1
IKAN PESMOL


.... السلام عليكم


Tadaa....ni diaa nak tayang Ikan Pesmol yang kita buat untuk berbuka semalam. Untuk hari ni punya, dapur tak berasap lagi....biasa lah bulan bulan puasa gini petang sikit baru masak. Resepi ikan pesmol ni ambil dari dapur kak Nur tuan punya blog My Little Kitchen. Entah berapa kali lah keluar masuk...keluar masuk kat dapur kak Nur pi intai resepi....akhirnya resepi ikan ni jugak yang ku terpaut hati dan ku angkut balik....nak buat camner kan....dah kita ni peminat tegar ikan....hehhehe. Lagi pula ikan siakap memanglah kegemaran kami seisi keluarga....tu yang laju jer mencuba.



RESEPI IKAN PESMOL
source of rcp : Nuridah @ My Little Kitchen
source             : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 ekor ikan siakap dibersihkan 
  • garam, lada hitam yang baru dikisar 
  • 1 batang serai dititik 
  • 2 cm lengkuas dititik 
  • 10 tangkai cili padi 
  • 2 helai daun limau purut
  • 2 helai daun salam 
  • 2 cawan santan pekat 
  • air perahan daripada 1 biji limau nipis
  • gula secukup rasa


BAHAN KISAR :
  • 5 tangkai cili merah 
  • 10 tangkai cili padi 
  • 4 ulas bawang merah 
  • 2 ulas bawang putih 
  • 10 biji buah keras 
  • 1/2 sudu teh kunyit serbuk > iza guna 1/2 inci kunyit hidup
  • 2.5 cm halia 



CARANYA :

❀   Lumurkan ikan dengan garam dan lada hitam. Goreng ikan dengan minyak yang penuh sehingga garing.

❀   Panaskan 3 sudu minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.

❀   Masukkan serai dan lengkuas. Tambah cili padi, daun limau purut dan daun salam. Kacau rata-rata.

❀   Masukkan santan dan renihkan sehingga kuah memekat. Perasakan dengan air limau nipis, garam dan gula.

❀   Tuang kuah ke atas ikan goreng dan hidang segera.



Terima kasih kak Nur bersungguh-sungguh promote resepi dari Chef terkenal....siapa lagi kalau bukan Datuk Chef Wan. Memang meletup tauu resepi ni....sedap sangat !  Pada yang dah mencuba tentu dah tahu  bagaimana keenakannya....pada yang belum tu dan ingin rasakan, sudi-sudikanlah yer.





1
AYAM KARI TOMATO


.... السلام عليكم


Seperti yang diwar-warkan dalam entri Roti Saj semalam, iza gandingkan roti tu dengan kuah kari kan. Haaa....ini dia kari dah mai. Masakan ini dinamakan Ayam Kari Tomato. Sebab apa ada tomato kat hujungnya tu dan bukan hanya kari ayam?

Jawapannya kerana kari ni menggunakan buah tomato masak ranum yang direbus dan dilenyek hancur. Dengan kaedah ini secara tak langsung dapat mengurangkan penggunaan gula, tidak menggunakan asam selain tomato tersebut berfungsi sebagai agen pemekat kuah secara semulajadi. Maka penggunaan santan pekat yang banyak dapat dikurangkan. Yang lain-lain sama macam masak kari ayam yang biasa.




Selain zat mineral yang dikandung buah tomato baik untuk kesihatan diri, ia juga bagus untuk kecantikan kulit. Ia dikatakan berkesan untuk mengecilkan liang roma, mengurangkan masalah jerawat dan merawat penyakit kulit. Elemen penyejuk pada tomato juga mampu menyejukkan kulit yang kasar, astringen untuk menghapuskan minyak berlebihan, vitamin A dan C untuk mencerahkan kulit kusam dan mengembalikan keremajaan kulit dan penyeri wajah.

Dipendekkan cerita....jom semak resepi.... ;)
AYAM KARI TOMATO
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 kg ayam
  • 1 peket kecil (25gm) serbuk kari daging/ayam
  • 1 1/2 sudu makan serbuk cili kering
  • 7 biji buah tomato, dibuang biji
  • 12 biji tomato ceri
  • 2 biji kentang
  • 1 biji lobak merah
  • 1 pokok daun ketumbar
  • 1/2 cawan santan pekat (jika suka)
  • garam secukup rasa
  • air secukupnya (ikut kepekatan)
  • gula (jika perlu)
BAHAN TUMIS :
  • 1 labu bawang besar, dihiris
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 tangkai daun kari
BAHAN KISAR :
  • 1 inci halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 8 ulas bawang merah


CARANYA :

