6
APPLE CRUMBLE MUFFINS


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Resipi muffin ni dah lama simpan, dapat daripada satu web omputih. Penulis resipi tu kata muffin ni ada rasa macam apple pie. Tu yang teruja sangat nak buat. Bila dicari balik tak jumpa plak web tu.

Sepatutnya guna epal hijau. Tapi epal hijau takde.....yang ada epal merah yang macam dalam gambar tu. Lagipun epal merah ni jenis keras rangup bukan jenis yang lembut. Kira okay lah, projek on. Takde hijau, merah pun jadi.....lebih kurang peribahasa melayu; tiada rotan, akar pun berguna.








Sebab nak merasa punya pasal, samada muffin ni ada rasa apple pie ke idak.....teman gigihkan diri buat. Akhirnya inilah hasilnya.....muffin yang sedap, gebu, lembut dan terasa epalnya.....lagi garing crumble lagi sedap. Berbaloi, pueh hati teman.....tak sia-sia menerai.

Gambar bawah ni, abaikan dasar yang tergelap tu ek.....gara-gara terleka nengok tv rancangan rahsia kak ton.....dah tu timer oven plak buat hal.....dah set tapi tak bunyi.....nasib tak rentung.


APPLE CRUMBLE MUFFINS
modified by IzaAkma SSK
source of rcp ~ Letizia Golosa



Bahan Topping :
70 gm gula perang
60 gm tepung gandum
50 gm butter ~ cairkan
1 tsp serbuk kayu manis

Bahan Muffin :
210 gm gula perang
140 gm minyak jagung
1 biji telur
200 gm buttermilk
1/2 tsp soda bikarbonat
1/2 tsp baking powder
1 tsp garam
1/2 tsp vanila*
1/2 tsp esen epal* (*atau 1 tsp esen vanila)
300 gm tepung gandum
230 gm epal hijau yang telah dibuang kulit & dipotong dadu


Caranya :
Panaskan oven dahulu pada suhu 200C selama 30 minit.
Isikan dulang muffin dengan muffin cup. Ketepikan.
Ayak tepung gandum dengan baking powder. Ketepikan.
Campurkan semua bahan-bahan topping dan gaul sehingga menjadi crumble. Ketepikan.
Sementara itu, satukan gula perang, minyak jagung dan telur dalam mangkuk adunan.
Dalam bekas berasingan, satukan buttermilk, baking soda, garam dan esen vanila.
Masukkan campuran tepung ke dalam campuran minyak berselang seli dengan campuran buttermilk. Kacau hingga sekadar sebati. Masukkan epal yang dipotong dadu.
Sudukan adunan ke dalam muffin cup dan taburkan dengan bahan topping.
Turunkan suhu pada 170C. Bakar muffin anggaran 30 minit atau sehingga masak iaitu bila disentuh bahagian atas, ia akan menganjal semula (suhu dan jangkamasa membakar mengikut kepanasan oven masing-masing).



2
TUMIS LENGKUAS TEMPE & UDANG


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Tak rajin memikir nak masak apa.
Ambil aje resipi yang dah ada dalam dapur maya ni.
Ubahsuai sikit, tambah ikut citarasa......dah siap.....
Resipi di bawah setelah diolah. 
Resipi asal boleh lihat di SINI.




Yang ni shoot live terus ke dalam periuk.....
TUMIS LENGKUAS TEMPE & UDANG
by IzaAkma SSK


Bahan-Bahan :
4 keping tempe
1 biji cili merah
1 cawan santan pekat
1 cawan air
Kacang panjang
Udang segar
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan Tumbuk :
1/2 cawan ikan bilis
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
5 biji cili merah
1 inci lengkuas


Caranya :
Tempe dipotong serong, kacang panjang dihiris serong, cuci dan ketepikan dulu.
Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk, sehingga pecah minyak.
Masukkan tempe yang dipotong serong dan kacau. Masukkan air dan gaul lagi.
Setelah hampir separuh masak, masukkan santan dan masukkan pula kacang panjang yang dihiris serta udang.
Masukkan garam secukup rasa dan masukkan cili merah yang dihiris serong.
Gaul sebati dan perasakan. Masak hingga mendidih. Setelah siap matikan api dan bolehlah dihidangkan.



3
AYAM MASAK ROS MAMAK PENANG


السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |  Salam Sejahtera


Biasa dengar orang duk sebut-sebut ayam masak ros. Pernah cuba sekali ayam masak ros chef Anis Nabilah, memang sedap tapi sebab kemalasan nak berfoto shoot bagai makanya tak dak gambar yang dirakam. Lain kali lah no buat yang tu.....cheq nak cuba resipi lain pulak.




Ayam masak ros ni kiranya lebih kurang sama ayam masak merah ja. Yang cheq tau ada dua tiga versi. Tapi yang cheq masak ni versi penang mai. Rasa ada sikit beza sebab guna rempah-rempah. Tak dinafikan sememangnya marvelous. Itu pun kenakan dengan nasi putih ja tu.....kalau kena regunya nasi tomato ka nasi beriani ka lagi la mantap.




