2
Opor Ayam Merah



Assalamualaikum...


Salam hari Isnin, bermulanya hari baru minggu baru...
Alhamdulillah, dengan limpah kasih sayang Maha Esa...kita semua masih diberikan peluang bernafas di alam maya ini. Masih dapat melihat sinaran mentari, kebiruan langit, kehijauan alam, kicauan burung dan flora berkembangan, insan sekeliling terutamanya dapat menjalani rutin hidup berbakti pada keluarga tersayang. Yang penting masih berpeluang melaksanakan kewajipan beribadah mendekatkan diri pada-Nya dengan lebih sempurna dan penuh rasa tanggungjawab. Kasih sayang Pencipta pada makhluknya sungguh tidak ternilai harganya. Sebagai makhluk yang tahu bersyukur dan membalas budi letakkanlah seluruh kasih sayang yang abadi kepada-Nya tanpa rasa ragu. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar.

Sabda Nabi S.A.W :
"Beradalah engkau di dunia ini seolah-olah engkau itu seorang pedagang atau pengembara." 

Anda juga tentu pernah mendengar :
"Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari." 

Dan Ibn Umar r.a pernah berkata:
"Apabila engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menantikan waktu petang, 
dan ambillah peluang waktu sihatmu untuk waktu sakitmu dan masa hidupmu untuk 
masa matimu."  (Riwayat Bukhari) 



Ini lah sajian Iza tengahari tadi. Ingatkan bila masak lauk macam ni adalah selera nak makan. Jangan salah sangka. Bukan sebab lauk tak sedap tapi sebabnya Iza yang tak berapa nak sihat. Dah dua tiga hari batuk-batuk sampaikan tekak sakit...kepala sakit...badan pun lemah-lemah, sengal-sengal, seram sejuk dek kehadiran virus yang tak di undang. Biasa lah sakit yang lazimnya disebabkan faktor cuaca. Harap-harap cepat lah sembuhnya kerana bila dah sakit diikuti rasa demam macam ni semua kerja di rumah jadi kurang lancar. Bak kata bidalan, sakit ni kalau nak datang macam ribut...nak pergi macam semut...Sabar je lahh.

Opor Ayam Merah ni sedap sangat. Pada Iza, rasanya lebihkurang ayam masak merah cuma bezanya opor ni lebih harum beraroma kerana menggunakan banyak bawang goreng dalam ramuan. Terima kasih buat Noreen berkongsikan resepi.



OPOR AYAM MERAH
source : Noreen@my home cooking blog
sharing : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
1 ekor ayam - dibuang kulit dan segala lemaknya, dipotong 8
1 sudu makan kerisek
1 cawan bawang goreng - ditumbuk halus
1/2 tin tomato puree
2 biji tomato - dipotong dadu
1 biji bawang besar - dihiris
1/2 biji kelapa - untuk ambil 1-2 cawan santan
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa


BAHAN DIKISAR HALUS :
10 tangkai cili kering
3 sudu teh serbuk ketumbar
1 sudu teh jintan manis
8 hiris halia
3 hiris lengkuas
5 biji bawang merah/kecil


CARA PENYEDIAAN :
❀  Gaul rata ayam dengan rempah kisar, perap sebentar.
❀  Panaskan minyak, tumis bawang hiris sehingga kuning.
❀  Masukkan ayam yang bergaul rempah. balik-balikkan sebentar.
❀  Kemudian masukkan pula bawang goreng yang telah ditumbuk halus dan gaul sehingga rata.
❀  Masukkan tomato puree, tomato dadu dan kerisek. Masak sehingga kering.
❀  Apabila sudah kering, masukkan pula santan, garam dan gula secukup rasa.
❀  Biarkan sehingga naik minyak dan ayam masak. Balikkan ayam sesekali.
❀  Sedap di makan dengan sebarang nasi, pulut atau roti.


Nota:
lauk ini seeloknya dimasak malam dan dihidangkan keesokkan harinya...rempah menjadi mesra...rasanya lebih sedap.



2 sweet comments:

tun_telani said...

owh.. tun baru perasan, ayam sambal hutan tu resepi dia lebih kurang opor ayam, cuma ada serai.. mmg sedap bila ada serbuk ketumbar ngan jintan manis tu. mesti wangi je..
tun pun x bape sihat ni, tp sakit kepala je.. harap2 xde la sampai demam sbb nnti cuti CNY nk berjalan.. moga kak iza cepat sembuh ye. makan ubat tau.

ps: umah dia langsir baru laaa...cantik.

IZA AKMA said...

ya tun, resepi kalau ada rempah ketumbar ngan jintan mmg sedap dan masakan bertambah wangi.

nmpk mcm nak jalan jauh CNY nih..mkn angin ya tun..seronoknyer..