0
DURIAN BUTTER CAKE


Menyempatkan diri buat Kek Mentega Durian ni semalam. Ada lagi kek durian lain dalam list tapi buat yang ni dulu... yang lain tu esok esok fikirkan.
Sedap kek nih... sambil taip entri sambil dok makan kek. Rasa duriannya lembutt tak kuat sangat dan kek moistt aje. Warna pun cantik kekuningan. Dalam gambar tak nampak sangat kuning kann tapi di luar gambar sebenarnya memang kuning. Tak percaya? Tak percaya boleh cuba dan lihatkan sendiri hasilnya.

DURIAN BUTTER CAKE
by House of SSK
source : Aunty Yochana  /  Chef Alex Goh

BAHAN A ~ puree durian :
  • 120 gm Isi Durian
  • 60 gm Susu Cair   
  • 40 gm Tepung Gandum
BAHAN B :
  • 250 gm Butter
  • 220 gm Gula Kastor
  • 5 biji Telur 
  • 200 gm Tepung Gandum
  • 50 gm Tepung Kastad
  • 1/2 tsp Baking Powder
  • 1/4 tsp Soda Bikarbonat
  • 1/4 tsp Garam

CARA PENYEDIAAN :

Puree Durian :
❀  Isi durian + susu - kisar halus
❀  Campurkan dengan tepung , sebatikan
❀  Ketepikan

Kek :
❀  Tepung gandum + baking powder + soda bikarbonat - ayak
❀  Butter + gula kastor -  mixer hingga kembang , putih dan ringan
❀  Masukkan telur sebiji demi sebiji , mixer sebati setiap kali dimasukkan telur
❀  Masukkan puree durian , mixer sebati
❀  Masukkan tepung yang diayak dan tepung kastad , kaupbalik hingga rata dan sebati
❀  Tuangkan adunan dalam tube pan dan bakar pada suhu 175C selama 50 minit
❀  Keluarkan daripada oven dan biarkan sejuk sebelum dipotong

Catatan HoSSK :
# telur... gred (A) @ 300 gm tanpa kulit

# gula kastor... 210 gm (pun dah ok manis)
# garam... mixer bersama butter & gula kastor
# bakar pada suhu 155C api atas bawah (off kipas) selama 35 minit  (bergantung pada oven masing-masing)


Super lembut , gebu  &  halus...





0
BEBOLA PULUT DURIAN ALA THAI


Sana sini orang dok tayang durian , kuih durian , bubur durian... semuanya durian. Ingatkan kita ni kebal tak terjangkit... kan dahh kena jugak virus. Kita ni bukan dalam kategori hantu durian sebenarnya... tapi geram juga tengok berlonggok-longgok durian dok jual tepi jalan. Terbeli juga sudahnya. Katanya durian udang merah rm50 / 8 biji... tak besar mana pun , kecik je sebiji. Masa penjual tu belah tunjuk isi nampak kuning kuning merah gitu. Balik rumah tengok banyak putih daripada merah... depa campur durian kampung rupanya... ermm tipah tertipu tertipu tipah. Biarlah lagipun depa bagi sebiji extra. Ingat nak pi cari lagi... nak frozenkan untuk projek lain persediaan aidiladha nanti.

Saya mulakan dengan dessert dari thailand. Buat untuk minum petang semalam. Ianya sangat mudah tapi sedap. Sebelum musim durian lagi dah perasan Pulut Durian Bua Loy ni ada lalu kat facebook. Tapi waktu tu belum musim jadi simpan dulu keinginan. Ni dah musim dapatlah merasa. Jika versi bebola bebola macam ni saya lebih suka kalau kuahnya tu agak-agak pekat. Bila makan , kuah bersalut penuh pada bebola... tu yang buat lagi ummphh. Jadi salah satu caranya ialah dengan menambah durian dalam kuah , sama macam pengat durian hat biasa tu. Dengan rasa lemak santan , lemak manis gula melaka serta lemak lemak manis durian... ngam sangat. Memang sedap!

