0
AGAR-AGAR LUMUT & Ulangi FRUIT PASTRY CAKE Yang Sedap


Selepas 3 hari gantung kuali periuk , semalam berasap balik dapur. Cuti panjang tak pergi jauh pun cuma ke Utara je... makan angin di Darul Aman selepas setahun lebih tak ke sana. Sepanjang 3 hari 2 malam di sana cuaca agak baik jadi dapatlah merata jalan. Alhamdulillah juga... sempat merasa masakan utara yang lama dok idam... :)

Walaupun masih penat dengan kain baju lagi berlambak nak kena basuh , masak tetap masak. Dapat juga siapkan dua juadah , Agar-Agar Lumut dengan Fruit Pastry Cake untuk minum petang semalam. Saya buat agar-agar lumut versi jernih yang langsung tak guna pewarna. Saja buat macam ni untuk nampak kelainan daripada kebiasaan berwarna hijau. Sebenarnya buat lumut pun ada dua cara... ikut tekstur lumut yang kita nak samada lumut kasar ataupun halus. Dua-dua ada teknik masing-masing. Yang saya buat ni adalah lumut bertekstur kasar.

AGAR-AGAR LUMUT
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 18 gm Agar-Agar Tali 
  • 600 gm Air
  • 600 gm Jus Pandan  |  6  helai daun pandan  + 600 gm air - kisar - tapis - timbang  (jika tak cukup 600 gm cukupkan dengan air)
  • 145 gm Gula Pasir  | ikut manis
  • 200 gm Santan Pekat Kotak 
  • 1 sdt Garam 
  • 2 biji Telur 

CARA PENYEDIAAN :

❀  Masukkan agar-agar dan 600 gm air ke dalam periuk dan masak hingga agar-agar larut
❀  Sementara itu satukan santan , telur  &  garam. Whisk kan hingga sebati , ketepikan
❀  Bila agar-agar sudah larut , masukkan gula dan kacau hingga gula larut
❀  Masukkan jus pandan , biarkan mendidih
❀  Masukkan campuran santan dan telur tadi , biar mendidih sampai nampak berketul-ketul
❀  Kacau dan selepas didih kali kedua , tutup api
❀  Tuangkan ke dalam acuan atau loyang , biarkan sejuk
❀  Masukkan dalam peti sejuk




FRUIT PASTRY CAKE  Again!

Buat lagi atas permintaan Puteri. Haritu buat , dia kat kampus tak dapat merasa... kesian pula. Sementara dia cuti ada kat rumah ni buatkan jugalah. Dalam posting lepas tak ada strawberi kali ni banyak ada... petik masa pi 'Gunung Jerai' haritu... hahha.

Masih guna resipi sama yang post sebelum ni. Kalau resipi lain guna creaming method , kena bagi butter lembut dulu... lambat. Jadi saya guna resipi FPC Danish Harraz... paling senang paling cepat... just campur-campur , kacau-kacau dan bakar.


Untuk homemade buttermilk kali ni saya guna cuka 15 gm menggantikan lemon / limau kasturi. Cara mengadun saya ubah sikit iaitu campurkan tepung , gula dan semua bahan liquid kecuali buttermilk dan kacau sekejap sekadar rata dengan senduk kayu dalam satu hala... baru masukkan buttermilk dan kacau lagi juga dalam satu hala sampai sebati tapi pastikan jangan terlebih kacau nanti kek tak moist. Begitu juga step gaul buah dengan gula , saya tak buat kali ini. Lain lain step sama.

Hasilnya... kesedapan , kehalusan dan kegebuan kek tetap sama cuma kali ini kejadiannya lebih moistt. Memang sedap , tak jemu makan. Maaf lah , snap gambar apa ada je... tak larat dah... pastu keluar hantar Puteri pula balik kampus :)




0 sweet comments: