8
Apam Pisang Coklat


Sekali tengok macam muffin kan.... tapi sebenarnya apam coklat yang diadunkan bersama pisang. Kuih-kuih bercoklat macam ini memang menjadi favorit anak-anak...
Resepi asal daripada Kak Liza tapi saya olah sikit ikut bahan yang ada. Sebabkan saya ada lebihan pisang satu cawan setengah dan telur yang ada cuma tinggal dua biji....maka saya olahkan menjadi satu setengah adunan dengan tambahan yogurt (guna jenis set yogurt, ya).Hasilnya,  berbaloi....sedap sangat, gebu dan lembap sekali walaupun hingga keesokan ia masih tetap lembut dan moist....Thanks Kak Liza....



APAM PISANG COKLAT


Bahan A:
3 cawan tepung gandum
3 sudu besar serbuk koko
1 1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 1/2 sudu teh baking powder
secubit garam



Bahan B:
1 1/2 cawan (300 gm) pisang emas/berangan, dilenyek
1 1/2 cawan minyak jagung
1 cawan gula perang
3-5 sudu teh gula pasir
2 biji (116 gm) telur
60 gm natural set yogurt

Caranya:
  • Ayakkan bahan A bersama terlebih dahulu. Ketepikan.
  • Satukan bahan B dan masukkan ke dalam bahan A...kacau rata.
  • Masukkan dalam acuan kecil. Kukus lebihkurang 20 minit atau sehingga masak.



Pada yang masih keliru yogurt yang mana satu....ini dia....




2
Donut Labu


Labu bukan saja sedap dibuat sayur malah sedap juga dijadikan kuih, kek dan roti....malah yang tengah meletup sekarang ni....apam labu dan donut labu.
Labu pun ada dalam fridge tak berusik lagi, memang beli special untuk buat kuih. Jadinya projek pertama ni saya mulakan dengan donut labu. Resepi saya ambil dari dapur Yatie. Memang sedap donut ni....gebu dan lembut. Terima kasih kepada penyumbang asal resepi dan Yatie, izinkan saya salinkannya di dapur ini pula ya....


DONAT LABU

Bahan-Bahan:
1 cawan isi labu kuning yang telah direbus
1 ½ cawan air suam
¼ cawan susu pekat manis
1/3 cawan minyak masak
1 biji telur (yatie tambah telur)
*saya gantikan telur dengan 50 gm 'nestle natural set yogurt'
2 sudu besar gula
2 sudu kecil yis mauripan
620 gm tepung gandum
secubit garam

Bahan-Bahan Lain:
minyak masak secukupnya untuk menggoreng
gula kastor secukupnya untuk menyalut  *saya guna gula pasir yang dikisar



Cara Menyediakan:

[Menggunakan bread maker (BM)]
  • Blend/kisar labu rebus dengan 1 cawan air sehingga halus. Tuangkan ke dalam BM.
  • Masukkan ½ cawan air suam lebihan ke dalam jug blender tadi & kisar lagi supaya semua sisa labu yang melekat pada jug blender tadi larut bersama air [supaya tak membazir] & tuangkan air tersebut ke dalam BM.
  • Masukkan ke dalam BM semua bahan2 cecair seperti minyak masak & susu pekat manis diikuti dengan gula, garam, tepong gandum & akhir sekali mauripan.
  • Tekan setting untuk doh (no. 8) dan biarkan BM siapkan kerjanya sampai doh naik (1 ½ jam).

[Menguli dengan tangan / Cara manual]
  • Campurkan mauripan dengan ½ cawan air suam (jangan panas sgt nanti yis mati) & 1 sudu kecil gula (ambil dari 2 sudu besar gula tadi) kacau hingga agak sebati. Biarkan sehingga bancuhan berbuih.
  • Blend/kisar labu rebus dengan 1 cawan air sehingga halus. Tuangkan ke dalam bekas menguli/besen yg sesuai. Masukkan kesemua bahan2 lain seperti minyak masak, susu pekat manis, gula, garam & bancuhan yis yang telah berbuih tadi. Kacau rata dengan tangan. Tambahkan tepong gandum sikit demi sedikit sambil menguli. Uli sehingga mendapat doh yang lembut (doh yang lembut... menghasilkan donut yg lebih lembut & gebu) berkilat & tak melekat di tangan. (jika terlalu lembik boleh tambah sikit lagi tepong gandum tp jangan terlalu banyak yer.. anggaran dlm 10 gm je gitu)
  • Bulatkan doh & tutupkan bekas menguli dengan tuala bersih & perap doh sehingga naik sekali ganda.


Membentuk Doh
  • Doh yang telah naik sekali ganda ditumbuk2 untuk mengeluarkan angin. Jika doh terlalu melekat ditangan.. boleh salut tangan dengan sedikit minyak masak semasa nak membentuk doh.
  • Timbang doh 40 gm setiap sebiji atau ikut saiz donut yang anda suka. Bulat2kan doh & leperkan sedikit seperti nak buat cucur badak. Susun di atas dulang yang telah disapukan minyak atau ditabur tepong terlebih dahulu. Jarakkan sedikit antara satu sama lain supaya tidak melekat semasa proses perapan. Buat sehingga habis dengan timbangan berat yang sama bagi setiap biji donut. Perapkan donut sehingga naik sedikit (jangan terlalu naik kerana donut boleh merudum semula semasa kita nak goreng nanti).
  • Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali dengan api yang sederhana. Sediakan satu penutup esen (seperti penutup esen vanila). Bila minyak dah agak panas, ambil sebiji donut dan letakkan di atas telapak tangan kiri/kanan (ikut selesa masing2) lalu buatkan lubang dengan menekap donut menggunakan penutup esen tadi. Lepas tu terus masukkan ke dalam minyak yang panas.
  • Ulangi proses yang sama sehingga donut memenuhi kuali. Goreng donut kedua2 belah hingga kuning keemasan. Angkat & tos sebentar kemudian bolehlah disalutkan dengan gula kastor atau coklat ikut kesukaan masing2.

Cara Yatie (saya pun ikut cara ini)
** Masa nak membentuk donut, tngn sedikit lekit, hendaklah sentiasa sapu tepung pada tangan kita supaya mudah membentuk....bulatkan dan leperkan sedikit.
Bila dah naik dlm 20 minit, barulah lubangkan kat tengah2 donut dan tarik2 sedikit lubangnya.
Setelah siap, bolehlah goreng dlm minyak yg panas dngn api sederhana sehingga kekuningan.
Angkat dan toskan....bolehlah di salut dngn gula halus atau coklat cair.




0
Bingka Roti Berlauk


Resepi bingka yang dah begitu lama tersimpan. Kebetulan ada roti yang tersadai tak habis dimakan....daripada membazir.....ada elok juga jika mencuba bingka roti berlauk resepi Chef Hanieliza. Walaupun daging cincang ready-made tak ada....bukan masalah ....saya hiriskan daging dan kisarkan. Ikut resepi asal bahan inti ditaburkan atas bingka tapi saya buatkan ia berlapisan. Terima kasih Kak Liza atas resepi yang sungguh sedap dan marvellous gitu....


BINGKA ROTI BERLAUK

Bahan Bingka:
1 buku kecil roti [10 -12 keping ]
800 ml santan [1/2 biji kelapa]
3 s/b tepung gandum
3 s/b butter [cairkan]
3 biji telur
garam


Caranya:
  • Roti dikoyakkan dan rendamkan dengan santan sehingga kembang.
  • Gaulkan semua bahan lain dengan roti yang telah direndam supaya sebati.
  • Masukkan dalam loyang 10" x 10" yang  telah disapukan minyak.
  • Bakar dalam oven 180'C selama 30 minit.
  • Keluarkan loyang dan taburkan bahan berlauk dan bakar lagi selama 30 minit.
  • Bila telah masak taburkan bahan hiasan.
  • Potong dan dan hidangkan.


Bahan Lauk:
400 g daging kisar [kkliza gunakan daging kisar Ramly]
2 labu bawang besar [potong dadu]
1 biji kentang [ potong dadu kecil]
1 batang carrot [potong dadu kecil]
3 s/b rempah kari
3 s/b sos tomato
3 s/b sos cili
minyak
garam

Bahan Hiasan: [hiriskan]
daun sup
daun bawang
cili merah
bawang goreng

 
Caranya:
  • Panaskan minyak dan tumiskan bawang besar sehingga layu dan wangi.
  • Masukkan daging kisar yang telah diperoikan. Kacau rata.
  • Masukkan rempah kari dan kacau sehingga naik minyak.
  • Masukkan kentang, carrot, garam, sos cili & sos tomato. Kacau rata.
  • Masakkan sehingga kentang dan carrot lembut.
  • Bila telah masak masukkan dalam pinggan [jangan ambil lebihan minyak].




4
Ikan Siakap Kerabu Mangga


Saya memang tak langsung menyukai mangga muda. Bila tengok orang lain makan mangga muda nampak sedap sangat...saya cuba dan paksa juga makan...tak bolehlah...masaam...
Bila sebut kerabu mangga, tentulah bahan utamanya mangga muda. Kalau dah mangga muda tak suka tentulah kerabunya pun tak suka juga. Tapi itu cerita dulu...nah, sekarang kerabu mangga dah jadi kesukaanku dan family juga. Hanya kerabu mangga saja yang boleh ditelan but not semata-mata mangga muda...
Pernah makan di restoran thai, hidangan ikan yang ditaburi dengan kerabu mangga di atasnya...sedap sangat. Jadi saya pun cuba lah pula di dapur...dan taraa...inilah hasilnya...


IKAN SIAKAP KERABU MANGGA


Bahan A:
1 ekor ikan siakap
**lumur dengan garam, kunyit, sedikit lada hitam dan sedikit tepung jagung..biarkan seketika
1 sudu besar udang kering
4 sudu besar kacang tanah (jika suka)

Bahan B:
2 sudu besar sos plum
1 sudu besar sos ikan
2 biji limau nipis
garam & gula secukup rasa

Bahan C:(dihiris/mayang halus)
1 biji mangga muda
1 biji tomato, buang biji
1 tangkai kacang panjang
1 biji cili merah
3 biji cili padi (tambah lagi jika nak lebih pedas)
5 ulas bawang merah
1 batang serai
1 kuntum bunga kantan (jika suka)


Caranya:

  • Goreng kacang tanah dan ditumbuk kasar. Ketepikan.
  • Goreng udang kering hingga garing dan ditumbuk halus. Ketepikan.
  • Goreng ikan seperti biasa. Angkat dan letakkan dalam pinggan.
  • Satukan bahan B dengan hirisan bunga kantan dan serai dalam satu bekas. Kacau rata sehingga sebati. Ketepikan.
  • Satukan bahan C yang lain beserta udang kering dan kacang tanah kedalam bahan sos tadi. Tuangkan ke atas ikan yang digoreng tadi.
  • Sedia untuk dihidangkan. Jika suka boleh ditaburkan dengan sedikit daun ketumbar.




5
Kuih Kosui


Kuih kosui sememangnya my favorite kuih sejak kecil lagi. Tak tahu lah kenapa...yang pasti teksturnya yang sedikit kenyal buatkan saya begitu suka dengan kuih ini. Kalau teman-teman perasan...kosui ini ada dua tona warna kan. Dah biasa tengok kosui satu warna jadi yang ini saya ubah sedikit penampilan  dengan menambahkan pes kacang merah...


...Saja suka-suka bereksperimen...tak ada kerja cari kerja...gara-gara terlebih rajin lah ni. Kak Ilah, minta izin saya kongsikan resepi di sini ya...terima kasih atas resepi yang sedap ini...


KUIH KOSUI


Bahan-Bahan:

3 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
3 sudu besar tepung pulut
2 cawan gula merah
1 cawan gula pasir
6 cawan air
Sedikit air kapur (saya buat 1 sudu kecil)




Caranya:
  • Satukan semua bahan dan kacau rata.
  • Masakkan dulu adunan, kacau atas api sampai pekat...supaya hasilnya nanti kuih yang kering dan cantik.
  • Tuangkan dalam loyang (saya guna loyang 8.5" yang dialas plastik dan lenserkan sedikit minyak).
  • Kukuslah sampai masak. Sejukkan sebelum boleh dipotong.




7
Sambal Godok


Assalamualaikum...

Sudah dua hari dapur ini tiada n3 baru. Sebenarnya tuan rumah kurang sihat...dah seminggu lebih asyik batuk-batuk...rasa malas dan kurang bersemangat nak update apa-apa. Walaupun tak sihat...masak tetap masak juga. Pernah dengar tak sambal godok? Mungkin orang-orang belah selatan seperti Johor dan Singapura familiar dengan masakan ini kan. Sambal godok ni boleh dikatakan hampir sama saja dengan sambal goreng. Resepi pun saya cedok dari dapur Chef Tania nun di Singapura sana.  Sebagai tambahan saya ada tambahkan sedikit hati dan hempedal ayam.  Resepi ni sedap jadi rugi rasanya jika saya tak menyimpannya di dapur ini untuk rujukan masa akan datang. Jom layan resepi...



   SAMBAL GODOK


Bahan-Bahan:

6 keping tempe, dipotong kiub
5 keping tauhu, dipotong kiub
300 gm udang bersaiz medium
3 biji cili merah, dihiris
3 biji cili hijau, dihiris
200 gm kacang panjang, dipotong anggaran 1"
[semua bahan atas digoreng terlebih dahulu berasingan]



2 biji bawang besar, dihiris
1 ikat suhun, direndam dan dikerat-kerat
300 gm santan
1/2 cawan bawang goreng
5 sudu besar gula
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng

Bahan Rempah Untuk DiKisar:

10 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 batang serai, dihiri
2 sudu besar lengkuas
                                                 1 sudu besar belacan


Caranya:
  • Dengan menggunakan minyak lebihan menggoreng, masukkan hirisan bawang dan biarkan hingga layu.
    Kemudian masukkan pula bahan kisar, tumis lagi hingga garing dan wangi.
  • Masukkan santan dan sedikit air. Biarkan hingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula.
  • Masukkan bahan-bahan yang telah digoreng, suhun dan bawang goreng. Kacau rata dan siap untuk dihidang.


4
Cencaru Sumbat Sambal Kantan


Tahukah anda bahawa ikan terbahagi kepada dua kategori berdasarkan kandungan lemak yang dikandungnya. Ikan yang kurang berlemak mengandungi protein lebih tinggi berbanding ikan berlemak dan ia menyimpan lemak di dalam hati. Ikan siakap, kerisi, merah, kerapu dan jenahak di kategorikan sebagai kurang berlemak. Manakala ikan yang tinggi lemak ialah ikan yang menyimpan lemak dalam tisu badan seperti ikan kembung, cencaru, bawal, tenggiri dan selar kuning.
Dalam banyak-banyak ikan dipasaran, ikan cencaru masih boleh dikira murah berbanding jenis-jenis ikan yang lain. Walaupun harganya murah tapi jangan dipandang sebelah mata je tau. Boleh dikatakan ikan cencaru sesuai digunakan dalam hampir semua masakan. Paling istimewa bila nak buat ikan sumbat...ikan cencaru lah yang paling dicari...tak ada cencaru, tak jadilah ikan bersumbat...


Dah lama teringin nak makan ikan sumbat...tapi bila tengok cencaru kecil-kecil...terus cancel. Masa pergi pasar hari tu, memang langkah kanan banyak pula ikan cencaru yang besar-besar...memang jarang jumpa yang besar-besar macam itu...naik geram pula tengok...rembatlah tiga ekor...Besar-besar macam ni memang sedap dibuat ikan sumbat atau ikan belah belakang atau apa saja masakan.


CENCARU SUMBAT SAMBAL KANTAN

2 ekor ikan cencaru
(belahkan belakang, bersihkan, lumur dengan garam dan kunyit)

Bahan A: 
[semua bahan ini digaul sebati]

2 sudu makan cili kisar
6 biji cili merah, ditumbuk/dikisar
1 labu bawang besar, dihiris
1 kuntum bunga kantan, dihiris halus
5 sudu makan kelapa parut
1/2 sudu kecil belacan (telah dibakar)
3 sudu besar air asam jawa
3 sudu kecil gula atau secukupnya
garam secukupnya

Bahan B:

1 labu bawang besar, dihiris
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan

minyak untuk menggoreng


Caranya:
  • Sumbatkan sambal (bahan A) ke dalam belahan ikan.
  • Panaskan minyak dan goreng ikan hingga garing dengan api yang sederhana. Angkat dan ketepikan.
  • Gunakan baki minyak untuk menumis. Jika banyak keluarkan sedikit. Tumis bawang besar (bahan B) hingga betul-betul garing.
  • Masukkan lebihan sambal dari bahan A tadi dan goreng hingga masak dan garing. Masukkan sos tiram dan minyak bijan. Kacau-kacau dan angkat. Kemudian curahkan atas ikan dan tabur dengan hirisan daun bawang.




5
Kek Lapis Watermelon Cheese



Diam tak diam lama juga rasanya tak membuat kek lapis. Kalau ditinggalkan terus mahu hilang agaknya skill melapis. Sesekali kena juga buat kek lapis sebab membuat kek lapis memerlukan kebiasaan selain menuntut kesabaran yang tinggi. Lagipun membuat kek lapis sekadar lapisan begini tidaklah sesukar mana berbanding kek lapis bercorak kerana ianya lebih kepada kreativiti. Walaupun kek yang bercorak tu lebih cantik tapi ramai yang mengakui bahawa kek lapis biasa lebih sedap kerana boleh dipelbagaikan dengan menambah aneka perisa.


KEK LAPIS WATERMELON CHEESE

Bahan-Bahan:(8"x8")

10 biji telur (A)
150 gm gula kastor
2 gelas (180-200gm)tepung Hong Kong
1 sudu makan ovalet
100 gm tepung aiskrim
450 gm butter
1 tin kecil susu pekat manis
250 gm cream cheese
chocolate chips secukupnya


Caranya:
  • Satukan telur, gula, tepung Hong Kong, tepung aiskrim dan ovalet. Pukul dengan mixer dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat.
  • Sementara itu, butter, susu dan cream cheese dipukul dalam bekas lain hingga putih.
  • Kemudian satukan kedua-dua adunan, kaup balik dan gaul rata hingga sebati.
  • Bahagikan adunan kepada tiga bahagian:
    -bahagian 1- asingkan 15 sudu makan adunan dan warnakan dengan warna hijau
    -bahagian 2- asingkan 10 sudu makan adunan dan dibiarkan plain
    -bahagian 3- selebihnya warnakan dengan warna merah
  • Menggunakan 5 sudu makan untuk setiap lapisan, mulakan dengan lapisan hijau...ratakan dan bakar. Setelah tiga lapisan hijau, ratakan pula dengan lapisan plain(2x). Selebihnya teruskan dengan lapisan merah. Tabur setiap lapisan merah dengan coklat cips sebelum membakar. Lakukan sehingga habis adunan digunakan.



3
Kuih Lapis Kacang Merah & Agar-Agar Tapai Ubi


Semalam cuti...semua ada...tak ada rancangan ke mana-mana...Apa lagi bila dah duduk rumah tu agendanya tak lain tak bukan tentulah masak-masak dan makan-makan. Saya ni pula jenis tak reti duduk diam. Alang-alang dah gitu berprojek lah kita kat dapur buat kuih untuk dibuat minum petang. Sebenarnya tekak ni terasa-rasa nak makan kuih lapis...tambah pula dah lama tak melapis kan...Maka saya tertarik untuk mencuba kuih lapis pes kacang merah yang ada kat dapur Kak Ayu. Biasanya saya kukus dalam loyang tapi kali nak try pula kukus dalam acuan lompang. Mencabar juga ya kukus dalam acuan kecil-kecil ni...cuma satu round je... Bila tengok adunan dah tinggal sikit-sikit...tak cukup nak buat lapisan dalam acuan...yang bakinya kukus dalam loyang...itu yang dapat empat lapisan je tu...


Tak mengapalah, tapi hasilnya memang sedap. Kuih-kuih yang sewaktu dengan kuih ini biasanya cuma buat setengah adunan sebab suami apalagi anak-anak tak berapa nak suka...jadi sah-sah saya lah yang hadap sorang-sorang. Kerana itu apa jua jenis kuih talam, saya tak ikut sukatan gula dan santan sepenuhnya seperti dalam resepi...saya akan kurangkan gula dan kalau resepi menyatakan guna santan pekat...saya tak guna santan pekat 100% tapi saya gunakan santan kotak dan tambahkan lagi dengan air untuk mencairkannya hingga mendapat kuantiti yang tertera dalam resepi. Kak Ayu terima kasih berkongsi resepi, minta izin copy di sini ya...


KUIH LAPIS PES KACANG MERAH

Bahan-Bahan:(loyang 26cm)

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
200ml santan
sedikit garam
3/4 cawan gula - saya gunakan 1/2 cawan saja kerana pes kacang dah manis
400 gram pes kacang merah
pewarna merah dan kuning star brand
1 cawan air panas untuk larutkan gula
3 cawan air biasa


Caranya:
  • Larutkan gula dengan 1 cawan air panas.Masukkan santan dan 3 cawan air.
  • Masukkan tepung dan kacau hingga sebati.Tapis adunan untuk hilangkan bintil-bintil yang tidak larut.
  • Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Pertama, warnakan dengan 1/4 sudu teh pewarna merah, yang kedua ditambahkan dengan pes kacang merah dan dikacau hingga sebati, dan yang ketiga warnakan dengan 1/4 sudu teh pewarna kuning.Sapu loyang dengan minyak masak supaya kuih tak melekat pada loyang nanti.
  • Masukkan setengah daripada adunan warna merah ke dalam loyang dan kukus selama 5 minit.
  • Buka penutup pengukus dan lap wap air pada penutupnya. Masukkan setengah daripada adunan yang dicampur pes kacang merah. Kukus 5 minit.Buka penutup pengukus dan lap wap air pada penutupnya. Masukkan setengah daripada adunan warna kuning. Kukus 5 minit.Ulang langkah di atas untuk lapisan pes kacang merah, kuning dan akhir sekali merah.Setelah selesai semua lapisan, kukuskan lagi selama 30 minit
Sources:-From eja_mh@myresipi.com




Ini pula projek agar-agar tapai ubi. Memandangkan ada stok tapai ubi maka saya buatkan agar-agar  ini untuk anak-anak. Memang anak-anak suka dessert-dessert macam ini...


Kalau tapai ubi atau tapai pulut saya dan anak-anak memang tak makan. Tapi bila dah jadi kuih atau agar-agar macam ini...haa...laju je makan...




3
Roti Naik


Semalam cuti Maulidur Rasul, sempatlah menguli roti. Jadi pagi ini kami bersarapan lah dengan roti naik yang dibuat semalam...langsung sebagai bekalan anak ke sekolah. Walaupun makan seketul tapi cukup mengenyangkan. Teksturnya lembut...rasanya pula bukan sekadar rasa roti tapi seakan-akan rasa kek pun ada juga. Terima kasih Hana berkongsi resepi roti yang sedap ini...minta izin copy ya...


ROTI NAIK


Bahan-Bahan:

400 g tepung roti
100 g tepung Hong Kong
250 ml air
50 g susu tepung
3/4 camca teh bread improver (yg ni resipi asal tak letak)
180 g gula perang (brown sugar)
100 g mentega
11 g yeast segera
1 camca teh esen vanilla
Beberapa titik pewarna kuning


Caranya:
  • Satukan semua bahan-bahan di atas dalam satu bekas besar, kecuali mentega. Uli hingga menjadi doh, masukkan mentega sedikit demi sedikit sambil terus menguli hingga menjadi doh yang kenyal. Bulat-bulatkan doh dan biar 45 minit atau naik. Kaedah lain: Masukkan semua bahan tadi ke dalam breadmaker dan pilih setting untuk "doh". Tekan on dan tunggu hingga siap.
  • Tumbuk doh untuk membuang udara, bahagikan kepada 16 bahagian yang sama besar, bulat-bulatkan doh dan susun dalam tin yang telah disapu dengan sedikit mentega. Tutup dengan kitchen towel bersih dan biar kan 1 jam atau hingga naik.
  • Bakar dalam oven pada suhu 190C selama 15 - 20 minit. Sapu mentega pada permukaan roti sejurus dikeluarkan dari oven. Sejukkan sepenuhnya sebelum dihidang.


Nota:
**Jika tiada tepung hong kong boleh digantikan dengan tepung gandum
**Untuk air, saya ikut seperti Hana...guna susu segar (saya guna susu perisa coklat) dan ditambah dengan sedikit air
**Susu tepung saya gantikan dengan horlicks
**Seperti Hana letak 120 gm gula halus (saya ganti gula perang)
**Pewarna kuning saya tak guna




3
Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1432H

Maulid adalah peringatan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Di mana beliau lahir di kota Mekkah, pada malam Isnin waktu fajar tanggal 12 Rabiulawal atau disebut sebagai tahun gajah. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T. Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.


Banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah S.A.W.
Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang.

Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi S.A.W. berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

Hijrah
Tarikh Hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

Peperangan
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah S.A.W.  Antaranya  peperangan tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah S.A.W.
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

Abu Bakar ra. menjadi khalifah
Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W. yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah S.A.W.

Pembukaan Iraq 
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

Pembukaan Baitul Muqaddis 
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol
Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.


Berikut pula adalah WASIAT NABI MUHAMMAD SAW kepada SAYIDINA ALI RA :

Wahai Ali, bagi orang MUKMIN ada 3 tanda-tandanya:
>Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.
>Tidak terpesona dengan pujuk rayu.
>Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia..

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
>Jujur dalam berkata-kata.
>Menjauhi segala yg haram.
>Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
>Merahasiakan ibadahnya.
>Merahasiakan sedekahnya.
>Merahasiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
>Takut berlaku dusta dan keji.
>Menjauhi kejahatan.
>Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, tanda2 AHLI IBADAH itu ada 3 tandanya:
>Mengawasi dirinya.
>Menghisab dirinya.
>Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.


Marilah bersama kita renung-renungkan… semoga apa yang kita lakukan menjadi satu kebajikan. Pohonlah selalu agar diberi hidayah selain mencari hidayah melalui majlis ilmu dan membaca bahan agama. Jangan hanya membutakan mata pada hakikat kehidupan kita yang semakin mendesak pada kecintaan agama dan kehidupan duniawi.


Selamat Menyambut Maulidur Rasul;
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W.







0
Paru Goreng Berempah

Teringat masa kecil-kecil dulu, suka sangat makan paru. Sehari sebelum raya, bila sekeluarga sibuk masak-memasak ketupat, lemang dan segala juadah untuk raya...mesti beli tulang dan ekor lembu untuk dibuat sup juga paru untuk di goreng mahupun dimasak berlada...Memang manis saat itu...begitu mahal nilainya saat-saat demikian yang mustahil dapat diundur kembali. Entah kenapa yerk...masa kecil-kecil, nak sangat cepat dewasa tapi bila dah di usia dewasa begini...kalau boleh nak kembali semula di zaman kanak-kanak...Sehingga ke hari ini, bila nampak je paru...mesti memori tu terimbas semula...memori yang akan terus segar dalam ingatan sampai bila-bila.


Pada sesiapa penggemar paru, paru sedap sekali jika di goreng dan diratah begitu saja...nak sedap lagi di buat goreng berlada makan bersama nasi panas...memang sedap. Tapi bila usia dah menginjak ni...kena lah beringat sebab paru adalah sebahagian daripada organ haiwan yang tinggi kandungan kolestrol...ya lah sementara badan masih sihat...berwaspada dan control dengan selera...beringat sebelum sakit...kalau dah sakit...apa pun langsung tak boleh makan dah..pantang itu...pantang ini...jadi ambil jalan tengah biar makan berpada-pada tapi boleh makan sampai bila-bila...kan... 

Untuk kesekian kalinya beli paru sebab teringin nak masak menu ini. Cara masakannya seperti masakan berlada tapi ada tambahan rempah ratus di situ. Sedap...cukup rasa pedas-pedas dan rempahnya. Anak-anak suka...mr hubby pun lagi lah suka...sebab favorit dia...


PARU GORENG BEREMPAH

1 kg paru - direbus dengan sedikit garam, toskan dan dihiris nipis-nipis
sedikit cuka
garam dan gula secukup rasa
minyak masak secukupnya

Bahan Tumbuk:

1/2 sudu besar biji ketumbar
1/2 sudu besar biji jintan manis
1/2 sudu besar biji jintan putih
1/2 inci kunyit hidup

Bahan Kisar:
12 tangkai cili kering
3 tangkai cili merah
20 ulas bawang merah


Caranya:
  • Gaulkan paru yang dihiris nipis dengan bahan tumbuk dan sedikit garam. Perapkan dalam setengah jam. Goreng hingga garing.
  • Keluarkan minyak goreng, tinggalkan anggaran 1/2 cawan. Tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing, perisakan dengan garam, gula dan sedikit cuka.
  • Bila hampir kering masukkan paru, balik-balikkan hingga sebati. Hidangkan.





5
Apam Snow White


Assalamualaikum...

Sebelum meneruskan n3, saya berterima kasih pada teman-teman yang sudi hulurkan ucapan hari ulangtahun kelahiran buat saya...ucapan yang tidak saya sangka-sangkakan. Meskipun kita hanya berkenalan di alam maya tapi serasa seakan dekat dan seperti dah lama kenal. Sesungguhnya kalian adalah yang sebenar-benarnya teman. Jika kalian mendoakan kebahagiaan buat saya...saya juga mendoakan agar kalian semua mendapat segala yang terbaik dan turut beroleh kebahagiaan daripada-Nya. Bila ada kelapangan saya akan masuk dapur teman-teman ya...



