Perihal Rempah Ratus & Sup Daging Berempah
Sejak dulu lagi manusia telah tahu khasiat rempah ratus dan herba dari sudut kesihatan. Kebanyakan rempah ratus ini dihasilkan di kawasan tropika, terutamanya di kawasan Asia. Penggunaan ramuan rempah-ratus dalam masakan nusantara bagaikan satu kemestian serta menjadi bahan utama dalam hampir setiap jenis hidangan. Penggunaan rempah-ratus dianggap penting kerana dapat membangkitkan aroma dan menambah kesedapan masakan yang disajikan. Boleh dikatakan setiap rumah di nusantara ini menyimpan rempah-ratusnya di dapur.
Selain memberi aroma dan perisa kepada masakan, mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa rempah-ratus juga bermanfaat dari sudut kesihatan dan perubatan. Ini terbukti melalui catatan seorang pakar geografi dan botani Islam, Muhammad Ibn al-Idrisi yang terkenal di dunia Islam mahupun di Barat dalam bukunya, Kitab al-Jami-li-Sifat Ashtat al-Nabatat (Kitab Ringkas Tentang Tumbuhan Perubatan) yang menyebut perihal rempah ratus boleh dijadikan sebagai ubat-ubatan. Kajian lain juga turut mendapati rempah-ratus sebenarnya boleh bertindak sebagai antibiotik yang menghalang pertumbuhan lebih 75 peratus kuman yang berpunca daripada makanan. Kini terdapat pelbagai rujukan kajian sains perubatan moden yang mengiktiraf khasiat rempah-ratus dalam penjagaan kesihatan, rawatan dan peningkatan fungsi tubuh-badan manusia.
Selalunya bila masak sup daging mahupun ayam, kebanyakan kita hanya menambahkan sup bunjut selain bahan penumis yang lain. Saya pernah lihat dalam satu rancangan masakan di tv dimana rempah ratus ditambahkan dalam masakan sup. Jadi saya ambil idea itu untuk olah semula sup biasa kepada sup berperisa rempah. Tak sia-sia usaha saya...sedap...dan lebih mengancam...hingga anak-anak menghirup kuahnya hingga habis licin...tak seperti selalu...isinya habis tapi kuahnya terbuang jer...
SUP DAGING BEREMPAH
Bahan-Bahan
- 1/2 kg daging, dihiris
- 5 cawan air
- 3 biji kentang, dipotong kiub
- 1 batang lobak merah, dipotong kiub
- 1 biji tomato (jika suka)
- 1 sup bunjut
- garam, gula dan asam keping/jus limau nipis jika perlu
- minyak masak untuk menumis
Bahan Kisar
- 1 biji bawang besar/8 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 3 sudu kecil biji ketumbar
- 3 sudu kecil lada hitam
- 2 sudu kecil biji jintan manis
- 2 sudu kecil biji jintan putih
- 1/4 sudu teh serbuk kunyit
Bahan Taburan [dihiris halus]
- 2 tangkai daun ketumbar
- 1 tangkai daun sup
- 1 tangkai daun bawang
- 3 biji cili padi (sapa yg nak lebih pedas)
Caranya
- Rebus daging, air dan sup bunjut hingga air rebusan tinggal separuh dan daging menjadi empuk.
- Sementara menunggu daging direbus, sangai biji ketumbar, jintan manis dan jintan putih hingga naik bau. Kemudian satukan dengan bahan-bahan kisar yang lain. Kisar sehingga halus.
- Panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi sehingga hampir garing. Setelah daging empuk, tuangkan bahan tumisan tadi ke dalam rebusan daging. Masukkan juga kentang dan lobak merah dan teruskan memasak hingga kentang dan lobak merah lembut. Rasakan garam, gula dan asamnya...tambah jika perlu. Boleh tambahkan air jika nak kan kuah yang lebih.
- Bila dah sempurna masaknya, tutup api dan taburkan dengan bahan taburan. Kacau-kacau dan bolehlah diangkat. Taburkan bawang goreng bila menghidang.
4 comments:
..terliur je tngk
salam akma,
wah akak buat nasi daging berempah, iza, buat sup dagingnya pula ya..hehe
meh tukar2..sedapnya sup daging hirup2..
ady > tkasih sudi singgah..
kak ayu > w'salam, itu la kak..kebetulan kan..akak buat nasi, sy buat sup..kena sangat lah tuu..mcm dah rancang pulak..heheh
Boleh cuba ni:)dah lama tak masak sup daging begini tapi kena dgn gengnya iaitu sambal belacan atau ikan masin baru terangkat:)
Post a Comment