❀   7 biji buah tomato direbus dengan air sehingga lembut. Toskan dan lenyek hingga hancur. Ketepikan.
❀   Panaskan minyak. Tumiskan bahan tumis. Sementara itu satukan serbuk kari dengan serbuk cili, bancuh dengan sedikit air. Bila tumisan dah agak-agak naik bau, masukkan bahan kisar bersama bancuhan serbuk kari.
❀   Bila bahan rempah dah nampak pecah minyak dan agak garing masukkan ayam. Biarkan hingga air ayam jadi sedikit kering. Kemudian masukkan tomato lenyek, kentang, lobak merah, air, garam dan biarkan mendidih.
❀   Akhirnya masukkan tomato ceri, daun ketumbar dan santan pekat jika suka. Masakkan hingga kepekatan kuah yang dikehendaki. Rasakan garam dan gula. Bila dah cukup rasanya....boleh diangkat.



5
ROTI SAJ


.... السلام عليكم


Semalam selamat lima hari kita menyelesaikan puasa Ramadhan. 
Alhamdulillah....Semuanya berjalan dengan baik. 
Terima kasih atas rahmat-Mu ini, Ya Allah....Aminnn.




Baru lima hari berpuasa, selera dah mula pandai meminta. Rasa-rasa nak berubah angin daripada berbuka nasi kepada something yang ringkas tapi sedap, menyelerakan dan mengenyangkan. Jadi untuk iftar semalam, terhasil lah Roti Saj yang dimakan bersama Kari Ayam Tomato.




Roti saj ni kalau nak describe....lebih kurang seperti roti arab. Ia digoreng tohor iaitu digoreng dengan hanya sedikit minyak....kiranya macam memasak capati. Boleh dikategorikan sebagai sihat kerana kurang berminyak berbanding roti canai atau roti boom yang bersaluti penuh dengan minyak.




Apa yang menariknya,  roti ni senang dibuat...tak perlu nak tebar....nak gelek....tak perlu ambil masa lama menyedia....mudah kerja. Walaupun ringkas, hasilnya memang berbaloi. Sedap dimakan panas-panas bersama apa jua kuah kari.

ROTI SAJ
source of rcp : Rusnah Ahmad FP
source           : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 3 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh yis  > iza suka guna brand mauripan
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu besar gula (boleh ganti dgn susu pekat kacau dalam air suam)
  • 1 1/2 cawan air suam
  • sedikit minyak untuk menggoreng


CARANYA :

❀   Campurkan yis, gula, garam, tepung dan sebatikan. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil diuli hingga jadi doh yang lembut. Biarkan 1 jam...tutup kejap dengan plastik.
❀   Uli lagi dan bahagikan kepada 7-8 bahagian. Bulat-bulatkan dan salut dengan minyak / tepung (iza salut dengan minyak macam buat roti canai).
❀   Ambil seketul dan ditekan-tekan dalam pinggan bulat supaya elok bulatnya. Goreng tohor roti tersebut macam goreng capati. Bila masak angkat...sedap dimakan bersama kuah.



9
BUBUR CANDIL PISANG


.... السلام عليكم


Hari ini 4 Ramadan, bermakna dah empat hari kita berada di bulan Ramadan, bulan suci yang penuh rahmat, keberkatan dan pengampunan oleh Allah SWT. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyebut, "telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya dengan penuh kegembiraan."

Ramadan berasal dari perkataan 'ramida' atau 'ramad' yang bermaksud cuaca panas terik atau kemarau yang keterlaluan, yang membakar tanah. Suatu metafora rasa panas di dalam perut di sebabkan menahan dahaga. Panasnya Ramadan kerana ia berfungsi membakar dosa-dosa lalu dengan memohon keampunan Allah SWT dan melakukan amalan-amalan soleh sepanjang bulan ini. Rasullah SAW bersabda, "Allah berfirman, 'Setiap amalan anak Adam adalah untuk anak Adam itu sendiri, melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagi-Ku, dan Aku mengurniakan balasan bagi puasanya itu."




Semoga kita diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik oleh-Nya untuk melengkapkan puasa sebulan ini. Kelebihan dan keistimewaan Ramadan yang tibanya setahun sekali ini seharusnya dihayati untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, Pencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. Kita tidak memiliki apa-apa dan kita juga bukan milik sesiapa selain Dia. Dia lah yang memiliki jiwa-jiwa kita dan segala yang ada di langit dan di bumi. Sedarlah bahawa kita akan kembali, kerana pemilikan Dia adalah sebuah pemilikan tunggal, hakiki dan abadi.




Bubur candil ada macam-macam versi. Selain versi asal yang hanya menggunakan tepung pulut semata, ada juga yang ditambah dengan keledek dan labu. Jadi untuk versi kali ini, iza tambahkan pisang....saja suka-suka cipta kelainan. Pada fikiran iza kalau keledek atau labu boleh kenapa tidak pisang kann. Maka akhirnya menjelmalah bubur candil pisang sebagai menu berbuka puasa iza sekeluarga semalam. Okaylah, tak nak cerita banyak, jom semak resepi...

BUBUR CANDIL PISANG
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 100 gm pisang, dilenyek  >  iza guna 2 biji pisang berangan masak ranum
  • 120 gm tepung pulut
  • air secukupnya
  • pewarna kuning & hijau

  • 450gm santan (150gm santan pekat + 300gm air)
  • 20 gm biji sagu
  • 1 sudu kecil gula merah
  • gula pasir secukupnya
  • 1 helai daun pandan, disimpul
  • sedikit garam


CARANYA :

❀   Gaul tepung pulut dan pisang hingga rata. Tuangkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh yang lembut. Bahagikan kepada dua bahagian. Bubuh pewarna dan uli hingga rata. Bentukkan kepada bebola kecil.
❀   Kemudian masukkan bebola tersebut ke dalam air yang mendidih dan biarkan sehingga terapung.
❀   Dalam periuk lain, masakkan santan, sagu, gula merah, gula pasir, daun pandan dan garam. Tunggu sehingga sagu masak.
❀   Setelah itu masukkan bebola pisang  tadi. Kacau sehingga sebati.
❀   Sedia untuk dihidang.




0
RAMADHAN YANG DINANTI....


.... السلام عليكم


Pejam celik, bagaikan baru semalam rasanya meninggalkan Ramadan tahun lalu. Terasa pantas masa berputaran dan insya-Allah, esok 21 Julai 2012 bermulanya 1 Ramadan 1433H. Tibalah masa yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di negara ini menunaikan ibadat puasa Ramadan.


Fadhilat berpuasa Ramadan
  →   Dibukakan pintu langit
  →   Dibukakan pintu syurga
  →   Bulan yang penuh keberkatan
  →   Mempunyai satu daripada malamnya adalah lebih baik dari seribu malam (LailatulQadar)
  →   Ganjaran berganda amalan sunat sama dengan solat fardhu
  →   Solat fardhu mendapat ganjaran 70x ganda
  →   Bulan kesabaran dan pahalanya adalah syurga
  →   Bulan menambah rezeki
  →   Bulan keampunan dan makbul doa. (Doa yang paling makbul iaitu doa ketika sebelum berbuka puasa dan doa sepertiga malam).


Kelebihan puasa mengikut saintifik
  →   Mencergaskan gen yang bertanggungjawab merembes hormon-hormon yang akan membantu sel-sel menentang proses penuaan / awet muda.
  →   Mencergaskan minda kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak daripada menghadamkan makanan.
  →   Mengaktifkan pembentukan sel dalam tubuh.
  →   Berpuasa selama jangka masa 30-40 hari meningkatkan kadar metabolisme sebanyak 5-6%.
  →   Meningkatkan tenaga dengan mengurangkan penggunaan tenaga bagi mencerna makanan yang menghasilkan toksin dan melemahkan badan.
  →   Hormon opioids yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dirembeskan dalam tubuh menjadikan fikiran tenang.
  →   Mengurangkan dan mengawal penyakit diabetes.




Alhamdulillah, marilah bersama kita memanjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup, darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik. Dengan kasih sayang-Nya kita masih dikurniakan tubuh badan sihat dan mengizinkan kita untuk kembali bertemu pada Ramadan ini bagi menunaikan kewajipan rukun puasa sebaik mungkin bersama-sama insan tersayang.

Rasulullah SAW  menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah taqwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Maka Allah SWT mendatangkan bulan Ramadan. Di mana dengan kita berpuasa, kita akan menjadi orang yang bertaqwa. (rujuk al-Baqarah:183)

Walau bagaimanapun, Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud, mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, taqwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana sejauhmana taqwa akan terbina adalah bergantung kepada kualiti puasa kita. Sebab itu di samping berniat untuk menyempurnakan rukun puasa, kita perlu juga bentuk satu keinginan mendalam, iltizam yang tinggi, komitmen yang padu hingga menjadi momentum ke arah merealisasikan matlamat menjadi seorang insan yang benar-benar bertaqwa kepada Allah.

Sebab itu kata Nabi SAW : "Ramai umat aku berpuasa, tapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."

Imam Ghazali membahagikan puasa kepada tiga. Pertama puasa awam, kedua puasa khusus dan yang ketiga puasa khusus lil khusus. Untuk menjana taqwa kita perlu menaikkan kualiti puasa kita ke tahap yang kedua dan yang ketiga.

