5
KUIH LAPIS CENDOL



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Sehari dua ini baru lah boleh menarik nafas dalam-dalam. Tika jerebu teruk hari itu duduk dalam rumah saja pun dah lemas.....pening kepala dengan bauan asap. Lepas subuh aje bila buka pintu buka tingkap bauan asap yang dah sedia menjadi tetamu tak diundang di luar tu apalagi berlumba-lumba masuk memenuhi seluruh ruang rumah. Hadoiih nak bernafas pun tak selesa.....cukup merimaskan. Semua pemandangan luar yang biasa dilihat sebelumnya diselimuti kabut putih menjadikan pandangan terbatas.

Setiap yang tiba pasti akan berlalu. Kini lega rasanya bila dapat mengubati kembali kerinduan melihat gahnya sang mentari memancarkan suria, kebiruan langit yang mengasyikkan serta rimbunan kehijauan pepohon yang menyegarkan. Alhamdulillah, syukur.




Semalam puas dibelek-belek bungkusan cendol yang dah duduk lama dalam petisejuk tu. Masih elok lagi.....belum expired pun. Nak buat talam.....dah pernah buat, kat SINI. Nak buat puding.....pun dah pernah juga kat SINI.

Apakata kuih lapis sebab lapis cendol belum pernah lagi. Lagipun buat kuih lapis senang kerjanya sikit, cepat siap berbanding talam sebab adunan kuih talam nak kena kacau dulu atas api sebelum kukus.....leceh.....kuih lapis tak perlu.

Nak tengok bagaimana menyediakan kuih lapis cendol ni.....jommm!





Resepi KUIH LAPIS CENDOL
by Iza Akma SSK


Bahan A :
75 gm tepung beras
25 gm tepung sagu
1/4 sudu teh garam
80 gm gula pasir
300 gm santan (100gm santan kotak + 200gm air)
1 bungkus cendol ~ ditoskan

Caranya :
Satukan tepung beras, tepung sagu, garam, dan gula pasir. Tuang santan sambil dikacau hingga mendapat satu adunan yang licin. Ketepikan.


Bahan B :
75 gm tepung beras
25 gm tepung sagu
1/4 sudu teh garam
125 gm gula merah
300 gm santan (100gm santan kotak + 200gm air)
1 helai daun pandan ~ disimpulkan

Caranya:
Masakkan gula merah, air dan simpulan daun pandan sehingga gula merah larut. Kacau selalu supaya gula tersebut cepat melarut. Bila gula dah cair, angkat dan ketepikan.
Sementara itu, satukan tepung beras, tepung sagu dan garam. Tuangkan santan sambil dikacau hingga sebati. Kemudian tapiskan sirap gula tadi ke dalam adunan. Kacau supaya sebati dan adunan menjadi licin. Ketepikan.


Cara Melapis :
Panaskan kukusan terlebih dahulu. Sediakan loyang 7 inci bulat, alas dengan plastik tahan panas dan sapukan dengan sedikit minyak masak.

Bahagikan adunan A kepada 3 bahagian dan adunan B kepada 4 bahagian. Pembahagian adunan ini bergantung kepada berapa lapisan yang anda suka.

Bila kukusan dah betul-betul mendidih, letakkan loyang dalam kukusan. Tuangkan selapis adunan B, kukus 5 minit dengan api sederhana. Kemudian tuang pula selapis adunan A di atas lapisan B yang dah masak. Taburkan cendol dan kukus lagi 5 minit. Ulang step yang sama sehingga habis adunan digunakan. Pastikan setiap lapisan benar-benar masak baru dilapiskan dengan lapisan seterusnya. Untuk lapisan terakhir kukus selama 15 minit sehingga masak.

Biarkan kuih betul-betul sejuk sekurang-kurangnya 4 jam sebelum boleh dipotong. Ini membolehkan kuih dapat menyejuk sepenuhnya dan mudah untuk dipotong.


3
KARI DAGING UTARA



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masih ingat lagi Roti Jala Beetroot dalam entri tempohari. Haa, inilah dia kuah kari yang dijanjikan itu. Lama betul kari ini ambil masa untuk memunculkan resepinya. Maaf ya semua atas keterlewatan.

