5
RENDANG PAHANG (OPOR) Menggunakan Rempah Opor Homemade

Jika Perak popular dengan Rendang Tok , Pahang popular dengan Opor
Inilah dia Opor atau Rendang Pahang yang saya war warkan dalam posting Pulut Kuning semalam

Dah lama berhasrat untuk masak opor pahang guna rempah homemade macam ni. Sebab sebelum ni dah pernah buat Rempah Opor Johor. Jadi nak cubalah versi Pahang pula. Bila digoogle cari opor pahang selalu berakhir hampa sebab banyak jumpa guna rempah ready made. Saya tak nak ready made... seboleh-bolehnya nak homemade. Kalau tak silap macam pernah nampak satu dua resipi opor lalu kat wall Fb atau mungkin saya terlepas pandang. Bila dicari balik jenuh scroll tak dapat dikesan. Untuk sedapkan hati berbisik sendirian... "tak apalah mungkin belum rezeki nak jumpa". Namun tak mematahkan semangat untuk terus mencari sampai ketemu.

Dijadikan cerita , dua minggu lepas masa buka satu persatu galeri resipi yang tersimpan dalam tablet... senyum sampai ke telinga. Alhamdulillah akhirnya ketemu juga yang dicari. Punya la cari merata... google sana sini rupanya depan mata je. Resipi dapat daripada rancangan tv Selera Rasa M&S oleh Chef Norzailina Nordin.


Bahan-bahan resipi semua saya ikut betul-betul satu-satu kecuali sajira saya abaikan sebab tak ada. Untuk dapatkan rasa yang sebenar segala bawang , bawang putih , halia , lengkuas , sampaikan cili kering pun semua timbang. Gula melaka dan kerisik saja agak-agak. Semua bahan dalam resipi di bawah adalah seperti asal cuma kaedah memasak saya buat cara saya sendiri. Saya juga pecahkan bahan kisar kepada dua... Bahan B dan Bahan C. Ikut asal cili kering pada (C) dikisar bersekali dengan (B)

Tak sia-sia selongkar balik khazanah tersimpan. Rendang Pahang atau Opor yang superlicious pada citarasa saya. Dalam gambar masih basah-basah lagi sebab nak cicah dengan pulut. Masih basah-basah pun warna dah nampak gelap. Jika dimasak sampai betul-betul kering akan jadi makin gelap dan hitam macam rendang tok


RENDANG PAHANG (OPOR DAGING)
by House of SSK
recipe : Chef Norzailina Nordin @ Selera Rasa M&S
BAHAN A :
  • 1 cwn Minyak
  • 1 kg Daging  |  potong kiub
  • 40 gm Rempah Opor    
  • 2 biji Buah Pelaga
  • 1 batang Kulit Kayu Manis
  • 2 kuntum Bunga Lawang
  • 400 ml Santan Pekat
  • 2-3 cwn Air
  • 80 gm Kerisik
  • 2 keping Asam Gelugor
  • Gula Melaka secukupnya
  • Garam
BAHAN B ~ kisar halus
  • 40 gm Bawang Putih
  • 120 gm Bawang Besar Merah
  • 40 gm Serai
  • 40 gm Lengkuas
  • 40 gm Halia
BAHAN C ~ kisar halus
  • 20 gm Cili Kering  |  rendam dahulu dalam air panas  
BAHAN D ~ Rempah Opor
(sangai kesemua bahan rempah hingga harum & kisar halus)
  • 15 tangkai Cili Kering  |  gunting serong
  • 2 1/2 sdb Ketumbar Biji
  • 1/2 sdt Jintan Putih Biji
  • 2 sdt Jintan Manis Biji
  • 7 biji Buah Pelaga
  • 1/2 biji Buah Pala  |  hancur-hancurkan sikit
  • 1/4 sdt Sajira @ Jintan Hitam @ Caraway Seeds
  • 5 kuntum Cengkih

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak
❀  Tumis bahan kisar B , kayu manis , pelaga  dan bunga lawang hingga wangi
❀  Masukkan bahan kisar C dan tumis hingga pecah minyak
❀  Masuk bahan D tumiskan dengan bahan tumisan sekejap
❀  Masukkan daging... tutup kuali. Bila air daging dah keluar , tambahkan air , tutup dan biarkan daging lembut
❀  Masuk santan dan biarkan mendidih
❀  Masuk garam , gula melaka , kerisik  & asam gelugor
❀  Kacau dan renihkan sampai pekat dan warna kehitaman

maaf ye , gambar semua live dari dalam kuali...tak sempat berpinggan cantik




0
PULUT KUNING

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Lama tak bersiaran masukkan resipi kat sini , hampir sebulan kot.
Blog aje diam senyap tapi tangan ni tak berdiam pun dari mencuba resipi resipi yang dikumpul. Bila tengok senarai resipi makin hari makin panjang macam tak terkejar rasanya nak buat satu persatu. Tapi insyaAllah selagi kudrat mengizinkan akan diusahakan.
Cuma mood ambil gambar tu kadang tak ada. Lepas siap masak snap apa sempat seadanya je yang tercapai oleh tangan. Kalau rajin dengan kamera... kalau tak dengan hp je paling senang.

Baru-baru ni saya sempat buat pulut kuning. Lama sangat dah tertangguh nak buat pulut kuning yang satu ni. Resipi daripada rancangan Apa Rasa oleh chef tersohor , Chef Ismail. Lawannya saya buat Rendang Pahang dengan Acar Pulang Hari. Memang ngam sangat.

Resipi menghendaki campurkan serbuk lada sulah dalam santan yang akan digaul dengan pulut. Tapi saya abaikan lada sulah tu tak bubuh pun. Alhamdulillah... ketiga-tiga menu memenuhi selera kami sekeluarga.


PULUT KUNING
by House of SSK
recipe : Chef Ismail @ Ranc. Apa Rasa
BAHAN A :
  • 400 gm Beras Pulut
  • 1 sdb Serbuk Kunyit
  • 2 keping Asam Gelugor
  • Air secukupnya
BAHAN B :
  • 200 ml Santan Pekat
  • 1 sdb Garam
  • 1 sdb Gula
  • 1 sdb Serbuk Lada Sulah
  • 1 helai Daun Pandan

CARA PENYEDIAAN :
❀  Rendam Bahan A selama 6 jam sehingga pulut jadi kuning
❀  Toskan dan siram di bawah air lalu
❀  Alas kukusan dengan daun pisang , bubuh pulut dan kukus hingga masak
❀  Sementara tunggu pulut masak satukan semua Bahan B kecuali daun pandan , kacau rata dan ketepikan
❀  Setelah pulut masak , keluarkan dan masuk ke dalam satu bekas besar yang lain
❀  Gaulkan pulut dengan santan tadi hingga rata
❀  Alas kukusan dengan daun pisang yang baru , bubuh pulut dengan daun pandan
❀  Kukus selama 5-10 minit lagi