Puasa khusus lil khusus adalah puasa yang tertinggi. Ia berkaitan dengan hati. Orang bertaqwa adalah orang yang hatinya sentiasa ingat Allah. Hatinya sentiasa merasakan keberadaan dan kebesaran Allah Tuhan Rabbul Jalil. Untuk menjadi orang bertaqwa perlu betulkan kehidupan kita. Untuk betulkan kehidupan, perlu betulkan amal. Untuk betulkan amal, perlu betulkan jasad. Untuk betulkan jasad, perlu betulkan hati kita. Kerana di hatilah berpaksi segalanya. Sesungguhnya, mengetahui itu dengan akal, tetapi mengenali itu dengan hati. Syukur, jika hati kita mencintai Allah, kita akan menjadi hamba Allah dan diperhambakan ke arah iman dan Islam.

Justeru, dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini marilah kita gilapkan hati kita agar sentiasa ingatkan Allah. Maka penting untuk kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Bersamalah kita berusaha perbaiki diri, tingkatkan amalan untuk jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik daripada sebelumnya. Siapa tahu mungkin Ramadan ini merupakan Ramadan kita yang terakhir....Wallahualam.

Marilah kita melangkah, kerana Allah menilai setiap usaha sebaik sahaja kita memulakan perjalanan… Insya-Allah, Allah akan kurniakan kita kebahagiaan kerana sesungguhnya, kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan tetapi di sepanjang jalan.


" SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1433H "
buat semua yang mengenali SSK



1
Tahniah Dato' Fazley #MasterChefMY & Pankek Epal


.... السلام عليكم


GrandFinal Masterchef Selebriti Malaysia 2012 malam tadi menyaksikan Dato' Fazley dan Angah Raja Lawak berentap bagi merebut takhta siapakah yang akan dinobatkan sebagai MC Selebriti M'sia pertama. Mungkin nasib menyebelahi mereka di mana mereka mendapat tema yang kekuatan mereka ada di situ. Dato' Fazley dengan tema masakan barat "Dari Paris Ke London...Kekasihku", manakala Angah sajian bertemakan hidangan Asia "Cyber".

Selama dua jam masa yang diperuntukkan untuk mereka menyediakan sajian ciptaan, pelbagai gaya dan gelagat mereka dapat kita saksikan. Yang kesiannya Dato' Fazley....mana taknya terpaksa berkejar ke sana berkejar ke sini gara-gara dapurnya ada masalah teknikal. Terpaksalah dia berlari tumpang di dapur Angah. Dalam pada tu kena berlari pulak ke dapur pastri untuk menyiapkan hidangan pastrinya. Hadoiii, kita yang tengok dia ni berlari ulang-alik sampai 11 kali tu pun dah terasa penatnya....ini pulak yang empunyer badan. Tapi alhamdulillah, dalam tercungap-cungap penat beliau masih boleh fokus dan berjaya menyiapkan hidangan dengan penuh kreativiti disertai idea imaginasi beliau yang menarik. Itulah namanya rezeki. Kalau rezeki kemenangan sememangnya dah tersurat, takkan ke mana....biar beribu halangan pun kemenangan akan berpihak jua.


Tahniah kepada Dato' Fazley atas kejayaan beliau merangkul juara dalam MasterChefMY....kemenangan yang telah dijangkakan sedari awal lagi.  Pada Angah, walaupun tidak juara namun tahniah juga diucapkan kerana berjaya mara meletakkan diri di pusingan final menewaskan 14 peserta yang lain di samping memperoleh ilmu dari dapur masterchef tersebut.



*******************************



Malam tadi lepas habis masterchef tu, Puteri soh buat pankek tuk breakfast pagi ni. Katanya esok-esok nak puasa dah....takleh nak makan pankek lagi. Sebab takde syarat tema iza pun buatlah ikut apa yang tergerak di hati. Ingat nak buat pankek epal sebab teringat dalam petiais ada baki epal hijau....membazir pulak kalau dibiarkan tergolek-golek macam tu jer.

Resepi asal guna oats tapi oats dah habis stok....lupa pulak nak beli weekend hari tu. Nasib baik nestum ada....jadi iza gantikan dengan nestum ikut apa yang ada di dapur jer. Selain epal yang diparut, iza tambahkan juga dengan epal yang dipotong dadu, sebiji pisang yang dipotong dadu serta sedikit esen green apple ke dalam adunan bagi perisa yang lebih kaya.