Resepi ini saya ambil daripada blog Sajian Dapur Bonda. Menurut kata Kak Noor (SDB), kari ini adalah resepi orang Utara kerana sejak dahulu lagi resepi inilah yang dimasak oleh bondanya. Kak Noor menamakan masakan tersebut, Kari Masak Merah Daging Cincang kerana menggunakan daging cincang dengan serbuk rempah masak merah Cap O.




Saya gunakan daging lembut batang pinang untuk resepi ini. Manakala rempahnya pula, rempah darat atau dipanggil juga dengan nama rempah kawah. Bila tengok resepi sekali lalu macam banyak sangat bahan-bahan yang diguna tapi sebenarnya lebih kurang saja dengan kari-kari lain. Cuma bezanya pada cara penyediaan yang mana ada sedikit lain tetapi hasilnya amat-amat berbaloi.




Walau Kari Daging Utara ini saya dah ubah sedikit namun tidaklah banyak lari daripada yang asal. Hasilnya sungguh tip-top.....sedap.....kuahnya yang pekat, rempahnya yang cukup terasa menambahkan lagi keenakan kari ini. Nak tengok versi original boleh lihat pada link yang disertakan di bawah. Terima kasih pada Kak Noor atas perkongsian resepi yang delicious ini.

Mungkin sesetengah orang suka kari yang kurang pekat untuk makan dengan roti jala. Tapi saya tak kira lah makan dengan roti jala atau dengan nasi, kuah karinya mestilah kena pekat.....baru terasa.  Tepuk dada tanyalah selera.....rambut sama hitam citarasa lain-lain.



Resepi KARI DAGING UTARA
by Iza Akma SSK
original rcp ~ Kak Noor (SDB)



Bahan-Bahan :
1/2 kg daging batang pinang
1 cawan santan pekat
4 biji cili hijau ~ dibelah dua
1 biji bawang besar ~ dipotong empat
3 keping asam gelugor
3 cawan air / secukupnya
Ubi kentang
Gula & Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis


Bahan A : Untuk Pes Rempah (dikisar)
3 sudu besar rempah gulai kawah
1/2 sudu besar biji jintan manis
1/2 sudu besar biji jintan putih
1 biji bawang besar (kuning)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Air secukupnya untuk mengisar


Bahan B : Untuk Tumis
1 biji bawang besar ~ dihiris halus
3 ulas bawang putih ~ dihiris halus
2 inci halia ~ dihiris halus
3 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
8 sudu besar cili kisar


Caranya :

Daging dicuci bersih dan toskan. Satukan daging dengan Bahan (A) yang telah dikisar bersama 2 sudu besar gula. Perapkan sekurang-kurangnya 1 jam supaya pes rempah menyerap ke dalam daging.

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis Bahan (B) sehingga bawang kekuningan dan terbit bau. Masukkan cili kisar dan tumiskan lagi sehingga terbit minyak.

Masukkan daging yang telah diperap tadi ke dalam periuk dan kacau sehingga sebati. Masukkan 2 cawan air dalam periuk. Tutup periuk dan masak sehingga daging empuk. Sekiranya air telah kering dan daging masih tidak empuk, tambahkan air dan masak lagi sehingg daging empuk.

Setelah daging empuk, masukkan ubi kentang. Kacau rata dan biarkan ubi kentang 3/4 masak.

Kemudian masukkan santan pekat bersama 1/2 cawan air. Tambahkan garam, gula dan asam gelugor. Kacau rata. Biarkan masakan ini mendidih dengan cara renih di atas api kecil sehingga kentang empuk.

Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong empat dan cili hijau. Renihkan lagi sekejap. Setelah cukup rasanya bolehlah diangkat.

Sedia untuk dihidangkan.



11
ROTI JALA SPECIAL....



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Belum pernah sekali pun beli beetroot. Bila pergi tesco selalu nampak ubi ni tapi setakat tengok aje tak beli sebab kita orang melayu ni jarang masak guna ubi jenis ni. Lagipun belum bertemu resepi-resepi yang menggunakan beetroot. Beetroot atau ubi bit ni tak silap saya juga dari famili sengkuang cuma warnanya merah sementara sengkuang warnanya putih.

