0
KARI AYAM KAPITAN


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Pernah menjamu selera dengan kari ayam kapitan?
Nama kari kapitan biasa saya dengar tapi inilah pertama kali merasa.
Walaupun terdapat perkataan kari dipangkal nama, sebenarnya tiada penggunaan serbuk kari langsung dalam masakan tetapi lebih kepada bumbu asli seperti bawang, cili, halia, serai dan sebagainya.




Pertama kali mencuba kari kapitan pengalaman baru bagi saya.
Kari Kapitan ni jika digoogle ada banyak versi sebenarnya dan yang saya cuba ni versi Chef Zubidi di Moh Weh Ke Dapur. Menyediakannya tidaklah sesusah mana dan bahan ramuan pun mudah didapati.




Kalau saya kata kari ayam kapitan ini memang sedap..... nanti ada pula yang kata, masuk bakul angkat sendiri kan. Jadi jika anda nak rasakan sendiri, resipi ada di bawah. Sila lah.....


KARI AYAM KAPITAN
by IzaAkma SSK
original rcp ~ Chef Zubidi



Bahan-Bahan :
1 kg ayam, potong ikut suka
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam halus
2 cawan pati santan
3 helai daun limau purut
1 sudu besar gula merah (sy guna 2sdm gula perang)
2 sudu besar jus limau nipis (sy guna 3sdm)
Minyak untuk menggoreng & menumis secukupnya

Bahan Kisar :
20 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras (sy guna 1biji agar kuah tidak terlalu pekat)
2 batang serai
6 biji cili merah
8 tangkai cili kering
20 gm belacan (sy guna 1sdm serbuk belacan)

Hiasan :
Bawang goreng
Daun pudina


Caranya :
Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam halus. Perapkan selama 4 jam. (sy tak perap kes nak cepat)
Kemudian ayam yang diperapkan tadi digoreng separuh masak.
Panaskan kuali dan masukkan minyak (atau boleh guna minyak lebihan goreng ayam). Apabila minyak sudah panas, tumis bahan-bahan yang sudah dikisarkan tadi sehingga naik bau atau kekuningan.(sy tumiskan sehingga pecah minyak)
Kemudian masukkan ayam yang digoreng separuh masak tadi. Kacau sehingga merata selama 5-7 minit.
Masukkan pati santan, daun limau purut, gula merah dan jus limau nipis. Kacau bahan-bahan tersebut sehingga masak.
Apabila masak, angkat dan taburkan bawang goreng dan daun pudina sebagai hiasan.


0 sweet comments: