0
IKAN MASAK ASAM DAUN SELASIH


Hari ni nak kongsi satu resipi daripada koleksi saya sendiri yang dah banyak kali buat iaitu Masak Asam Daun Selasih. Lebih kurang asam pedas tapi sikit berbeza. Kalau asam pedas guna cili kering dengan daun kesum. Tapi masak asam ni guna cili besar dan diharumkan lagi dengan daun selasih serta bunga kantan. Saya lebih suka guna sweet thai basil sebab aroma wanginya lebih kuat. Saya tak bubuh belacan tapi sos nampla supaya ada ciri ciri siam dalam tu. Selain itu dimasukkan juga nenas untuk beri rasa masam-masam manis dan cili padi supaya pedas pedas.

Nah cukupkan... semua rasa ada... masam , manis , masin , pedas dan harum... rasa yang asli daripada bahan bahan alami. Lebih bagus lagi jika dapat guna kunyit hidup menggantikan serbuk kunyit... lebih wangi dan baik untuk kesihatan dalaman wanita. Cuma saya nak bagitahu , masakan ini guna cili besar @ fresh jadi kena masakkan kuah sampai agak agak pekat ya baru sedap terasa... bukan lah pekat sangat nanti tak berkuah pula makan... agak agak la ikut pekat yang kita mahu. Jenis ikan terpulang... kadang saya guna ikan tenggiri , kadang bawal hitam besar , kadang pula ikan merah... janji sesuai... :)

IKAN MASAK ASAM DAUN SELASIH
by House of SSK

BAHAN A :
  • 500 gm Kepingan Ikan Kerapu
  • 2 batang Serai  |  dititik
  • 2 potong Nenas  |  potong kecil
  • 2 kuntum Bunga Kantan  |  buang kulit luar yang keras - belah dua
  • 2-3 tangkai Daun Selasih  @  Sweet Thai Basil  |  petik daun
  • 2 1/2 cwn Air
  • 1 sdt Serbuk Kunyit
  • Bawang Holland  |  potong besar-besar
  • Pes Asam Jawa
  • Sos Nampla
  • Garam  &  Gula secukup rasa
BAHAN B ~ kisar :
  • 9 biji Cili Merah  (bersaiz besar)
  • 3 biji Cili Padi Merah
  • 1 labu Bawang Merah Besar
  • 4 ulas Bawang Putih
  • 1 inci Halia

CARA PENYEDIAAN :

❀  Bersihkan ikan , lumurkan dengan sedikit serbuk kunyit , gaul rata dan ketepikan
❀  Panaskan minyak secukupnya
❀  Tumis Bahan (B) dan serbuk kunyit sehingga wangi dan pecah minyak
❀  Masukkan serai , kantan , ikan , pes asam jawa dan sos nampla... kacau rata
❀  Masukkan air dan biarkan mendidih
❀  Masukkan nenas , potongan bawang holland , garam dan gula secukup rasa
❀  Reneh hingga pekat dan terbit minyak di permukaan
❀  Akhir sekali masukkan daun selasih , kacau kacau dan terus tutupkan api





0
KERABU TOMATO


Seperti yang dijanji , giliran Kerabu Tomato mengisi entri hari ini. Resipi ditukil daripada salah satu koleksi buku masakan yang dibeli sekitar Disember 2013. Baru dapat mencuba satu resipi daripada buku tersebut dan banyak lagi yang lain yang menarik. Ada kesempatan saya akan cuba yang lain lain dan kongsikan di sini nanti , insyaallah...

Kerabu ni simple je... tak pedas sangat tapi sangat wangi sebab ada kerisik , serai dan bunga kantan. Kalau suka yang kaw kaw pedas boleh tambahkan hirisan cili padi. Siapa yang on diet dan yang menjaga kecantikan kulit sesuai sangat... boleh dikatakan 2 in 1 sebab ada tomato. Yang tak diet pun dialu-alukan untuk mencuba... bukan saja sedap malah tomato selain mencantikkan kulit ia juga bagus untuk kesihatan. Info berkenaan tomato ada saya selitkan sekali di bawah nun... :)

KERABU TOMATO
by House of SSK
source : Dr. Shahrim Karim & Normariya Ulfa Sariman @ Resipi & Khasiat HERBA di Malaysia

BAHAN A :
  • 60 gm Kerisik
  • 15 gm Belacan  |  dibakar 
  • 2 sdb Minyak Jagung
  • 1 biji Limau Nipis  | ambil jus
  • 400 gm Tomato  |  buang biji - hiris memanjang
  • 100 gm Bawang Besar  |  hiris
  • 40 gm Cili Merah  |  hiris
  • 2 batang Serai  |  hiris halus
  • 1 kuntum Bunga Kantan  |  hiris 
  • Garam  &  Gula secukup rasa

CARA PENYEDIAAN :

❀  Campurkan kerisik , belacan , minyak dan jus limau , kacau rata
❀  Masukkan campuran kerisik ke dalam tomato dan herba yang dihiris
❀  Perasakan dengan garam dan gula , gaul hingga rata
❀  Sejukkan di dalam petisejuk sebelum dihidangkan


Antara bahan makanan yang mempunyai man­faat besar kepada kesihatan dan kecantikan kulit ialah tomato.

Bukan saja sedap dan menjadi antara bahan penting masakan, tomato boleh memberi zat secukupnya kepada kulit dan rambut.

Bagi mereka yang berminat dengan rawatan secara semula jadi yang murah, mudah dan berkesan, berikut disenaraikan kebaikan tomato dan cara menggunakannya untuk menjaga kecantikan kulit.

1. Dimakan begitu saja untuk mendapatkan nutrisinya dan kandungan air yang tinggi bagi me­lembapkan kulit dan sarat dengan mineral, kalsium, vitamin A, vitamin C, flavonoid, vitamin B kompleks, tiamin, folat dan niacin. Bukan saja baik untuk kulit tetapi menjaga kesihatan mata.

2.Kandungan antioksidan seperti lycopene dan zea-xanthin dalam tomato mampu melawan kesan kerosakan sel kulit oleh radikal bebas.

3. Bersifat antikanser dan mengelak reaksi kerosakan akibat pemakanan harian dan pendedahan kepada elemen alam sekitar sehingga merosakkan kesihatan dan menjejaskan penampilan.

4. Ia mampu memulihkan sel dan membina otot memandangkan tomato mempunyai kandungan protein.

5. Merawat liang roma terbuka dengan cara mencampurkan empat sudu jus tomato dengan satu sudu air, sebelum disapu ke seluruh muka menggunakan bola kapas. Biarkan selama 15 minit sebelum dicuci.

6. Menyerikan wajah dengan cara menggosok potongan tomato pada kulit sehingga jus menyerap ke dalam kulit. Ia juga boleh membantu meratakan warna kulit dan menjadikan kulit kelihatan lebih sihat.

7. Biji tomato mempunyai khasiat yang mampu merawat pelbagai masalah kulit. Ia boleh membantu melawan masalah penuaan pramatang dengan cara menyapu tomato kisar ke wajah sebelum tidur dan hanya basuh keesokan ­paginya.

8. Merawat jerawat dan ruam panas. Belah tomato dan sapukan pada wajah ataupun sapukan isi tomato pada wajah dan biarkan kira-kira satu jam. Sapu secara konsisten mampu memberi kesan ketara.

9. Mengawal pengeluaran minyak berlebihan pada wajah. Sebum terlalu banyak boleh menyumbat liang roma, seterusnya menyebabkan jerawat dan parut pada wajah. Tomato membantu mengu­rangkan masalah minyak berlebihan seterusnya kulit lebih licin dan bersih.

10.Tomato bertindak sebagai pelindung matahari semula jadi, sekali gus membantu memberikan wajah lebih muda kepada mereka yang rajin mengamalkannya.

11. Ia juga mengandu­ngi lapisan minyak semula jadi yang boleh digunakan sebagai penyegar semula jadi selepas kulit dicuci bersih.

12.Pengambilan tomato setiap hari mampu melawan kerosakan sel pada tahap selular, seterusnya membantu kulit kelihatan lebih anjal dan kurang garis halus.

13. Menyapu tomato pada kulit membantu mencerahkannya secara semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya.

14. Kulit lebih lembut dan bermaya. Cam­puran jus tomato dan madu me­lembapkan kulit dan menjadikannya lebih berseri.

15. Jus tomato juga boleh disapu dan digosok menggunakan tangan dengan cara membulat. Ia dapat menyingkirkan sel kulit mati, seterusnya kulit menjadi lebih gebu dan cerah.


(kredit info : MyMetro)




0
AYAM MASAK MERAH PERAK & NASI PANDAN SUSU

NASI PANDAN SUSU

AYAM MASAK MERAH PERAK

KERABU TOMATO


Set Nasi Pandan Susu saya kali ini... bersama Ayam Masak Merah Perak dengan Kerabu Tomato. Terjadi lagi nasi pandan susu ni sebab teringin sangat dengan ayam masak merah dan kerabu tu sebenarnya. Boleh jer dengan nasi putih tapi saja nak bagi special sikit sempena pra aidiladha yang tak berapa hari lagi. Bizi sikit tak sempat nak menggali resipi nasi yang lain... last buat jer nasi pandan nih... lagipun dah banyak kali buat dan dah tau macam mana rasa.

Baru kesampaian mencuba selepas hampir dua tahun resipi terperap dalam phone. Tak ingat siapa penyumbang resipi , yang saya ingat daripada Fb. Beliau namakan Ayam Masak Merah Perak a.k.a Ayam Masak Merah Kenduri dan menurutnya lagi resipi turun temurun orang Perak. Lepas baca resipi , tertanya sendiri... ya ke orang perak masak buh kacang... sebab saya orang Perak juga... tak buh kacang pun dan tak tau pula masak merah orang perak gaya itu. Kelainan itu menguatkan lagi semangat untuk cuba. Yela... lain orang lain cara lagipun ayam masak merah bukan satu versi je macam macam versi ada.


Sedap juga... ada rasa rempah rempah dan walaupun ada kacang , rasa kacang tak lah begitu menyerlah dan menganggu rasa. Mungkin kegunaan kacang seperti juga buah keras untuk memberi rasa lemak lemak dan sebagai pemekat kuah. Saya tambahkan bawang besar holland yang dipotong tebal... macam juga masak merah yang lain wajib ada bawang dipotong tebal-tebal...

AYAM MASAK MERAH PERAK
by House of SSK
source : Facebook

BAHAN A ~ kisar :
  • 10 tangkai Cili Kering *
  • 1 sdm Biji Jintan Manis *
  • 3 sdm Kacang Tanah *
  • 2 biji Buah Keras *
  • 1 inci Belacan *
  • 2 kuntum Bunga Lawang *
  • 2 biji Cengkih *
  • 1/4 batang Kulit Kayu Manis *  (tak boleh banyak sebab bau kuat)
  • 1 biji Cili Hidup
  • 5 biji Bawang Merah
BAHAN B ~ tumis :
  • 2 biji Bawang Merah  |  dihiris
  • 3 ulas Bawang Putih  |  dihiris
  • 3 inci Halia  |  dihiris
  • 1 batang Kulit Kayu Manis
  • 1 kuntum Bunga Lawang
  • 3 biji Cengkih
BAHAN C :
  • 1/3 cwn Santan Pekat
  • 1/2 ekor Ayam  |  potong ikut suka - lumur garam kunyit - goreng sekejap
  • Sedikit Air
  • Garam 
  • Gula
BAHAN D :
  • 4 sdb Sos Tomato

CARA PENYEDIAAN :

❀  Sangai bahan bertanda * dalam Bahan (A)
❀  Kisar halus dengan sedikit air bersama cili hidup dan bawang merah
❀  Dah kisar campurkan dengan Bahan (D)

❀  Panaskan minyak , tumis Bahan (B) hingga wangi
❀  Masukkan bahan kisar yang bercampur sos tomato tadi dan tumis hingga garing
❀  Masukkan ayam yang digoreng dan tambah sedikit air , masak sebentar
❀  Last masukkan santan pekat dan perasakan dengan garam dan gula
❀  Biarkan merenih seketika hingga semua bahan sebati
❀  Semua rasa dah seimbang , boleh padamkan api dan hidangkan



Kali keberapa buat tak ingat... berkali-kali sudah. Nasi Pandan Susu ni pada saya sedap , lemak-lemak dan sangat harum dengan aroma pandan ditambah lagi dengan masam manis kismis dan aprikot. Ngam sangat diregukan dengan Ayam Masak Merah Perak.


Resipi saya dah share dulu. Jika berkenan nak resipi , jangan segan silu silakan cari di Index. Saya dah siapkan semua link di situ untuk memudahkan pencarian khas untuk pengunjung SSK. Sekiranya ada kemusykilan dan persoalan sila emailkan terus kepada saya. Insyaallah saya akan cuba bantu.

