SAMBAL TUMIS BILIS PETAI
السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة | Salam Sejahtera
Kaedah memasak sambal yang saya pelajari daripada arwah opah masa zaman sekolah-sekolah dulu. Arwah opah berniaga nasi lemak dengan kuih muih. Jadi saya guna peluang tu belajar serba sikit macam mana masak sambal dengan buat kuih-kuih basah.
Biasa la orang tua kalau ajar main cakap lisan je... kita ni dok dengar tak mengerlip mata. Takde nyer la nak tulis satu satu... semua input simpan dalam kepala. Pastu pandai-pandai sendiri praktik untuk bagi ingat... tak praktik alamat lupa.
Kini dah lebih setahun arwah pergi...
Tunjuk ajarnya, ilmu dan petua masak memasak masih saya ikut sampai hari ni.
Begitu juga buku resipi arwah masih rapi dalam simpanan saya. Al-Fatihah..
Pernah banyak kali juga cuba ikut cara lain tapi di akhirnya balik semula ikut cara opah ajar.
Caranya, selepas tumisan cili pecah minyak... masukkan ikan bilis... biarkan ikan bilis bergoreng bersama-sama cili untuk beberapa minit... mesti kacau selalu supaya tak hangus. Dengan cara begini tak perlu khuatir, masak lama pun sambal... ikan bilis tak akan lembik. Dengan kaedah ini juga ikan bilis tak perlu digoreng dahulu... jimat masa, jimat gas.
Lepas beberapa ketika bila sambal dah pekat dan garing menyaluti ikan bilis baru masukkan santan pekat diikuti air sikit dengan air asam jawa. Penambahan air pun kena agak-agak ikut kepekatan sambal dan kepekatan santan yang diguna. Kalau guna santan yang tak berapa pekat tambah air jika perlu sahaja... takut nanti cair tak sedap.
Santan tu ikut suka... nak bubuh boleh tak bubuh boleh. Tapi lagi sedap bubuh. Jadi rasa sambal balance... ada pedas, manis, masam, lemak-lemak dan sedikit masin.
Tips ini sekadar perkongsian.
Tiap orang ada cara sendiri, ikut kesukaan dan keselesaan masing-masing...
SAMBAL TUMIS BILIS PETAI
by IzaAkma SSK
BAHAN- BAHAN :
- 1 cwn Cili Kisar
- 10 ulas Bawang Merah*
- 4 ulas Bawang Putih*(*blend halus)
- 1 sdt Pes Asam Jawa
- 1 cwn Santan Pekat
- 1 cwn Air
- Segenggam Ikan Bilis
- 1 labu Bawang Holland, dihiris tebal
- Petai
- Garam & Gula secukup rasa
CARA PENYEDIAANNYA :
❀ Panaskan minyak. Tumis bahan blend sehingga naik bau.❀ Masuk cili kisar, tumis sehingga betul-betul garing dan pecah minyak.
❀ Bila cili dah pecah minyak, masuk garam dan gula. Biarkan sebentar sambil dikacau.
❀ Masukkan ikan bilis dan gorengkan bersama cili seketika sehingga ikan bilis hampir-hampir garing bersama-sama cili. Masa ni sambal hendaklah selalu dikacau supaya tak hangus.
❀ Masukkan santan, air dan pes asam jawa. Masak hingga didih sambil sesekali dikacau.
❀ Masukkan petai dan hirisan bawang holland. Renihkan dengan api kecil sehingga nampak minyak naik ke permukaan sambal. Kacau sekali sekala.
❀ Rasakan semula masin, manis dan masam. Jika ada yang terkurang tambah ikut keperluan.
❀ Bila dah dapat kepekatan sambal yang diingini dan dah nampak cantik minyak naik di permukaan sambal, boleh lah diangkat. Hidangkan bersama nasi panas.
2 comments:
tengah cari resipi sambal tumis...tq. sy nak cuba.
@adda syuhada
Silakan, selamat mencuba..
Post a Comment