BEBOLA PULUT DURIAN ALA THAI
by House of SSK

BAHAN BEBOLA :
  • 3/4 cwn Isi Durian
  • Tepung Pulut    
  • Pewarna Kuning
BAHAN KUAH :
  • 3/4 cwn Santan Kotak
  • 2 cwn Air
  • 1 keping  @  50 gm Gula Melaka
  • 1/2 sdt Garam
  • 7 ulas Durian  (bergantung ikut ketebalan isi)
  • 2 helai Daun Pandan  |  disimpul

CARA PENYEDIAAN :

Bebola :
❀  Lenyek isi durian dan uli bersama tepung pulut sehingga membentuk doh lembut yang tak lekat di tangan
❀  Bentukkan kepada bebola bebola kecil
❀  Didihkan air , masukkan bebola
❀  Apabila ia timbul , angkat dan masukkan ke dalam bekas berisi air sejuk bagi mengelakkan melekat antara satu sama lain

Kuah :
❀  Panaskan santan + air + gula melaka + garam + daun pandan
❀  Masukkan durian ke dalam santan biarkan didih dengan api perlahan
❀  Bila gula melaka dah larut dan kuah agak pekat , toskan bebola tadi dan masukkan dalam kuah
❀  Kacau rata dan tutup api


My Note :
# jika terlebih masuk tepung pulut dan doh terkeras , jangan tambah air tapi tambah isi durian

# kuah ini sudah secukup rasa... 
- jika mahu kuah berwarna lebih cerah , kurangkan gula melaka dan tambah gula putih 
- jika tak suka pekat tambahkan lagi air dan sesuaikan rasa 
# TETAPI dessert ini lebih sedap kuah yang agak agak pekat kerana ia dapat menyaluti bebola sepenuhnya


Sambil tu sempat juga buat Kuih Lapis Durian ni semalam. Siap dah lewat petang , pagi tadi baru potong. Tapi maaf lah , share gambar aje ya... no recipe. Okaylah itu saja untuk hari ni... nak layan kuih jap :)






0
PANKEK KOREA


Sedap rupanya lempeng korea ni... first time rasa... ala ala cucur udang @ sayur gitu. Penggunaan daun kucai yang banyak memberi aroma wangi dan sentuhan rasa yang cukup sedap. Cicah dengan sosnya lagi tak terkata apa. Bila tergigit cili satu satu dalam pankek dengan cili dalam sos , terasa pedas pedas... buat rasa lagi terangkat. Untuk pankek dan sos saya gabungkan daripada dua sumber iaitu Korean Bapsang & Maangchi dan sesuaikan dengan bahan yang ada... pastu tambah satu dua bahan lain ikut citarasa sendiri.


Sebaiknya buat nipis jadi boleh dapat dua keping untuk satu adunan. Saya nak cepat... tuang sekaligus dalam pan ajaib buat sekali masak je. Camtu juga tang atas... patutnya sebiji telur dah cukup tapi sebab tengok pankek besar , telur kecil... satu macam tak cukup... jadi buh dua. Pasal tu kejadiannya terlebih tebal dan nampak macam telur dadar. Bior ler camna pun... kita yang buat dia kann... janji sodapp :)

PANKEK KOREA
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • Kucai  |  potong 1 inci  (3 cwn)
  • Daun Bawang  |  potong 1 inci  (1/2 cwn)   
  • Timun Jepun  |  potong halus  (1/2 cwn)
  • 1 biji Cili Hijau  | hiris
  • 1 biji Cili Merah  |  hiris
  • 10 ekor Udang Segar Besar  |  buang kulit - potong ikut suka
  • 2 biji Telur  (saiz kecil)  |  untuk tuang kemudian atas pankek
BAHAN BATER :
  • 3/4 cwn Tepung Gandum
  • 2 sdb Tepung Beras
  • 2 sdb Tepung Jagung
  • 1 sdt Bawang Putih Cincang
  • 1/2 sdt Halia Cincang
  • 1 biji Telur  (saiz kecil)  |  dipukul ringan dengan garfu
  • 1 sdt Garam
  • 3/4 cwn Air  (anggaran)

CARA PENYEDIAAN :

❀  Sediakan semua sayuran , bersihkan dan tos. Asingkan sedikit cili hiris untuk tabur atas
❀  Untuk bater , campurkan semua bahan. Masukkan air sedikit demi sedikit sampai sebati. Masukkan semua bahan sayur kecuali udang
❀  Panaskan pan ajaib dan bubuh minyak
❀  Tuang adunan dan ratakan. Biar sekejap
❀  Taburkan udang dan hirisan cili merah & hijau
❀  Sudukan telur atasnya dan masak sehingga bahagian bawah keperangan
❀  Terbalikkan dan biar masak sambil ditekan dengan sudip. Kalau tebal ambil masa untuk benar benar masak dan perang
❀  Dah masak angkat dan hidangkan bersama sos pencicah

SOS PENCICAH
Sedap sos ni , wangi beraroma lada hitam dan dipedaskan lagi dengan cili padi.

BAHAN-BAHAN :
  • 1 sdb Kicap Lemak Manis
  • 2 sdb Cuka Putih
  • 1 sdb Air Masak
  • 1/2 sdt Gula
  • 1 sdt Serbuk Lada Hitam
  • 3 biji Cili Padi  |  dihiris
  • Sedikit Bijan Putih  |  disangai

CARA PENYEDIAAN :

❀  Satukan 5 bahan pertama , kacau rata
❀  Masukkan hirisan cili padi & tabur bijan





0
KUIH TALAM PANDAN


Lama tak menalam sejak bulan puasa hari tu. Sementara daun pandan masih ada kita manfaatkan. Saya memilih untuk buat Kuih Talam Pandan.

Asal resipi dari facebook... kisahnya tahun lepas tengah tengah scroll kebetulan terjumpa. Tengok gambarnya macam sedap jer. Tak tahan godaan selang beberapa hari saya pun try buat. Berulang kali baca resipi sebab instinct merasakan ada yang tak kena dengan resipi. Tapi saya terus juga buat follow resipi tu. Semasa tengah buat dah nampak memang sah ada yang tak betul. Teruskan juga. Lepas siap kukus... masih suam-suam saya potong sebab tak sabar nak tengok hasilnya macamana. Lapisan bawah tu bila dipotong potongannya tak berapa cantik lagi... yela belum sejuk betul kan... tapi rasa ok... lembut , sedap... cuma lapisan atas keras sikit. Kalau ikutkan yang sebetulnya sifat kuih talam yang guna tepung beras ketika masih panas atau suam-suam , kejadiannya lembik lembik gitu tak keras dan akan sempurna teksturnya bila dah betul-betul sejuk... tapi yang saya buat tu lain. Lepas dah sejuk betul potong lagi... barulah lapisan bawah tu cantik dan licin potongannya... yang atas tu hmmm... bertambah keras lagi. So apa yang instinct saya rasa memang tak salah.

Saya masih simpan lagi resipi tu , biarlah untuk simpanan sendiri... tak payahlah siarkan di sini. Cuma part lapisan pandannya saja saya share sebab berkenan sangat dengan rasanya yang sedap & lembut... walau disimpan semalaman dalam peti sejuk pun masih lagi lembut. Untuk lapisan atas saya follow yang lain (drp Zalinah_Rempah Ratus). Dah siap potong , nampak nipis pula layer atas tu. Nipis sebab saya buat 1/2 daripada resipi asal mungkin. Lain kali kena buat 2/3 baru nampak tebal sikit... kalau buat full tak padan pula nanti dengan ketinggian layer bawah. Tekstur atas ok lembut... tapi untuk lain kali saya akan abaikan tepung sagu. Apa pun terima kasih buat kedua dua penyumbang resipi. Di bawah ni adalah untuk 1/2 resipi berdasarkan yang saya dah buat.

KUIH TALAM PANDAN
by House of SSK

LAPISAN BAWAH :
  • 125 gm Tepung Gandum
  • 90 gm Gula Pasir  
  • 150 gm Santan  |  100 gm santan kotak + 50 gm air
  • 1/2 sdm Minyak Masak
  • Pewarna Dark Green
  • Secubit Garam
  • 300 gm Jus Pandan | 8 helai daun pandan + 300 gm air - kisar -tapis - jika terkurang , cukupkan dengan air
LAPISAN ATAS :
  • 300 gm Santan Pekat  |  150 gm santan kotak + 150 gm air
  • 50 gm Tepung Beras
  • 12 gm Tepung Sagu
  • 1 sdm Minyak Masak
  • Garam 

CARA PENYEDIAAN :

❀  Panaskan kukusan
❀  Sediakan loyang 7 inci sq , alas plastik dan lenserkan sedikit minyak

Sediakan Lapisan Bawah :
❀  Satukan jus pandan , santan dan minyak. Kacau rata dan ketepikan
❀  Satukan semua bahan lain , tuangkan campuran santan. Kacau rata dan sebati
❀  Masukkan dalam periuk dan masak hingga naik wap
❀  Letakkan loyang sekejap dalam kukusan yang sudah mendidih
❀  Tuang adunan dalam loyang
❀  Kukus selama 20 minit

