2
Kepergian Ramadhan Ditangisi, Kedatangan Syawal Disyukuri.... SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Sudah menjadi fitrah yang disusun oleh Allah SWT bahawa matahari dan bulan akan berputar mengikut paksinya. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Apabila sampai masanya, semuanya akan bertukar ganti. Justeru, Ramadhan ini juga perlu mengundur diri memberi lalulan kepada Syawal yang bakal menjelang.

Walaupun ada di antara kita yang mengharapkan Ramadhan tetap berpanjangan kerana belum puas mengecapi kemanisannya, namun itu semua hanya harapan. Biar setinggi mana pun harapan yang dipanjatkan, ia tetap tidak akan menjadi kenyataan. Ramadhan tetap akan pergi tanda patuhnya kepada peraturan Ilahi. Jadi, biarlah Ramadhan pergi dan simpanlah hasrat untuk bertemu dengannya lagi.


Ramadhan yang pergi ditangisi, Syawal yang hadir disyukuri. Orang-orang yang baik terdahulu sentiasa mendoakan supaya mereka diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadhan. Dan apabila selesai menyempurnakan Ramadhan, mereka mendoakan agar segala amal ibadat yang telah mereka persembahkan akan diterima oleh Allah SWT dan segala dosa mereka akan diampunkan-Nya.

Betapa rugi dan malangnya jika ada dalam kalangan kita yang diberikan kesempatan bertemu dengan Ramadhan tetapi tidak mengambil peluang untuk memohon keampunan. Ketahuilah bahawa berpuasa Ramadhan, menghidupkannya dengan beribadah pada Lailatul Qadar, bersedekah, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan beristighfar; itu semua adalah pintu-pintu keampunan. Tetapi dengan syarat tidak ada yang menghalang keampunan tersebut seperti meninggalkan perkara yang wajib dan melakukan perkara yang haram. Jika perkara-perkara ini tidak dilakukan, maka yakinilah keampunan Allah pasti akan datang.

Firman Allah SWT : " Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian mereka tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha: 82)

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Dia sentiasa bersedia untuk mengampunkan hamba-Nya yang memohon taubat dengan penuh keikhlasan. Bersama kita renungi seruan ini : " Katakanlah (wahai Muhammad): " Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dngan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Zumar:53)

Ramadhan sedang melambaikan tangan mengucapkan salam perpisahan. Usah biarkan perpisahan ini berlalu begitu saja. Tingkatkan ibadah di pengakhiran Ramadhan yang masih bersisa ini. Panjatkan segala hajat, luahkan segala rasa. Merintih dan merayulah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Titiskan air mata keinsafan. Rasai nikmat kemanisan tangisan seorang hamba mengharap pengampunan dan rahmat Tuhan. Moga rintihan di penghujung Ramadhan membuahkan seribu satu keampunan.




Sempena Aidilfitri ini, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung Singgahsana Kitchen yang beragama Islam khususnya teman-teman yang mengenali saya personally, rakan bloggers, followers, pembaca setia, pembaca senyap, rakan fb dan semua semua yang menyokong SSK tak kira walau di mana pun anda berada..... tak ketinggalan mereka yang sudi like website & entri SSK serta juga mereka yang rajin klik klik advertisement. 。◕‿◕。♥♡

Dalam bergembira membuat persiapan menyambut raya, sentiasalah mengutamakan kesederhanaan dan elakkan pembaziran. Raikan kemenangan ini dengan penuh kesyukuran dan medan bermaaf-maafan kita sesama insan. Kepada anda yang sedang on the way menuju ke kampung halaman mahupun yang akan berangkat, berhati-hati di jalanraya. Moga selamat sampai dan dapat meraikan pagi Syawal bersama insan-insan tersayang.


Ditangisi kepergian Ramadhan
Disyukuri Syawal mendatang

Andai jemari tak sempat bersalaman
Andai raga tak dapat bertatap
Seiring beduk yang menggema
Seruan takbir yang berkumandang
Ku aturkan salam lebaran

Jika kalam bicara keterlanjuran kata
Jika suara menikam rasa
Jika gurau dan senda membekas lara

Seikhlas hati menyusun sepuluh jari
Mohon dimaaf kekhilafan diri
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin
Moga silaturrahim kekal terjalin




2 sweet comments:

HomeKreation said...

Salam Iza. Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin dari Along sekeluaga.

IZA AKMA said...

@HomeKreation
Salam Along... sesama kita