Selama tidak bersiaran...bukan maknanya bercuti sampai tak turun dapur. Dah jadi tanggungjawab ke dapur tetap ke dapur. Dalam pada tu, sempat juga saya siapkan apam yang diberi nama snow white. Apam ini sebenarnya lebih kurang sama seperti apam salju tapi teksturnya lebih lembut dan nyaman...memang padan dengan namanya apam snow white. Apam yang sungguh sedap...resepi yang semestinya disimpan. Resepi dipetik dari SINI.


APAM SNOW WHITE

Bahan-Bahan:

3 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
1 packet mauripan@ibu roti
2 cawan nasi
3 cawan air

Caranya:

  • Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk yg sederhana besar kecuali nasi dan air. Gaul bahan tersebut dan ketepikan sementara waktu.
  • Kisar/blend nasi dengan air sampai betul2 hancur. Campurkan nasi yg telah diblend dengan bahan yg telah digaul tadi dan sebatikan adunan.
  • Biarkan adunan mesra selama satu jam..adunan akan mengembang selepas tu...
  • Selepas satu jam, isikan adunan ke dalam acuan jeli/agar2 dan kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu dalam 10-15minit


Note: Sapukan acuan dengan sedikit minyak sebelum mengukus supaya hasilnya mengikut bentuk acuan bila dikeluarkan.



6
Happy Birthday...


Today is my birthday...yang keberapa...ishhh...biarlah rahsia. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana Dia masih memberi peluang untuk saya bernafas di muka bumi ini. Walaupun tiada sebarang ucapan daripada insan tersayang...tapi saya masih ada Allah yang masih sayangkan diri ini. Sedih memang sedih, tapi nak buat macam mana kan takkan nak paksa orang lain ucapkan kita sedangkan ucapan yang lahir dari bibir mereka tak ikhlas. Jadi sebagai mengubati duka biarlah bunga ros yang terselit ucapan 'Happy Birthday' di atas tu saya hadiahkan pada diri sendiri. Sepanjang hidup ini bermacam pengalaman suka duka pahit manis kehidupan telah ditempuhi...Semoga Allah memurahkan rezeki, dipanjangkan usia, dipermudahkan perjalanan kehidupan di dunia dan di akhirat serta diberikan kekuatan oleh-Nya menepis segala onak duri yang mendatang...Insyaallah...Amin..






3
Puding Kiwi


Buah Kiwi adalah buah yang paling padat kandungan nutrien berbanding buah-buahan kegemaran ramai yang lain. Buah kiwi mengandungi dua kali ganda jumlah vitamin C berbanding oren, dua kali ganda vitamin E berbanding avokado, lebih banyak potasium daripada sebiji pisang dan tinggi serat makanan daripada semangkuk bijirin.
Ini bermakna, cukup sekadar menikmati 2 biji kiwi bersaiz sederhana setiap hari, tubuh kita lengkap dengan khasiat yang diperlukan. Buah kiwi mempunyai sumber mineral seimbang, membekalkan antioksidan untuk tubuh selain turut mengandungi folat dan zink yang sangat penting untuk pengekalan kesihatan yang menyeluruh.


Selalunya anak-anak suka dengan buah kiwi. Buah kiwi yang dah masak ranum boleh dijadikan jus mahupun puding. Kiwi ni dibeli masa pergi pasar malam hari tu. Kebetulan kat situ ada peniaga yang menjualnya dengan harga murah...dalam rm5 untuk enam biji. Saya pun beli lah sebab mungkin tak dapat harga ni di tempat lain. Jadi inilah hasilnya...puding kiwi..


PUDING KIWI

Bahan-Bahan:

1 bungkus agar-agar bertali (cap burung layang-layang)
5 cawan air
1 cawan susu cair
5 biji buah kiwi yang masak ranum *
1/2 cawan air *
2 sudu besar horlicks
gula secukup rasa
pewarna hijau
secubit garam


Caranya:

Masakkan agar-agar dengan 5 cawan air hingga agar-agar larut.
Sementara itu, kisar bahan bertanda (*) hingga halus. Ketepikan.
Setelah agar-agar larut, masukkan gula dan biarkan semula hingga didih.
Masukkan pula bahan kisar bersama-sama susu cair, garam, horlicks dan pewarna hijau. Kacau selalu hingga mendidih sekali lagi.
Tuangkan ke dalam acuan yang digemari yang telah dibasahkan terlebih dulu. Setelah sejuk bolehlah dimasukkan dalam petisejuk.