Sediakan Lapisan Atas :
❀  Satukan semua bahan
❀  Masak hingga naik wap
❀  Tuang adunan ke atas lapisan pandan yang sudah masak
❀  Kukus selama 20 minit
❀  Sejukkan baru dipotong


Note :
# minyak dimasukkan sebab guna santan kotak , jika santan segar tak perlu minyak

# tambah lagi gula jika suka lebih manis (bagi saya yang penawar dah cukup manis dah dengan gula sebanyak itu)
# setiap 10 minit buka penutup dan lap , bagi elakkan wap air menitis ke permukaan kuih
# setelah kuih masak , buka penutup , biarkan loyang dalam kukusan dengan api kecil untuk lebih kurang 10 -15 minit 






0
NASI LEMAK HIJAU PANDAN dengan SAMBAL BILIS KOSONG


Dah jemu nasi putih , beralih nasi lemak pula.
Selera lebih ke arah nasi lemak hijau yang ada rasa rasa pandan.
Set lauknya ringkas ringkas je... Sambal Bilis Kosong , Daging Serai dan aksesori lain macam biasa... telur rebus & timun.
Keharuman dan wanginya menggamit selera...

NASI LEMAK HIJAU PANDAN
by House of SSK

BAHAN A :
  • 5 cwn Beras
  • 2 batang Serai  |  dititik
  • 1 inci Halia  |  dihiris
  • 3 helai Daun Pandan  |  disimpul
  • 2 sdb Marjerin / Butter   
  • Sedikit Gula
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya 
BAHAN B ~ dikisar & tapis :
  • 1 inci Halia
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 10 helai Daun Pandan
  • Santan

CARA PENYEDIAAN :
❀  Tambahkan Bahan (B) dengan air mengikut banyak dan jenis beras yang diguna
❀  Masakkan campuran santan tersebut bersama serai , halia , daun pandan , garam dan sedikit gula hingga mendidih
❀  Masukkan marjerin diikuti beras yang telah dibasuh bersih & ditos
❀  Kacaukan seketika dan terus tuang ke dalam rice cooker
❀  Biarkan nasi masak seperti biasa


Note :
# guna cwn penyukat rice cooker untuk menyukat beras , santan & air

# jika suka lebih hijau tambah sedikit pewarna hijau 


Penyediaan Sambal Bilis Kosong ni agak berbeza dengan sambal nasi lemak lain.
Perbezaan itulah yang mengajak saya untuk mencuba bagi mencari jawapan tersembunyi.
Lepas dicuba , ya betul... pada saya rasa sambal ni lain daripada yang lain.
Apa yang lainnya dan kenapa sambal dinamakan 'kosong'... jom intai resipi...

SAMBAL BILIS KOSONG
by House of SSK

BAHAN A :
  • 1 cwn Cili Kering Kisar
  • 1 labu Bawang Besar Merah  |  dikisar
  • 2 sdt Serbuk Cili
  • 2 sdt Pes Asam Jawa
  • Gula Melaka / Gula Merah
  • Garam 
  • 1 helai Daun Pandan  |  disimpul
  • Air secukupnya   
  • Minyak untuk menggoreng
BAHAN B ~ pes tambahan :
  • 1 labu besar Bawang Holland
  • 1 biji besar Buah Tomato
  • 3 ulas Bawang Putih
  • 2 inci Belacan
  • Segenggam Ikan Bilis   

CARA PENYEDIAAN :

Sediakan pes tambahan Bahan (B) terlebih dahulu :
❀  Gorengkan kesemua bahan dimulai dengan ikan bilis hingga garing, angkat dan ketepikan
❀  Diikuti belacan , angkat dan ketepikan
❀  Akhir sekali bawang holland , bawang putih dan tomato , angkat
❀  Sejukkan semua bahan goreng seketika , kemudian kisar halus semuanya

Untuk sambal :
❀  Menggunakan minyak gorengan tadi , tumis bawang kisar Bahan (A) hingga wangi
❀  Masuk cili kisar , tumis hingga garing
❀  Masuk serbuk cili , kacau sekejap
❀  Masukkan Bahan (B) , pes asam jawa , garam , gula  dan  1 -2 cawan air supaya sambal dapat merenih lama sehingga terbit minyak di permukaan sambal  (masa ini kawal api , guna kaedah renih iaitu masak dengan api kecil)
❀  Seimbangkan rasa dan akhir sekali masukkan simpulan daun pandan
❀  Kacaukan untuk beberapa minit dan siap
❀  Jika suka boleh ditabur sedikit ikan bilis goreng ke dalam sambal





0
BAHULU KUKUS ISTANA


Alhamdulillah , kali kedua buat dan dua-dua sukses. Asalnya bahulu kukus biasa. Saya olah dan mewahkan dengan campuran buah-buahan kering. Kemanisan secukup rasa selain rasa masam masam manis daripada buah. Teksturnya juga lembut dan spongy...
Untuk mudahkan rujukan saya pindahkan resipi di sini... senang cari bila bila nak. Kalau simpan dalam phone ada beribu dalam... jenuh cari satu satu

BAHULU KUKUS ISTANA
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 160 gm Tepung Gandum
  • 20 gm Tepung Kastad
  • 1/2 tsp Soda Bikarbonat
  • 200 gm Gula Kastor
  • 200 gm Telur  |  timbangan tanpa kulit   
  • 150 gm Santan  |  75 gm santan kotak + 75 gm air
  • 1 tsp Ovalet 
  • 1 tsp Esen Vanila
  • 1 tsp Pewarna Lemon Yellow
  • Secubit Garam
  • 60 gm Prune  |  gunting halus
  • 50 gm Cranberries  |  gunting halus
  • 35 gm Blackcurrant 

CARA PENYEDIAAN :
❀  Campurkan esen vanila , garam   &  pewarna lemon yellow ke dalam santan , kacau rata dan ketepikan
❀  Mixer telur + ovalet - dah berbuih sikit masuk gula - mixer lagi hingga kembang , pekat  &  putih
❀  Masukkan campuran tepung gandum , tepung kastad  &  soda bikarbonat sedikit demi sedikit berserta buah buah kering sambil dikaupbalik berselang seli dengan santan  (pastikan adunan tidak terlebih gaul)
❀  Biarkan adunan diperap selama 1 jam
❀  Selepas 1/2 jam adunan diperap boleh panaskan kukusan dan sediakan acuan-acuan kecil
❀  Sapu acuan dengan sedikit minyak
❀  Isikan acuan dengan adunan separas acuan
❀  Kukus 15 - 20 minit dengan api kuat  (pastikan kukusan sudah betul betul mendidih)

Note :
# lebih mudah keluarkan kuih daripada acuan sewaktu masih panas... kalau tunggu dah sejuk betul sesetengahnya mungkin melekat sikit pada acuan





0
BEE HOON SUP dengan CABAI GORENG / SAMBAL


Raya lalu masa kat kampung tetiba tekak bagai terasa-rasa bihun sup ala utara nun. Tak ada rancangan sebenarnya sebab tu ada bahan terpaksa diabaikan sebab tak ada. Walaupun tak cukup bahan tetap juga bersemangat guna bahan apa ada. Saya buat ayam ni pun dah sedap terasa. Bubuh pula sambal... wallahh... sekali pekena mesti akan bertambah tambah dan tak akan melupai sambalnya. Kalau guna daging dengan tulang pastu taburi lobak asin sure lah berdouble triple lagi sedappnyer kan. Masalahnya lobak asin tu... kebanyakan yang dijual bukan orang melayu buat. Nampak gayanya kena belajar buat sendiri lobak asin baru leh makan tanpa was-was. Sama juga halnya sawi jeruk... orang cakap bubuh dalam asam pedas sedap. Teringin juga nak rasa yeke sedap. Insyaallah ada masa cuba buat nanti.


BEE HOON SUP
by House of SSK
source : Ida Shahida

BAHAN-BAHAN :
  • 2 kg Daging
  • 2 kg Tulang
    @ kalau ayam beli 3 ekor yang tulang kerangka sahaja + 6 ketul isi ayam

  • 3 batang Serai 
  • 3 inci Lengkuas
  • 3 inci Halia... (semuanya diketuk)

  • 2 labu Bawang Putih
  • 7 biji Bawang Merah... (dimayang / ditumbuk)

  • Daun Leek * Selery*  | dipotong besar 3 inci  (optional)

