RAMADHAN....TETAMU YANG DIRINDU
السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة | Salam Sejahtera
Selangkah demi selangkah sama ada sedar atau tidak, setahun sudah pun berlalu. Pantas masa berlari, bulan Syaaban telah pun berada di penghujung hari terakhir. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan; Ramadhan al-Mubarak. Sebaik saja masuk waktu Maghrib malam ini maka bermulalah 1 Ramadhan 1436H. Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan dan dilimpahi rahmat. Bersyukur dan berbahagialah kita yang masih direzekikan oleh Allah SWT ketemu kembali dengan Ramadhan kali ini.
Ramadhan bukanlah hanya sekadar satu bulan di dalam kalendar Islam, malah ia adalah sebuah madrasah yang mampu mentarbiyah jiwa insan. "Bagaikan Pungguk Rindukan Bulan" begitulah perumpamaan yang selayaknya menggambarkan jiwa orang-orang yang beriman yang menantikan Ramadhan. Kedatangannya adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam. Manakan tidak! Bulan mulia yang bakal menjelang tiba ini Allah SWT menyediakan pelbagai tawaran mega kepada hamba-hambaNya yang beriman. Setiap detik dan saat tidak kira sama ada pagi mahupun petang, malam ataupun siang, segala amalan yang dilakukan nilai ganjarannya bakal dilipatgandakan oleh Allah Rabbul Jalil.
Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam yang wajib dimuliakan oleh setiap kaum muslimin. Sebelas bulan menanti, akhirnya Ramadhan mendatang, bulan yang penuh hikmah, barakah, kasih sayang dan pengampunan tiba. Bulan ini memberikan peluang untuk Muslim mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga sebagai ruang untuk memohon maghfirat yang diluaskan Allah sepanjang Ramadhan. Rugilah bagi kita jika tertinggal ibadah yang dijanjikan gandaan pahalanya, rugi juga kita kerana pembaziran dan semuanya terlambat untuk kita memperbetulkan kerana Ramadhan hanya sebulan.
Sama-samalah kita tanamkan azam untuk mencipta Ramadhan kali ini sebagai yang terbaik mengikut amalan sunnah Nabi Muhammad SAW, sekurang-kurangnya mengikuti amalan menimum mengikut standard Rasulullah SAW. Para sahabat Baginda SAW menangis apabila berakhirnya Ramadhan, akankah kita turut meratapi sebaik berakhirnya Ramadhan?
Mata kadang salah melihat
Mulut kadang salah berkata
Fikiran kadang salah mentafsir
Hati kadang penuh muslihat
Salah dan khilaf maafkan sesama kita.....
2 comments:
Salam Ramdhan buat Iza dn keluarga... sama2 lah kita menjalani bulan Ramadhan dengan ketaqwaan dan keimanan... semoga segala amalan kita diterima Allah sebaiknya...
@Gee®
Tkasih...Salam Ramadan juga buat KGee dan keluarga...ya KGee semoga ibadah kita mendapat penilaian dan diterima olehNya...mudah-mudahan
Post a Comment