Jangan lupa nantikan kemunculan Kerabu Tomato dalam entri seterusnya...





0
APAM SOLO


Kali kedua buat , yang pertama tiga tahun lalu. Dulu buat... dah snap gambar elok elok , laptop punya hal abis hilang. Dok tengok tengok resipi semalam jumpa balik resipi nih... pagi tadi buat pastu dah boleh simpan dah dalam sini.
Apam Solo ni pernah popular sikit masa dulu dan sampai sekarang masih lagi popular. Ia gabungan apam bersama inti kelapa manis. Dah ramai yang buat malah yang buat jualan pun ramai... macam macam kaler ada. Selain inti manis , nak buat inti pedas pun boleh juga...


Yang herannya buat yang dulu lagi gebuss... kali ni macam kurang sikit... merajuk ka apa padahal resipi yang sama ja. Tapi tang rasa usah cakap la... sama ja macam buat dulu sedapp... lembutt. Tambah sedap lagi bila tergigit tang inti. Bayangkan apam yang lembut kena dengan inti yang manis... tak ubah macam makan pau gituu. Masa taip entri ni... tengok balik gambar... mai idea. Nantilah bila bila free akan cuba idea tu. Lagipun memang nak cuba lagi so alang-alang buat sekali jalan la nanti. Sementara tu layan dulu apam solo ni na... :)

APAM SOLO
by House of SSK
source : Sari Yusa @ Seri Kandi_Alam Sari Di Tanah Jauhar

BAHAN INTI :
  • 130 gm Gula Merah
  • 30 gm Gula Pasir
  • 125 gm Air
  • 2 helai Daun Pandan
  • 300 gm Kelapa Parut Putih
  • 1 sdb Tepung Gandum
  • 1/4 sdt Garam

CARA PENYEDIAAN :

❀  Masakkan gula merah , gula pasir , air dan daun pandan sehingga mendidih
❀  Masukkan kelapa parut dan garam , kacau sebati
❀  Apabila hampir kering masukkan tepung gandum , kacau sebentar
❀  Angkat dan sejukkan

BAHAN APAM :
  • 500 gm Tepung Gandum
  • 2 sdt Instant Yis *
  • 180 gm Gula Pasir *
  • 250 gm Susu Cair *
  • 600 gm Air *
  • 1/8 sdt Garam *
  • Pewarna Kuning
  • Coklat Emulco 

CARA PENYEDIAAN :

❀  Campurkan semua bahan bertanda * dan kacau rata hingga sebati
❀  Bahagikan kepada tiga bahagian :
      - asal... tanpa warna
      - kuning... + pewarna kuning
      - coklat... + coklat emulco.
❀  Perap adunan selama 40 minit.
❀  Panaskan air dalam periuk kukusan
❀  Sapu acuan dengan minyak masak rata-rata
❀  Masukkan sedikit adunan putih
❀  Isikan inti kelapa
❀  Tutup dengan adunan putih
❀  Masukkan adunan kuning dan coklat , lorekkan
❀  Kukus dengan api sederhana selama 15 - 20 minit atau sehingga masak
❀  Keluarkan apam daripada acuan bila dah sejuk sedikit


# Sukatan ini boleh dapat lebih 40 biji apam dan amat sesuai untuk berniaga 





0
PAJERI NENAS TANPA SANTAN


Jarang kita dengar pajeri tak ada santan , kebiasaan mesti bersantan. Bersungguh saya nak cuba nak rasa sendiri. Yess... memang sedap , kuah pekat dan rasanya tak kalah seperti pajeri yang ada santan. Sekurangnya dengan skip santan kita dah kurangkan sedikit kalori dalam masakan. Kalau nak bubuh serbuk perasa pun boleh tapi saya kurang gemar dan jarang sangat guna. Guna bila perlu saja itu pun cuma kiub pati ayam atau ikan bilis. Selalu saya ganti dengan gula je. Untuk rahsia masakan yang sedap bukan terletak pada serbuk perasa tetapi terletak pada teknik memasak yang betul dan keseimbangan rasa mengikut jenis jenis masakan. Satu lagi... petua , jangan dilupa petua orang tua tua dahulu... semat dan praktikkan selalu supaya sebati dengan diri


PAJERI NENAS TANPA SANTAN
by House of SSK
source : MAHN_FB

BAHAN A ~ tumis :
  • 1/2 biji Bawang Besar  |  hiris
  • 2 ulas Bawang Putih  |  hiris
  • 1 inci Halia  |  hiris
  • 2 kuntum Bunga Lawang
  • 1 batang Kulit Kayu Manis
BAHAN B ~ kisar :
  • 2 biji Bawang Besar
  • 3 ulas Bawang Putih
  • 1 inci Halia
  • 2 sdm Udang Kering
BAHAN C :
  • 2 sdm Rempah Kari Daging
  • 2 sdk Serbuk Cili
BAHAN D :
  • 2 sdm Kerisik
  • 1 sdk Garam
  • 2 sdm Gula Pasir
  • 2 sdm Gula Merah
BAHAN E :
  • 1 biji Buah Nenas  |  potong  &  rebus

CARA PENYEDIAAN :

❀  Panaskan minyak, tumis Bahan (A) sehingga wangi dan kekuningan
❀  Masuk Bahan (B) , tumis lagi hingga wangi
❀  Masuk Bahan (C) , tumis sehingga betul-betul pecah minyak
❀  Rempah dah masak masukkan 1/2 cwn air
❀  Kemudian masuk Bahan (D)  &  (E)
❀  Biar seketika hingga semua bahan sebati
❀  Semua rasa dah seimbang , boleh padamkan api dan hidangkan





1
AYAM KICAP KERISIK BEREMPAH


Tak rancang pun nak masak ini. Bila tengok bahan-bahan senang semua ada ON je. Nak bagi lagi meriah saya masukkan sekali kentang dengan tomato. Dah jadi kebiasaan pun kalau masak kicap ayam memang bubuh dua dua tu... sedap buat ratah ratah. Kerisik jadikan masakan ini rasa yang berbeza , lebih wangi , beraroma dan membangkitkan selera...

AYAM KICAP KERISIK BEREMPAH
by House of SSK
source : Dayang Jack_DapurKu Sayang

BAHAN A :
  • 1 ekor Ayam Sederhana  |  potong ikut suka  &  cuci bersih
  • 1 sdm Biji Lada Hitam  |  tumbuk   
  • 1 sdm Cili Kisar
  • 2 sdm Kicap Pekat
  • 2 sdm Kicap Manis atau secukupnya
  • 3 sdm Kerisik
  • Sedikit Hirisan Daun Sup
  • Sedikit Air Asam Jawa
  • Rempah 4 sekawan  (kayu manis , cengkih , bunga lawang , buah pelaga)
  • Sedikit Madu / Gula
  • Garam
BAHAN B ~ kisar :
  • 5 ulas Bawang Merah
  • 1 labu Bawang Besar 
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1 inci Halia
  • 1/2 inci Lengkuas
  • 1 batang Serai

CARA PENYEDIAAN :

❀  Lumur ayam dengan garam dan kunyit  &  goreng 1/2 masak
❀  Gaulkan ayam yang sudah digoreng bersama lada hitam dan 1 sudu makan kicap pekat
❀  Perapkan sebentar selama 1/2 jam
❀  Panaskan minyak , tumis rempah 4 sekawan dan Bahan (B) hingga wangi
❀  Masukkan cili kisar , tumis lagi hingga pecah minyak
❀  Masukkan kicap pekat , kacau sebati
❀  Masukkan ayam dan kerisik , gaul rata-rata
❀  Masukkan air secukupnya , kacau dan biarkan ia mendidih seketika
❀  Masukkan pula kicap manis , garam , gula / madu dan air asam jawa
❀  Akhir sekali masukkan daun sup
❀  Setelah kuahnya kelihatan pekat , tutupkan api
❀  Hidangkan panas-panas bersama nasi putih , nasi beriani , nasi serai , nasi tomato dan sebagainya. Sedap!