  • 2 sdb Gula
  • 2 kiub Ayam @ Daging Maggi / Serbuk Perasa  (kiub ayam lebih sedap lebih power jika dimasukkan ke dalam masakan berasas daging , ayam dan ikan)
  • 1 sdb Biji Lada Hitam  |  ditumbuk kasar
  • 1/2 sdt Serbuk Kunyit  
  • 2 sdb Garam / secukup rasa
  • 6 batang Kulit Kayu Manis
  • 8 kuntum Bunga Lawang
  • 10 biji Buah Pelaga
  • 2 bungkus Perencah 'Sup Tulang'  (jika mahu)
  • Air secukupnya untuk merebus daging  

CARA PENYEDIAAN :

❀  Masukkan daging ke dalam periuk besar , diikuti dengan air sehingga daging tenggelam dan hampir 3/4 penuh periuk. Masakkan di atas api

❀  Bila sudah mendidih masukkan kesemua bahan yang telah dibersihkan , kulit kayu manis , bunga lawang , buah pelaga. Biarkan ia masak 1 1/2 - 2 jam supaya daging dapat empuk dengan sempurna. Air boleh ditambah jika surut.

❀  Setelah daging empuk , keluarkan kesemua bahan yang direbus bersama daging tadi. Hanya tinggalkan ketulan tulang dan daging sahaja

❀  Teruskan merebus dan masukkan kiub ayam , gula , serbuk perasa , garam , lada hitam , serbuk kunyit dan selebihnya tu... bolehlah dirasa kuah sup ini. Seimbangkan rasanya.

❀  Bila sudah secukup rasa rasa angkatlah kesemua ketulan daging dalam periuk , sejukkan. Potong untuk jadikan bahan hiasan bihun sup.

** untuk pengetahuan : kuah sup ini hanya kelihatan kosong tanpa ada tinggal satu bahan pun di dalam kuahnya termasuklah 3 sekawan tadi


BIHUN :

1 1/2 kampit bihun yang besar
❀  rendam bihun (air biarlah cukup cukup paras bihun saja) -  masukkan serbuk kunyit - gaul-gaul - biarkan (anggaran 15 minit jika sebungkus bihun)
❀  bila sudah agak lembut bolehlah dicelur sekejap dalam air didih 2-3 minit saja


HIASAN / TABUR

Daging ketulan besar yang telah direbus empuk  |  dipotong kiub kecil kecil
Daun Sup  |  dihiris halus
Daun Bawang  |  dihiris halus
Bawang Goreng
100 gm Lobak Asin  |  dicincang halus

CABAI GORENG / SAMBAL
source : Ida Shahida

Sambal memainkan peranan sangat penting untuk bihun sup. Kesedapan bihun sup semakin menyerlah jika sambalnya benar benar sedap dan menyelerakan. Sedap sambalnya maka akan sedaplah bihun sup anda.


BAHAN-BAHAN :
  • 1 cawan Minyak  (minyak kena banyak supaya cili betul-betul masak)
  • 3 senduk nasi Cili Kering Kisar
  • 8 sdb Sos Cili
  • 4 ulas Bawang Merah  |  dimayang
  • 3 ulas Bawang Putih  |  dimayang
  • 5 sdb Gula
  • 1 sdt Garam

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak
❀  Tumis bawang-bawang hiris dulu - cili kisar - sos - garam - goreng sampai cili masak betul betul baru ditambah gula... biar pekat
❀  Masak sampai sambal jadi warna merah tua / gelap
❀  Guna api sederhana dan perlahan sahaja bila hampir pekat
❀  Sambal kena manis baru nama sup utara... baru sedap!!





0
SAMBAL DAGING


Sudah 20 Syawal hari ini. Sambil taip entri sambil didendangkan radio sinar yang masih memutarkan lagu lagu raya. Jari berlari di keyboard fikiran turut berlari sama. Entahh... banyak yang menerpa fikiran saat ini. Di luar cuaca nampaknya terang dan tenang waktu ni. Tak macam semalam seharian mendung dengan diselangi hujan.

Okayy... beralih cerita pasal Sambal Daging sampingan nasi impit dengan Kuah Kacang Sempoi hari tu. Asalnya daripada Majalah Saji koleksi lama lama dulu. Patutnya guna campuran daging dengan paru... sebab paru tak ada , daging je ada... saya terpaksa sesuaikan balik resipi dengan menambah satu dua bahan lain manakala bahan-bahan asal yang lain tetap sama. Nak guna daging biasa pun boleh tapi saya guna batang pinang , cepat lembutnya sikit. Walaupun penyediaannya jauh beza dengan rendang tapi rupa dan rasa mirip sekali rendang. Makin diperangatkan makin warna bertukar kehitaman.

Setakat hari ini House of SSK dah post 3-4 empat resipi cara mudah yang boleh jadi alternatif kepada rendang.


SAMBAL DAGING
by House of SSK

BAHAN A :
  • 500 gm Daging Batang Pinang  |  hiris nipis
  • 10 sdb Cili Kisar
  • 2 - 3 batang Serai  |  dititik
  • 2 sdb Serbuk Ketumbar
  • 2 sdb Serbuk Jintan Manis
  • 1/2 cwn Sos Tomato
  • 4 sdb Bawang Goreng
  • Gula Perang
  • Garam
  • Air secukupnya
  • Minyak Masak untuk menumis
BAHAN B ~ kisar :
  • 4 biji Cili Api
  • 1/2 labu Bawang Merah Besar
  • 6 ulas Bawang Putih
  • 2 hiris Halia
  • 1 inci Lengkuas


CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak dalam kuali  (minyak biar lebih supaya rempah  &  cili masak dengan sempurna)
❀  Tumis Bahan (B) sehingga wangi
❀  Masukkan serai , cili kisar , serbuk ketumbar dan jintan manis
❀  Bila tumisan sudah nampak sedikit pecah minyak , masukkan sedikit dahulu gula perang dan garam  (kalau kering tambah sedikit air)... teruskan menumis sampai pecah minyak
❀  Baru masukkan daging , gorengkan sehingga rata untuk beberapa minit
❀  Masukkan 2 cawan air dan sos tomato , kacau dan biar hingga daging empuk dan pecah minyak lagi... kalau daging masih tak empuk tambah lagi air
❀  Bila daging dah empuk masukkan bawang goreng dan masak sehingga sambal kering atau kepekatan yang diingini serta terbit minyak di permukaan
❀  Seimbangkan rasa garam dan gula
❀  Kacau rata dan siap





0
KERABU TAUGEH PUCUK PAKU


Menu yang tak sempat post bulan puasa hari tu. Puasa puasa berlaukkan kerabu sama ada yang kering atau bersantan memang sedap sangat , terbuka selera. Tapi saya kalau kerabu style tradisi melayu prefer jenis basah yang berkuah macam ni... tak ler tercekik makan. Bagi saya yang tak cerewet ni , lauk ini saja pun cukup... pastu ada pula sambal belacan dengan ikan goreng atau ikan kering goreng ke... ok sangat dah. Usahkan bulan puasa , bulan lain pun lauk macam gini memang membuka selera. Kalau ada anak-anak yang tak gemar kerabu bila nampak ada udang besar dalam mesti akan tertarik dan capai juga.

Sumber asal daripada Chef Azahari menggunakan 2 genggam taugeh , daun selom  &  kerang / udang. Tapi saya ubah sikit... gantikan daun selom dengan pucuk paku pastu bubuh udang segar besar-besar. Kaedah penyediaan pun saya ubah sikit ikut keselesaan sendiri. Yang penting dalam apa jua masakan ada bahan asasnya tersendiri. Kenali apa bahan itu dan kekalkan ia sebolehnya. Jangan ubah sebarang melainkan tangan yang memasak itu tangan yang pakar. Bahan lain yang bukan asas boleh diganti ikut kesesuaian sesuai selera

Kerabu yang cukup rasa dan so sedapp pada piawaian citarasa saya !

KERABU TAUGEH PUCUK PAKU
by House of SSK

BAHAN A :
  • 1 genggam penuh Taugeh  |  tak perlu celur
  • 1 ikat Pucuk Paku | celur buh garam sikit - tos
  • 2 sdb Kerisik
  • 1 cwn Santan Segar Pekat
  • 10 ekor Udang Besar Segar | buang kulit
  • 3 sdb Jus Limau Nipis 
  • Gula
  • Garam
BAHAN B ~ tumbuk :
  • 1 inci Lengkuas
  • 2 ulas Bawang Merah
  • 1 ulas Bawang Putih
  • 1/2 inci Belacan
  • 2 biji Cili Merah
  • 1 sdb Udang Kering
BAHAN C ~ hiris :
  • 1 labu Bawang Merah Besar 
  • 1 biji Cili Merah