PANKEK EPAL & NESTUM
olahan daripada resepi Pankek Epal dan Oats CMG 
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 120 gm tepung naik sendiri (self-raising flour)*
  • 1/2 sudu teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
  • 2 sudu besar mentega cair
  • 1 1/2 sudu besar gula halus
  • 1 biji telur, dipukul sedikit
  • 200 gm susu segar
  • 1 biji epal hijau, kupas dan parut kasar
  • 4 sudu besar nestum
  • secubit garam

  • Epal hijau, didadu besar2 untuk hiasan
  • Madu atau maple syrup untuk hiasan

CARANYA :

❀   Satukan tepung, garam, gula dan telur, kacau rata. Tuang susu sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk hingga adunan bersatu dan tidak berbintil2. Masukkan epal hijau parut dan nestum. Gaul rata dan masukkan mentega cair. Gaul rata dan biarkan sekejap.

❀  Panaskan non-stick pan. Kemudian letak sesenduk kecil penuh adunan tadi, ratakan. Masak hingga permukaan pancake berlubang2 dan kering (tutup dengan tudung periuk kecil untuk lebih cepat) dan bawahnya keperangan.

❀  Berhati hati terbalikkan dan masak sekejap lagi hingga kuning keemasan. Alih dalam pinggan. Lakukan kaedah sama untuk baki adunan. Hidangkan dengan epal yang didadu, kemudian curah sedikit madu atau maple syrup atas epal tadi dan biar ia meleleh. Hidangkan segera....

pankek yang lembut....
walaupun dah sejuk masih maintain kelembutannya....



3
DAGING MASAK HITAM NASI KANDAR


.... السلام عليكم


Selamat Berhujung Minggu buat semua khususnya yang singgah ke dapur SSK.

Jika Putera Shah Jahan berpasangan dengan Mumtaz Mahal....maka Daging Masak Hitam yang memenuhi entri untuk hari ini adalah pasangan untuk Nasi Pilaf pada entri yang lalu. Ikut suka jer kann bab padan memadankan nie. Terpulanglah pada kita nak gandingkan apa pun....resepi sana ker....resepi sini ker....resepi sinun ker....yer tak....selera kita, citarasa kita, chef pun kita....seperti kata 'abang Jem' di radio sinar, 'ada aku k....'  :D Yang penting apa yang kita masak disukai dan menjadi kegemaran keluarga. Itu dah cukup berikan seribu satu kepuasan dan kegembiraan pada si tukang masak.




Resepi daging masak hitam ni merupakan satu lagi resepi nasi kandar yang amat popular di Pulau Pinang. Masakan mamak adalah masakan warisan yang telah bertapak berabad lamanya di Pulau Pinang . Walaupun pada dasarnya masakan mereka di selaputi minyak yang banyak di permukaan atas setiap lauk yang telah dimasak tetapi minyak yang berlebihan ini boleh dikurangkan sewaktu menumis masakan tanpa langsung mengurangkan keenakan lauk tersebut. Selaput minyak yang berlebihan tu bukan apa, ia bertindak sebagai bahan pengawet makanan (food preservation) kerana dahulu kala mana lah ada kemudahan petisejuk untuk menyimpan makanan yang dah dimasak.

Sekiranya anda mencuba resepi Mamak penang hindarkan penggunaan minyak masak berlebihan demi kesihatan. Keenakan lauk mamak penang bukanlah bergantung pada minyak masak yang banyak tapi bergantung penuh pada kemahiran memasak mengikut kaedah, kualiti rempah, dan juga pengawalan api ketika memasak. Inilah kemahiran asas yang perlu ada untuk mempelajari masakan mamak penang atau nasi kandar.


DAGING MASAK ITAM NASI KANDAR PULAU PINANG
source of rec : MamakHaji
source           : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 1 kg daging lembu (dipotong hiris ikut urat daging 16 keping)
  • 2 biji bawang besar , dipotong hiris memanjang
  • 5 peket kecil atau 2 senduk besar rempah kari daging
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 1 sudu kecil serbuk kas-kas (optional)
  • 2 senduk besar cili kisar (boleh +/- ikut kepedasan yang diinginkan)
  • 250 gm santan pekat (jika suka)

BAHAN UNTUK KISAR/TUMIS :
  • Bawang besar 2 biji dikisar dan asingkan
  • Bawang putih 6 ulas + halia 10cm dikisar dan asingkan.
  • Serai 2 batang di ketuk di pangkal.
  • Daun pandan di potong 3″ sebanyak 4 helai. Daun kari dua tangkai.
  • 2 btg.kayu manis + 5 buah pelaga + 4 bunga lawang + 8 cengkih.
  • Kicap Pekat Mee (tamin amat sesuai) 2 senduk besar sesuaikan warna yang dikehendaki.
  • Minyak masak dua senduk besar.


CARA PENYEDIAAN:

❀   Bersihkan daging dan rebus daging sehingga empuk (cuba carikkan daging sekiranya senang dicarik ; daging telah lembut dan sedia). Sekiranya menggunakan daging segar, daging ini tidak perlu direbus dahulu.Tentukan air rebusan daging tidak dibuang. Paras air daging semasa rebus perlu diberi perhatian, jangan sampai daging hangus kerana paras yang terlalu sedikit.


❀   Panaskan kuali dan masukan minyak masak. Apabila minyak panas masukan campuran kayu manis, Buah pelaga, cengkih, bunga lawang (garam masala) , daun pandan, daun kari, dan serai. apabila ramuan mula keluarkan bau harum.

❀   Masukan hirisan bawang kacau sehingga warna hirisan bawang bertukar keemasan.

❀   Masukan Bawang kisar dan bahan kisaran Halia + Bawang Putih kacau sehingga bahan-bahan ini keluarkan bau harum.

❀   Masukan cili kisar / cili giling kacau rata. Selepas 3-4 minit masukkan rebusan daging bersama airnya sekali. Kacau rata.

❀   Masukkan serbuk kari, jintan putih, jintan manis , kas-kas dan kicap pekat mee. Kacau rata dan biarkan mendidih sehingga kuah menjadi pekat.

❀   Kecilkan api dan masukan 1 sudu besar gula pasir dan satu kecil perasa makanan (jika perlu). Masukan garam secukup rasa (awas dengan kemasinan kicap tersedia ada). Kacau rata. Padamkan api. Keluarkan dari kuali dan hidangkan. Taburkan daun pudina dan bawang goreng di atas dan sedia untuk hidangan. Selamat mencuba.


Hidangan untuk : 10 orang


**NOTA Penyediaan Cili Kisar:
Cili kisar yang bermutu boleh disediakan dengan memotong cili  kecil-kecil dengan gunting mengikut 45 darjah. Rebuskan sehingga cili lembut...secara biasa biji-biji cili akan gugur. Bersihkan rebusan dengan penapis. Kisar cili mestilah 1 bahagian cili di balang pengisar dan 1 bahgian air. Jangan sendatkan balang pengisar. Gunakan hanya 3/4 bahagian balang pengisar supaya balang mempunyai ruang. Sekiranya kisaran menjadi kasar atau berat masukan satu sudu minyak masak ke dalam balang pengisar. Kisaran perlu mengikut waktu yang ditetapkan oleh pembuat pengisar kebiasaannya 1 minit berhenti 30 saat dan kisar kembali. Kisaran berterusan akan membakar motor pengisar.Elakkan menggunakan bahan panas dikisar. Ini akan menumpulkan pisau pengisar. Tentukan setiap kali habis mengisar bersihkan balang pengisar dengan betul. Tentukan cili kisar ditutup rapat dan disimpan di bahagian bekuan peti sejuk bukan di bahagian penyejuk.



5
NASI PILAF


.... السلام عليكم


Alaahai, sunyi dapur ni tak ada juadah baru. Macam tuannya tak masak jer. Correction please....dapur maya ni jer yang tak berasap tau....dapur yang sebenar-benarnya tiap hari berasap-asap....hah ha. Bukannya apa, kalau setakat ikan masin goreng, telur goreng mata kerbau takkan nak sumbat juga kat sini....ya dak. At least hidangan yang nak dipamerkan tu biarlah up sikit daripada tu yang boleh jadi inspirasi pada pengunjung. Itu pada sudut pandangan iza lah....tak tau lah pada yang lain. Masing-masing punya persepsi tentang apa yang nak dimuatkan dalam blog masing-masing....tepuk dada tanyalah selera.

Adoiii, semenjak dua menjak ni rasa macam ketidakcukupan masa pulak nak update blog hari-hari. Kadang-kadang terfikir juga, macam mana lah ada rakan blogger yang boleh update blog sampai tiga empat kali sehari....iza ni nak update seminggu dua tiga kali pun belum tentu lagi. Huhh! Tabik spring lah den kek meko nih....tak terkojar dibuek'eh....sompot....hehheh. Namun begitu akan iza cari juga kesempatan untuk hidangkan entri terkini demi pengunjung yang dikasihi semua.




Jika rakan lain dah bermacam-macam resepi nasi dicuba....kita ni baru start enjin menerai nasi pilaf. Nasi ni belum pernah buat lagi. Bila dah buat barulah tahu memang sedap rupanya nasi ni tambah lagi dengan aroma butternya....mak aiiih....keharuman yang cukup terserlah....bikin nasi ni so marvellous!....Mantap giteww. Kalau tau macam ni punya sedap, awal-awal lagi dah cuba.

Tengok resepi bukan main banyak lagi kan sampai 2 kilo. Memandangkan saiz keluarga pun kecil, iza cuma buat 1/4 resepi saja. Tang air tu iza ikut petua chef Ismail....katanya untuk 1kg beras basmathi gunakan 1.2 liter air....jadinya untuk 1/4 resepi ni iza guna anggaran 600-700gm air. Okaylah, jom semak resepi.....