Catatan HoSSK :
# madu / gula... madu

# air asam jawa... jus limau kasturi , masukkan akhir sekali
# ubi kentang (dipotong baji & goreng)
# tomato ceri



Semalam petang ada free. Apalagi macam biasa masuk lab main masak masak buat ujikaji sikit. Jangan tak tau chef pun ada lab juga... hangpa ingat scientist ja ka ada lab... hehe. Lepas dicampur segala... main main warna... ini result dia. Buat masa ini biarlah rahsia. Sampai bila rahsia , tak tau lagi. Tepek gambar ja dulu jamu mata... :)





0
RENDANG KACANG NEGERI SEMBILAN


Lama tak buat... dok teringin je dua tiga hari ni. Banyak kali dah buat , kali yang ini baru nak masukkan dalam sini. Rendang kacang ni memang sedap , padu rasa , lagi pedas lagi sedap... tapi tu lah tak boleh selalu... tinggi kolestrol sebab adanya santan pekat segar dan organ dalaman ayam. Saya pernah ganti santan segar dengan santan kotak tapi rasa tak sesedap yang segar. Macam tu juga dengan organ dalaman ayam... ada juga terfikir kut boleh ganti dengan bahan lain sebab orang dalam rumah ni kalau hati hempedal semua tolak kat saya... mana aci kan saya sorang je makan.

So hari ini saya mencuba apa yang saya dok fikir. Masih menggunakan hati dan hempedal tapi kuantiti yang sedikit dan tambahkan udang segar. Lagipun apa yang saya nampak ia cuma rencah aje... yang kita mahu perisa dia tu... tak dapat banyak , ada sikit pun dah ok. Dari segi rasa tak ada apa yang kurang jika bubuh udang , rasa masih sama. Jadi untuk selamat next next time saya akan bubuh udang sahaja... tak pun stail macam ini buh sikit je hati pedal... kalau tak sah sah saya yang tak selamat... hahha. Okaylah saya letak resipi asal kat sini manakala cara saya dalam Catatan HoSSK 

RENDANG KACANG NEGERI SEMBILAN
by House of SSK
source : Sheila_Spices Journey

BAHAN A :
  • 300 gm Kacang Panjang
  • 500 gm Isi Perut Ayam  (Telur/Hati/Pedal)   
  • 500 gm Santan Pekat
  • 3 batang Serai  |  dititik
  • 1 keping Asam Gelugur
  • Garam  &  Gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis
BAHAN B ~ tumbuk/kisar :
  • Segenggam Cili Api  (ikut kepedasan)
  • 2 inci Kunyit Hidup
  • 5 ulas Bawang Merah
  • 1 ulas Bawang Putih

CARA PENYEDIAAN :

❀  Patah-patahkan kacang panjang lebih kurang 2 inci  (jangan guna pisau , nanti manis kacang hilang... petua orang tua tua)
❀  Bersihkan isi perut ayam , tos  &  ketepikan
❀  Panaskan sedikit minyak untuk menumis
❀  Tumis Bahan (B) dengan serai hingga garing dan hilang bau cili
❀  Masukkan juga sedikit garam untuk matikan cili itu supaya tak pedas sangat
❀  Cili dah garing , masukkan isi perut ayam dan gorengkan sebentar agak separuh masak
❀  Masukkan santan pekat dan asam gelugur
❀  Bila dah hampir kering dan terbit minyak , masukkan kacang panjang
❀  Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa
❀  Kacau rata dan masak hingga sayur agak lembut dan layu


Catatan HoSSK :
# isi perut ayam... 2 keping hati & 4 keping hempedal

# bahan (B)... ditumbuk dengan sedikit garam , bila dah lumat masukkan 4 batang serai dan tumbuk sikit bagi pecah pecah 
# 12 ekor udang besar , dimasukkan bila santan sudah mendidih





0
ROTI JALA 3 MUSIM & KUAH DURIAN Yang Sedap


Jangan jemu ya asyik entri durian aje. Lepas ni tak ada dah... durian dah abis. Kena cari yang baru nanti buat stock... boleh buat tempoyak sekali... hihi
Roti jala ni cerita semalam. Dah alang alang buat , buatlah 3 warna sekaligus... coklat , hijau & kuning. Terus namakan Roti Jala 3 Musim sebab ada 3 warna. Dulu dulu saya cuma tahu kalau roti jala lawannya mesti kuah kari. Masa tu tak pandai lagi dengan kuah durian. Lepas cuba buat serabai cicah dengan kuah durian terasa sedap... sejak itu try pula dengan roti jala... langsung jadi feberet sekarang
Kuah Durian pula jika untuk roti jala dan serabai , saya masih setia menggunakan resipi Chef Arm. Resipinya ada saya share dulu. Kuah durian chef memang sedap dan power. Pekat , manis , lemak semua cukup.

