0
SAMBAL HITAM IKAN BILIS NASI LEMAK

السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera

Hari ni baru sempat masukkan resipi sambal hitam bilis geng nasi lemak kuning haritu. Sambal ni pun daripada Ida Shahida. Dah alang-alang bawa balik nasi bawa balik sambal sekali... senang satu pakej. Disertakan juga beberapa tips daripada kak ida cara penyediaan sambal yang sempurna dan sedap.


Tips sambal sedap :

Jika nak masukkan ikan bilis dan kacang yang telah digoreng ke dalam sambal pastikan sambal betul-betul dah sejuk sebab ini akan membuatkan ikan bilis anda tetap rangup walaupun sudah bercampur dengan sambal.

Untuk sambal yang pekat dan berwarna gelap masukkan air 1/2 cawan. Kalau nak sambal berkuah dan warna merah, tak perlu masukkan gula sebanyak dalam resipi, masuk dalam 3 sudu/secukup rasa dan tak perlu masak lama. Tambah air 1-2 cawan supaya ia berkuah dan warna sambal akan jadi kemerahan. Warna merah sambal juga bergantung pada banyak gula dan semakin lama dimasak semakin merah dan gelap kuah sambalnya. Hendaklah selalu dikacau sampai pekat sikit supaya tak hangus. Boleh dimakan dengan nasi lemak biasa atau nasi lemak kuning

Kalau nak masukkan petai dalam sambal ikan bilis atau sambal udang, masukkan setelah sambal masak atau setelah tutup api sebab petai cepat layu. Biar petai tetap nampak hijau segar. Buat kuah sambalnya pekat dan maniskan sikit.

Ada orang suka ikan bilis goreng kuah taruh atas dan ada yang suka sambal ikan bilis yang dimasak sekali dengan kuahnya. Kedua-duanya sedap tapi kena betul-betul tahu teknik membuat sambal. Sambal perlu dimasak lama baru sedap. Jika kering tambah air sedikit supaya tidak hangus. Untuk sambal yang sempurna, jangkamasa memasak antara 40-60 minit. Nak berganda sedap lagi ambil minyak gorengan ikan bilis 3-4 sudu atau kesemuanya masukkan ke dalam sambal ikan bilis serta masukkan juga ikan bilis goreng yang dikisar dalam 1 sudu... memang marvellous.


SAMBAL HITAM IKAN BILIS NASI LEMAK
by IzaAkma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 8 sdm Cili Kisar
  • 2 labu Bawang Besar
  • 5 ulas Bawang Merah
  • 1 batang Serai
  • Air Asam Jawa
  • Sedikit Belacan
  • Garam secukupnya
  • 8 sd Gula
  • 3 genggam Ikan Bilis digoreng garing, ambil 20 ekor dan kisar halus

CARA PENYEDIAANNYA :
❀   Kisar bawang merah, bawang besar, belacan, garam dan serai.
❀   Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi.
❀   Masukkan cili kisar, tumis dengan api perlahan supaya cili betul-betul masak (kena masak lama).
❀   Setelah tumisan cili pecah minyak masuk air asam jawa, gula dan serbuk perasa (jika suka). Masak lagi sampai jadi pekat likat dan kental (sampai air kering) baru sambal akan jadi warna hitam.
❀   Bila dah betul-betul masak, masukkan ikan bilis yang dikisar tadi dan sebatikan. Angkat dan hidangkan.





0 sweet comments: