1
AYAM MASAK MALAYA



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Pernah dengar nama Ayam Masak Malaya? Saya pun ini pertama kali dengar. Unik kan bunyinya. Sebabkan unik itulah yang menggamit saya untuk mencuba. Mana tau sedap..... boleh jadi juadah harian. Resipi ni saya ambil daripada Fb Mamak Haji. Menurut cerita Mamak Haji, Ayam Masak Malaya ini juga dikenali dengan nama Malaya Chicken di Chennai, India Selatan. Resipi ini sebenarnya seperti ayam masak serai cuma bezanya ditambah dengan serbuk ketumbar dan jintan manis. Ramai yang tidak mengenali masakan ini kerana generasi baru kini dah lupa dah resipi ni. Amat sesuai dipadankan dengan kerabu nenas-timun dan nasi putih atau nasi lemak.



Memandangkan ahli rumah tak ramai, saya masak 1/2 resipi aje dalam 10 ketul ayam. Saya buat penambahan sikit..... tambah dua genggam kismis kuning. Separuh dimasukkan dalam masakan dan separuh lagi dikisar dengan 1/2 cawan air. Kalau rasa-rasa pekat sangat tambah lah sedikit air. Samada nak pekat atau tidak bergantung ikut citarasa. Pada saya, rasa Ayam Malaya ini ada ala-ala ayam masak merah.

Masa shoot tu macam mana boleh terlupa pulak nak tabur gajus padahal gajus dah goreng dah awal-awal..... cuma tabur bawang goreng aje untuk hiasan sebab daun ketumbar pun takde stok..... jadilah daripada kosong tak berhias.



Resipi AYAM MASAK MALAYA
by Iza Akma SSK
adapted from Mamak Haji



Bahan-bahan: (10-12 orang) :
1 ekor ayam ~ potong 16
2 keping asam keping
2 batang serai ~ dititik
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1/2 sudu kecil garam masala
1 cawan santan pekat atau susu sejat
Garam dan Gula pasir secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Kisar @ Pes :
4 batang serai
2 labu bawang merah sederhana besar
5 ulas bawang putih
15 tangkai cili kering (cari yang kerinting) ~ rebus dulu
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

Bahan Tumis :
1 batang kulit kayu manis
7 biji cengkih
3-4 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
1 labu bawang merah ~ hiris

Caranya :
Lumur ayam dengan garam dan kunyit dan goreng separuh masak.
Panaskan minyak. Masukkan hirisan bawang diikuti dengan rempah 4 sekawan.
Setelah rempah keluarkan aromanya, masukkan bahan pes. Biarkan sedikit garing, masukkan ayam, serai dan asam keping.
Masukkan serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan garam masala. Biarkan goreng sehingga kering dan naik minyak.
Kecilkan api, masukkan santan pekat. Kacau rata. Bila sambal anda mula mendidih, masukkan gula, garam dan serbuk perasa.
Masakan anda telah siap, hidangkan dengan daun pudina atau daun ketumbar dan bawang goreng dan buah gajus. Sesuai makan dengan nasi putih dan terbaik dengan nasi lemak (sebab itu mamak haji potong ayam seekor 16)

1 sweet comments:

Azian Nd said...

Sedap jer nampaknya..