INDAHNYA RAMADHAN....DATANG LAGI !
السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة | Salam Sejahtera
Marhaban Ya Ramadhan.....
Bertuah dan syukur kita kepada ALLAH sebagai umat Islam kerana dapat menyambut dan melaksanakan ibadah Ramadhan pada tahun ini. Semoga kita semua umat Islam dapat menunaikan puasa dan ibadah-ibadah lain dengan baik.
Kedatangan Ramadhan bulan yang mulia sememangnya dinantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Ramadhan adalah bulan istimewa kerana ia satu-satunya bulan menuntut umat Islam berkewajipan menunaikan ibadah utama yang merupakan sebahagian daripada Rukun Islam dengan menahan lapar dan dahaga demi meraih cinta dan redha-Nya.
Inilah peluang terbaik untuk kita memperbaiki disiplin dari pelbagai aspek dan mendidik akhlak yang baik dengan akhlak terpuji dan murni. Muhasabah diri harus dilakukan agar kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu. Kerana dengan bermuhasabah diri dapatlah kita perbaiki kelemahan yang telah kita lakukan pada tahun-tahun sebelumnya dan berazam untuk lakukan yang terbaik. Firman Allah SWT, bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertaqwa." (Al-Baqarah:183)
Puasa seharusnya mendidik manusia menjaga hati dan juga lidah serta pancaindera lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat." (Riwayat Imam Malik).
Justeru, puasa Ramadhan sewajarnya mendidik umat Islam menuturkan kalimah yang baik dan ucapan yang baik. Sentiasa mengungkapkan kalimah mulia kerana amalan baik adalah sedekah yang digandakan pahalanya. Elakkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kesucian Ramadhan dan juga menyakiti hati orang lain sama ada dengan perlakuan mahupun pertuturan.
Jadikan puasa Ramadhan perisai diri dan masjid tempat mentarbiyahkan hati dan diri ke arah kebaikan serta ketaqwaan. Seperti ingatan Rasulullah, " Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki lapar dan hausnya." (Riwayat Al-Bukhari). Bermakna ucapan yang tidak baik seperti fitnah dan berdusta mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia sahaja.
Oleh itu, jadikan puasa sebagai ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah, mendidik sifat kemanusiaan dan kesederhaan, melakukan perubahan ke arah kebaikan dan juga memahami dan menghayati kesyumulan Islam.
Jadikan Ramadhan yang datangnya setahun sekali ini, sebagai bulan ke arah menjana taqwa dan meningkatkan keimanan. Justeru ucapan dan perbuatan sia-sia, tohmahan, maki, keji dan seranah, berbicara bohong dan menyebar fitnah sama ada melalui tulisan dan lisan adalah perbuatan yang patut dijauhi. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Demikianlah ajaran Allah dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (Al-Hajj:32)
Alangkah ruginya kita jika berpuasa tanpa mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda, " Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Al-Bukhari).
Khas buat semua rakan-rakan Muslim yang mengenali diri ini dan SSK, tak lupa juga pada semua pengunjung dan pembaca Muslim yang tidak jemu singgah, membaca dan melontarkan pandangan dan komen manis di blog ini.....terimalah kad ucapan yang tidak seberapanya ini istimewa daripada SSK dengan ucapan ikhlas.....' Salam Ramadhan Al-Mubarak' dan ' Selamat Menjalani Ibadah Puasa '.
Moga puasa kali ini mendapat keberkatan dari-Nya dan lebih baik daripada sebelumnya. In sha Allah.
7 comments:
Selamat berpuasa Iza... Moga diberkati Allah selalu
selamat menyambut ketibaan ramadhan.. dan selamat berpuasan.. :-)
Assalamualaikum...Salam Ramadhan buat Iza sekeluarga..Selamat menjalani ibadah puasa dan mendirikan solat Tarawih pada malam harinya...InsyaAllahhh..Semoga kita semua mendapat keberkatan dariNya...
Assalamualaikum... Terima kasih atas peringatan yang diberi. Semoga Ramadhan kali ini, akan menjadi yang terbaik sepanjang hidup kita di dunia ini. Rebutlah peluang untuk menjana saham akhirat sebanyak mungkin.
Salam ramadhan kak iza.. semoga ramadhan ini mendekatkan kita kepadaNya.
salam
selamat berpuasa buat kak iza sekeluarga..
salam ramadan 1434H
Post a Comment