3
KEK MARBLE TAPAI


.... السلام عليكم


Sejak kecil iza biasa lihat opah iza menyediakan tapai ubi. Asal ada saja ubi, opah tak akan lepaskan peluang membuat tapai samada untuk sajian keluarga mahupun sebagai hidangan untuk para tetamu di hari raya. Ia diperbuat daripada ubikayu rebus yang diperam bersama ragi. Biasanya tapai sesuai disajikan sebagai pencuci mulut. Lebih enak dimakan setelah didinginkan atau dinikmati bersama aiskrim atau cendol.

Pasti ramai di antara kita yang tidak tahu bahawa di sebalik kemanisan tapai ubi tersirat juga khasiatnya kepada kesihatan tubuh badan manusia. Ia dikatakan berpotensi mencegah kanser.




Hasil kajian sekumpulan pakar penyelidik UPM mendapati, bakteriosin sejenis protein yang dihasilkan melalui proses penapaian memberi hasil positif terhadap aktiviti antikanser. Walaupun bakteriosin dikenal pasti menunjukkan tindak balas yang positif untuk menggalakkan aktiviti antikanser, ini tidak berpotensi bagi mengubat penyakit berkenaan.

Kajian awal mereka mendapati tapai ubi mampu mencegah tujuh penyakit kanser seperti servikal, ovari, payudara dan leukemia yang sinonim dengan wanita.

Jadi JANGAN terkejut sekiranya satu hari nanti anda perlu menjadikan tapai ubi sebahagian dari menu harian semata-mata untuk menjaga kesihatan meskipun ia bukanlah makanan yang sesuai diambil setiap hari.




Kek tapai versi kukus ni iza buat minggu lepas. Rasanya seakan brownies....lembap-lembap dan lembut giteww. Jika ikut resepi asal, kejadiannya berlapis-lapis tapi iza marblekan untuk setiap lapisan. Nak layerkan saja atau marble....terpulang pada citarasa....tepuk dada tanya selera.



KEK MARBLE TAPAI
adapted from Buah Dapur Vika
tested : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
250 gm tapai ubi ~ buang urat & lecek halus
150 gm tepung gandum *
1/2 tsp baking powder * (*diayak)
200 gm gula kastor
5 biji telur
1 tsp ovalet
1/4 tsp esen vanila
50 gm susu pekat manis
200 gm marjerin ~ cairkan
50 gm coklat rice / coklat cip
1 sdm coklat emulco


Caranya :

Panaskan kukusan. Alas dan gris nipis loyang 8x8 inci.

Pukul telur + gula + ovalet hingga kembang, putih, pekat dan bertanduk.

Masukkan tepung yang diayak berselang-seli dengan tapai yang dilecek sambil dipukul dengan kelajuan yang  rendah hingga rata.

Masukkan susu pekat manis dan esen vanila. Kaupbalik dengan spatula hingga rata dan sebati. Masukkan marjerin yang dicairkan pada akhir sekali dan gaul rata.

Bahagi adunan kepada 2 bahagian. 1 bahagian campurkan coklat paste dan 1 bahagian lagi dibiarkan plain serta ditambahkan dengan coklat rice / coklat cips.

Setelah kukusan betul-betul mendidih, tompok-tompokkan adunan coklat dan plain secara rawak bagi membentuk marble sebagai lapisan pertama dan kukus 10 minit. Kemudian tompokkan lagi untuk lapisan kedua seperti lapisan pertama tadi dan kukus lagi 10 minit.

Lakukan kaedah yang sama untuk lapisan seterusnya sehingga semua adunan habis digunakan. Untuk lapisan yang akhir kukuskan selama 20 minit.

Angkat dan sejukkan sebelum dipotong.




0
PANKEK TAPAI UBI / FERMENTED TAPIOCA PANCAKE


.... السلام عليكم


Ada 2 jenis tapai yang digemari ramai iaitu tapai pulut dan tapai ubi. Tapai dibuat dengan kaedah memasak pulut atau ubi sehingga masak. Setelah masak ia disejukkan pada suhu bilik. Selepas sejuk ia dicampurkan dengan ragi yang sudah ditumbuk halus. Kemudian dibungkus atau dibiarkan dalam periuk atau sebarang bekas selama 2 atau 3 hari. Maka terhasillah tapai pulut atau tapai ubi. Amat manis sekali dan sungguh menyegarkan.




Samada tapai pulut atau tapai ubi amat jarang sangat iza beli. Jika ada orang hidangkan depan-depan pun iza takkan jamah....malah tak kisah pun sebab dari kecil lagi dah memang tak makan. Kekadang en.suami beli juga sebab dia nak makan. Bila tengok dia makan macam sedap jer....kita cuba-cuba juga ler barang sesudu dua tapi tak boleh lah....tekak ni tak menangkap....

Iza akan beli tapai bila rasa-rasa nak buat kuih saja. Kes ni lain sikit....bila tapai dah diadun jadi kuih, kek atau puding....yang ni iza makan tapi sikit saja lah sekadar nak merasa....selebihnya tu bagi anak dan suami perhabiskan.

