2
SOTONG HIJAU ALA THAI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masih belum sihat sepenuhnya. Namun digagahi juga mengemaskini dapur maya ini demi anda semua sebagai tanda penghargaan saya kepada anda yang tidak lupa dan tidak jemu singgah ke sini.

Masih ingat lagi SSK ada berkongsi 13 resipi dalam Majalah Aroma keluaran Februari lepas. Lima daripadanya saya belum kongsikan di sini manakala yang lain-lain seperti Ayam Maharani, Daging Badami, Ikan Kembung Bersos Thai, Kari Ketam Kerala, Urap Jantung Pisang Lada Hitam, Karipap Apam Durian, Puding Pisang Karamel dan Lopes Sagu Ubi Kayu telah pun ada dalam posting terdahulu. Jika anda terlepas pandang akan resipi-resipi yang dinyatakan sila lah ke Menu Index untuk sessi pencarian. Yang lima lagi tu akan saya kongsikan satu persatu, In shaa Allah.




Jadi untuk tidak menghampakan mereka yang ketinggalan membeli Aroma Februari, maka hari ini saya masukkan satu daripada lima resipi tersebut. Sehari ke sehari asyik terlupa saja nak masukkan..... baru hari ini teringat. Okay, saya mulakan dengan resipi pertama Sotong Hijau Ala Thai.




Kebiasaan kita lihat masak hijau ini menggunakan ikan, ayam ataupun daging. Tetapi yang ini sedikit berbeza kerana menggunakan seafood sebagai ramuan utama iaitu sotong. Ahaa, pada penggemar sotong tu tunggu apa lagi. Selalu sotong ni kita masak sambal, kicap, masak lemak, goreng kunyit. Apakata kali ini bertukar selera kepada masakan ala thai ini. Jangan lupa mencuba ya. Yang telah mencuba sahaja tahu akan keistimewaan rasanya. Bak kata pepatah melayu, hanya jauhari yang mengenal manikam,,,, hehehe.



SOTONG HIJAU ALA THAI
by Iza Akma SSK
original rcp ~ Chef Zaidah Mohd Noor



Bahan A :
125 ml minyak masak
1 kg sotong | dibersihkan, dibuang ekor dan pundi dakwat, potong ikut suka
500 ml santan pekat
3 batang terung panjang | dipotong panjang 2inci
1 biji lada benggala merah | dibuang biji, dipotong 8
3 tangkai daun selasih
Garam dan Gula secukup rasa

Bahan B (Kisar):
10 tangkai cili hijau | dibuang biji
1 labu bawang besar
5 ulas bawang kecil
1 ulas bawang putih
3 tangkai akar daun ketumbar | dicuci bersih
1.5 cm halia
2 batang serai
3 helai daun limau purut
1 sudu teh belacan
2 sudu besar biji ketumbar*
1 sudu besar biji jintan manis*
1 sudu kecil biji lada putih*
1 sudu kecil biji lada hitam* |*disangai terlebih dahulu

Caranya :
Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bahan-bahan kisar sehingga wangi.
Masukkan sotong, kacau sebati dan masakkan sebentar.
Masuk santan. Apabila mendidih, masukkan terung, lada benggala dan daun selasih.
Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga terung empuk.
Sajikan bersama nasi putih.


Note :
- Jika suka, terung boleh digantikan dengan kacang panjang



2 sweet comments:

Khai♥Rin : anies said...

sy mmg tercari2 resepi sotong selain yg sedia ada tq kak

Bannister Road said...

Tengok gambar pun dah cukup meleleh air liur nii... hee... hari minggu ni nak cuba laaa, nampak pun sedap... dengan beraneka bahan2 dia... sedap niii..