Tak cuba tak tau, dah cuba baru tau. Terima kasih Mamak Haji ya sudi kongsi resipi yang sedap ini. Cukup sampai di sini dulu.....tak dak idea apa nak tulis dah. Okay, permisi.....Adios amigos!



AYAM MASAK ROS MAMAK PENANG
by IzaAkma SSK
source of rcp ~ Mamak Haji Roslan



Bahan-Bahan :
1 ekor ayam (1.6 – 1.8kg) ~ bersihkan, potong 12
1/2 Tin (225gm) "Kimball Sup Tomato"
3 sudu besar tomato puri / 1 tin kecil
1/2 Tin Susu cair/sejat
1 helai daun pandan dipotong 2″ panjang untuk tumis bersama
2 biji bawang besar ~ dihiris memanjang (cara nasi kandar)
2 batang kayu manis berukuran 2″ panjang
3 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
5 kuntum cengkih untuk menumis
1 Senduk minyak masak untuk menumis dan minyak yang secukup untuk menggoreng ketulan ayam
1 sudu besar serbuk jintan putih (sy buat 1 sudu kecil)
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil kas-kas
1 sudu kecil garam masala
2 sudu besar serbuk cili ( ikut kepedasan yang diperlukan)
100gm santan pekat
2 sudu besar buah badam direbus dan dikisar halus (sy abaikan)
1 sudu besar pes halia bawang putih
Garam secukupnya rasa
Sedikit pewarna merah oren jika anda gagal dapatkan warna kemerahan. Biasa cili merah ini berbagai jenis kadang-kala kita tak dapat warna yang dikehendaki (sy guna sedikit sahaja pewarna orange-red)
Sedikit daun pudina/daun saderi & bawang goreng untuk hiasan

Bahan Dikisar A :
1 labu bawang besar
1 inci halia
5 ulas bawang putih

Bahan Dikisar B :
15 tangkai cili kering ~ rebus & kisar
1 batang karot
1 biji tomato

Bahan Dikisar C :
100 gm biji badam direndam air panas, dibuang kulit dan dikisar halus

*Sekiranya anda punyai pes bawang putih halia gunakan 2 sudu besar. Tak perlu gunakan Halia dan Bawang putih.


Caranya :
Bersihkan ketulan ayam. Masukkan garam dan sebuk kunyit. Gorengkan ketulan ayam itu sehingga 3/4 masak sahaja. Ayam gorengan yang garing menjadikan ketulan ayam keras dan sukar rempah untuk menyalutinya. Sekiranya menggunakan ayam kampung disyorkan tidak perlu digoreng.

Panaskan kuali dan masukkan minyak masak (minyak berlebihan gorengan ayam tadi boleh digunakan). Masukkan kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, bunga cengkih, serai dan daun pandan. Apabila bau harum mula dikeluarkan masukkan hirisan bawang besar. Tumis sehingga bawang bertukar warna keemasan (jangan hangus).

Masukkan bahan kisaran A, tumis seketika hingga naik baunya, masukkan kisaran B dan juga kisaran C. Masukkan sup tomato, tomato puri dan susu sejat. Tumiskan sehingga bahan gorengan ini keluarkan bau haruman dengan api yang perlahan (ini amat mustahak supaya kuah ayam masak merah tidak berbuih semasa dihidangkan).

Masukkan serbuk cili, serbuk jintan putih, jintan manis, garam masala dan serbuk kas-kas. Anda perlu adunkan sedikit untuk jadikan pes supaya serbuk tidak menjadi ketulan terapung.

Bila kuah mula pecah minyak masukkan santan pekat.

Masukkan gula dan garam secukup rasa.

Biarkan sebatian mendidih. Masukkan ketulan ayam yang telah digoreng. Kacau rata kuah supaya tidak hangus dan kuahnya sebati dengan ketulan ayam. Kecilkan api apabila kuah mendidih (biasa 15min- 20min sudah memadai). Apabila kuah pecah minyak, bolehlah dikeluarkan untuk hidangan. Hidangkan dengan taburan daun pudina dan bawang goreng bagi menambahkan lagi bau yang harum.


Nota :
Sebenarnya masakan nasi kandar memerlukan bahan masakan yang banyak dan bawang adalah bahan utama. Masakan nasi kandar tidak menggunakan air untuk menambahkan kuahnya. Bawang yang dikisar dengan air menjadi kuah masakan maka seperti mamak cadangkan 50% air dan 50% bahan kisaran sudah memadai. Sekiranya mahukan cair boleh tambah air. Tetapi perlu ingat kuah nasi kandaq mamak yang sedap kerana kuahnya likat melekat sebab itu mamak haji tambah karot dan biji badam dlm resipi ini.