Pankek ni iza buat breakfast pagi tadi. Asalnya guna durian. Pasal durian takde....yang ada hanya tapai ubi....belasah sajalah guna tapai.  Godek, godek, godek....menjadilah pankek tapai yang sungguhlah gebunya. Pankek ni lembut....malah sesiapa yang makan dan tak diberitahu ada campuran tapai di dalamnya....memang mereka tak akan tahu sebab kelihatannya sama seperti pankek lain. Layannn....



PANKEK TAPAI UBI
:: by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
130 gm tepung naik sendiri (self-raising flour)
1 tsp baking powder
1 biji telur (A)
30 gm gula kastor
50 gm butter, dicairkan
100 gm tapai ubi ~ dilecek halus
190 gm susu sejat / susu segar / kombinasi kedua-duanya
sedikit esen vanila
secubit garam
mentega, madu & jem untuk dimakan bersama pankek


Caranya :

Satukan tepung naik sendiri, baking powder dan garam halus, gaul rata dan ayak. Dalam satu bekas, masukkan telur, gula, mentega cair dan tapai ubi, kacau dengan whisk sehingga semua sebati dan rata.

Masukkan susu, kacau dan tambah tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata. Tuang esen vanilla, gaul rata dan rehatkan adunan 20 minit.

Panaskan non-stick frying pan dengan api sederhana. Lenser dengan sedikit minyak. Sudukan anggaran 1/3 cawan adunan tadi. Ratakan.

Tutup pan tadi dengan tudung periuk sekejap. Bila permukaan pancake berbuih-buih dan kelihatan agak kering, perlahan-lahan terbalikkan. Masak lagi untuk 1 minit. Alih dalam bekas sesuai dan buat kaedah yang sama untuk baki adunan.

Hidangkan bersama mentega dan curahan madu...hmm sedappp u!..Nak makan dengan ais krim pun ok juga....ikut pilihan masing-masing yea....
Resepi asal di SINI


lihatlah, gebu kann...

Proses membuat tapai ini dinamakan Proses Penapaian di mana yeast atau ragi tersebut menukarkan karbohidrat kanji di dalam pulut atau ubi menjadi glukos di samping pembebasan air, karbon dioksida dan pelbagai vitamin lain sebagai hasil sampingan. Proses penukaran karbohidrat kepada glukos ini tidak terhenti disitu kerana ragi /yeast akan terus menukarkan glukos yang terbentuk kepada etanol.

Ini bermakna, tapai ubi / pulut yang telah diperam selama 2 atau 3 hari tersebut telah mengandungi air, glukos, etanol selain vitamin dan produk lain. Persoalannya ialah adakah tapai ini haram dan najis kerana kandungan di dalamnya adalah menyamai dengan minuman bir??

Jawapan kepada persoalan ini ialah tapai pada usia 2 atau 3 hari ini adalah halal kerana ia bukan sesuatu yang memabukkan. Kalau minum / makan tapai dengan kuantiti banyak pun memang ia tidak memabukkan. Tapai pada usia ini iaitu 2 atau 3 hari hanya mengandungi sedikit kandungan alkohol etanol namun kandungan etanol dalam tapai ini adalah lebih tinggi daripada nasi yang sudah berumur hampir 24 jam.

Apabila tapai pulut atau tapai ubi ini dibiarkan pada suhu bilik untuk beberapa hari lagi, lebih banyak karbohidrat kanji ditukarkan kepada glukos dan etanol. Tapai yang sudah berusia 6 hari rasanya walaupun manis namun terdapat rasa yang tidak enak dan rasa ini sebenarnya adalah disebabkan rasa etanol. Pada usia tapai 6 hari, kandungan etanol di dalam tapai boleh menjangkau lebih daripada 6 atau 7 peratus iaitu menyamai kandungan etanol di dalam bir. Sekiranya kita makan tapai ini bersama airnya dalam kuantiti satu gelas besar, muka akan menjadi warna kemerahan dan kepala mula pening dan inilah yang dikatakan MABUK. Pada tahap ini tapai yang asalnya adalah harus telah menjadi haram kerana ia memabukkan.

(sumber info : Laman Emjay)



4
TARO CHIFFON CAKE


.... السلام عليكم


Sebelum ini dah cuba cifon berasaskan keledek, pisang, strawberi dan cranberi.  Tak rugi mencuba kerana kek-kek cifon tersebut kesemuanya sedap serta memenuhi piawaian citarasa kami sekeluarga. Nak lihat resepinya, boleh cari di label atau pun klik saja pada 'Menu Index' di tab atas.

Hari tu pergi pasar malam beli keladi sebab teringin nak makan pengat. Lepas dibuat pengat ada berbaki lagi. Iza pun rebuslah siap-siap, then simpan dalam fridge. Nak dibuat kuih talam, anak-anak kurang gemar. Jadi terpaksalah diusahakan dengan resepi lain.




Sambil-sambil menonton tv, tangan pun mencapai buku-buku koleksi masakan di rak buku. Satu persatu buku dibuka, helai demi helaian diselak....sudahnya terpandang resepi kek cifon keladi oleh Chef Kevin Chai. Rupanya resepi ni sebenarnya dah lama ditandakan untuk buat tapi selalu tertangguh kes terlupa beli keladi. Ni, keladi dah ada bolehlah diteruskan projek.

Timbang punya timbang....keladi yang ada terlebih daripada yang diperlukan dalam resepi. Nak ditinggalkan sayang pula. Tinggal-tinggalkan pun bukan boleh buat apa sebab sikit. Jadi terpaksalah iza olah sikit resepi asal untuk disesuaikan dengan kuantiti keladi yang ada. Hasilnya memang tak menghampakan.




Iza suka rasa cifon keladi ni. Pada iza, lemak-lemak keladi tu memberi kelebihan rasa pada kek....buatkan kek ni sungguh sedap ditambah lagi dengan teksturnya yang lembut dan gebu. Kalau kek-kek lembut begini usahkan tunggu esok....malam nanti pun dah boleh langsai....

Berikut resepi yang telah iza ubahsuai :
KEK CHIFFON KELADI
:: by Iza Akma SSK


Bahan A :
6 biji telur kuning ~ iza guna telur medium sri murni
210 gm keladi rebus ~ dilecek  (asal 150gm)
150 gm santan ~ 100gm santan kotak + 50gm air
1/4 tsp garam
60 gm minyak jagung
1 tsp esen keladi (asal 1/2 tsp)
50 gm gula kastor
160 gm tepung gandum (asal 180gm)
beberapa titik pewarna ungu

Bahan B :
7 biji putih telur (asal 6 biji)
1/2 tsp cream of tartar
100 gm gula kastor


Caranya :

Untuk bahan A : Satukan telur kuning, keladi lecek, santan, minyak jagung, esen keladi dan gula kastor dalam bekas adunan. Kacau sebati. Ketepikan.

Untuk bahan B: Putar dulu putih telur dengan cream of tartar hingga berbuih. Masukkan gula dan putar pada kelajuan tinggi sehingga kembang, pekat dan bertanduk. Masukkan adunan putih telur ke dalam adunan kuning telur secara bertahap. Kaupbalikkan secara perlahan sehingga rata dan sebati.

Tuangkan adunan dalam acuan cifon bersaiz 9inci. Bakar pada suhu 170C selama 30-40 minit atau sehingga masak.

Keluarkan dari oven, terbalikkan atas jejaring dan biarkan sejuk. Tanggalkan acuan, dan hiaslah ikut suka.



4
CONGRATULATIONS....!!


.... السلام عليكم


Semalam, hari yang paling mendebarkan buat adik-adik yang mengambil keputusan UPSR 2012. Bukan saja adik-adik yang berdebar, ibubapa pun turut sama merasakan debarannya yang mungkin lebih kencang lagi....malah mungkin ada yang tak boleh tidur lena malam sebelumnya memikirkan bagaimanakah keputusan yang akan keluar nanti.

Yang pasti di kalangan adik-adik, hari semalam merupakan satu hari, satu detik bersejarah yang meninggalkan seribu satu kenangan manis. Buat ibubapa pula, ia merupakan hari paling istimewa bila anak-anak menghadiahkan mereka dengan sebuah kejayaan yang sememangnya menjadi impian setiap ibu ayah.

Buat mereka yang mendapat keputusan 5A, tahniah diucapkan. Jadikan ini sebagai batu loncatan dan pembakar semangat untuk lebih berjaya dan lebih cemerlang di masa akan datang. Pada mereka yang kurang berjaya...bukan bermakna gagal. Adik-adik dah lakukan yang terbaik tapi mungkin nasib kurang menyebelahi. Ini baru permulaan dik. Usah semaikan rasa putus asa di jiwa kerana masih jauh lagi perjalanan menanti di hadapan dan peluang untuk mencipta kecemerlangan masih lagi terbuka luas. Usaha dan teruskan berusaha. Ingatilah pepatah, "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan....Hendak seribu daya, mahu seribu cara."


....wajah-wajah cemerlang 5A dalam sessi bergambar
beramai-ramai bersama guru....




Tahniah buat puteriku, Puteri Nur Syahirah yang mendapat 5A dalam UPSRnya semalam. Alhamdulillah, Syukur. Terima kasih Ya Allah! Engkau telah memberikan hadiah paling bermakna ini pada kami sekeluarga. Tatkala menerima dan membaca slip keputusan Puteri....semua rasa bercampur-baur....rasa gembira....rasa terharu....tak terkata apa....melainkan bibir hanya mampu kumat-kamit mengucapkan rasa Syukur tak terhingga pada-Nya....hingga tanpa ku sedari airmata kegembiraan bergenang di kelopak mata lalu menitis membasahi pipi....




Congratulations from Mummy and Daddy for the great achievement that clearly exceeded our expectation!
Doa dan pesanku, wahai puteriku....semoga dirimu tidak leka dengan kejayaan ini. Terus tingkatkan usaha mu dalam mengejar kejayaan dan kecemerlangan di sepanjang perjalanan hidupmu. Muaahhh....!!!




Dua minggu sebelum UPSR diumumkan pihak sekolah telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang. Para ibubapa yang mana anaknya cemerlang dari prasekolah, tahun 1 hingga tahun 6, dijemput hadir bagi memeriahkan majlis. Iza dan suami tak ketinggalan hadir kerana Puteri mendapat tempat pertama dalam kelas dan antara pelajar terbaik bagi keseluruhan tahun 6.




Saya ucapkan terima kasih pada semua guru SKTBI yang telah mendidik anak didiknya dengan begitu baik sehingga terhasilnya anak-anak murid yang cemerlang. Terima kasih juga pada guru-guru yang telah berhempas pulas berkorban masa dan tenaga mengadakan kelas-kelas tambahan bagi para pelajarnya sebelum peperiksaan upsr bermula.

Semoga SKTBI akan lebih terus maju.


2
KEAJAIBAN ALAM GERHANA MATAHARI


.... السلام عليكم


Baru-baru ini berlaku satu keajaiban alam gerhana matahari penuh di Australia. Melihatkan itu tergerak rasa hati nak cari info tentang gerhana. Setidak-tidaknya boleh juga tambahkan pengetahuan sedia ada tentang fenomena alam yang sungguh menakjubkan ini.  Alang-alang mencari, tak salah rasanya jika dimuatkan sekali di blog. Bila dah tersimpan di sini bolehlah dijadikan rujukan bila diperlukan dikemudian hari nanti.


PENGENALAN

Gerhana ialah fenomena alam yang berlaku sejak dahulu. Berbeza dengan tanggapan para saintis dan masyarakat awam, gerhana bukan sekadar kejadian semulajadi yang berlaku secara kebetulan sebaliknya ia adalah bukti  kebesaran Allah SWT yang mengatur dan mentadbir seluruh alam semesta ini daripada yang sebesar-besar galaksi di angkasaraya hinggalah kepada yang sekecil-kecil ulat di dalam batu.

Firman Allah SWT :
Surah Naziaat 79 : ayat 27-30
Maksudnya : (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan kukuh)!  Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya).


Surah al-Dhariyat 51 : ayat 47
Maksudnya : Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.


Kejadian gerhana merupakan suatu iktibar kepada manusia bahawa matahari dan bulan yang dijadikan sebagai makhluk adalah kecil dan lemah di sisi Allah. Ia juga memperlihatkan kebesaran Allah SWT ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' 17 : ayat 59 :
Maksudnya :  Kami kirimkan petanda-petanda (kebesaran) semata-mata untuk menggerunkan (hati hamba-hamba Allah SWT).





GERHANA SECARA SAINTIFIK

Gerhana matahari merupakan satu fenomena membabitkan matahari yang sedang bersinar, secara perlahan-lahan menjadi gelap sebahagian atau keseluruhannya. Secara umumnya, kejadian gerhana ini berlaku apabila bulan yang sedang beredar mengelilingi bumi lalu bersetentangan kedudukannya antara bumi dan matahari. Ketika ini, bulan akan kelihatan perlahan-lahan melindungi cakera matahari, tidak kira samada ianya gerhana penuh, gerhana anulus ataupun separa dan imej bulan pada masa itu kelihatan gelap.

“……..berbeza dengan gerhana bulan, masa gerhana matahari
berlaku adalah berbeza diantara satu lokasi dengan lokasi lain, ……
ini sebabkan kedudukan geografi / lokasi pemerhati dengan
sudut pandang bulan dan matahari.”

Bila bulan menutupi sebahagian atau sepenuhnya cakera matahari, jasad matahari terlindung daripada pandangan penduduk bumi menyebabkan cahaya matahari itu terhalang sampai ke permukaan bumi. Bayang bulan akan jatuh ke atas bumi dan seseorang individu yang berada di dalam bayang bulan akan melihat matahari di tutup oleh bulan. Kawasan gelap yang jatuh ke permukaan bumi ketika berlakunya gerhana matahari itu sebenarnya adalah laluan bayang-bayang bulan tersebut.

“……..Tahukah anda bahawa orbit bulan sebenarnya berbentuk elips.
Setiap tahun bulan menjauhi bumi sebanyak 3.8cm, jadi dalam masa 600 juta
tahun akan datang jarak bulan ke bumi akan bertambah sebanyak 23,500 km,
pada masa itu tidak akan ada lagi gerhana penuh matahari kerana “kedudukan
bulan tidak lagi berupaya menutupi 100 peratus cakera matahari semasa gerhana berlaku”………..”

Fenomena ini hanya dapat berlaku ketika bulan baru, kerana pada masa itu bulan berada di sebelah bumi menghadap matahari. Disebabkan saiz bulan hanya seperempat saiz bumi, maka zon bayangan pusat bulan (umbra) yang jatuh ke permukaan bumi adalah kecil. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana jarak bulan yang lebih hampir dengan bumi (384,400 km). Sedangkan jarak matahari daripada bumi adalah lebih jauh , iaitu 149,680,000 km menjadikan saiz kedua-duanya kelihatan hampir sama jika dilihat dari bumi.

Fasa-fasa gerhana matahari penuh

Bulan mengelilingi bumi sekali setiap bulan dan fenomena ini sepatutnya menyebabkan gerhana berlaku pada setiap bulan. Bagaimanapun ia tidak berlaku kerana sudut bulan mengelilingi bumi adalah condong lebih kurang lima darjah kepada sudut bumi mengelilingi matahari. Ini bermakna bulan biasanya melepasi sedikit ke atas atau ke bawah matahari apabila ia berada antara bumi dan matahari.


Gambarajah Ringkas Mengenai Gerhana

sumber : Wikipedia
Rajah (1) : Menunjukkan susunan Matahari, Bulan, dan Bumi semasa gerhana matahari. Kawasan kelabu gelap di bawah Bulan merupakan Umbra, di mana Matahari tersembunyi sepenuhnya oleh Bulan. Kawasan kecil di mana bayangan gelap Umbra menyentuh permukaan Bumi merupakan di mana kawasan gerhana penuh boleh dilihat. Kawasan kelabu cerah yang lebih besar merupakan Penumbra, di mana hanya gerhana separuh boleh dilihat.
Rajah (2) : Menunjukkan kedudukan bulan pada jarak berbeza. Kedudukan bulan yang lebih jauh daripada bumi menyebabkan bulan tidak dapat menutupi sepenuhnya matahari. Kesannya bayang bulan Umbra (kelabu gelap) tidak sampai ke bumi, sebaliknya bayang Autumbra (putih) pula yang sampai.



JENIS-JENIS GERHANA
Gerhana matahari terbahagi kepada gerhana penuh/Total Solar Eclipse (TSE), gerhana separa /Partial Solar Eclipse (PSE), gerhana anulus/ Annular Solar Eclipse (ASE) dan gerhana hybrid / Annular-Total Solar Eclipse. (sumber : Unit Astronomi Puskal)


Gerhana Penuh Matahari (TSE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sebaris, dan bulan pada masa itu berada dalam keadaan "perigee" (hampir dengan bumi). Kedudukan "perigee" ini menyebabkan saiz bulan melindungi keseluruhan cakera matahari daripada pemerhati di bumi. Ketika ini, pemerhati di kawasan bayangan pusat (umbra) akan mengalami gerhana penuh, manakala di kawasan bayangan luar (penumbra) akan melihat gerhana sebahagian sahaja. Gerhana Matahari penuh dapat disaksikan hanya dalam lingkungan 25 kilometer (km). Kawasan yang mengalami gerhana Matahari penuh akan menjadi gelap seperti malam yang disinari bulan. Ini membolehkan planet-planet dan bintang-bintang kelihatan. Suhu juga di dapati jatuh beberapa darjah.


Gerhana Separa Matahari (PSE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan hampir sebaris, menyebabkan bulan melindungi sebahagian daripada cakera matahari.




Gerhana Anulus Matahari (ASE)
Gerhana ini terjadi apabila kedudukan matahari, bulan dan bumi dalam keadaan sebaris, tetapi disebabkan bulan berada dalam kedudukan "apogee" (terjauh dari bumi) menyebabkan saiz bulan pada masa itu kelihatan agak kecil dan dan cakera matahari pula lebih besar, bulan akan kelihatan di tengah cakera matahari tetapi tidak dapat melindungi keseluruhan cakera matahari. Cakera matahari masih kelihatan di sekeliling bulan, pemerhati di bumi akan melihat seolah-olah matahari berbentuk cincin dipanggil "annulus" / annular.
Perlu diingat, gerhana jenis ini menghasilkan lingkaran cincin yang bercahaya terang pada fasa maksimum. Cahaya ini sangat berbahaya kepada mata dan boleh menyebabkan buta.


Gerhana Hybrid Matahari 
Berlaku apabila matahari, bulan dan bumi dalam kedudukan selari. Tetapi disebabkan kedudukan bulan berada di antara "apogee" dengan "perigee" dalam ertikata lain ia adalah antara TSE dan ASE. Bermakna sebahagian titik kawasan bumi akan menyaksikan gerhana anulus manakala sebahagian lagi menyaksikan gerhana penuh. Walau bagaimanapun gerhana hybrid agak jarang berlaku.



Umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat gerhana matahari pada masa gerhana ini berlaku.

Bilakah fenomena gerhana matahari diramalkan akan berlaku lagi, boleh lihat di SINI



video fenomena gerhana matahari penuh 
- 13/11/2012 di Cairns, Queensland 


:::~ Semoga catatan ini ada manfaat buat diri saya dan kalian yang sudi membacanya. Terima kasih.