NASI PILAF
source of recipe : Mak Daro
source                   : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 2 kg beras basmathi, dicuci bersih & direndam selama 1/2 jam
  • 1 1/2 ketul butter, anggaran 375gm
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 4 biji bunga lawang
  • 6 biji bunga cengkih
  • 4 helai daun pandan, disiat-siat & disimpul
  • 3 biji bawang besar, dicincang halus
  • segenggam kismis kuning
  • air secukupnya
  • sedikit garam
  • segenggam daun ketumbar
  • segenggam daun pudina
  • segenggam bawang goreng
CARANYA :

❀   Toskan beras yang telah direndam tadi hingga kering airnya.
❀   Panaskan periuk (lebih bagus jika gunakan periuk non-stick) di atas api yang sederhana. Cairkan butter.
❀   Masukkan kayu manis, bunga lawang, cengkih & daun pandan. Gaul rata.
❀   Masukkan pula bawang besar dan gaul lagi hingga tumisan menjadi wangi.
❀   Masukkan beras. Gaul (jangan terlalu cepat jika tidak mahu berasnya patah) dengan garfu kayu yang besar saiznya. Goreng sebentar beras ini dengan teknik 'clockwise' hingga minyak dari butter tadi benar-benar sebati dengan beras. Teknik ini akan menjadikan nasi menjadi berderai sebiji-biji & tidak melekat antara satu sama lain.
❀   Masukkan pula air & garam.**(anggaran air hendaklah : air itu dituang pada paras beras + 2 ketak lebih, diukur dari hujung jari hantu hingga ke ketak kedua@ketak kedua jari hantu)**
❀   Kecilkan api & tutup periuk. Tanaklah nasi hingga masak.
❀   Apabila nasi sudah masak, tutup api & taburkan segala daun-daun, kismis dan bawang goreng. Hidangkan bersama lauk kegemaran anda.



4
KEK KUKUS MARMAR


.... السلام عليكم


Alhamdulillah, malam nisfu syaaban yang penuh kemuliaan dan keberkatan telah kita lewati....Syukur. Mudah-mudahan taubat dan segala amal ibadat kita diterima Allah SWT beserta doa pengharapan yang dipohon diperkenan dan dimakbulkan oleh-Nya....InsyaAllah.

Ya ALLAH, Ya Rahman, Ya Rahim, 
Ya Razzaq, Ya Fatah, Ya Syakur, Ya Karim, 
Bantulah aku, pimpinlah aku, 
Agar aku terus berada di landasan-Mu,
Tiada lain mahuku, 
Hanya bersatu menyambut redha-Mu, 
Amin Ya Rabbal Alamin.....




Buat kek ni sebab nak merasmikan trio steamer yang masih kemas berbalut dalam kotak tu. Tak ingat bila beli....kalau tak silap tiga empat tahun lepas kot....beli dari chef Asma....masa tu produk ni baru jer keluar kat pasaran....masih panas lagi. Pasal harga tu tak kisah lah sangat yang penting berbaloi. Dengan steamer ni kerja mengukus jadi lebih mudah selain masa mengukus lebih pendek. Tak ker jimat namanya tu....jimat masa....jimat gas....jimat apa lagi ehh....haaa jimat tenaga sebab tak yah nak susah susah basuh sental periuk kukusan tu kann....heh heh




Apa pun kek ni memang sedap, ringan dan gebu sesangat. Okaylah, bebel panjang berjela pun tak ada faedahnya jugak....jomlah layannn....

KEK KUKUS MARMAR
source : Iza Akma SSK


BAHAN-BAHAN :
  • 250gm tepung naik sendiri
  • 200gm santan (150gm santan kotak + 50gm air)
  • 200gm gula kastor
  • 3 biji telur(B)
  • 1 tsp esen vanilla
  • 1 tbsp ovalet
  • pewarna hijau & pink
CARANYA :

❀   Pukul telur dan ovalet. Bila dah berbuih masukkan gula. Teruskan pukul hingga kembang, pekat dan putih.

❀   Masukkan tepung berselang-seli dengan santan, kaupbalikkan adunan dengan spatula.

❀   Bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan ikut suka. Iza bahagikan kepada 3; pink + esen strawberi, hijau + esen epal dan plain + esen vanila.

❀   Tuangkan dalam loyang yang dah disapu minyak / butter berselang warna.

❀   Tutupkan loyang dengan foil dan kukus dalam kukusan yang telah betul-betul mendidih. Iza kukus dalam trio steamer selama 40 minit.