CARA PENYEDIAAN :
❀  Satukan santan + Bahan (B) + kerisik + gula + garam
❀  Masak guna api perlahan dan kacau selalu supaya santan tak pecah minyak
❀  Bila dah mendidih sikit , masukkan udang dan biarkan ia mendidih
❀  Masukkan jus limau
❀  Bila sudah seimbang rasa manis , masin , masam , masukkan taugeh dan kacau
❀  Selepas beberapa minit , tutup api
❀  Masukkan pucuk paku yang sudah dicelur tadi , gaul rata
❀  Masukkan pula Bahan (C) , gaul rata
❀  Siap untuk dihidang

campuran udang kering dengan kerisik... aromanya saja boleh kecur air liur
jangan lupa sudukan juga kuahnya sekali kat nasi... sedapp !
tak nak nasi ratah gitu pun sodapp...




0
KUAH KACANG SEMPOI


Raya hari tu tak puas makan. Asyik layan tetamu sampai lupa makan. Sedar-sedar kuah kacang berbaki sikit jer lagi. Sementara mood raya masih suam-suam kuku ni buat lagi tapi resipi lain , yang raya hari tu of coz lain... special sikit sebab resipi warisan keluarga. Kuah kacang yang ni pun tak kurang sedap jugak , pernah buat dua tiga kali dah sebelum ini. So semalam ulang buat lagi. Nasi impit rebus yang segera jer , tak sempat la nak impit impit. Sampingannya Sambal Daging dengan rasa ala ala rendang.

KUAH KACANG SEMPOI
by House of SSK
source : Ummi Zaihadi_HSH

BAHAN A :
  • 1 1/2 cwn Kacang Tanah
    - goreng tanpa minyak hingga nampak ada yang mengelupas kulit
    - angkat , ramas & buang kulit tapi jangan dibuang semua... tinggalkan sebahagian berkulit
    - kisar agak halus , ketepikan
BAHAN B ~ dikisar :
  • 30 tangkai Cili Kering  |  potong - masak sekejap - tos - buang biji
  • 8 - 10 ulas Bawang Merah
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1/2 inci Lengkuas
  • 2 - 3 batang Serai  |  ambil bahagian putih sahaja - hiris halus
BAHAN C :
  • 3 batang Serai  |  diketuk
  • 3 sdb Air Asam Jawa
  • 1 sdb Udang Kering  |  rendam dalam air panas - tos - tumbuk halus
  • 1/2 keping Gula Melaka
  • 4 sdb Gula Pasir / secukup rasa
  • Garam secukup rasa
  • 1/2 cwn Minyak untuk menumis
  • Air secukupnya

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak dalam periuk
❀  Tumis Bahan (B) dan serai yang diketuk dengan api sederhana hingga pecah minyak... kacau selalu
❀  Masukkan kacang tanah dan udang kering
❀  Kacau sekejap , tambah air anggaran 1 1/2 cwn
❀  Renih dengan api sederhana perlahan hingga kuah kacang berminyak  (dalam 10 - 15 minit)
❀  Bila kuah agak pekat , masukkan gula melaka , gula pasir , air asam jawa dan tambah lagi air sebanyak 1 1/2 - 2 cwn air
❀  Masak lagi hingga mendidih
❀  Masukkan garam secukup rasa
❀  Renihkan dengan api perlahan hingga kuah sedikit pekat dan terbit minyak di permukaan
❀  Seimbangkan rasa dan tutup api


CATATAN HoSSK :
# kacang dikisar semua tanpa dibuang kulit
# bawang putih... 1 sdt puri bawang putih , agak-agak penuh bukan mumbung
# air asam jawa... 1 sdm penuh pes asam jawa
# gula melaka... 3 sdm gula merah
# gula pasir... tak bubuh (dah cukup rasa manis daripada gula merah)



Kalau dah di dapur memang tangan tak reti duk diam. Ini ler namanya takde kerja cari kerja. Takde dalam senarai wajib cuba pun. Saja jer try untuk minum petang sebelum keluar hantar Puteri , my daughter balik kampus. Rasa dah ok cuma masih tak mencapai gred kepuasan hati. Akan cuba perbaiki lagi lain kali...

Teh Ais Cincau
(tanpa air batu cuma sejukkan dalam fridge je... lemak manis cukup , tapi macam kurang sesuatu)

Kek Pandan Nutella
(tekstur lembut cuma paras tak seindah rasa... hehe)