**********   **********




1
SALAM MAAL HIJRAH 1434H...


.... السلام عليكم


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memanjangkan usia kita untuk mengabdikan diri kepada-NYA semata-mata. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Tahun Hijrah 1434H akan  tiba lagi menemui kita dan tahun 1433H bakal meninggalkan kita. Ini bererti jarak masa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah sehingga kini 1434 tahun dengan kita.

Bersama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan hidayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1434H bersamaan 2012M pada tahun ini dalam suasana kesederhanaan dan penuh kerahmatan dengan tema tahun ini  "WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH".


Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman

(Lirik Lagu Maal Hijrah 1 Muharram)





Perlu diingati, sambutan Ma’al Hijrah sebenarnya merupakan kesinambungan untuk umat Islam bukan hanya dalam memperingati hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah malah ianya bagi menghayati maksud hijrah itu sendiri. Seperti mana kita semua sedia maklum, hijrah itu bermaksud perpindahan tetapi hijrah juga membawa maksud perubahan kepada suatu perkara di luar kelaziman dan membawa ke arah impak yang lebih besar dan membawa kebaikan kepada semua.

Peristiwa Hijrah yang berlaku kepada Rasulullah SAW membawa satu perubahan yang sangat besar ke atas Umat Islam serta Agama Islam dengan memasuki era baru dalam perkembangannya.

Walaupun perintah berhijrah telah tamat sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Tidak ada lagi hijriah selepas berlakunya pembukaan Kota Mekah, yang ada ialah jihad yang bersungguh-sungguh." Namun konsep hijrah secara umumnya masih berterusan.

Hijrah dalam ertikata meninggalkan perbuatan yang buruk kepada yang baik, meninggalkan kufur kepada iman, meninggalkan kezaliman kepada keadilan, meninggalkan perkara yang bertentangan dengan syarak kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Yakni, sesuatu pekerjaan yang kita lakukan kita buat dengan sungguh-sungguh mengharapkan redha Allah SWT dan disertai dengan niat yang baik. Sifat bersungguh-sungguh dan niat yang baik itu adalah sifat jihad. Kesungguhan kita bekerja dan niat yang betul merupakan paksi kepada proses penghijrahan tersebut. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah SWT."

Berhijrah adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan. Ianya adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa. Kita mestilah sentiasa berhijrah setiap masa bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat. Kita mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah. Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud : "Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah (fisabilillah), mereka itulah yang boleh mengharap (mendapat) rahmat dari-Nya.”

Sentiasa bermuhasabah diri samada ketika bekerja ataupun berhubung sesama manusia memandangkan ia adalah satu proses yang berterusan. Ingatlah kegagalan dan kelemahan yang lalu hendaklah diperbaiki sebagai usaha mentransformasikan diri bagi menambah baik segala amalan-amalan kita. Manakala kejayaan yang di kecapi pula perlulah disyukuri sebagai ucapan terima kasih ke atas nikmat yang dikurniakan. Diharapkan segala amalan yang lalu dan akan datang sentiasa diberkati oleh-Nya.



Para shalihin mengajarkan kita untuk berdoa ketika menjelang pergantian tahun.

DOA AKHIR TAHUN :
Dibaca 3x pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah bersamaan 14hb November 2012. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: "Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"




DOA AWAL TAHUN :
Dibaca 3x selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata : "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".





2
NASI DAGANG dengan GULAI IKAN TONGKOL


.... السلام عليكم


Beras pulut dan beras biasa
Campur santan kelapa dan halba
Bawang hiris dan juga halia...enak rasa

Nasi dagang itu lah namanya
Dah terkenal merata negara
Di pantai timur tempat asalnya...istimewa

Asal-usul dinamakan dagang...
Gulai satu dan tak berlebihan
Sangat elok untuk dihidangkan
Di majlis dan keramaian

Bila makan pagi atau petang
Bungkus lah sedikit untuk pulang
Jangan lupa ibu ayah abang
Nasi dagang...Nasi dagang...


Masih ingat lagi anda dengan rangkapan lagu tersebut? Cuba flashback memori anda dengan lirik itu. Rasa-rasa macam familiar kan. Itu lah dia lagu 'Nasi Dagang' yang dipopularkan oleh penyanyi kelahiran cik siti wan kembang, Rosemaria Abdul Hamid sekitar tahun 70an. Lagu tersebut menceritakan apakah ramuan nasi dagang, asal-usulnya serta keenakan nasi dagang itu sendiri.




Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut. Sementara Nasi dagang Kelantan biasanya bewarna coklat kerana menggunakan beras berbeza dikenali 'beras dagang'.

Nasi Dagang dibuat dengan memasak nasi dan beras bersama, yang kemudiannya ditambah santan selepas dimasak. Ia dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan Aya Hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan. Sajian ini boleh didapati di hampir semua warung, kedai, restoran mahupun di hotel mewah di sekitar negeri pantai timur terutamanya di waktu pagi.

