CUCUR TUNA & Lunturnya Cerminan Diri Dalam Isu Viral
Cucur tuna untuk breakfast ataupun minum santai-santai waktu petang
Sempoi tapi berhantu.
Nak nak cicah dengan sambal tumis ikan bilis tu...
Tak sedar dekat suku pinggan hilang masuk perut
SSK terpanggil untuk tulis sesuatu pasal isu viral jatuhkan air muka dan maruah orang lain secara terbuka
Tak tau nak kata apa. Dia begitu angkuh dengan kuasa viralnya. Tak dinafikan kuasa viral itu magic sedikit sebanyak boleh menjatuhkan atau menaikkan. Dia mengatakan kehadirannya ke tempat itu untuk memberi rezeki. Sedangkan pemberi rezeki ialah Allah SWT, bukan dia. Mungkin dia rasa dirinya dah cukup hebat lalu meletakkan maruah orang lain hanya dihujung jarinya dengan meviralkan. Dia lupa yang di atas sana lagi Maha Hebat. Kalau Dia nak tarik semua, sekelip mata je... Kun Faya Kun. Terang-terangan wujud perkataan makian, hinaan, lontaran kata-kata kasar dan kesat. Tak cukup dengan itu menghasut dan mengejek bentuk badan. Tapi semua itu seakan tak menjadi kudis pun pada si pelaku. Orang pula makin menggiler semua pakat follow ramai-ramai bagi sokongan padu sepenuh jiwa raga.
Kemana hilangnya susila adab pekerti dan akhlak murni yang menjadi keagungan orang melayu sekian lama? Di zaman sekarang yang segalanya dihujung jari ini mungkin ada yang dah lupa apa itu akhlak. Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku dan cerminan dari dalam diri seseorang yang berilmu dan beradab. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR al-Hakim). Perutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia, sekaligus menghendaki kita supaya bermuamalah dengan akhlak baik.
Tapi lain halnya hari ini. Akhlak semakin dilupa dianggap tidak lagi penting. Begitu juga jujur dan amanah semakin dipinggir. Ini disebabkan lunturnya adab kesopanan dan tatasusila walaupun orang tersebut berkelulusan tinggi, berpangkat, berharta, kaya raya.
Kalau ambil berat dan faham agama, sangat takut akan dosa kita pada orang sebab beratnya masa nak jumpa Allah nanti, fahami 2 tanggungjawab ini yang di larang samasekali dilakukan terhadap manusia lain. Pertama, jangan pernah sesekali menzalimi dengan perkataan. Kedua, lebih berat lagi jangan pernah sesekali menzalimi dengan perbuatan. Membuka aib orang juga termasuk perbuatan zalim.
Dosa manusia antara manusia jauh lebih berat berbanding dosa manusia dengan Allah. Dosa manusia dengan Allah bila-bila masa saja manusia boleh berazam untuk bertaubat. Sesungguhnya Allah, kata Baginda Rasulullah, akan terima taubat di waktu pagi kepada mereka yang bermaksiat di waktu malam. Dan Allah akan membuka pintu taubatnya di waktu malam kepada orang yang bermaksiat di waktu siang. 24 jam pintu taubat Allah tidak pernah ditutup oleh Allah SWT.
Ada pun dosa sesama manusia adalah dasarnya tuntut menuntut. Oleh yang demikian bila mana ada kesalahan antara manusia amat susah orang yang dizalimi untuk memaafkan kepada orang yang zalim. Tercabar perasaannya untuk memaafkan. Akan tetapi Allah SWT bila mana manusia ingin bertaubat kepada Allah, kata Allah, "Wahai hamba-Ku kalau kamu datang dengan sepenuh bumi ini dengan dosa, Aku datangkan dengan sepenuh bumi ini juga dengan pengampunan." Allah tidak mengira dosa seseorang bila mana orang mahu kembali kepada Allah SWT kecuali dosa menyekutukan-Nya.
Akan tetapi manusia kalau bersalah sedikit sahaja macam gunung besarnya kesalahan tersebut. Ini adalah kerana manusia lemah dan manusia susah untuk memaafkan. Dengan demikian Allah SWT amat mengambil berat tentang dosa antara manusia. Dalam satu hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bertanyakan kepada sahabat : "Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?"
Rasulullah SAW berkata : "Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia."
Setiap manusia akan menuntut semula pembalasan ke atas setiap kezaliman yang pernah dilakukan seseorang itu di dunia dahulu. Antara dosa paling banyak dilakukan sesama manusia adalah disebabkan lidah. Lidah yang tidak bertulang ini kadang-kala disalahgunakan untuk memaki-hamun, mencela, mencemuh, memfitnah, mengadu domba, mengumpat, menuduh orang dengan tuduhan jahat dan seumpamanya.
Barangkali ada manusia ketika di dunia terlepas daripada hukuman, tetapi di akhirat dia tidak ada ruang untuk melepaskan diri daripada menerima hukuman daripada Allah SWT. Begitu juga mereka yang bersekongkol atau merelakan kezaliman berlaku juga tidak akan terlepas daripada mendapat balasan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." [Surah Hud : 113]
Oleh itu jangan meremehkan dosa sesama manusia. Bahkan antara haiwan dengan haiwan juga akan dituntut oleh Allah SWT. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan kambing yang bertanduk dan kambing yang tak bertanduk untuk diadili. Kambing yang dizalimi menuntut haknya kepada Allah kepada kambing yang zalim. Kambing ini pun akan dituntut oleh Allah SWT. Apatah lagi manusia yang diberi akal fikiran oleh Allah, diberi hati oleh Allah, diberi Quran oleh Allah, diberi Rasulullah, diberi hadith dan sunnah Rasulullah.
Fenomena akhir zaman semuanya jadi terbalik. Orang bohong dianggap jujur, yang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah, yang amanah dikhianati. Orang yang berdusta lebih dipercayai, yang berkata benar ditolak dan didustakan. Pemimpin yang batil diangkat disanjung, pemimpin yang hak diketepikan.
Tak semua kesalahan cukup hanya dengan minta maaf. Terutama yang melibatkan maruah dan harga diri. Orang yang menghambur cacian dan penghinaan tak akan ingat apa yang dia cakap malah mungkin dengan berani menidakkan. Tetapi orang yang menerima itu akan ingat sampai bila-bila hingga hujung nyawa.
Sakitnya dizalimi hanya orang yang pernah melaluinya saja yang tahu. Jadi waspada. Jangan sesekali zalimi orang. Jangan buka aib orang apatah lagi jika dibuka dihadapan ramai orang. Sesungguhnya Allah tak tidur. Semuanya pasti akan berbalik.
Kita yang melihat ini jangan sekadar melihat tapi ambil iktibar dan teladan supaya tak lakukan perkara yang sama. Ingat ini, jangan ditepuk air di dulang, nanti terpercik ke muka sendiri. Jangan dibuka aibnya orang, nanti terbuka aib sendiri.
No comments:
Post a Comment