Terkebetulan dalam rancangan masterchef tahun lepas ada nampak Chef Norman Musa buat roti jala campur dengan beetroot. Nampak macam sedap dengan warna merah yang menarik. Suatu yang agak istimewa kerana kebiasaannya bahan asas roti jala hanyalah tepung, telur dan air/susu/santan.




Saya simpan dulu resepinya dengan harapan akan direalisasikan suatu hari yang sesuai. Nah, baru kini berpeluang mencuba. Tak apalah lewat-lewat pun buat jugak kan..... lain lah kalau dapat resepi simpan langsung tak buat-buat.....itu lain cerita. Nak merasa ni kena lah rajinkan diri tak boleh dimalas-malaskan. Bak kata peribahasa melayu, ' Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.'

Saya buat dua versi satu biasa dan satu lagi campur beetroot. Kedua-dua sedap. Yang kuning biasa tu lemak kerana dibancuh dengan santan manakala yang ada campuran ubi ada rasa sedikit manis-manis..... manis dari ubi. Bila hidangkan dua-dua, tak sangka roti jala beetroot dapat sambutan paling hangat..... itu yang habis dulu. Mungkin kerana rasanya yang sedikit kelainan.




Itulah jika sekadar melihat di tv atau lihat resepi saja kita tak tau sedap ke tidak.....melainkan dah cuba buat baru kita boleh nilaikan sendiri.

Resepi ROTI JALA
by Iza Akma SSK
recipe ~ Chef Norman Musa



Bahan-Bahan :
200gmtepung gandum
100gmsantan pekat
350gmair
1bijitelur
1tspserbuk kunyit
1tspgaram


Caranya :
Bancuh semua bahan hingga sebati. Tapis jika perlu.
Masakkan seperti biasa.

Roti jala merah ini pula ditambah dengan beetroot


Untuk Roti Jala Beetroot
Ikut resepi asal, Chef Norman menggunakan jeruk beetroot. Caranya selepas bahan-bahan siap dibancuh, asingkan kepada dua bahagian. Masukkan serbuk kunyit dalam satu bahagian dan satu bahagian lagi masuk dalam  mesin pengisar, kisar bersama 100gm jeruk beetroot hingga halus. Tapiskan adunan supaya tidak berketul.


Nak cari yang jeruk entah di mana ada jual. Jadi saya gantikan dengan ubi bit biasa, rebus hingga lembut dan toskan. Pada pengamatan saya roti jala yang ada beetroot rebus ni ambil masa lama sedikit untuk masak berbanding adunan biasa. Mungkin sebab ubi bit tu telah menyerap banyak air waktu merebus.



Ni baru roti jala.
Untuk kuah karinya kemudian ya.
Jadi jangan lupa tungguuuu......




8
PULUT MANGGA THAI



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masa ke Negeri Darul Naim April lepas, sempat jalan-jalan cuci mata di Pasar Malam Wakaf Che Yeh. Pasar malam wakaf che yeh ni terletak di kawasan perniagaan 24 jam yang jaraknya lebih kurang 10km dari Bandar Kota Bharu.

Walaupun di sini macam-macam jual tapi tak menyopping apa-apa melainkan buah mangga fresh dari Siam. Di sini mangga 4kg RM10.....murah sedikit berbanding KL, 3kg RM10. Penjual tu kata mangga tengah musim di Thai sebab tu harganya murah. Penjual tu bagi rasa sikit.....hmmm sedap. Terus planning nak buat pulut mangga. Kita pun apalagi laju memilih.....macam-macam jenislah kita pilih. Mangganya memang sedap, lemak manis. Tapi sayang belum pun sempat menjadi pulut mangga, mangganya dah habis dulu.




Nasib baiklah sekarang ni masih lagi musim. Sebagai balas dendam haritu tak dapat buat, sabtu lepas pergi pasar malam cari mangga. Kali ni tak nak terlepas lagi.....awal-awal dah asingkan sikit khas untuk pulut mangga.

Pulut Mangga atau nama thainya Khao Neow Ma-Muang adalah salah satu dessert Thai yang popular. Ia bukan saja digemari oleh masyarakat tempatan Thai tapi juga turut digemari oleh mereka di luar Thailand termasuklah dessert lovers di Malaysia. Di negara Gajah Putih sana dessert ini mudah sekali didapati terutamanya ketika musim mangga sekitar Mac-Jun.

Dulu pernah buat sekali, boleh lihat SINI. Tak susah buat dessert ni. Bahan-bahan pun mudah sangat.....pulut, santan dan heronya dah tentulah si mangga.....kalau tak ada mangga bukan pulut mangga namanya.  Pada peminat pencuci mulut ini jika makan di luar sepiring confirm tak cukup. Habis sepiring nak tambah lagi bermakna duit pun kena tambah juga.....ya tak. Makanya lagi berbaloi buat sendiri.....boleh makan berulang-ulang banyak mana suka.....nak pulut lebih, nak sos santan lebih, nak mangga lebih, semuanya boleh.




Cuma perlu berhati-hati masa mengukus pulut. Pulut mangga ni lebih sedap jika pulutnya sedang-sedang elok lembut.....lembik tak sedap. Jomm semak resepi di bawah.....

Resepi PULUT MANGGA THAI
by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
500gmberas pulut
750gmsantan
6tbspgula
3tspgula
5helaidaun pandan
6tsptepung kagung
2tsptepung beras
garam secukup rasa


Caranya :
Mengukus pulut
Terlebih dahulu panaskan kukusan.
Pulut tidak perlu direndam. Hanya basuh dan toskan sahaja. Isikan beras pulut ke dalam loyang yang sesuai bersama air hanya separas pulut. Letakkan sekali daun pandan atas pulut. Air tidak boleh terlalu banyak bagi mengelakkan pulut menjadi terlalu lembik. Kukus sehingga masak dengan api sederhana. Sesekali periksa untuk lihat samada pulut telah masak sempurna atau belum.

Menyediakan santan untuk digaul bersama pulut
Panaskan santan dalam periuk dengan api kecil. Santan ini hendaklah dikacau selalu sehingga nampak minyak terbit di permukaan. Proses ini memakan masa anggaran 5-10 minit. Masukkan gula dan biarkan gula larut.
Asingkan 450gm, tambahkan dengan 3 tsp gula dan garam secukup rasa. Kacau rata.
Setelah pulut masak, cepat-cepat masukkan ke dalam satu bekas besar. Ambil santan 450gm tadi, tuangkan sedikit demi sedikit ke dalam pulut sambil digaul supaya pulut serata bergaul dengan santan. Proses ini perlu dilakukan ketika pulut masih panas-panas. Teruskan menggaul sehingga pulut benar-benar menyerap semua santan. Anda akan lihat pulut menjadi berkilat. Ketepikan.


** Masa masukkan santan ni agak-agak ya, lihat pada tekstur pulut itu. Jika pulut dah cukup dan cantik lembutnya.....stop, jangan tambah lagi santan tapi jika belum boleh habiskan. ( saya tak habiskan semua santan tak nak nanti pulut terlalu lembik.....yang selebihnya tu saya masukkan semula ke dalam lebihan santan dalam periuk ).**
Menyediakan sos santan
Panaskan semula baki santan dalam periuk dengan api perlahan. Tambahkan tepung jagung dan tepung beras untuk memekatkan sos. Masukkan garam secukup rasa dengan 2 tsp lagi gula. Tambahan gula ini optional, jika rasa tak perlu abaikan.
Cara Menghidang
Kupas kulit mangga dan potong ikut suka.
Isikan pulut dalam piring atau mangkuk, siramkan dengan sos santan di atasnya. Sertakan juga dengan potongan mangga.



1
SAMBAL TERUNG BUNGA KANTAN


Terung boleh dikategorikan sebagai sayuran kampung. Bila sebut sayuran kampung tak ramai generasi kini yang tahu rupa, kenal nama apatah lagi menyukainya dalam menu seharian. Generasi kini itu merujuk kepada golongan generasi Y dan generasi Platinum tetapi bukan pada generasi X dan sebelum.

Apa pula tiba-tiba keluar cerita generasi X generasi Y ni bagai. Sekadar info tak salah kan. Mana tahu kot-kot terdengar orang cerita pasal benda-benda ni taklah berkerut dahi tu. Silap haribulan anak-anak yang bertanyakan, kita dah ready dengan jawapan. Dapatlah kita jelaskan dengan penuh yakin tanpa menggaru kepala yang tak gatal memikirkan apa nak jawab. Tidak lah nanti kita ni dilabel hanya tahu baca resepi dan masak semata-mata.....cerita lain tak ambil endah.