ROTI JALA 3 MUSIM & KUAH DURIAN
by House of SSK

BAHAN A :
  • 250 gm Tepung Gandum
  • 50 gm Susu Sejat   
  • 500 gm Air
  • 1 biji Telur (A)
  • 10 gm Majerin Planta
  • 5 gm Minyak Sapi
  • Garam Halus secukup rasa
BAHAN B ~ roti jala hijau :
  • 1 sdt Coconut Pandan Emulco  (sudu metrik)
  • Pewarna Hijau
BAHAN C ~ roti jala kuning :
  • Pewarna Lemon Yellow

CARA PENYEDIAAN :

❀  Campurkan semua Bahan (A) kecuali air , kemudian tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga adunan sebati , halus dan tidak bergentel
❀  Rehatkan adunan dalam 15 minit
❀  Bahagikan kepada 2 bahagian :
     - hijau... + Bahan (B)
     - kuning... + Bahan (C)
❀  Masukkan dalam acuan roti jala ataupun botol 5 lubang
❀  Panaskan kuali non stick  (tak perlu sapu minyak)
❀  Boleh lah mula menjala


# adunan ini dapat tak banyak , kalau nak banyak double kan rcp

ROTI JALA COKLAT

BAHAN-BAHAN :
  • 300 gm Tepung Gandum
  • 1 biji Telur (A)
  • 30 gm Serbuk Koko
  • 40 gm Susu Pekat
  • 30 gm Gula Pasir
  • 25 gm Minyak Jagung
  • Secubit Garam
  • 50 gm Susu Sejat
  • 450 gm Air + lagi 3 -4 sdb  (sudu metrik)

CARA PENYEDIAAN :

❀  Campurkan semua bahan kecuali air , kemudian tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga adunan sebati , halus dan tidak bergentel  (kalau pekat tambah lagi air)
❀  Rehatkan adunan dalam 15 minit
❀  Masukkan dalam acuan roti jala ataupun botol 5 lubang
❀  Panaskan kuali non stick  (tak perlu sapu minyak)
❀  Boleh lah mula menjala

KUAH DURIAN

BAHAN A :
  • 550 gm Durian
  • 80 gm Santan Kotak
  • 450 gm Air
  • 3 helai Daun Pandan 
BAHAN B :
  • 200 gm Santan Kotak
  • 200 gm Air
  • 1 sdb (penuh) Gula Merah
  • 4 sdb  Gula Pasir
  • 1/4 sdt Garam 

CARA PENYEDIAAN :

❀  Dalam periuk , didihkan Bahan (A) di atas api sederhana dan kacau sentiasa
❀  Masak hingga isi durian menjadi lembut
❀  Masukkan Bahan (B) , masak hingga ia mula merenih


# yang ini versi tanpa sago dan guna gula merah 
# versi asal dengan sago di SINI ya...


Sirami roti jala dengan kuah...
Lagi sedap kalau terendam dalam kepekatan kuah... keenakan yang tak terkata




0
CARAMEL DURIAN


Setahun ke setahun tiba musim durian masih juga tak buat buat sedangkan resipi dah berhabuk lama simpan. Kadang terlupa... salin atas kertas dengan tulisan cakar ayam pastu selit sana sini... mujur tak hilang dan masih boleh baca lagi tulisan sendiri... haha. Tak ingat ambil daripada mana. Apa yang pasti lamaaa sangat dahh. Musim durian kali ni tak boleh tidak kena juga buat.

Dalam petisejuk ada lebihan fresh cream yang dah nak hampir tarikh luput... sayang pula kalau tak diguna. Jadi saya olah balik resipi asal... ubah dan tambah ikut kesesuaian bahan di dapur. Selepas pengolahan , inilah hasilnya. Sekian lama cuma nampak bayang huruf kat kertas , sekarang sudah nampak bayang yang sebenar benar depan mata... bayang yang boleh dilihat , dipegang dan dirasai. Saya abadikan di sini untuk rujukan berserta gambar sebagai kenangan. Mana tau rindu rinduan , nak buat stock durian tak ada... ini ler pengubat... heheh :)

