0
LOMPANG PANDAN

السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera

Kuih tradisi yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Walaupun membuatnya nampak mudah tapi tak semudah disangka. Kalau kuih kaswi senang... dah bancuh curah dalam acuan terus kukus. Tak payah risau lesung pipit ada ke idak.

Tapi kuih lompang silap silap tak jadi lompang. Sebab orang tua tua kata kuih lompang yang sebenarnya, setelah siap dikukus mesti ada lesung pipit (lubang ditengah). Jika tiada bermakna lompang tak menjadi.

Satu lagi petua orang tua-tua yang saya tahu... kalau mahu lompang menjadi cantik berlesung pipit... sebelum mengisi adunan ke dalam acuan, sapu sikit minyak pada acuan dan kukuskan sebentar dalam kukusan yang dah betul-betul panas. Lepas tu baru isikan acuan dengan adunan dan kukuslah sehingga masak.

Hari ni kalau buat lompang tak menjadi lesung pipit, cuba lagi dan lagi. Belajar daripada kesilapan. Kalau takut gagal kita tak belajar. Termasuklah diri yang menulis ini, kena practise lagi untuk hasil yang lebih baik... untuk lesung pipit yang lebih dalam.

Hmmm sedapnyer hai layan kuih lompang petang-petang hari. Cuaca hujan pulak tu. Wangi pandan dia menangkap selera. Bubuh kelapa banyak-banyak... memang tak cukup satu. Mai mai join sekali...




LOMPANG PANDAN
by IzaAkma SSK
source : Surianti Ramli



BAHAN-BAHAN :
  • 1 1/2 cwn Tepung Beras
  • 1 sdb Tepung Ubi Kayu
  • 1 sdk Air Kapur
  • 3/4 cwn Gula Pasir
  • 2 1/2 cwn Jus Pandan (7 helai daun pandan dikisar dengan air & tapis)
  • 1 sdb Pes Pandan untuk memberikan warna hijau
HIASAN ATAS LOMPANG :
(gaul rata kelapa dengan garam & kukuskan sekejap bersama daun pandan)
  • Kelapa Parut Putih
  • Secubit Garam Halus
  • 1 helai Daun Pandan

CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Satukan gula pasir dengan jus pandan
❀   Masak sehingga gula larut, sejukkan (pastikan benar-benar sejuk, jika tidak lompang tidak menjadi)
❀   Satukan tepung beras, tepung ubi, air kapur, pes pandan dan jus pandan yang telah sejuk tadi. Gaul sebati
❀   Panaskan kukusan
❀   Sendukkan bacuhan ke dalam acuan lompang dan kukus selama 10-12 minit atau sehingga masak
❀   Angkat kuih lompang yang telah masak dan rendam separuh tenggelam dalam air biasa. Tujuannya supaya cepat sejuk dan mudah mengeluarkan kuih dari acuan. Atau cara lain untuk senang keluar, sapu acuan terlebih dahulu dengan sedikit minyak.
❀   Keluarkan kuih daripada acuan menggunakan hujung sudu secara berhati-hati
❀   Letakkan kelapa parut di atasnya





0 sweet comments: