2
Vietnamese Spicy Lemongrass Chicken



Assalamualaikum...


Alhamdulillah, kini bersiaran kembali. Biasa lah time cuti sekolah begini ramai ibu bapa membawa anak-anak cuti-cuti Malaysia. Tuan rumah sefamili pun turut sama bercuti melarikan diri dari hiruk pikuk kota yang merimaskan. Kali ni percutian kami dekat je.....belah utara nun. Sambil-sambil bercuti santai tu, tak lupa juga singgah Kedai Peralatan Bakery Noor Indah kat Kepala Batas. Masuk yang ini dah tiga empat kali dah.....ya lah kalau dah minat masak tu mana pergi pun kalau jumpa kedai–kedai macam ni mesti nak singgah.....mana tau kot-kot jumpa lain dari yang lain.

Di Noor Indah, memang banyak koleksi loyang.....pelbagai bentuk ada.....daripada loyang roti, loyang bulat, square hinggalah bentuk angka, kepala mickey mouse, gitar, loceng, kunci, kereta.....fuhh.....semua cantik-cantik. Memang giler sakan lah siapa yang first time datang.....silap haribulan habis borong satu kedai.....heheheh.




Bukan takat itu jer.....acuan bingka kemboja pecah lapan, bahulu, tart dan banyak lagi lah. Itu belum lagi masuk acuan cookies. Pada yang suka buat koleksi acuan cookies.....haaa, kat sini berlambak-lambak.....macam-macam corak ada.....pilih jer mana yang berkenan di hati.....loyang cutter pun ada juga. Tapikan bila dah banyak berderet depan mata, boleh rambang jadinya sampai tak tahu nak pilih yang mana.....kehkehkeh.....

Macam saya lah pertama kali sampai situ dulu.....mak aii.....berpinar mata den.....masuk kedua ketiga kurang lah sikit. Harga nya pun sikit murah jika dibandingkan dengan KL. Dah alang-alang sampai sana, borong lah.....kalau tak beli nanti tiba di rumah terbayang-bayang la pulak.....sebab ada sesetengahnya susah nak dapat kat KL.



Okay berbalik pada n3. N3 hari ini sempoi jer. Lauk ni saya masak sebagai lauk tambahan untuk makan malam sebelum bercuti hari tu. Masaknya pun cukup senang seperti masak ayam goreng kunyit.....cuma goreng-goreng.....dah siap. Walau sempoi tapi sedap tauu.....



Vietnamese Spicy Lemongrass Chicken
source : tulip77@My Resepi
sharing : Iza Akma SSK




Bahan-Bahan :
3 keping isi ayam, potong saiz kecil2
3 sudu besar gula
2 sudu besar minyak masak
3 sudu besar sos ikan
3 batang serai - ketuk
1 sudu besar cuka
1 sudu besar sos tiram
1 biji bawang besar - potong dadu
lada merah & lada hijau - potong menyerong


Cara Memasak :
❀  Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan gula dan biarkan sebentar hingga bertukar warna gelap. Masukkan ayam & bawang.
❀  Lepas 5 minit masukkan serai & lada. Perlahankan api & masuk bahan-bahan lain. Gaul biar sekata. Jika kering masukkan sedikit air.
❀  Rasa & adjust apa2 yg terkurang. Hidang panas2 dgn nasi putih.



6
Lopes Sagu Ubi Kayu



Assalamualaikum...


Selalunya jika sebut lopes akan terbayang lah kuih lopes daripada beras pulut yang lazimnya berwarna hijau bersalut kelapa parut dan dimakan bersama sirap gula melaka.....memang sedap dijamu sebagai hidangan di kala petang mahupun sebagai juadah sajian berbuka apabila bulan puasa.  Untuk n3 kali ini saya nak share dengan anda semua sejenis lopes juga yang diadun daripada campuran ubi parut dengan sagu. Lopes ni saya buat untuk minum petang semalam.....tak sangka pula dapat sambutan daripada anak-anak.




Pada saya, paduan ubikayu bersama sagu, serasi sangat.....menghasilkan tekstur yang kenyal-kenyal.....disalut dengan kelapa parut yang lemak-lemak.....disirami pula sirap gula melaka yang pekat manis.....aduhhh.....sedap tak terkata. Untuk resepi yang sedap ni, saya kongsikan resepinya di sini. Pada peminat kuih-kuih berasaskan ubikayu, jangan lupa mencuba......


LOPES SAGU UBI KAYU
(by Puan Yon Abu Bakar)
source : Iza Akma SSK


Bahan A :
900 gm ubikayu
60 gm gula pasir
3 sudu besar tepung ubi
600 ml santan pekat
100 gm sagu biji
pewarna merah, kuning, hijau/warna pilihan

Bahan B : (sirap gula melaka)
250 gm gula melaka
300 ml air
70 gm gula pasir
2 helai daun pandan


1 biji kelapa parut (putih saja)
digaul dengan sedikit garam


Caranya :
❀  Buang kulit ubi dan parut. Kemudian perah airnya dan ketepikan.
❀  Masak air secukupnya di dalam periuk hingga mendidih.
❀  Rendam sagu sebentar dan toskan. Masukkan ke dalam air mendidih tadi, kacau hingga masak. Angkat dan tapis sagu dan siram air sejuk supaya tidak melekat.
❀  Satukan bahan A dan digaul hingga rata. Bahagikan adunan kepada tiga bahagian dan warnakan setiap bahagian.
❀  Kukus setiap bahagian warna sehingga menjadi tiga lapisan selama 20 minit dengan api yang kuat.
❀  Apabila sejuk, dipotong dan digaul kelapa parut yang dicampur dengan sedikit garam.
❀  Untuk menyediakan sirap gula melaka, satukan bahan B dan masak sehingga gula larut.
❀  Hidangkan lopes dengan sirap gula melaka.




5
Yogurt Steamed Cupcakes



Assalamualaikum...


Salam pagi Jumaat, penghulu segala hari yang penuh barakah.....hari agung kepada umat Islam. Hari yang sangat besar di sisi Allah, bahkan lebih besar dari hari raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, kerana di antara malam dan siangnya tersimpan masa yang paling mustajab, tiada tabir penghalang doa insan terhadap Ilahi.

Jumaat adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.” “Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).




Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari. Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya :
* Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
* Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan   kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
* Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
* Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
* Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.




Petang semalam buat kedua kalinya mencuba apam ni.....setelah percubaan pertama bantat. Tak tahu lah kenapa boleh jadi macam tu sedangkan dah ikut betul-betul arahan resepi. Tak puas hati saya pun refer pada blog-blog seberang nun tentang cara mengadunnya. Jadi kali kedua ni, saya ubah sikit caranya dan alhamdulillah menjadi.....tak ada satu yang bantat. Kali ni kejadiannya gebus dan lembut sekali. Kebetulan pulak dalam petisejuk ada inti kelapa lebihan buat kuih ketayap hari tu.....bubuh sekali sebagai filling.....memang sedap. Jom semak resepi.


YOGURT STEAMED CUPCAKES
source : AnnaQawina
sharing : Iza Akma SSK

Bahan-Bahan :
2 cawan gula castor >sy buat 150gm
1 sdt ovallete
2 cawan tepung gandum
1 cawan yogurt asli
2 biji telur
1/2 sdt double action baking powder
1 sdt serbuk koko *optional
1 sdt pes coklat *optional
pewarna kesukaan *optional


Caranya :
❀  Campur semua bahan di atas dalam mixer kecuali serbuk koko/pes coklat /pewarna.
❀  Pukul sampai adunan menjadi pekat, pucat warnanya..*guna high speed.
❀  Adunan menjadi pekat seakan-akan yogurt..
❀  Asingkan sedikit daripada adunan tersebut (lbh krg 5 sdb) & campurkan serbuk koko & pes coklat (pewarna), gaul sebati.
❀  Sendukkan adunan putih ke dalam cup muffin 3/4 cup, (hampir penuh pun takpe..) sudukan sedikit adunan coklat/bewarna atasnya.
❀  Kukus dengan api kuat, pastikan kukusan sudah betul-betul panas baru letakkan kuih tadi.Kukus lebih kurang 15 minit, adunan yang masak akan mekar tersenyum...
❀  Sejukkan & simpan dalam bekas tertutup..