Saya pernah terbaca artikel mengenai ini dalam sebuah akhbar tak lama dulu. Mungkin ada yang tahu.....mungkin juga ada yang terlepas pandang. Agak-agak anda tahu tak dalam kelompok mana anda berada. Tak pasti?

Ringkasnya macam ini. Kelompok generasi itu dipecahkan kepada lima. Diberi nama-nama tertentu bertujuan membezakan kelompok manusia yang dilahirkan dalam lingkungan tahun tertentu. Kelompok manusia yang lahir tahun 1945 dan ke bawah dinamakan Pre Baby Boom. Lahir antara 1946-1964 dinamakan The Baby Boom. Lahir antara tahun 1965-1976 dinamakan Generasi X. Generasi Y mereka yang lahir antara tahun 1977-1997. Dan yang lahir dari tahun 1998 dan ke atas dinamakan Generasi Platinum atau Generasi Z.

Sekarang dah tahu dah anda di kelompok mana, bukan. Okay, kalau dah kita sambung balik cerita terung.....jommm.




Biasa di pasar, selain terung bulat dan terung panjang warna ungu tu ada juga terung lain seperti terung asam, terung pipit, terung telunjuk. Ramai yang tidak tahu bahawa terung juga baik untuk kesihatan jantung, menurunkan paras kolesterol, menghindari serangan sawan, gugup atau kekejangan saraf. Dalam bidang kajian kanser pula, agen ‘antiangiogenisis’ yang terdapat pada kulit terung dikatakan mampu mencegah sel kanser daripada membiak dengan menghentikan pembinaan saluran darah. Semasa sel kanser membesar, ia memerlukan saluran darah yang baru untuk memberikan nutrien. Apabila saluran darah dihalang pembinaannya, sel kanser akan mati.

Terung sedap dibuat sayur atau sebagai rencah dalam masakan gulai atau kari selain terung berlado. Tatkala saya menjamu selera di luar, sayur terung berlado lah yang saya cari dan terkam dulu. Terung berlado or sambal terung ni favorite saya tau sejak dari muda belia lagi. Selalunya jika saya masak sambal berlada terung, masak macam biasa aje.....tumis bawang buh cili kisar.

Tapi jangan tak tahu jika ditambah dengan herba lain seperti bunga kantan akan menghasilkan satu aroma masakan dengan rasa yang lebih mengancam. Kewangian bunga kantan itu akan membangkitkan selera. Makan pula dengan nasi panas-panas.....hmmm.....terangkat!  Tak caya, cuba lah.....pasti tak menghampakan.

Resepi SAMBAL TERUNG BUNGA KANTAN
by Iza Akma SSK
source : Roslina @ Sinaranmenu



Bahan-Bahan :
1bijiterung saiz besar
1batangbunga kantan
1/2bijibawang besar
1/2bijicili merah
3sudu besarcili kisar
2ulasbawang putih
sedikit daun bawang
garam & gula secukupnya
minyak untuk menumis


Caranya :

Potong terung ikut suka dan basuh bersih.
Panaskan minyak dan goreng terung biar agak layu dan bewarna perang. Ketepikan.

Dalam minyak yang sama, tumiskan bawang putih dan cili boh. Goreng hingga bahan garing sambil dikacau.

Masukkan terung dan kacau sebati. Masukkan pula bawang besar yang dipotong nipis dan juga potongan cili merah. Kacau sebati. Tambah garam dan gula secukup rasa.

Sendukkan kepingan terung ke dalam pinggan tanpa sambalnya sekeping-sekeping dan ketepikan.

Masukkan bunga kantan yang dipotong halus ke dalam sambal dan goreng hingga layu. Sendukkan sambal bunga kantan tadi ke atas terung .

Taburkan sedikit daun bawang dan siap untuk dihidangkan.




9
REMPAH CAP BUNGA ROSE



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Sekarang minggu terakhir cuti sekolah. Ramai masih dalam rangka jalan-jalan makan angin. Tak kira lah bercuti jauh atau dekat, panjang ataupun singkat, asalkan percutian kita bersama keluarga tersayang diisi dengan saat-saat berkualiti penuh makna.

Hari ini bukan nak cerita tentang cuti-cuti, bukan juga resepi tetapi sesuatu yang masih tidak lari dengan masakan. Saya kira ramai yang sedia maklum dengan rempah jenama cap bunga rose. Ramai yang telah mewar-warkan dan mengakui kesedapan rempah ini. Jika ada yang mencari rempah ini di pasaran sekitar Lembah Klang atau di negeri lain memang payah lah nak jumpa. Kerana pasarannya agak terhad di sekitar Terengganu sahaja.

Bila ramai mengatakan rempah ni sedap, rasa teruja juga nak mencuba. Tapi yang jadi masalahnya di mana nak dapatkan rempah ini?? Tiga empat tahun lalu ada terbaca di satu forum, khabarnya rempah ini ada jual kat sebuah kedai di belakang pasar borong Selayang. Pergi juga cari sana tapi hampa tak ada pun. Cari tak jumpa cari tak jumpa lama-lama keinginan itu hilang macam tu aje.

Sehinggalah hujung tahun lepas. Kebetulan masa tu saya sefamili bercuti di Cherating. Cherating tak ada apa pun melainkan pantai. Nak ke pantai waktu pula tak sesuai.....panas. Jadi bagi mengisi masa yang ada sementara menunggu petang kami jalan-jalan ke Mesra Mall Kerteh. Balik tu singgah pula di Kemaman town ronda-ronda sekejap. Dah banyak kali dah sampai situ tahu juga lah sikit-sikit area mana nak tuju.

Entah macam mana dalam banyak-banyak kedai dan pasaraya di situ, kami tersinggah di pasaraya Pantai Selamat. Mereka yang tinggal di kawasan sana mesti tahu pasaraya ni kan. Pusing punya pusing tak semena-mena terpandang pada satu rak yang penuh dengan berbagai jemana rempah. Saya terus ke situ.....manalah tahu kot-kot pencarian kali ini akan ketemu titik noktah. Mata berlari melihat meneliti satu persatu nama rempah sehinggalah mata terhenti berlari, tertumpu di satu sudut di penghujung rak seraya bibir tersenyum gembira. Akhirnya kini pasti.....

Rezeki saya untuk bertemu dengan rempah yang duk tercari-cari selama ni terjawab di pasaraya ini. Alhamdulillah, sampai juga hajat. Saya beli tak banyak cuma sepeket rempah gulai dengan dua peket kecil rempah masak (gambar bawah) sebab fikir lain kali jika percutian saya melalui laluan ini boleh singgah lagi sini beli.


Rempah Cap Bunga Rose terdiri dari 2 jenis - Rempah Gulai & Rempah Masak



Baru-baru ni saya singgah lagi ke pasaraya itu semata-mata mencari rempah idaman. Kali ni saya beli lebih buat stok. Banyak gunanya rempah ni.....boleh masak lauk dagang, gulai@kari ayam, kuah laksa terengganu. Nak-nak puasa dengan raya dah tak lama lagi apa salahnya beli lebih. Setidak-tidaknya masa buka puasa atau raya nanti boleh buat kari ayam / daging cicah dengan roti jala.....confirm kari ku kali ini meletops.....hehhehe.

Bukan rempah cap rose saja saya borong, bila ke utara saya dapatkan rempah utara.....kirim kat mak sedara yang duduk Penang. Bila ke Kelantan, saya beli rempah kawah, rempah dalca, rempah kuzi.....atau pun kirim kat adik aje bila dia balik kelate. Pada saya rempah-rempah tersebut ada keistimewaannya dan punya rasa yang tersendiri.

Sejak dapur saya tersimpan dengan stok rempah yang pelbagai ini, rempah-rempah lain hok biasa jual kat giant, tesco tu saya tak beli dah. Citarasa kini dah beralih arah.....



Di atas packaging lama manakala bawah packaging baru. 
Rempah baru ini didatangkan dalam dua saiz - 35gm & 205gm


Ramuan : 
Ketumbar, Jintan Manis, Jintan Putih, Buah Pelaga, Beras, Bunga Lawang,
Kayu Manis, Cengkih, Cili Kering dan Kunyit


Keluaran milik melayu di Terengganu :

Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd.
158-A Kampung Kepong
20050 Kuala Terengganu
Terengganu