatkan kuasa minda
#   Membuang racun toksid dan sumbat pada salur ginjal
#   Mengatasi gangguan haid
#   Penting untuk pembesaran & kesihatan janin, pembentukan sel-sel baru, mencegah terjadi cacat bawaan dan mengurangkan simptom 'morning sickness'.
#   Sebagai penyejuk menurunkan suhu badan
#   Menurunkan berat badan
#   Mengatasi ketagihan rokok/tembakau


Haaa, begitu banyak kan khasiat buah pisang pada kita. Bukan saja pisang malah setiap buah-buahan dan sayur-sayuran yang Allah SWT tumbuhkan di atas mukabumi ini semuanya mempunyai kebaikan dan penawarnya untuk kesejahteraan kesihatan manusia sekalian. Subhanallah!!.....begitulah sayangnya Dia pada kita.




Setiap kejadian yang Dia jadikan itu semuanya bersebab. Dia kurniakan kita akal supaya kita mengkaji dan mencari apakah sebab serta hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Supaya kita beroleh pengajaran, timbul kesedaran dan melihat melalui mata hati betapa agungnya, hebat dan berkuasanya Dia dalam menentukan perjalanan segala yang ada di langit dan di bumi. Begitu banyak pemberian-Nya pada kita. Dan kita sebagai hamba-Nya seharusnya tidak lupa terus bersujud dan bersyukur atas segala nikmat kurnia-Nya.

Dia memandang setiap kita menembusi terus ke hati. Tiada apa yang menghalang Dia daripada mengetahui segala yang tersirat dan tersurat, setiap niat atau apa saja yang terdetik di dasar hati walau sebesar zarah sekalipun. Mungkin kita boleh berahsia dengan orang lain tapi tidak dengan-Nya. Dia tahu siapa kita sebenar-benarnya kerana Dia yang menciptakan kita dan Dia juga yang mematikan kita.

Mungkin apa yang kita perolehi itu kita lihat sebagai tidak elok untuk kita kerana tidak selari dengan apa yang di pinta saban hari tapi itulah yang sebenarnya terbaik buat kita kerana Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Dia tidak memberi apa yang kita mahu tapi Dia beri apa yang kita benar-benar perlukan dalam hidup. Usaha, doa, tawakal, pasrah dan redha itu adalah lebih baik.



RICH n MOIST CHOCOLATE BANANA BREAD
by Iza Akma SSK
source : Savory Sweet Life & Rima



Bahan-Bahan :
110gmbutter
90gmgula kastor
1bijitelur (A)
100gmpisang masak ranum (tanpa kulit)
130gmtepung gandum
1sudu tehesen vanila
1sudu tehsoda bikarbonat
2sudu besarserbuk koko
1/2cawan sour cream
1cawancoklat cip
1/2cawanwalnut cincang (jika suka)


Caranya :
Panaskan oven pada suhu 170C bergantung pada kepanasan oven
Sediakan loyang roti ukuran 9x5 inci, griskan dengan sedikit butter dan alas dasar loyang dengan kertas kek.
Lenyek pisang hingga lumat. Ketepikan
Ayakkan tepung, soda dan serbuk koko. ketepikan
Dalam bekas, putar butter dan gula hingga berkrim
Tambahkan telur dan putar lagi.
Tambahkan esen vanilla, pisang dan sour cream dan terus putar hingga sebati
Tambahkan campuran tepung, soda dan koko yang telah di ayak dan gaul secara kaup balik dengan spatula hingga rata.
Tambahkan coklat cip dan gaul rata.
Tuangkan adunan ke dalam loyang, ratakan. Jika suka taburkan walnut cincang. (saya taburkan coklat cip)
Bakar dalam oven pada suhu 170C dengan api bawah selama 1 jam atau sehingga masak...bilamana diuji dengan lidi di bahagian tengah kek, akan keluar dengan bersih.
Setelah kek masak, biarkan kek sejuk atas redai sebelum dipotong
Enak di makan panas atau sejuk!



Inilah kek coklat pisang yang sungguh moist.....sungguh rich rasa pisang dengan coklat.....sesuai sangat dengan namanya Rich and Moist Chocolate Banana Bread. Sedaapp sangat! Siapa yang ingat sekadar nak rasa sepotong jer.....baik lupakan jer lah niat tu. Sebabnya kek ni berhantu tau bila sekali dah start makan alamat tak boleh berhenti.....selagi kek yang terhidang tak habis selagi itulah tangan akan terus berlari mencapai satu persatu kek.....

Pada siapa yang dah meleleh air liur tu dan ingin mencuba.....silakan. Asalnya nak guna pisang mas tapi main sorok-sorok pulak pisang mas tu.....puas keluar masuk dua tiga kedai tak jumpa-jumpa. Lastnya jumpa tapi pisang berangan.....kira orait lah.....nak harapkan pisang mas sampai bila pun tak terbuat-buat kek ni kan.

Sukatan gula yang tertera diatas boleh ditambah jika anda gemarkan kek yang lebih manis. Resepi asal suruh bubuh 1/2 cawan tapi saya kurangkan sikit.....bubuh 90gm saja.....lagipun dah ada pisang ada coklat cips lagi....dua-dua bahan tu pun dah memberi tambahan rasa manis pada kek.....terpulanglah ya.