CARAMEL DURIAN
by House of SSK

BAHAN A ~ kisar halus :
  • 80 gm Isi Durian
  • 100 gm Fresh Cream @ Non Dairy Whipping Cream   
  • 100 gm Susu Pekat
BAHAN B ~ kacau rata :
  • 300 gm Susu Sejat @ Cair
  • 100 gm Santan Kotak
BAHAN C :
  • 5 biji Telur @ 280 gm tanpa kulit
  • 25 gm Tepung Kastad
  • Secubit Garam 
BAHAN D :
  • Pewarna Hijau
  • Pewarna Kuning

CARA PENYEDIAAN :

❀  Pukul Bahan (C) dengan garfu sekadar sebati  (tak perlu sampai kembang)
❀  Masukkan Bahan (A) , kacau rata
❀  Masukkan Bahan (B) , kacau rata dan sebati
❀  Bahagikan kepada 2 bahagian :
     - hijau... + pewarna hijau
     - kuning... + pewarna kuning
❀  Setelah kukusan mendidih tuangkan adunan kuning atas karamel , kukus 15 minit
❀  Tuang pula adunan hijau  (jika mahu boleh cucuk cucuk lapisan kuning dengan lidi / garfu sebelum dituang adunan hijau) , tutup dengan aluminium foil dan kukus 40 minit
❀  Sejukkan sebelum dipotong

KARAMEL :

BAHAN-BAHAN :
  • 120 gm Gula Pasir
  • 3 sdm Air Panas 

CARA PENYEDIAAN :
❀  Masak gula sehingga gula mencair dan menjadi karamel
❀  Masukkan air panas , kacau sehingga melarut dengan api kecil
❀  Agak-agak pekat tutup api dan tuang ke dalam loyang bersaiz 7 inci sq
❀  Pusing pusingkan loyang sehingga karamel merata di dasar loyang


Caramel Durian nih bukan macam puding karamel biasa yang licin halus mulus tu tau. Dalam gambar teksturnya kelihatan macam kasar kasar gitu tapi sebenarnya lembut dan jenis gebu. Aroma wangi karamel dengan durian sama sama bangkit. Manis lemak semua secukup rasa. Yang penting karamel jangan sampai terhangus nanti pahit tak sedap. Terpulang nak warnakan dengan warna apa. Yang ni memang saya warnakan light light aje...





0
DAGING SERAI


Lauk gandingan Nasi Lemak Hijau Pandan di posting sebelum ini. Mungkin pada orang lain tak pelik tapi pada saya pelik sebab penggunaan serai yang begitu banyak. Dan sebab pelik lah saya makin mahu mencuba. Mulanya terkejut juga tengok banyak nyer serai nak kena hiris... sambil hiris hati dok kata , masak rendang sekilo daging pun tak ada la serai macam ni punya banyak. Selepas hiris , perlu digoreng hingga keperangan. Serai yang tadinya nampak banyak bila dah goreng , kecut dan jadi sikit. Seeloknya serai tu hiris halus halus lagi ya... saya buat ni tak berapa halus. Ia boleh dimasak sampai kering jika mahu. Terpulanglah ikut selera suka yang mana... basah basah ataupun kering. Boleh dimakan dengan nasi , malah dengan roti , lemang , pulut dan macam macam lagi.

DAGING SERAI
by House of SSK

BAHAN A :
  • 1 kg Daging  |  dipotong kecil
  • 50 batang Serai  |  dihiris halus
  • 3 sdb Kicap
  • 3 sdb Madu
  • 3 sdb Gula  
  • 2 keping Asam Gelugur
  • 4 sdb Cili Kering Kisar
  • Sedikit Garam
  • Minyak untuk menumis
BAHAN B ~ dikisar :
  • 2 labu Bawang Merah Besar
  • 5 ulas Bawang Putih
  • 4 cm Halia

CARA PENYEDIAAN :
❀  Perap daging dengan kicap , madu dan gula
❀  Goreng serai yang telah dihiris halus sehingga keperangan. Ketepikan
❀  Masak daging yang telah diperap tadi sehingga daging lembut dan separuh kering. Ketepikan
❀  Tumis Bahan (B) sehingga naik bau
❀  Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing
❀  Masukkan garam secukup rasa.
❀  Kemudian masukkan daging tadi dan gaul sehingga sebati
❀  Akhir sekali , masukkan asam gelugur dan hirisan serai yang digoreng
❀  Gaul sebati dan sedia untuk dihidangkan