Nota :
**Pes coklat & serbuk koko boleh diganti dengan bahan lain jika inginkan kelainan..cth : jem/filling..& pewarna kesukaan**
**KENA GUNA API YANG BESAR UNTUK MENDAPATKAN APAM/KUIH YANG MEKAR, & PASTIKAN AIR KUKUSAN BETUL2 MENDIDIH BARU DILETAKKAN KUIH..**
Cara Iza Akma
Telur dan ovalet dipukul hingga kelihatan berbuih dan separuh kembang.
Masukkan gula dan teruskan pukul hingga betul-betul kembang.
Satukan tepung dan double acting baking powder, masukkan dalam adunan telur berselang-seli dengan yogurt sambil terus dipukul hingga sebati.
Step yang lain sama seperti di atas.




0
Chocolate Chip Sour Cream Marble Cake



Assalamualaikum...


Resepi kek marble yang satu ni dah lama terperap dalam simpanan. Resepi diambil masa menyelongkar blog Honey Bee Sweet. Hampir semua komentar memberi komen tentang kesedapan kek ini.....membuatkan saya teruja untuk mencuba. Masa membuat kek ni, saya fikirkan ada something wrong kat mana-mana sebab adunan memang pekat semasa tepung dimasukkan. Dalam hati ingat dah tak jadi dah.....tapi teruskan juga. Tak sangka, rupa-rupanya it turned out fabulously. Walaupun bahagian luarnya kelihatan agak garing namun bahagian dalamnya lembut and yummyy.....terasa coklatnya lebih-lebih lagi bila tergigit cip coklatnya.




Dah siap adun, saya bahagikan kepada tiga bahagian.....plain, coklat dan satu lagi ditambah dengan perisa tiramisu.....saja nak try tiramisu paste yang baru dibeli hari tu. Masa sedang dibakar.....waduhh, bukan main lagi semerbak satu umah.....harum sesangat.....mungkin bau tiramisu tu kot. Dek tergoda dengan baunya yang wangi tu, kek belum sempat pun sejuk.....masih suam-suam, dah dipotong....kes tak sabar nak rasa keenakannya. Dah alang-alang potong apalagi teruslah ambil foto.
Thank you Honey Bee for sharing this recipe!



   CHOCOLATE CHIP SOUR CREAM MARBLE CAKE
     source : Honey Bee Sweet
     sharing : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :

Coklat Pes
3 tbsp serbuk koko
3 tbsp air panas

Adunan Kek
1 cawan (250g) butter
2 cawan (450g) gula kastor (kurangkan menjadi 350g)
4 biji telur (large size)
2 1/2 tsp esen vanila
1 1/2 cawan (210g) sour cream
3 cawan (420g) tepung gandum
2 3/4 tsp baking powder
1/4 tsp soda bikarbonat
1/2 tsp garam >sy masukkan secubit jer
100 gm coklat cips 


Caranya :
❀  Terlebih dahulu panaskan oven pada suhu 180C. Alas dan griskan loyang.
❀  Dalam bekas kecil, satukan serbuk koko dengan air panas. Kacau rata hingga jadi pes.
❀  Dalam bekas adunan, pukul butter dan gula kastor hingga kembang dan putih.
❀  Kemudian masukkan telur satu persatu sambil dipukul sebati.
❀  Masukkan esen vanilla, pukul lagi adunan hingga kelihatan kembang.
❀  Kemudian masukkan sour cream, pukul sekejap sekadar rata.
❀  Masukkan tepung, baking powder, baking soda dan garam. Kaupbalik adunan hingga  sebati.
❀  Akhir sekali, masukkan coklat cips dan kacau adunan hingga rata.. 
❀  Asingkan 1/3 adunan dan campurkan dengan coklat pes.
❀  Tuangkan adunan ke dalam loyang berselang seli dan corakkan ikut suka.
❀  Bakar selama 40-50 minit atau sehingga masak.....bergantung pada oven masing-masing. Jika bahagian atasnya terlalu cepat perang, tutup dengan aluminium foil.....biarkan sehingga masak.
❀  Bila dah masak, keluarkan daripada oven. Sejukkan atas redai untuk 15 minit, keluarkan daripada loyang dan biarkan kek menyejuk sebelum dipotong.

Selamat Mencuba!!


It's so marvellous...!!
crisp di luar, lembutt di dalam.....


4
Hari Arafah, Korban & Salam Aidiladha.....



Assalamualaikum...


Dianggarkan kira-kira 2.5 juta jemaah kini berhimpun di Makkah tahun ini. Masjidil Haram yg terletak di tengah Makkah tempat jemaah bersolat dan melakukan tawaf di Kaabah meliputi kawasan seluas 368,000 meter persegi mampu memuatkan lebih 1.5 juta orang. Kaabah terletak di atas tapak marmar di bina daripada granit dan mempunyai pintu diperbuat daripada 280 kg emas tulen. Kain kiswah yang membaluti Kaabah ditukar setiap tahun. Ia dihiasi ayat Al-Quran yang ditulis dengan benang emas dan perak seberat 150 kg.

Esok 5 November 2011 bersamaan 9 Zulhijjah 1432 H adalah harinya berwukuf di Arafah. Bagi kita di Malaysia, ia bersamaan dengan masa dari 5 petang hingga 10.39 malam. Wukuf adalah waktu bilamana ketujuh-tujuh syurga di buka, bilamana tiada 'hijab' di antara Allah SWT dan hamba-NYA, waktu paling afdal dalam setahun untuk berdoa dan bersembahyang. Marilah kita manfaatkan waktu beberapa jam ini untuk memanjatkan doa ke hadrat Ilahi, bertaubat dengan sesungguh hati dan penuh pengharapan. Wallahua'alam...


Wukuf di padang Arafah merupakan puncak pelaksanaan ibadah haji bagi setiap umat muslim. Kelebihan wukuf atau disebut juga Hari Arafah, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri di Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya ialah Aidiladha, hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Kelebihan Hari Arafah tidak hanya terhad kepada jemaah haji yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dapat dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji. 


Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijah, terutama pada Hari Arafah. Tidak diragui lagi bahawa puasa adalah amalan yang afdal di sisi Allah SWT berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.,  “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya”. (Hadis Muslim). 

Selain berpuasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan salih seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Perlu diinsafi bahawa setiap amalan yang dilakukan pada hari-hari berkenaan akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Begitu juga amalan yang paling afdal di sisi Allah SWT seperti berjihad pada jalan Allah SWT tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa sepuluh hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim itu tercedera atau mati syahid atau kudanya mati dalam medan peperangan. 

Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, Bagi umat Islam yang tidak berwukuf, mereka di galak mengerjakan korban. Di antara hikmah dari pensyariatan ibadah korban itu pula ialah : 
  1. Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail a.s. sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy.  Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah S.A.W bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah S.A.W. menjawab dengan sabdanya maksudnya : “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya”.
  2. Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain. 
  3. Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha. 
  4. Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah S.W.T 

Hadith dari Aisyah Radiallahu-Anha yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termizi dan Al-Imam Al-Hakim, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang maksudnya:

Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban.



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidiladha, selamat mengerjakan ibadat korban dan bagi yang sedang mengerjakan ibadat haji semoga selamat menyempurnakan segala tuntutan dan pulang ke tanah air dengan Haji Mabrur.



3
Bingka Beras Jagung



Assalamualaikum...


Dua tiga hari ni rasa kurang sihat sikit. Semalam pun badan rasa macam panas jer. Bimbang kalau-kalau demam.....terus telan pil demam. Bila dah tak sihat, serba-serbi jadi malas.....malas nak buat keje umah.....malas nak masak. Kalau ikutkan hati, nak landing jer atas tilam empuk tu. Tapi nak wat camner kann.....my larling tak approve cuti.....terpaksa lah digagahi juga walau tak larat. Dalam tak larat-larat tu.....larat juga menyiapkan bingka beras ni untuk minum petang semalam. Dah lama berhajat nak buat sebenarnya. Lagi pulak bingka beras is my favourite. Dah lama tak makan, tu yang buat tu.....


Komen hubby, '.....selalu makan kosong je, yang ini ada jagung.....
sedap, ada rasa lain sikit.....".


Bingka beras selalunya putih, hijau atau gula merah. Tapi kerana nak menarik minat anak-anak makan kuih-kuih tradisi macam ni, saya olah sedikit dengan penambahan jagung.....jagung fresh yang saya hiris-hiris dan kemudian direbus hingga lembut. Jadi bila makan tu tak lah rasa plain sangat. Ingatkan satu adunan tu dapat banyak sebab resepi kata loyang 9". Jadi saya buat half.....rupanya dapat sikit loyang 6". Maknanya satu adunan sesuai dengan loyang 8" bukan 9" sebab loyang 9" bingka akan jadi nipis. Bingka ni lembut, lemak, tergigit lak jagung-jagung tu.....owhh, memang sedapp. Cuma bahagian atasnya terover grill.....nasib baiklah tak hangus semua.....hehehe.



BINGKA BERAS JAGUNG
source : Bingka Beras Gula Putih Kak Fida
sharing : Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
1500 ml santan - drpd 2 biji kelapa parut (saya guna 800 ml santan kotak + 700 ml air)
250 g gula pasir
250 g tepong beras (cap Gajah)
50 g tepong Hoen Kue
1/2 sk esen vanilla
1 sk garam
1 cawan hirisan jagung siap direbus* (sy tambah) 


Caranya :
 ❀  Satukan kesemua bahan dan kacau hingga sebati dan ditapis. 
 ❀  Masak adunan hingga pekat dan berkilat...hendaklah dikacau sentiasa supaya tk berkerak.(sy masukkan jagung bila adunan dah betul-betul masak.....kacau rata)
 ❀  Tuang adunan ke dlm loyang yg beralas daun pisang atau setakat disapu minyak aje. 
 ❀  Bakar pula kuih di dlm oven . Bakar dgn grill dulu hingga permukaan kuih garing atau berkulit kemudian bakar dgn api bawah hingga masak -160C lebih kurang 30 min.
 ❀  Biarkan kuih benar2 sejuk baru boleh dipotong dan dihidangkan. Kuih ini agak lembik ketika masih panas dan akan keras tapi lembut bila sejuk dan mudah dipotong.



aduyaiii.....sib baiklah bingka beras ku tak jadi dayang senandung

Note : Untuk half adunan saya gunakan 100gm gula pasir , 200gm santan kotak + 550gm air


3
Ayam Syahjahan



Assalamualaikum...


Bersiaran kembali. Inilah lauk yang saya padankan dengan Nasi Kismis hari tu, Ayam Syahjahan. 
Kalau Nasi Kismis hari tu resepi Pak Engku.....resepi ayam ni pula saya ambil daripada buku Asmah Laili Mintak Ampun Sedapnya....Ayam Syahjahan ni, bukan nama jer gempak tapi rasanya pun segempak namanya juga. Kalau tak caya cuba ler.....rasakan sendiri keenakannya.....pasti tidak mengecewakan. Tak payah citer panjang-panjang,  moh ler semak resepi......





AYAM SYAHJAHAN
source : Asmah Laili Mintak Ampun Sedapnya...
sharing : Iza Akma SSK


Bahan A :
1 ekor ayam, dipotong 8, lumurkan dengan sedikit kunyit/garam dan ketepikan
5 biji buah pelaga
3 cm kulit kayu manis
5 biji bawang besar, didadu kecil  
2 biji lada hijau, dibelah 2 jangan putus
2 sdm pes halia / bawang putih  
2 sdm pes tomato 
3 biji tomato, didau kecil  
2 pokok daun ketumbar
1 genggam daun pudina
2 sudu makan rempah kari daging
1/4 cwn minyak sapi
1/2 cwn minyak jagung
garam secukup rasa

Bahan B :
1/2 cwn yogurt
5 biji badam
5 biji gajus
1/4 sdt koma-koma  >tak buat
(utk bahan B ni, sy masukkan semua dalam blender campur sikit air.....blend hingga halus)


Caranya
 ❀  Panaskan minyak jagung dan goreng ayam sehingga 3/4 masak. Angkat dan ketepikan.
 ❀  Tambahkan minyak sapi kepada minyak jagung dan biarkan panas. Tumis buah pelaga dan kayu manis sehingga wangi.
 ❀  Masukkan bawang dadu dan lada hijau. Tumis lagi sehingga bawangnya kuning dan ladanya layu. Kacau setiap masa sebab bawang cepat menguning.
 ❀  Masukkan pes halia/bawang putih dan tumis lagi sehingga wangi.
 ❀  Masukkan pula pes tomato dan tumis selama 2-3 minit.
 ❀  Kemudian masukkan tomato dadu, daun ketumbar dan daun pudina. Tumis selama 10 minit. Kacau setiap masa. Ini akan membantu memecahkan buah tomato.
 ❀  Masukkan rempah kari dan tumis selama 10 minit lagi.
 ❀  Kemudian masukkan bahan B dan garam. Tumis lagi sampai keluar minyak. ( masa ni kuah jadi pekat.....jadi sy tambahkan sikit air dan teruskan menumis sehingga pecah minyak ).
 ❀  Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Balik-balikkan selama 5 minit sahaja. Padamkan api dan biarkan selama 5-10 minit agar minyaknya naik.



Sedaapp!! ...hingga menjilat jari

Panduan :- Apabila mula menumis, pastikan bahan-bahan tumisan dikacau setiap masa sehinggalah dimasukkan ayam. Jangan tumis terlalu lama sebab rempahnya akan menjadi pahit.


3
Acar Timun Nenas



Assalamualaikum...


Alhamdulillah, bersua lagi kita.
Diam tak diam penghujung tahun kian menghampiri. Begitu pantas masa berputaran.....rasa seperti baru semalam melangkah ke tahun 2011. Begitulah adatnya masa, bergerak tanpa menunggu sesiapa  walau sesaat jua.....berputar dan terus berputaran sehingga lah dunia tiba ke penghujungnya. Andai dapat di undurkan masa.....(termenung sejenak).
Hari ni 1/11/11.....cantik tarikh ni. Kalau anda perasan, selain tarikh ini ada tarikh lain yang juga cantik susunannya seperti 1/1/11, 11/1/11 dan 11/11/11. Setiap detik yang datang menerjah sekali cuma, mana mungkin berulang buat kedua kalinya.....kerana setiap yang datang pasti akan pergi mustahil untuk kembali lagi. Justeru, hadapilah setiap detik dan ketika yang mendatang dengan penuh redha dan penuh keinsafan biarpun yang datang tu mungkin tidak seperti yang di harapkan.


" Berjalanlah dengan penuh harapan walau hidup ini tak selalu bahagia, 
sedekahkanlah satu senyuman walau di hatimu tak lagi mampu bertahan, 
belajarlah memaafkan walau dirimu terluka, 
berhentilah memberi alasan walau ingin menyatakan kebenaran, 
hiduplah dalam IMAN walau hari di penuhi dugaan 
dan berpeganglah kepada ALLAH SWT walau DIA tidak kelihatan....."




Menu acar ni adalah sambungan daripada n3 semalam.....yang dipadankan dengan Nasi Kismis
Kalau setakat acar simple macam ni semua dah tahu kan. Tapi tak apelah saya nak letak juga.....mana lah tau kan satu hari nanti saya jadi pelupa.....boleh lah saya atau anak-anak rujuk balik di sini..... 



ACAR TIMUN NENAS 
sharing : Iza Akma SSK 


Bahan-Bahan
½ biji nenas 
1 biji timun 
1 biji bawang besar 
2 biji cili merah 
2 biji cili hijau 
6 sudu makan cuka biasa/jus limau * 
6 sudu kecil gula * 
secubit garam * 
(bahan bertanda * boleh disesuaikan ikut citarasa) 


Caranya
 ❀  Timun dipotong tiga atau empat. Belah memanjang. Buang tulang dan dihiris seperti batang mancis.
 ❀  Nenas dihiris kecil-kecil.
 ❀  Hiris cili dan bawang besar membulat.
 ❀  Campurkan semuanya ke dalam bekas.
 ❀  Masukkan cuka/jus limau, gula dan garam. Gaul rata.
 ❀  Selepas digaul, simpan sejam atau dua jam. Boleh lah dihidangkan