KELEBIHAN SYAABAN & MALAM NISFU SYAABAN
.... السلام عليكم
Syaaban kembali bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.
Ini adalah rahmat dan kelebihan yang Allah SWT hendak berikan kepada kita selaku umat Nabi Muhammad SAW, yang mana tidak terdapat pada umat nabi-nabi yang lain. Ia adalah suatu anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada kita, maka bersyukurlah dan gunakanlah peluang yang ada untuk kita kaut kelebihan dan rahmat yang Allah SWT hendak berikan kepada kita. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak dengan bulan-bulan yang mulia ini, ditakuti ajal kita telah sampai sebelum kita bertemu dengan bulan-bulan ini. Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, Allahumma bariklana fi Sya'ban wa Balligna Ramadhan.
PENGERTIAN SYAABAN
Syaaban ertinya “berserak-serak”. Bulan Syaaban bulan berserak-serak. Dinamakan demikian kerana bulan ini masyarakat Arab pada masa dahulu berserak-serak pergi ke lembah-lembah untuk mencari air, kerana pada bulan ini biasanya mereka menghadapi musim kekurangan air. Dalam keterangan yang lain, dikatakan sebab dinamakan demikian kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajikan yang perlu direbut oleh umat islam.
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan yang pada pertengahannya ditinggikan kemuliaannya selepas malam Lailatul Qadar. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
MALAM NISFU SYAABAN
Nisfu adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud setengah atau sebahagian. Jadi, Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijriah. Umat Islam mempercayai yang pada malam itu, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
15 haribulan Syaaban yang sering disebut dengan Nisfu Syaaban adalah termasuk di dalam hari besar Islam, dan ia merupakan malam yang kedua termulia selepas malam Lailatul Qadar, kerana pada hari itu banyak mengandungi kelebihan dan Allah SWT memberikan atau menurunkan rahmat serta memberikan pengampunan kepada hambanya. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
"Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dalam sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafan-Mu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan aku berlindung kepada-Mu daripada-Mu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadap-Mu seperti kamu memuji diri-Mu sendiri."
Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata :
"Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata :
"Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatulqadar."
MALAM PENGAMPUNAN
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah menilik hambanya-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."
Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."
Malam Nisfu Syaaban adalah malam yang mana mustajab doa orang-orang yang berdoa. Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
"Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal. Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."
Rasulullah SAW bersabda, telah datang kepadanya Jibril AS lalu Jibril berkata :
" Wahai Muhammad ! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."
Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
- Memperbanyakkan puasa sunat
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
- Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
- Bertaubat
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”
Nabi SAW bersabda lagi:
“Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
DI ANTARA PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU DALAM BULAN SYAABAN ADALAH PERTUKARAN QIBLAT
Setelah berlaku peristiwa Isra dan Mikraj Nabi Muhammad SAW bertemu Allah Taala dan menerima kewajipan solat lima waktu, sekali lagi berlaku beberapa peristiwa besar kepada seluruh umat Islam di bulan Saaban ini. Antara yang berlaku ialah Allah memenangkan umat Islam di dalam Perang Bani Mustalik dan difardhukan beberapa ibadah khususnya zakat namun peristiwa yang paling besar adalah pertukaran qiblat dari Baitul Maqdis (Masjid Aqsa) ke Makkah (Masjidil Haram).
Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan. (Al-Baqarah : 144)
Setelah Nabi SAW menerima kewajipan solat lima waktu Baginda melaksanakannya dengan berqiblatkan Masjidil Aqsa selama 16 bulan sebagai mensucikan tempat Nabi di’israkan dan di Mikrajkan ke langit dan tempat suci para nabi-nabi terdahulu A.S. Allah SWT telah menyuruh Nabi SAW supaya berpaling dan mengadap Baitullah. Solat pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW selepas tahwil Qiblat ini adalah solat Zuhur mengikut sesetengah pendapat. Selepas peristiwa itu, Baginda SAW menerima pelbagai tohmahan dan cacian dikalangan orang Yahudi dan Nasrani. Dalam membatalkan dakwaan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya Yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat Yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus". (Al Baqarah : 142)
sumber :
firdaushadi.blogspot.com
kekanda69.blogspot.com
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment