0
NASI GORENG BELACAN


Timbulnya idea ni selepas makan di salah sebuah kafe di area Ampang. Singgah situ dah petang ingat nak minum-minum je. Bila tengok jam dah pukul 6 alang-alang terus makan malam sekali. Pasal nak cepat sebab ada hal lain selepas tu saya pesan yang simple-simple, nasi goreng belacan and my daughter Puteri, nasi goreng tomyam. Bila makanan sampai, untuk Puteri nasi goreng tomyam dah betul tapi untuk saya nasi goreng belacannya lain tak macam yang selalu makan. Saya ingatkan diorang tersilap ambil order atau silap hantar ka.....rupanya bukan silap.....memang rupa itulah nasi goreng belacan style kafe diorang. Setakat ni belum pernah saya jumpa style gitu. Sesuatu yang menarik, lain dari yang lain.....atau orang lain dah lama tahu, saya aje yang tak tahu...

Selepas dirasa, nasinya nasi goreng biasa. Yang dikatakan belacan tu tang daging sebab ada rasa belacan dalam gorengan daging tersebut. Dari situ lah datang idea untuk entri kali ni. Bak kata orang, jauh berjalan luas pemandangan. Macam tu la jugak dalam bab masak memasak, dengan jjcm dapat kita kembang dan luaskan idea




Berdasarkan dari pemerhatian dan rasa, maka inilah hasil eksperimen saya di dapur petang semalam sekaligus menjadi santapan dinner kami. Walaupun tak 100% sama sekurangnya puas rasa hati, setelah dua tiga minggu memikir akhirnya terlaksana juga... ~ My Own Style Nasi Goreng Belacan

Ada dua part penyediaan untuk nasi goreng belacan ini :
- Nasi Goreng Planta
- Daging Goreng Belacan

Tak nak celoteh panjang di hari Jumaat mulia ini
Jomm intai resipi...


NASI GORENG BELACAN SSK Style

NASI GORENG PLANTA

Bahan-Bahan :
5 cwn Nasi Putih
2 sdb Majerin Planta
1 sdb Serbuk Lada Sulah
1 sdb Stok Ayam Pekat
1 sdb Minyak Bijan
Minyak Masak
Udang Segar secukupnya
Garam secukup rasa (jika perlu)

Bahan Tumbuk :
8 ulas Bawang Putih
7 ulas Bawang Merah

Bahan Sayuran:
Kobis ~ hiris halus
Karot ~ hiris halus

Bahan Telur :
4 biji Telur
Sedikit Serbuk Lada Sulah & Garam


Cara :
Campurkan majerin ke dalam nasi dan gaul sehingga bergaul rata, ketepikan
Campurkan bahan telur, pukul sikit dengan garfu dan ketepikan
Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak masak dan minyak bijan. Tumiskan kesemua bahan tumbuk sehingga naik bau dan pecah minyak
Kemudian masukkan udang, kacau rata sehingga masak
Ketepikan semua bahan, tuangkan telur dan kacau sehingga telur betul-betul masak. Kemudian campurkan semula dengan bahan tumisan tadi dan masukkan juga 6sdm air supaya tak kering
Masukkan bahan sayuran, lada sulah, stok ayam, setelah bahan-bahan bergaul rata masukkan nasi yang telah dicampurkan dengan majerin tadi. Gaul rata dan tambahkan garam jika perlu, padamkan api
DAGING GORENG BELACAN

Bahan-Bahan :
350 gm Daging Batang Pinang ~ hiris
1/2 labu Bawang Besar Kuning ~ hiris tebal
1/2 biji Lada Benggala Merah/Hijau ~ potong serong
7 biji Cendawan Butang (dlm tin) ~ hiris
3 biji Cili Api ~ ketuk
1 sdb Stok Ayam Pekat
1 inci Belacan
1/2 cwn Air
2 sdb Tepung Jagung ~ bancuh dengan sedikit air
2-3 tangkai Daun Ketumbar (jika suka)
Garam & Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Tumbuk :
4 ulas Bawang Merah
1 inci Halia


Cara :
Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk hingga naik bau
Masukkan belacan dan cili api, gorengkan sekejap
Masuk daging dan stok ayam pekat, gorengkan selama 10 minit (tutup kuali jika perlu)
Masukkan air, gula dan cendawan, kacau dan biarkan sebentar
Kemudian masukkan lada benggala dengan bawang besar
Setelah mendidih masuk bancuhan tepung jagung, kacau
Last patah-patahkan daun ketumbar, kacau rata dan padamkan api
Set Nasi Goreng Belacan





0 sweet comments: