0
BURGERDEL


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Memasak ni ikut mood jugak. Ada masa mood terlajak rajin, time ni macam-macam ada kalau boleh semua resipi nak dimasak dalam satu hari. Ada masa pulak mood ala-ala, masak pun ala kadar janji masak tapi bukan masak cincai ehh. Ada masa lain mood ke laut mati, haaa.....bila mood tengah macam ni faham-faham aje ler lauk masak kat kedai la jawabnya.

Biasanya ada bergedel ada soto, ada soto adalah bergedel. Tapi ni rakan karibnya si soto tak ada bergedel bujang saja buat makan dengan nasi putih bersama lauk-lauk lain.....sedap jugak. Lagipun takkan nak tunggu ada soto baru nak merasa bergedel.


Perasan tak saya bagi nama Burgerdel dan bukan bergedel. Tahu tak sebab apa. Yess betul.....sebab menggunakan daging burger.

Daging burger tu saya goreng dulu dengan bahan-bahan rempah untuk hilangkan bau hamis selain dapat memberikan bau harum dan rasa yang fresh. Jadi proses menggoreng burgerdel pun tidak lah ambil masa yang lama. Saya juga gorengkan dulu bawang putih dan bawang merah berasingan sebelum ditumbuk. Ini juga dapat memberikan aroma pada burgerdel.

BURGERDEL
by IzaAkma SSK


Bahan A :
500 gm Kentang
1 pokok Daun Sup ~ dihiris
6 helai Daun Bawang ~ dihiris
2 tangkai Cili Merah ~ dihiris
1 biji putih telur ~ untuk salut bila goreng

Bahan Untuk Digoreng dgn Daging Burger :
2 keping Daging Burger ~ hancurkan
1 sudu kecil Serbuk Jintan Manis
1 sudu kecil Serbuk Jintan Putih
1 sudu kecil Serbuk Lada Hitam
Garam secukup rasa

Bahan Tumbuk :
4 ulas Bawang Putih, digoreng dulu
1 labu Bawang Besar Merah ~ dijadikan bawang goreng


Cara :
Basuh dan buang kulit kentang. Rebus kentang dalam air bergaram sampai tenggelam hingga empuk. Angkat dan toskan. Masih panas lenyek-lenyekkan hingga lumat. Ketepikan.

Sementara itu, panaskan 3 sudu makan minyak. Tumis daging burger bersama bahan-bahan rempah hingga berubah warna. Angkat, ketepikan.

Bila kentang agak suam, masukkan daging burger yang digoreng tadi, gaul rata. Masukkan bahan tumbuk dan bahan-bahan hirisan, sebatikan. Kalau lembik sukar untuk dibentuk tambah sedikit sahaja tepung gandum. Adunan jangan terlalu kering atau terlalu basah, takut berderai atau hancur semasa menggoreng.

Bentukkan bulat atau bulat lonjong. Celupkan satu persatu burgerdel ke dalam putih telur hingga tersalut rata. Goreng dalam minyak banyak dan panas hingga masak. Jangan selalu diterbalikkan, cukup bila satu permukaan sudah nampak keperangan baru terbalikkan untuk masak permukaan yang lagi satu.

Angkat, toskan dan siap untuk disajikan.





0 sweet comments: