0
CEMPEDAK GORENG


Dok pusing pusing cari durian nampak pula cempedak. Terfikir lama tak menggoreng cempedak. Selalunya terasa nak makan beli yang dah siap goreng je. Langsung beli sebiji seberat 4 kilo rm40 diskaun rm8... katanya cempedak patriot. Ingat separuh untuk goreng separuh lagi simpan untuk buat kuih. Last last bahagian untuk kuih habis juga kena bedal semua... tak sempat jadi kuih pun. Takpe lah... ada rezeki cari lain nanti.

Takat goreng cempedak / pisang alah basic je... semua orang pun tau. Teringat zaman zaman remaja dulu , asal nak goreng pisang ke keledek... part bancuh tepung dan goreng bonda mesti serahkan pada saya sebab katanya kalau saya yang buat , sedapp... rangupp. Bancuhannya hanya tepung gandum , tepung beras dan air yang dicampur sedikit garam. Cuma portion antara dua tepung dengan air kena betul untuk dapatkan rasa rangup.

Kali ini saja saja gatal tangan menerai cara orang lain pula. Mana tau lagi power. Saya merujuk kepada dua resipi , gabungkan keduanya dan jadikan dalam metrik. Bancuhan tak cair tak pekat supaya salutannya elok nipis dan tak tebal. Kalau nak salutan yang tebal bancuhan kena pekat sikit. Ok juga... sedap , rangup. Nak kata kekal rangup sampai 12 jam tu tidak la... Normal lah baru baru masak waktu panas memang rangup dan beransur hilang bila dah sejuk but still sedap. Saya letak sini 3 resipi , resipi gabungan oleh saya dan dua resipi yang saya rujuk...

CEMPEDAK GORENG
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 105 gm Tepung Gandum
  • 25 gm Tepung Beras
  • 15 gm Tepung Jagung
  • 1 biji Telur  (saiz kecil @ 43 gm)
  • 1 sdm Air Kapur
  • 2 sdm Minyak Masak Panas
  • 1 sdm Gula Pasir
  • 1/4 sdt Garam
  • 150 gm Air

CARA PENYEDIAAN :

❀  Adun semua bahan hingga rata dan sebati
❀  Celupkan cempedak dalam adunan bater dan masukkan ke dalam minyak panas
❀  Goreng dan balik-balikkan hingga masak keemasan 

GORENG CEMPEDAK / PISANG / UBI 
source : Aznie Khasri

BAHAN-BAHAN :
  • 2 cwn Tepung Gandum 
  • 1/2 cwn Tepung Beras
  • 2 sdb Tepung Jagung
  • 1 biji Telur (A)
  • 1/2 cwn Minyak Masak
  • 1 1/2 cwn Air
  • 2 sdb Gula
  • 1/2 sdt Garam
  • Sedikit Serbuk Kunyit

CARA PENYEDIAAN :

❀  Campurkan semua bahan di atas , sebatikan dan tapis
❀  Celupkan cempedak dan goreng hingga masak

# boleh juga untuk goreng pisang atau ubi , nak guna untuk goreng udang pun boleh juga.. buat macam tempura tapi bubuh sikit serbuk lada sulah.. nak pedas boleh tambah sedikit serbuk cili

GORENG CEMPEDAK RANGUP
source : Azahari Abdullah

BAHAN-BAHAN:
  • 1 cwn Tepung Gandum
  • 2 sdb Tepung Beras
  • 1 sdb Air Kapur
  • Serbuk Kunyit
  • Garam secukup rasa
  • 2 sdb Minyak Masak Panas
  • 1/2 cwn Air Suam

CARA PENYEDIAAN :

❀  Bancuh semua bahan hingga nampak pekat atau likat
❀  Gaulkan cempedak dengan bancuhan tepung
❀  Goreng dalam minyak yang betul betul panas





0 sweet comments: