RAMADHAN YANG DINANTI....
.... السلام عليكم
Pejam celik, bagaikan baru semalam rasanya meninggalkan Ramadan tahun lalu. Terasa pantas masa berputaran dan insya-Allah, esok 21 Julai 2012 bermulanya 1 Ramadan 1433H. Tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di negara ini menunaikan ibadat puasa Ramadan.
Fadhilat berpuasa Ramadan
→ Dibukakan pintu langit
→ Dibukakan pintu syurga
→ Bulan yang penuh keberkatan
→ Mempunyai satu daripada malamnya adalah lebih baik dari seribu malam (LailatulQadar)
→ Ganjaran berganda amalan sunat sama dengan solat fardhu
→ Solat fardhu mendapat ganjaran 70x ganda
→ Bulan kesabaran dan pahalanya adalah syurga
→ Bulan menambah rezeki
→ Bulan keampunan dan makbul doa. (Doa yang paling makbul iaitu doa ketika sebelum berbuka puasa dan doa sepertiga malam).
Kelebihan puasa mengikut saintifik
→ Mencergaskan gen yang bertanggungjawab merembes hormon-hormon yang akan membantu sel-sel menentang proses penuaan / awet muda.
→ Mencergaskan minda kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak daripada menghadamkan makanan.
→ Mengaktifkan pembentukan sel dalam tubuh.
→ Berpuasa selama jangka masa 30-40 hari meningkatkan kadar metabolisme sebanyak 5-6%.
→ Meningkatkan tenaga dengan mengurangkan penggunaan tenaga bagi mencerna makanan yang menghasilkan toksin dan melemahkan badan.
→ Hormon opioids yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dirembeskan dalam tubuh menjadikan fikiran tenang.
→ Mengurangkan dan mengawal penyakit diabetes.
Alhamdulillah, marilah bersama kita memanjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup, darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik. Dengan kasih sayang-Nya kita masih dikurniakan tubuh badan sihat dan mengizinkan kita untuk kembali bertemu pada Ramadan ini bagi menunaikan kewajipan rukun puasa sebaik mungkin bersama-sama insan tersayang.
Rasulullah SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Maka Allah SWT mendatangkan bulan Ramadan. Di mana dengan kita berpuasa, kita akan menjadi orang yang bertaqwa. (rujuk al-Baqarah:183)
Walau bagaimanapun, Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud, mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, taqwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana sejauhmana taqwa akan terbina adalah bergantung kepada kualiti puasa kita. Sebab itu di samping berniat untuk menyempurnakan rukun puasa, kita perlu juga bentuk satu keinginan mendalam, iltizam yang tinggi, komitmen yang padu hingga menjadi momentum ke arah merealisasikan matlamat menjadi seorang insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah.
Sebab itu kata Nabi SAW : "Ramai umat aku berpuasa, tapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."
Imam Ghazali membahagikan puasa kepada tiga. Pertama puasa awam, kedua puasa khusus dan yang ketiga puasa khusus lil khusus. Untuk menjana taqwa kita perlu menaikkan kualiti puasa kita ke tahap yang kedua dan yang ketiga.
Puasa khusus lil khusus adalah puasa yang tertinggi. Ia berkaitan dengan hati. Orang bertaqwa adalah orang yang hatinya sentiasa ingat Allah. Hatinya sentiasa merasakan keberadaan dan kebesaran Allah Tuhan Rabbul Jalil. Untuk menjadi orang bertaqwa perlu betulkan kehidupan kita. Untuk betulkan kehidupan, perlu betulkan amal. Untuk betulkan amal, perlu betulkan jasad. Untuk betulkan jasad, perlu betulkan hati kita. Kerana di hatilah berpaksi segalanya. Sesungguhnya, mengetahui itu dengan akal, tetapi mengenali itu dengan hati. Syukur, jika hati kita mencintai Allah, kita akan menjadi hamba Allah dan diperhambakan ke arah iman dan Islam.
Justeru, dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini marilah kita gilapkan hati kita agar sentiasa ingatkan Allah. Maka penting untuk kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Bersamalah kita berusaha perbaiki diri, tingkatkan amalan untuk jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik daripada sebelumnya. Siapa tahu mungkin Ramadan ini merupakan Ramadan kita yang terakhir....Wallahualam.
Marilah kita melangkah, kerana Allah menilai setiap usaha sebaik sahaja kita memulakan perjalanan… Insya-Allah, Allah akan kurniakan kita kebahagiaan kerana sesungguhnya, kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan.
" SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1433H "
buat semua yang mengenali SSK
No comments:
Post a Comment