Nasi Dagang bukan sahaja dijadikan sarapan pagi atau tengahari, malah ia juga dihidangkan pada majlis-majlis keramaian. Setiap pembuat nasi dagang mempunyai resepi yang tersendiri. Oleh itu, kepelbagaian rasa dari versi resepi yang berbeza menjadikan ianya begitu unik.




Selalu juga pekena nasi dagang tapi yang dah ready made punya ler....tak pernah buat pun. Nampak macam susah jer nak masak nasi dagang ni....banyak step yang nak kena follow. Lebih-lebih lagi bila baca resepi lauknya yang memerlukan rempah khas....itu yang merencatkan semangat.....sebab bukan sebarangan rempah boleh guna. Rempahnya pulak bukan senang nak jumpa kat kl ni....kat pantai timur jer yang ada jual.

Nak dijadikan cerita, cuti sekolah jun lepas, iza ke terengganu. Masa tengah ronda-ronda pasar payang tu, teringatkan rempah gulai dagang....pusing-pusinglah kitaorang cari....tanya makcik-makcik kat situ....jumpa jugak akhirnya. Dah terlanjur beli rempah tu....belilah juga rempah khas untuk masak gulai ayam/daging terengganu. Kat situ pun ada jual sekali beras wangi dengan beras dagang. Asben kata dah alang-alang semua ada....belilah terus....tak payah nak pening-pening kepala cari tempat lain. Asben dah bagi green light tuu....kita pun apalagi rembat lah apa-apa yang terfikir nak beli....bukan kita yang bayar pun, dia yang bayar....heheh




Bila dah cuba sendiri semalam, baru tahu....memasaknya tak lah susah sangat cuma kerje penyediaannya sedikit remeh. Tapi puashati....berbaloi....akhirnya dapat juga merasa nasi dagang air tangan sendiri. Bila terasa-rasa nak makan lagi, tak payah dah buang-buang duit beli....dah boleh sediakan sendiri. Terima kasih pada k.liza dan k.nor atas perkongsian resepi yang enak sekali.
NASI DAGANG
from 1 Hari 1 Resepi - Chef Hanieliza


Bahan A :
1 cawan beras wangi
1 sudu makan halba
3 cawan santan (1 biji kelapa)
1 sudu makan gula
garam secukup rasa

Bahan B :
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci halia


Caranya :

Basuh beras kemudian toskan.
Masukkan bahan yang dihiris dan semua Bahan A ke dalam periuk non-stick dan kacaukan di atas dapur sehingga santan sebati dengan beras.
Masukkan beras dan santan yang sudah sebati ke dalam kukusan berlubang.
Kukuskan sehingga naik wap selama 30 minit.
Hidangkan dengan gulai ikan tongkol dan acar timun.
GULAI IKAN AYA@TONGKOL
by K.Nor@SecubitGaram


Bahan-Bahan :
1 ekor ikan aya@tongkol
3 keping asam keping
sedikit garam
air secukupnya

Bersihkan ikan aya dan potong.
Masukkan dalam periuk dan masukkan asam keping, garam dan air.
Air hendaklah melebihi paras ikan.
Masak dengan api sederhana sehingga air tinggal lebih kurang 1/4.
Lagi lama ikan dimasak lagi sedap, isi ikan pun lebih pejal.

Bahan Untuk Kuah :
4 sudu besar cili mesin
7 biji bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
1 inci kunyit hidup * ( * diblend )
3 sudu besar rempah gulai nasi dagang ~ boleh guna rempah cap bunga ros kalau tak ada rempah khas utk gulai nasi dagang > iza guna rempah khas...beli kat pasar payang
2/3 cawan santan fresh/pekat
4 cawan air
air asam jawa
sedikit belacan ~ optional
nisan/gula melaka
garam
sedikit gula
7 - 9 biji cili padi
minyak

Bahan Penumis:
1 batang kulit kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang


Caranya :
Panaskan minyak dalam periuk dan masukkan bahan penumis.
Biarkan hingga wangi dan masukkan cili mesin.
Goreng hingga cili menjadi garing dan masukkan bahan-bahan yang diblend.
Masak hingga sedikit kering dan masukkan rempah gulai.
Masukkan 1/2 cawan air dan masak lagi hingga garing dan pecah minyak.
Masukkan lebihan air dan masak hingga mendidih.
Masukkan santan dan renihkan hingga kuah mendidih sambil sesekali mengacau.
Masukkan air rebusan ikan, jus asam jawa, belacan, nisan/gula melaka, garam dan gula.
Masak hingga kuah sedikit pekat dan masukkan ikan yang dah dimasak tadi.
Renih lagi kuah hingga kepekatan yang disukai.
Sekiranya kuah terlalu pekat dan tak pecah minyak bolehlah ditambah air panas dan masak semula hingga keluar minyak.
Masukkan cili padi dan masak lagi sekejap dan baru lah dipadamkan api.

** ikan aya lebih sedap direbus lebih awal dan dibiarkan supaya rasa masam-masam tu meresap ke dalam isi ikan.
** kalau ada belimbing buluh, boleh lah ditambah dalam gulai ni....nanti rasa gulai lagi sedap.
ACAR TIMUN

Bahan-Bahan :
timun
carrot
bawang merah
cili merah
cuka, gula & garam secukup rasa
sedikit perahan limau kasturi (optional)

Semua bahan sayuran termasuk cili dan bawang dihiris memanjang.
Rendam sekejap hirisan timun dan carrot dalam air kapur. Toskan.
Satukan sayuran, cili, bawang dalam sebuah bekas. Curahkan cuka dan perasakan dengan gula dan garam sesedap rasa. Jika suka boleh tambah dengan sedikit perahan limau kasturi. Gaul sebati.
Biarkan ia mesra seketika sebelum sedia untuk dimakan.


8
KUIH LAPIS GARDENIA


.... السلام عليكم


Selamat petang kawan-kawan....
Bersiaran kembali setelah seminggu kita semua menyambut Aidiladha.
Apa khabar semua....Sihat....??
Puan teratak ni, alhamdulillah....sihat.
Moga anda semua juga sihat walafiat hendaknya dalam menjalani tugasan seharian dikelilingi oleh teman-teman dan orang-orang yang tersayang.

Apa agaknya juadah minum petang anda hari ni ya?
Mungkin ada di kalangan anda yang tak minum petang setelah kekenyangan makan tengahari tadi. Atau mungkin juga yang skip makan tengahari....dan bila time petang-petang macam ni mulut mulalah mencari sesuatu untuk mengalas perut yang dah mula berorkestra....ya tak. Ya lah, tak semua orang tu ragamnya sama. Lain orang, lain tekak lain jugalah seleranya....tak gitew. Jangan ambik hati na....saja gurau-gurau.




Iza pun macam tu lah juga lebih kurang. Dah breakfast pagi, tengahari tak lunch....temankan anak-anak jer lunch. Entah lah dah terbiasa gitew gamaknya....nak wat camner kan. Sebab tu petang-petang iza mesti buat minum petang....tak kiralah kuih apa-apa pun....janji perut terisi.

Masa keluarkan sayur dari fridge nak masak pagi tadi,  nampak pulak roti duk tersorok dalam nun....belek punya belek dah nak hampir menopaus ghopernya. Ini mesti anak-anak punya kerja lar ni....masa takde pesan soh beli....bila dah ada, tak abis sumbatkan dalam fridge. So, sebelum berkulat baiklah dibuatkan sesuatu. Teringatkan Talam Roti Kak Wan yang glemer tu....tapi asyik tertangguh-tangguh nak buat.

Maka hari ini terrealisasilah sudah talam roti idaman ku itu tapi dalam version kuih lapis....hi hi hi.
Terima kasih Kak Wan atas perkongsian resepi. Sedaap....lembuut jer.



Resepi KUIH LAPIS GARDENIA
inspired from Talam Roti Lapis Coklat@Citarasawan
source : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
  • 6 keping roti sandwic ~ buang kulit tepi, siat kecil & rendam
    dengan 150 gm air
  • 75 gm gula pasir
  • 3/8 tsp garam
  • 300 gm santan
  • 150 gm air
  • 90 gm tepung beras
  • 30 gm tepung sagu
  • 1 tsp coklat emulco
  • pewarna kuning & oren

Caranya :

❀  Panaskan kukusan. Sediakan loyang bersaiz 6 inci persegi....kalau tak ada empatsegi yang bulat pun boleh, alas dengan plastik tahan panas dan sapukan dengan sedikit minyak masak.

❀  Satukan air, santan, gula, garam dan masak hingga gula larut. Biarkan suam.

❀  Masukkan roti yang direndam bersama setengah santan yang dimasak tadi ke dalam pengisar. Kisar hingga halus.

❀  Satukan tepung beras dan tepung sagu dalam bekas. Masukkan bahan kisaran ke dalam bekas berisi tepung sambil dikacau dengan whisk sehingga sebati dan tidak bergentel.
❀  Adunan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Bahagian 1 dibahagikan untuk 3 lapisan dan diwarnakan kuning, bahagian 2 dibahagikan untuk 2 lapisan dan diwarnakan oren, bahagian 3 dibahagikan untuk 4 lapisan dan dibubuh coklat emulco. Pastikan setiap lapisan itu sama banyak agar lapisannya sama tebal.

❀  Bila kukusan dah betul-betul mendidih, letakkan loyang dalam kukusan. Tuang adunan kuning dulu sebagai lapisan pertama dan kukus 5 minit. Tuang pula selapis adunan coklat dan kukus lagi 5 minit. Diikuti dengan selapis adunan oren. Teruskan melapis dan kukus sehingga semua adunan habis digunakan. Untuk lapisan seterusnya boleh rujuk kat gambar tu ya. Bila sampai lapisan terakhir kukus selama 10-15 minit dengan api sederhana.