0
KELEBIHAN SYAABAN & MALAM NISFU SYAABAN


.... السلام عليكم


Syaaban kembali bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Ini adalah rahmat dan kelebihan yang Allah SWT hendak berikan kepada kita selaku umat Nabi Muhammad SAW, yang mana tidak terdapat pada umat nabi-nabi yang lain. Ia adalah suatu anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada kita, maka bersyukurlah dan gunakanlah peluang yang ada untuk kita kaut kelebihan dan rahmat yang Allah SWT hendak berikan kepada kita. Kita tidak tahu sama ada kita akan bertemu lagi atau tidak dengan bulan-bulan yang mulia ini, ditakuti ajal kita telah sampai sebelum kita bertemu dengan bulan-bulan ini. Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, Allahumma bariklana fi Sya'ban wa Balligna Ramadhan.




PENGERTIAN SYAABAN

Syaaban ertinya “berserak-serak”. Bulan Syaaban bulan berserak-serak. Dinamakan demikian kerana bulan ini masyarakat Arab pada masa dahulu berserak-serak pergi ke lembah-lembah untuk mencari air, kerana pada bulan ini biasanya mereka menghadapi musim kekurangan air. Dalam keterangan yang lain, dikatakan sebab dinamakan demikian kerana pada bulan ini terdapat berserak-serak (banyak) kebajikan yang perlu direbut oleh umat islam.

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan yang pada pertengahannya ditinggikan kemuliaannya selepas malam Lailatul Qadar. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.




MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud setengah atau sebahagian. Jadi, Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijriah. Umat Islam mempercayai yang pada malam itu, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.

15 haribulan Syaaban yang sering disebut dengan Nisfu Syaaban adalah termasuk di dalam hari besar Islam, dan ia merupakan malam yang kedua termulia selepas malam Lailatul Qadar, kerana pada hari itu banyak mengandungi kelebihan dan Allah SWT memberikan atau menurunkan rahmat serta memberikan pengampunan kepada hambanya. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

"Rasulullah SAW telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda SAW dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda SAW berkata dalam sujudnya, "Ya Allah aku pohonkan kemaafan-Mu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan aku berlindung kepada-Mu daripada-Mu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadap-Mu seperti kamu memuji diri-Mu sendiri."
 
Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata :
"Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata :
"Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatulqadar."



MALAM PENGAMPUNAN 

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah menilik hambanya-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."

Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."

Malam Nisfu Syaaban adalah malam yang mana mustajab doa orang-orang yang berdoa. Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
"Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal. Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."

Rasulullah SAW bersabda, telah datang kepadanya Jibril AS lalu Jibril berkata :
" Wahai Muhammad ! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."

Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).




Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

  • Memperbanyakkan puasa sunat 
Saidatina Aisyah RA berkata : Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya Baginda telah berpuasa sebulan penuh di mana Baginda telah bersabda : “lakukanlah apa amalan yang termampu olehmu kerana Allah Taala tidak pernah jemu sehingga kamu sendiri yang merasa jemu.” (Riwayat Bukhari)

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."


  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)


  • Bertaubat 
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”

Nabi SAW bersabda lagi:
“Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.



DI ANTARA PERISTIWA PENTING YANG BERLAKU DALAM BULAN SYAABAN ADALAH PERTUKARAN QIBLAT

Setelah berlaku peristiwa Isra dan Mikraj Nabi Muhammad SAW bertemu Allah Taala dan menerima kewajipan solat lima waktu, sekali lagi berlaku beberapa peristiwa besar kepada seluruh umat Islam di bulan Saaban ini. Antara yang berlaku ialah Allah memenangkan umat Islam di dalam Perang Bani Mustalik dan difardhukan beberapa ibadah khususnya zakat namun peristiwa yang paling besar adalah pertukaran qiblat dari Baitul Maqdis (Masjid Aqsa) ke Makkah (Masjidil Haram).

Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan. (Al-Baqarah : 144)

Setelah Nabi SAW menerima kewajipan solat lima waktu Baginda melaksanakannya dengan berqiblatkan Masjidil Aqsa selama 16 bulan sebagai mensucikan tempat Nabi di’israkan dan di Mikrajkan ke langit dan tempat suci para nabi-nabi terdahulu A.S. Allah SWT telah menyuruh Nabi SAW supaya berpaling dan mengadap Baitullah. Solat pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW selepas tahwil Qiblat ini adalah solat Zuhur mengikut sesetengah pendapat. Selepas peristiwa itu, Baginda SAW menerima pelbagai tohmahan dan cacian dikalangan orang Yahudi dan Nasrani. Dalam membatalkan dakwaan itu Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya Yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat Yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah Yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya ke jalan Yang lurus". (Al Baqarah : 142)


sumber :
firdaushadi.blogspot.com
kekanda69.blogspot.com
Utusan Malaysia