0
DONAT LABU / PUMPKIN DONUTS


Sekarang nak buat donat ada cara baru dah.....tak payah nak beriya-iya uli. Uli sekejap pastu tinggalkan biar doh mengembang. Macam menarik aje, mudah pun mudah. Nanti lah lain kali bila rasa nak makan sangat donat tahap rajin pulak menurun boleh try versi tu. Sementara terlajak rajin ni layan dulu Donat Labu guna cara lama uli dan uli sampai adunan jadi mulus dan elastik. Apapun kaedahnya, donat yang dihasilkan itu tetap ada uniknya tersendiri


Lihatkan hasilnya, hilaaangg rasa penat menguli...
Donat yang gebu gebas dan lembut...
Warna kuning donat adalah semulajadi daripada labu bukan penambahan pewarna

DONAT LABU
by IzaAkma SSK
source ~ Ricke Indriani @ Just My Ordinary Kitchen



Bahan-Bahan :
150 gm Labu Kuning Kukus ~ dilecek halus
(berat setelah dikukus tanpa kulit)
200 gm Tepung Roti
100 gm Tepung Gandum
20 gm Susu Tepung
6 gm Yis Mauripan
30 gm Gula Pasir
1/2 sdt Esen Vanila
2 biji Kuning Telur
50 ml Susu Cair dingin (secukupnya untuk menguli)
30 gm Butter/Margarine
1/2 sdt Garam

Gula Halus untuk taburan / Topping sesuai selera


Caranya :
Campurkan tepung, susu tepung, yis dan gula pasir. Kacau rata. Masukkan kuning telur, labu dan vanila, campurkan dan kacau rata. Masukkan susu cair dingin sedikit demi sedikit sambil diuli, hentikan penambahan susu cair bila adunan tidak lekat di tangan dan lembut

Masukkan butter/margarine dan garam, uli lagi hingga tercampur rata. Pindahkan adunan ke papan canai yang ditaburi sedikit tepung. Teruskan menguli hingga adunan menjadi elastik, permukaan adunan mulus dan licin. Bulatkan adunan, masukkan ke dalam bekas. Tutup dengan plastik wrap atau kain lembab. Biarkan 20-30 minit

Kempiskan adunan, ulikan semula sebentar agar licin kembali. Timbang adunan menjadi bebola masing-masing 30gm (atau mengikut berat sesuai yang disukai). Bulat-bulatkan bebola kemudian pipihkan, letakkan di loyang yang ditabur tepung tipis. Lakukan hingga habis. Tutup dengan plastik wrap agar adunan tidak kering. Biarkan 15-20 minit

Panaskan minyak dengan api sederhana, kemudian kecilkan api. Buatkan lubang di bahagian tengah donat. Goreng hingga satu sisi kekuningan, lalu balik dan goreng lagi satu sisi hingga kekuningan. Cukup dibalik satu kali saja

Angkat dan toskan.
Nikmati dengan taburan gula halus atau diberi topping sesuai selera


Note :
Susu cair yang ditambahkan ke dalam adunan semasa menguli bergantung kepada tepung dan labu yang digunakan kerana kadar penyerapan air berbeza-beza mengikut jenis tepung dan jenis labu. Perlu diingatkan, susu cair yang digunakan untuk menguli boleh dikurang atau dilebihkan sedikit hingga jadi satu adunan lembut dan tidak lagi lekat di tangan





0 sweet comments: