Assalamualaikum...
Sejarah awalnya, saya tubuhkan blog ini tiga tahun lepas dengan nama Syeera SC Homemade. Tapi masa tu saya belum benar-benar bersedia makanya blog tersebut semacam hidup tak hendak mati tak mahu. Cuma ada beberapa entri ringkas sahaja…..malah ramai juga yang tidak menyedari akan kewujudannya.
Sejak 6 tahun lepas, saya telah mengikuti dan mencuba pelbagai resepi daripada beberapa blog yang dikenali ramai …..kiranya blog sifoo laa kann…..tambahan pula tika itu blog masakan taklah banyak seperti sekarang yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh kerana terlalu minat hampir setiap hari saya akan baca blog2 sifoo tak kiralah siang ke malam disamping mencari resepi –resepi terkini. Kebanyakan resepi pula saya catit hanya di atas helaian kertas atau apa saja yang sempat dicekau…..simpan pula tak tentu tempat…..makin hari makin bertambah…..ada pula yang dah ghaib ntah mana sebelum sempat dicuba. Sejak itu saya mula terfikir untuk memulakan suatu platform sebagai ruang menyimpan dan mengumpul segala resepi yang telah ada mahupun resepi-resepi yang bakal menyusul. Maka wujudlah Singgahsana Kitchen (SSK) menggantikan Syeera SC Homemade pada Januari 2010 dan mula aktif tiga bulan selepas itu.
Niat saya ikhlas untuk sama-sama berkongsi resepi selain turut sama memeriahkan dunia masakan. Tapi dah resam manusia, orang takkan tahu apa yang ada dalam benak kita kann…..walau jujur macam mana pun kita, akan tetap dipandang serong. Sejak akhir-akhir ini, saya terima masuk beberapa email yang berbaur kurang menyenangkan. Antaranya mengatakan resepi yang dikongsi dalam SSK resepi murahan , resepi tipu…..bila dibuat macam tak yakin dan tak menjadi. Apa faedahnya saya dapat jika buat begitu? Lagipun apalah sangat ada pada SSK sampaikan mereka tergamak memburuk-burukkan. Terus-terang saya katakan perasaan saya sedikit terusik, kecewa dan sedih bila SSK dituduh sedemikian. Namun kekecewaan sedikit terubat bila ada antara mereka yang lain positif menyatakan kejayaan mereka mencuba resepi di SSK tanpa sebarang masalah. Yang buat saya begitu terharu, ada antara mereka yang masih menaruh sepenuh kepercayaan pada SSK minta saya emailkan some resepi …..pada mereka ini, terima kasih atas sokongan.
Seperti yang saya nyatakan , saya ikhlas tak ada niat walau sebesar zarah sekalipun nak menipu . Tidak terlintas hati saya nak buat macam tu. Saya sendiri pun banyak mencuba resepi daripada blog-blog lain. Ada antaranya menjadi dan ada juga yang gagal. Tapi saya tak salahkan resepi atau pun tuan punya resepi seratus peratus. Kerana saya masih ingat lagi pesan nasihat daripada cikgu-cikgu kelas masakan yang saya hadiri, kunci utama kejayaan sesuatu resepi itu sebenarnya terletak pada teknik. Lain orang lain teknik yang digunakan sebab itu resepi sama tapi hasilnya tak sama antara satu sama lain…..tak kurang juga yang gagal. Oleh itu jangan cepat melatah bila resepi yang diikut tidak menjadi dan terus melenting mengatakan resepi tu tak betul laa…..orang tu menipu laa…..dan mungkin banyak lagi kutukan-kutukan lain dibelakang saya kot…..
Sebenarnya saya masih sayangkan blog ini dan teman-teman semua. Selagi saya masih mampu pejam kan mata…..pekak kan telinga…..pujuk hati ini …..saya akan cuba teruskan apa yang telah saya mulakan. Namun saya perlukan masa untuk pulihkan semula semangat yang telah diragut dek tohmahan buruk itu. Jika tidak.....entri ini merupakan entri terakhir daripada SSK…..
Sekarang masih lagi musim durian. Jadi bfast tadi buat cucur durian. Resepi oleh Puan Ruzaimah Hamid daripada buku Kompilasi Masakan Durian terbitan Alaf21.
CUCUR DURIAN
sharing : Singgahsana Kitchen
Bahan-Bahan :
250 gm tepung gandum*
1 sudu teh soda bikarbonat* (* diayak )
200 gm isi durian
100 gm gula pasir atau secukup rasa
1/2 sudu makan ovalette
minyak masak untuk menggoreng
Caranya :
- Lecek isi durian dengan gula pasir dan ovalette.
- Masukkan bahan yang diayak dan digaul sehingga rata. Biarkan adunan selama 30 minit.
- Ambil beberapa sudu adunan dan goreng dalam minyak yang panas. Apabila kekuningan, angkat dan toskan.