2
PUDING LAPIS LAICI


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


12 Ramadhan 1435 H.

Peluang doa dimakbulkan di bulan Ramadhan amat luas. Waktu-waktu mustajab (saat doa dimakbulkan Allah) terdapat dalam beberapa situasi, khusus sepanjang Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : " Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi." (riwayat Tirmizi)




Doa orang berpuasa mustajab, didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan..... In shaa Allah. Justeru, ini bererti selama sebulan berpuasa peluang doanya dimakbulkan Allah SWT sangatlah luas. Lebih-lebih lagi saat menjelang berbuka puasa ketika menanti tibanya azan Maghrib, digalakkan memanfaatkan waktu tersebut dengan banyak berdoa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : " Sesungguhnya orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka." (riwayat Ibnu Majah)




Hidup manusia di dunia adalah penggantian antara susah dan senang. Maka selama sebulan Ramadhan, hendaklah kita membaca yang Nabi SAW biasa membaca ketika menghadapi keadaan susah mahupun menerima kurniaan. Nabi SAW melazimkan kalimah istighfar sebagaimana maksud hadis berikut : " Barang siapa yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)




Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut : " Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima." (riwayat Ibnu Majah)




Ikut rupa asal puding ni dalam majalah hanya ada dua lapisan, lapisan laici dan lapisan merah. Tapi saya modified sikit dengan memberi pelbagai warna pada lapisan puding. Manakala laici pula saya gantikan dengan rambutan. Walau begitu nama asal Puding Lapis Laici masih saya kekalkan..... kes malas nak fikir memikir nama baru, heheh.

Panas jugak cuaca kat ampang petang nih, ingatkan hujan sebab pagi tadi punyalah mendung macam nak hujan lebat. Panas ke hujan, alhamdulillah syukur kerana kita semua masih dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan negara aman sejahtera.


PUDING LAPIS LAICI
by IzaAkma SSK
source rcp ~ Pn. Norzailina Nordin



Bahan A :
550 ml air
2 sudu makan tepung jagung
1 1/2 sudu makan serbuk agar-agar
120 gm gula pasir
200 ml susu cair
30 gm serbuk badam
Pewarna ikut pilihan

Bahan B :
350 gm sirap (dari tin laici)
1 sudu makan serbuk agar-agar
200 gm laici


Caranya :
Larutkan tepung jagung dengan sedikit air, masak dengan semua bahan A yang lain.
Bila adunan pekat, ketepikan dari api. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan. Tuangkan paras 1/3 loyang yang sudah dibasahkan secara berselang seli warna. Biarkan bakinya di tempat panas.
Sementara itu, untuk bahan B, kisar sirap dengan laici. Masak semua bahan di atas api sederhana.
Bila mendidih, tuangkan ke atas lapisan A yang hampir keras tadi. Jika perlu cakar-cakarkan lapisan A dengan garfu sebelum dituangkan lapisan B. Biar lapisan separuh keras sebelum dituangkan dengan baki A juga secara berselang warna.
Bila puding keras, simpan di dalam petisejuk.


0
KARI AYAM KAPITAN


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Pernah menjamu selera dengan kari ayam kapitan?
Nama kari kapitan biasa saya dengar tapi inilah pertama kali merasa.
Walaupun terdapat perkataan kari dipangkal nama, sebenarnya tiada penggunaan serbuk kari langsung dalam masakan tetapi lebih kepada bumbu asli seperti bawang, cili, halia, serai dan sebagainya.




Pertama kali mencuba kari kapitan pengalaman baru bagi saya.
Kari Kapitan ni jika digoogle ada banyak versi sebenarnya dan yang saya cuba ni versi Chef Zubidi di Moh Weh Ke Dapur. Menyediakannya tidaklah sesusah mana dan bahan ramuan pun mudah didapati.




Kalau saya kata kari ayam kapitan ini memang sedap..... nanti ada pula yang kata, masuk bakul angkat sendiri kan. Jadi jika anda nak rasakan sendiri, resipi ada di bawah. Sila lah.....


KARI AYAM KAPITAN
by IzaAkma SSK
original rcp ~ Chef Zubidi



Bahan-Bahan :
1 kg ayam, potong ikut suka
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil garam halus
2 cawan pati santan
3 helai daun limau purut
1 sudu besar gula merah (sy guna 2sdm gula perang)
2 sudu besar jus limau nipis (sy guna 3sdm)
Minyak untuk menggoreng & menumis secukupnya

Bahan Kisar :
20 ulas bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras (sy guna 1biji agar kuah tidak terlalu pekat)
2 batang serai
6 biji cili merah
8 tangkai cili kering
20 gm belacan (sy guna 1sdm serbuk belacan)

Hiasan :
Bawang goreng
Daun pudina


Caranya :
Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam halus. Perapkan selama 4 jam. (sy tak perap kes nak cepat)
Kemudian ayam yang diperapkan tadi digoreng separuh masak.
Panaskan kuali dan masukkan minyak (atau boleh guna minyak lebihan goreng ayam). Apabila minyak sudah panas, tumis bahan-bahan yang sudah dikisarkan tadi sehingga naik bau atau kekuningan.(sy tumiskan sehingga pecah minyak)
Kemudian masukkan ayam yang digoreng separuh masak tadi. Kacau sehingga merata selama 5-7 minit.
Masukkan pati santan, daun limau purut, gula merah dan jus limau nipis. Kacau bahan-bahan tersebut sehingga masak.
Apabila masak, angkat dan taburkan bawang goreng dan daun pudina sebagai hiasan.


2
KASWI KELADI


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Hari ini jika kita merasa kecewa dan menderita, padamkan ia dalam kamus diri. Hargai diri sendiri. Jika orang di sekeliling atau orang yang disayangi tidak menghargai, tidak mengapa asalkan diri sendiri memiliki harga diri.

Pandanglah ke depan bahawa kita memiliki hati yang lebih penting untuk diisi dengan hidup yang lebih bererti. Perjalanan masih jauh, jauh bukan bermakna kita akan hidup ke penghujung usia tetapi masih banyak yang perlu kita lalui. Dunia ini jambatan akhirat maka persiapkan diri, itu lebih utama.

Jangan mengharapkan balasan tetapi ikhlas lah dalam memberi. Masa tetap terus berlari pantas hingga kita tak mampu memintasnya. Maka kejarilah hidup ini dengan matlamat yang jelas serta perjuangan yang mantap. Gunakan kesempatan ini selagi mana Allah tentukan buat kita sebelum mata tertutup rapat.

Sebagai manusia biasa kita tidak boleh lari dari berbagai masalah hidup. Selagi langit dijunjung selagi itu masalah terus ditanggung. Tidak mengapa merasakan derita atau kecewa yang seolah tiada bertepian kerana ia akan memberi pengajaran dalam hidup kita bahawa tidak ada tempat yang dapat mengubati segala penderitaan ini melainkan kepada Allah segala penawarnya.


 


Kuih ni bukanlah menu iftar semalam. Dah lama buat, lepas buat agar-agar keladi haritu. Time ni ada free sikit tu yang post kan. Masa tengah ingat ni, nanti terlupa sampai ke sudah lah photo ni terperuk dalam folder.

Dalam entri lepas pernah buat jugak kaswi keladi tapi dalam versi marble. Rasanya memang superb. Ramai kawan-kawan blogger dah mencuba dan memuji sedap. Kalau siapa nak try resipi tu sebagai juadah berbuka boleh lah lihat SINI yer.

Mulanya nak ulang buat yang itu tapi tak jadi lah. Yang itu dah tahu rasanya..... nak cuba yang lain yang belum pernah rasa. Kebetulan resipi ni pun dah lama duk sekodeng tinggal tunggu nak buat ajer. Jadi haritu ada lebihan keladi maka dapatlah merasa kuih kaswi keladi yang kedua di dapur maya ni.




Resipi asal oleh Kak Besah @ MyResipi yang sukatannya dalam cawan. Macam biasa saya convert sukatan ke gram..... so next time kalau buat hasilnya tetap sama. Resipi asal tak bubuh keladi paste tapi saya bubuh sikit untuk memantapkan lagi rasa keladi. Kaswi ni pun sedap dengan teksturnya yang kenyal-kenyal manja sungguh menawan citarasa.

Dapat seloyang kecil..... alahai memang tak cukup untuk kami berlima beranak sebab favourite saya ni..... kaswi..... tak kiralah kaswi apa pun suka sokmo. Tak payah cerita panjang bulan-bulan puasa ni na..... nanti ada pulak yang meleleh ayaq liuq. Tak dapat la ceq nak tolong..... kena la hangpa buat sendiri na.....


KASWI KELADI
by IzaAkma SSK


Bahan-Bahan :
150 gm keladi tanpa kulit ~ rebus & lenyek
105 gm tepung gandum
105 gm tepung ubi
120 gm gula pasir
1/2 sudu teh garam
2 sudu teh air kapur
470 gm santan (150gm santan kotak + 320gm air)
Keladi paste
Pewarna ungu

Kelapa parut + secubit garam utk salut


Caranya :
Panaskan pengukus dulu.
Kisar santan bersama keladi lenyek hingga halus. Ketepikan.
Satukan bahan-bahan lain. Tuangkan bahan kisar, kacau hingga rata dan sebati. Tambahkan keladi paste dan pewarna jika perlu, sebatikan.
Sediakan loyang 7 inci, sapukan sedikit minyak atau alaskan dengan plastik.
Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus 25-30 minit atau hingga masak.
Bila dah masak, sejukkan dulu. Biarkan betul-betul sejuk barulah dipotong dan golekkan dengan kelapa parut.
Siapa yang suka makan gitu jer pun boleh.... sedap jugak tapi lagi bertambah sedap dimakan bersama kelapa.