2
URAP JANTUNG PISANG LADA HITAM



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Mesti ramai antara anda pernah menikmati menu sebegini atau yang sewaktu dengannya ini di restoran, kedai-kedai makan ataupun daripada airtangan anda sendiri.


Lauk-lauk tradisi sememangnya kita cari-cari dalam memenuhi selera terutamanya ketika bulan puasa. Maka pada Ramadhan yang ke-22 ini saya nak ketengahkan berkongsi dengan anda satu hidangan tradisi yang tak kurang hebatnya iaitu Urap Jantung Pisang.


Sebelum saya berjumpa dengan resepi ni, selalu juga saya makan urap macam ni ketika menjamu selera diluar..... memang suka sangat. Masa tu nak buat sendiri belum ada keyakinan tak berapa pasti bahan ramuannya.


Setelah mencuba resepi daripada Pak Engku ni..... barulah tahu rupanya mudah dan murah aje bahan-bahannya. Walaupun mudah tapi rasanya wallah. Bukan bulan puasa jer sesuai bulan tak puasa pun boleh. Nak makan dengan nasi atau nak ratah macam tu saja pun suka suka hati sebab dua-dua sedap.

Siapa nak lebih pedas bubuh lah lada hitam lebih-lebih. Lagipun aroma lada hitam dan udang kering itu lah yang menambahnaikkan aroma urap ni menjadi lebih bertambah-tambah enak. Pada peminat urap jangan lupa mencuba, okay.....

Resepi URAP JANTUNG PISANG LADA HITAM
by Iza Akma SSK
source ~ Santapan Lauk Pauk Tradisi Pak Engku



Bahan-Bahan :
1 biji jantung pisang abu ~ direbus
1 labu bawang merah besar*
9 tangkai cili api*
1 batang serai* (* hiris )
1 sudu besar udang kering**
Sedikit lada hitam** (** tumbuk )
300 ml santan
Secubit garam@secukup rasa


Caranya :
Jantung pisang direbus sehingga empuk. Toskan dan hiris kasar.
Masukkan santan, bahan hiris dan udang kering tumbuk ke dalam periuk. Didihkan seketika menggunakan api kecil.
Setelah mendidih, masukkan lada hitam dan garam secukup rasa.
Apabila kuah santan hampir pekat, masukkan hirisan jantung pisang. Jangan masak terlalu lama.
Angkat dan hidangkan.

4
BISKUT MAKMUR LEBANESE



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Dok bercita-cita lama dah nak buat kukis ni tapi entah berapa kali raya kesudahannya tak juga jadi-jadi. Dan buat kesekian kalinya terlaksana juga hasrat di hati......
Akhirnya inilah kuih makmur yang dicitakan tu..... projek kukis pertama untuk raya ini.
Kalau nak tahu, makmur ni bukan sebarang makmur tau. Nampak saja simple tapi sangat sedap!




Dinamakan Makmur Lebanese kerana rasanya seperti kuih makmur dan lebanese tu pula diambil sempena asalnya kuih ni iaitu Lebanon.

Cuma bezanya kuih makmur tradisi kita tu menggunakan kacang tanah dan letaknya di dalam sebagai inti. Manakala makmur ini agak istimewa, mewah dengan kacang pistachio yang diadun sekali bersama adunan.




Ikut resepi asal, tiada hiasan. Tapi saya make-up kan jugaklah ala kadar dengan lorekkan coklat putih. Jadi taklah kelihatan kosong sangat. Saya cuma buat half daripada resepi di bawah. Jadi lah..... itu pun banyak juga dapatnya. Untuk pistachio, saya guna ready-made yang jual kat pasaraya tu aje..... tak perlu nak bakar lagi dah..... cuma leceh sikit nak buang kulit dia tu.

Jika ada sesiapa rasa berkenan nak cuba, silakan. Nah ini resepinya.....


Resepi MAKMUR LEBANESE
by Iza Akma SSK
source ~ DianaA@myresipi



Bahan-Bahan :
580 gram tepung gandum
50 gram tepung jagung
350 gram ghee
190 gram gula halus
1 sudu teh vanilla
1 biji telur
100 -150 gram kacang pistachios, dibakar terlebih dahulu dan tumbuk kasar


Caranya :
Gaul sehingga sebati ghee, gula dan vanilla.
Kemudian masukkan telur dan digaul sehingga sebati.
Masukan bahan-bahan lain dan adun sehingga menjadi doh.
Terap mengikut bentuk disukai. Bakar pada suhu 170–180C sehingga masak.

3
DAGING MASAK HITAM MANIS



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Pagi ini sejenak kita renung dan fikirkan. Mana lebih afdal dan lebih utama? Antara Bebaskan Hamba, Sedekah Fakir Miskin ataupun Nafkah Keluarga?

Dari Abu Hurairah, ujarnya; Rasullullah SAW bersabda : “ Satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan hamba serta satu dinar yang engkau belanjakan untuk sedekah kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu yang paling besar pahalanya ialah satu dinar yang engkau belanjakan kepada keluargamu.” (HR.Muslim.)

Nabi SAW menganjurkan umatnya bersedekah. Akan tetapi menyedekahkan lebihan harta itu hendaklah dilakukan selepas mengambil kira kemampuan diri iaitu sesudah keperluan diri sendiri mencukupi kerana menafkahi diri sendiri juga merupakan sedekah. Demikian juga orang-orang dalam tanggungan, keperluan mereka juga harus dicukupi terlebih dulu. Bila semua nafkah diri dan tanggungan telah disempurnakan kewajipannya, maka lebihannya itu boleh disedekah pada mereka lain yang memerlukan.

Syarat pemberian sedekah pula haruslah secara berurutan, dimulakan kepada kerabat yang paling hampir, kemudian menyusul kerabat yang jauh. Hendaklah didahului sedekah kepada orang yang paling dekat hubungan kekeluargaan. Setelah itu baru kerabat yang jauh; di mulai dengan yang lebih penting, kemudian diikuti yang penting. Ini menjelaskan bahawa sedekah itu perlu diberikan mengikut keutamaan urutan.

Nafkah kepada keluarga juga termasuk sedekah. Sehingga tidak boleh memberikan sedekah kepada selain keluarga mereka, sebelum mereka mencukupi nafkah (yang wajib) bagi keluarga mereka, sebagai pendorong untuk lebih mengutamakan sedekah yang wajib (nafkah) mereka keluarkan dari sedekah yang sunah. Rasulullah SAW bersabda : “ Seseorang apabila menafkahi keluarganya dengan mengharapkan pahalanya maka dia mendapatkan pahala sedekah.” ( HR. al-Bukhari dan Muslim)




Masa yang mendatang makin pantas berlalu menandakan akhir zaman kian merapati. Diam tak diam dah masuk 18 hari kita berpuasa hari ni. Bulan puasa macam ni, ramai yang ambil kesempatan mencuba pelbagai resepi baru untuk sajian keluarga.

Jika dikira kalau setiap hari paling kurang ada 4 juadah berbuka yang berbeza.....18 hari dah lebih 70 juadah.....hmmm banyak tu.....baru untuk berbuka belum lagi sahur.....kalau himpunkan dah boleh jadi satu buku dah tu. Bila semua resepi dah dicuba, dimasak mungkin jadikan kita kebuntuan sekejap.....tercari-cari resepi baru yang lain.




Jadi hari ni saya nak kongsikan satu resepi daging masak hitam yang diberi nama Daging Masak Hitam Manis. Ada macam-macam style orang masak daging hitam ni.....daripada versi utara sampailah selatan. Kalau google, berderet-deret keluar sampaikan tak tahu nak pilih resepi mana satu.

Jadi kali ni saya decide nak cuba satu resepi.....apalagi kalau bukan daripada majalah zaman batu bila ntah. Actually, jumpa resepi ni kat rumah my brother. Lepas dibelek-belek, ditenung-tenung dalam-dalam resepi dalam majalah tu rasa berkenan pulak.....terus salin atas kertas. Almaklumlah kertas kan senang jer melayangnya.....maka sebelum ianya ghaib baiklah dicuba.....mana tau kot-kot bakal jadi feberet. Tengok resepinya saja dah tau sedap sebab ada satu bahan special yang tak ada dalam resepi daging masak hitam yang lain.

Percubaan yang memuaskan. Jangkaan yang tepat. Sedap tak terkata. Marvellous...!!
Nak tahu apa bahan specialnya tu.....jomm lah semak resepi.....


Resepi DAGING MASAK HITAM MANIS
by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
500 gm daging ~ dihiris nipis
1 biji bawang besar ~ dipotong bulat
2 biji cili merah ~ dihiris
2 biji cili hijau ~ dihiris
2 sudu besar serbuk rempah kurma
3 biji ubi kentang ~ belah empat
500 ml santan
1/2 - 3/4 cawan kicap lemak manis
2 sudu besar cuka
3 keping biskut cream crakers ~ dikisar asing hingga halus
1 biji buah keras ~ dikisar asing hingga halus
1 sudu besar serbuk cili
2 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu besar minyak sapi
Gula & Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Tumis :
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 cm kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang

Bahan Kisar :
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm lengkuas
1 batang serai


Caranya :
Daging dicuci bersih dan toskan airnya
Panaskan minyak dengan minyak sapi. Tumis bahan tumis dan bahan kisar sehingga naik bau.
Masukkan buah keras, serbuk cili, rempah kurma dan kacau hingga rata. Biarkan sampai rempah betul-betul masak dan terbit minyak.
Kemudian masukkan daging, biarkan sampai lembut. Masukkan santan, kentang, serbuk biskut dan akhir sekali baru masukkan cuka, kicap, serbuk lada hitam, gula dan garam.
Bila kuahnya hampir pekat masukkan hirisan bawang besar dengan hirisan cili. Masak lagi sehingga kuahnya pekat


7
KUIH CUCUR BADAK



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Dah lama tak buat cucur badak. Tetiba pula rasa nak buat lepas dengar celoteh Abby Fana dengan Kak Engku di Sinar hari tu yang asyik dok sebut-sebut pasal kuih cucur badak yang tiada badaknya, hehehe. Pernah post sekali.....dah lama dah.....resepi Rubiah Suparman. Kalau nak nengok pepandailah u olz geledah dapur ni ya.

Saya ni dari zaman anak-anak lagi memang suka sesangat kuih cucur badak ni. Tapi anak-anak zaman sekarang ni tak suka. Tu la pasalnya jarang buat kuih ni sebab anak-anak tak makan. Kita ni jenuh lah duk suruh depa makan tapi idak jugak maunya. Takpe lah taknak sudaahh.....

Saya guna keledek oren sebab keledek jenis ni lebih sedap rasanya manis berbanding keledek putih. Dah lama tercari-cari keledek oren ni. Cari kat pasar malam takde pulak jualnya. Takkan nak panjat Cameron Highlands semata-mata nak gi beli keledek oren......tak kuasa haiihh. Ini pun kebetulan masa balik dari Mersing hari tu, singgah Air Hitam jap dapatlah beli.....murah pun murah sekilo kalau tak silap rm3.




Biasanya kalau nak buat kuih cucur badak atau keria, jap-jap tu jugak rebus keledek.....then sejuk aje sikit terus bancuh doh. Tapi kali ni saya rebuskan keledek sehari sebelum. Dah siap rebus, toskan dan apabila dah sejuk simpan dalam petisejuk. Bila nak buat, keluarkan sekejap, lenyek dan bubuh tepung. Masa menguli hati berkata-kata, " ehhh, senang pulak membentuk doh ni.....tak lembik tak melekit pun macam selalu-selalu tu." Sukatan tepungnya tepat, tak lebih dan tak kurang. Ada kemungkinan doh jadi mudah diuli dan dibentuk sebab keledek tu dah disimpan semalaman dalam petisejuk dan airnya dah betul-betul tersejat.

Saya puji dohnya, sedap.....ada kenyal-kenyal bila digigit.....memang terbaik. Untuk inti saya tambah udang hidup, nak bagi rasa lebih umppph serta kunyit hidup agar warna intinya sedikit kuning. Saya juga sangai biji rempah supaya aroma intinya lebih bangkit dan harum.

Kalau u olz nampak, kulitnya tebal dari inti.....hehhe.....sebab saya ni suka yang macam tu. Siapa suka nipis buatlah nipis, suka tebal dan tembam macam cucur badak saya tu, buatlah tebal. Nak hasil yang macam mana terpulanglah pada tangan situkang buatnya, tak gitew. Apa lagi jom kita tengok resepinya.....jomms


Resepi CUCUR BADAK
by Iza Akma SSK
src ~ bdaria with slightly changes



Bahan Inti :
1/2 biji kelapa parut
15 ekor udang hidup sederhana besar ~ buang kulit, potong dua
5-6 biji lada kering - dipotong dan direndam dengan air panas terlebih dahulu *
1/2 tsp biji jintan manis*
1/4 tsp biji ketumbar*
2 batang serai-dihiris halus*
3 ulas bawang putih*
3 ulas bawang merah*
1 inci kunyit hidup*
20 gm udang kering ~ dibasuh terlebih dahulu
2 tbsp gula
sedikit garam
sedikit minyak masak
1 cawan air


Caranya :
Sangai biji jintan manis dan ketumbar. Kemudian kisar bersama-sama bahan lain bertanda * sehingga halus. Masukkan udang kering dan putar sekali sahaja.
Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan udang hidup, garam, gula dan tumiskan sebentar.
Masukkan kelapa dengan secawan air dan masaklah sehingga kering. Walaupun kering tapi masih ada lembap-lembap sikit sebab saya tak suka inti yang terlalu kering. Angkat dan sejukkan.
 
Bahan Doh Keledek :
700 gm keledek oren
150 gm - 200 gm tepung (lebih kurang 20-30% berat keledek)
50 gm tepung ubi (7% drpd berat keledek)
sedikit garam
1 sudu minyak untuk kegunaan ketika membentuk


Caranya :
Kupas dan potong kecil keledek. Rebus keledek sehingga empuk. Masukkan garam dalam air rebusan. Sentiasa jaga jangan sampai ia terlalu empuk sebab keledek oren agak serap air dan lembik.
Angkat dan toskan sehingga air kering dan biarkan sejuk sebentar
Masukkan dalam bekas dan lenyek hingga hancur,
Masukkan tepung sedikit demi sedikit sehingga habis atau sehingga adunan boleh dibentuk. Jika adunan masih melekit ditangan walaupun tepung sudah habis, jangan risau.
Basuh tangan dan keringkan. Sapu minyak di tangan dan bulat-bulatkan adunan kepada bebola doh kecil yang seberat 40gm (ikut suka anda)
Leperkan doh dan masukkan inti dan tutup rapat.
Bulat-bulatkan dan kemudian leperkan sedikit. Sapu minyak di tangan jika doh melekat.
Leserkan minyak atas dulang dan letak cucur anda. (saya tabur tepung aje sebab biasa tengok my mum buat macam tu.....)


3
AYAM MASAK LEMAK CILI API (Tanpa Santan)



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Masak lemak cili api adalah masakan trademark Negeri Sembilan. Dengan kuah pekat, rasa pedas merupakan ciri-ciri masakan nogori. Di situlah keistimewaannya. Walau kadangkala kepedasan kuahnya boleh menjuraikan air mata si pemakan namun dek kerana terlalu sedap juraian air mata tidak dihiraukan.....cuma mungkin diselangi dengan tegukan air sejuk bagi meredakan bahang pedas dalam mulut. Bak kata orang, kecil-kecil cili padi. Begitulah umpamanya juga cili padi @ api dalam masakan.....nampak yo kocik lotak sikik pun dah teghaso podeh.....kalau banyak mak aihh mau beghasap tingo dibuek eh.....

My family pun antara penggemar masakan nogoghi. Antaranya masak lemak cili api daging salai, nangka, pucuk ubi, rebung dan banyak lagilah.....tak tersebut kat sini kalau nak sebut satu persatu. Semua tahu masak lemak nogori mahupun masak lemak negeri lain tak sah kalau tak guna banyak santan terutamanya santan pekat sebab dari santan pekat inilah yang timbulkan rasa lemak dan memberi rasa sedap tu.




Maka hari ini bersamaan 10 Ramadhan saya nak kongsikan dengan pengunjung semua dengan masak lemak cili api tanpa santan. Sekali pun tidak bersantan tetapi rasa sedap, enak, lemak dan pekat itu masih tetap ada. Pendek kata siapa-siapa yang merasa mesti tidak menyedari masakan ini tiada santan sebab rasanya sama saja dengan masak lemak bersantan. Yang pastinya sihat daripada kolestrol.




Saya buat half daripada resepi di bawah. Istimewa lainnya masakan ini selain tiada santan, ia dibubuh serbuk buah pala. Harum buah pala inilah yang memberi keunikan aroma dan rasa gulai lemak ayam ini. Resepi ini betul-betul buat saya jatuh cinta pandang pertama. Cuba lah dan rasakan sendiri.....

The best recipe, must be kept!



Resepi LEMAK AYAM CILI API (Tanpa Santan)
by Iza Akma SSK
rcp ~ Chef Joha Hassan



Bahan-Bahan :
1 ekor ayam ~ dipotong 16
2 batang serai ~ dititik
300 ml susu cair / susu rendah lemak
8-10 biji cili api ~ tumbuk kasar
1 kiub ikan bilis
secubit serbuk buah pala
2 helai daun pandan
2 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan Tumbuk/Kisar Halus :
4 ulas bawang putih
3 biji buah keras
18 biji gajus
6 biji badam
3 sudu besar bawang besar kisar
1/2 inci halia
1 sudu kecil serbuk kunyit

Hiasan :
Bawang goreng
Sedikit daun ketumbar

** saya tambah 1 biji kentang untuk 1/2 resepi


Caranya :

Kepingan ayam digoreng bersama garam dan kunyit. Ketepikan.
Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan rempah yang ditumbuk /kisar dengan 2 batang serai yang dititik serta daun pandan. Bila aroma rempah naik bau, masukkan ayam goreng dan tuangkan susu cair. Masukkan serbuk buah pala dan kacaukan supaya sebati. Biarkan ayam, kecilkan api, dan kacau sekali sekala.
Perasakan garam. Bila kuahnya mendidih, tutupkan api. Biarkan sementara sebelum disaji.
Taburkan bawang goreng dan daun ketumbar sedikit. Sediakan bersama sambal belachan dan nasi putih panas.


** Cara saya : Untuk 1/2 resepi saya guna 1 cwn air + 1/2 cwn susu cair. Masa step masukkan susu dalam cara di atas, saya masukkan air. Bila hampir nak masak baru tuangkan susu kerana jika susu cair dimasukkan awal-awal, kuah akan menjadi terlalu pecah minyak dan tidak cantik.

2
KUAH LODEH / LONTONG



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Alhamdulillah, hari ini genap seminggu kita berpuasa. Kita bertuah kerana kita adalah antara insan-insan yang telah dipilih Allah SWT untuk melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan ini.

Alangkah beruntungnya kita hidup dalam keadaan negara jauh lebih baik jika dibandingkan dengan saudara seakidah di bumi Islam lain. Misalnya, tengok saja apa yang berlaku di Palestin. Rakyat dan bumi Gaza terus diganyang rejim Zionis sehinggakan kini, hanya tiga peratus tanah Palestin dimiliki orang Islam, selebihnya dengan rakus dirampas Yahudi menjadikan ribuan orang Islam Palestin hidup di antara langit dan bumi. Masjid al-Aqsa yang diberkati terus dicabul kesuciannya, ribuan rakyat Palestin yang tak berdosa merengkok di dalam penjara Israel, ekonomi dan bekalan asasi mereka disekat, jutaan di kalangan mereka menjadi pelarian dan tragedi demi tragedi dilakukan dengan penuh kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Hanya penyatuan umat Islam dapat memberi kekuatan kepada Palestin. Berpeganglah kepada tali Allah SWT dan jangan berpecah-belah. Apabila kita berpecah-belah, kehebatan umat Islam akan hilang dan agenda Zionis akan berleluasa di negara Islam.




Kita bernasib baik kerana bukan sahaja berpeluang hidup dalam keadaan aman damai malah dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan tenang, cukup segala kemudahan serta dilimpahi mewah dengan pelbagai pilihan makanan. Tetapi suasana yang kita rasakan tidak dirasai oleh saudara kita di Palestin.

Walaupun hidup mereka terus-terusan dihimpit kesengsaraan namun setiap kali menjelang Ramadhan mereka akan sambut ketibaan bulan mulia ini dengan kegembiraan. Mereka berpuasa dalam keadaan serba sulit. Bekalan elektrik terputus, menyebabkan mereka bergelap ketika bersahur atau berbuka puasa. Bekalan elektrik dicatu atau diberi berselang seli mengikut kawasan. Kalau hari ini tiada bekalan elektrik ketika bersahur, esok tiada bekalan elektrik ketika buka puasa. Mereka juga tidak dapat mendengar azan untuk mengetahui waktu berbuka puasa kerana sistem pembesar suara tidak boleh berfungsi. Lebih memburukkan keadaan, kadangkala mereka terputus bekalan gas, menyebabkan sukar untuk memasak selain kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Bayangkan, jika kita berada di tempat mereka, mampukah kita lalui semua kesukaran itu? Masih bolehkah senyuman terukir, meneruskan perjuangan hidup dengan semangat kental ataupun sentiasa merintih berkeluh kesah mengenang nasib yang menimpa dengan bersekali hilangnya juga kekebalan semangat di jiwa? Akan menebal atau goyahkah iman kita kepada-Nya jika hidup dizalimi tiada bernoktah? Renung-renungkan sejenak.....




Inilah seperti yang dijanjikan.....Kuah Lodeh / Kuah Lontong. Masuk yang ini, entah keberapa kali dah buat.....tak ingat. Yang pasti dah berulang-ulang kali sebab puashati dengan resepi yang ini. Sepatutnya kena ada serunding, sambal tumis barulah complete.....tapi saya tak buat.....pada saya kuah lodeh dengan kuah kacang saja pun dah cukup sedap. Sesuai disajikan pada bila-bila masa. Siapa yang nak cuba, bolehlah cuba memandangkan musim perayaan pun tak berapa minggu lagi kan. Enjoy!!



Resepi KUAH LODEH / LONTONG
by Iza Akma SSK
source ~ Fida @ MyResepi



Bahan-Bahan :
2 batang serai ~ dititik
1/2 jari lengkuas ~ dititik
4 helai daun salam
200 gm udang hidup

Bahan Sayuran :
1/2 biji kobis
8 batang kacang panjang
1 batang lobak merah
1 biji kecil sengkuang
1 biji terung panjang
4 biji kentang
4 keping tauhu ~ dipotong kecil dan goreng
4 keping tempe ~ dipotong & digoreng
2 ikat su'un ~ direndam
1 keping tauhu kering ~ direndam
4 biji cili merah ~ dipotong serong
4 biji cili hijau ~ dipotong serong
2 liter santan pekat dan cair drpd 3 biji kelapa
air secukupnya
garam secukupnya
1/4 cawan minyak untuk menumis

Bahan Di Kisar Halus :
10 tangkai cili kering
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 jari kunyit hidup
1 hiris halia
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar ikan bilis
2 sudu kecil biji jintan manis ~ disangai dulu
sedikit belacan jika suka
Caranya :

Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan kisar dan serai hingga wangi. Masukkan udang dan tumis lagi. Masukkan santan, daun salam, lengkuas dan masak hingga mendidih.
Masukkan sayuran bermula dengan yang keras dulu dan tambah air secukupnya hingga sayur tenggelam. Bubuh garam secukup rasa dan masak lagi hingga mendidih dan sayur lembut.
Hidang sayur lodeh dengan lontong, ketupat atau nasi impit dan juga sambal tumis, serunding, rendang, kuah kacang dan juga telur rebus.


2
Resepi KUAH KACANG (2)



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Biasa lah.....kalau di bulan-bulan puasa selera makan kita ni satu macam aje. Masa ini lah selera tu pandai memilih itu memilih ini. Kekadang tu pulak serasa seperti mengidam sesuatu. Aneh betul selera ni kan. Pokok pangkalnya pada kita. Kita yang kena pandai kontrol diri seperti kata peribahasa, ' Ikut hati mati, Ikut rasa binasa, Ikut nafsu lesu'.

Sebenarnya sebelum puasa lagi asyik duk teringat-ingat nak makan nasi impit dengan kuah lodeh dan kuah kacang. Tapi tu lah selalu tertangguh-tangguh sampai lah masuk puasa. Nak ditangguh, raya lambat lagi.....puasa pun baru jer. Akhirnya dengan gigih menjadi jugak kuah kacang dengan lodeh idaman untuk iftar semalam. Ahli rumah tiada bantahan sebab depa pun memang suka.




Elok juga buat nih, tak payah lagi nak masak nasi lauk-pauk segala. Walaupun penyediaan bahan-bahan rempah ratusnya agak meremehkan tapi hasilnya berbaloi, puashati. Makan ini saja pun dah lebih dari cukup.....mengenyangkan.....tak perlu bermacam-macam makanan lain.

Lagipun ahli rumah ni bukan lah pemakan sangat lagi-lagi bulan puasa ni. Masak pun ala kadar.....banyak-banyak nanti buat bazir jer. Tambah pulak dengan harga barang makanan sekarang ni dah tak macam dulu lagi .....semuanya naik mencanak macam roket. Kalau berbelanja ikut nafsu yang kaya pun boleh kayap jadinya. Dan kalau makan pulak ikut nafsu boleh hilang nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan. Jadi ada baiknya kita ini bersederhana dalam semua segi. Itu yang dituntut.




Kalau raya nasi impit buat sendiri tau.....tak main lah yang instant sebab yang buat sendiri tu lagi best, lagi lembut berbanding segera. Tapi kalau untuk sesaja makan macam nih yang segera tu jugak yang dicari sebab lebih mudah.....tak perlu buang tenaga tanak nasi mengimpit bagai.....hi hi hi.

Pada siapa yang ingin mencuba, silakan. Untuk kuah lodehnya akan menyusul.....



Resepi KUAH KACANG (2)
by Iza Akma SSK


Bahan A :
150 gm kacang tanah ~ sangai, buang kulit dan tumbuk
1/2 cawan air asam jawa
2 sudu makan gula merah
garam & gula pasir secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan Kisar :
1 sudu kecil biji ketumbar*
1/2 sudu kecil biji jintan manis*
1/2 sudu kecil biji jintan putih* (* sangai )
1 batang serai
1 inci lengkuas
12 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1/4 inci kunyit hidup ~ yang ni agak-agaklah ya


Caranya :
Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik aromanya.
Masukkan 2 cawan air dan kacau rata.
kemudian masukkan kacang tanah, gula merah, gula pasir, garam dan air asam jawa. Biarkan mendidih dan kecilkan api. Masak hingga kuahnya pekat.
Hidangkan bersama nasi impit atau ketupat.



3
BUBUR SOM SOM TROPICANA



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Ramadhan Kareem.....

Detik indah bersahur dan berbuka yang dirindui selepas setahun ditinggalkan kembali dirasai semula semalam dengan penuh rasa kesyukuran dan kenikmatan. Alhamdulillah sekali lagi kita direzekikan oleh Allah SWT bertemu dan beribadah di dalam bulan mulia, bulan hebat yang mempunyai 1001 rahmat dan keampunan.

Namun apakah pasti rezeki ini akan dapat kita lewati hingga ke hujungnya. Justeru, sama-sama kita menggandakan amal, mengikhlaskan diri, memperbanyakkan tilawah Al Quran, sedeqah dan pelbagai amalan lain. Rebutlah peluang yang dihadirkan sekali setahun ini untuk kita menjana saham akhirat sebanyak mungkin. Semoga rahmat dan keampunan Allah dapat diraih.....

Ramadhan yang penuh barakah seharusnya menjadikan umat Islam manusia lebih hebat, produktif dan cemerlang. Ini kerana umat yang beribadah dalam bulan ini pada hakikatnya terbangun di atas dinamika ketaqwaan dan keimanan yang sekali gus dijelmakan dalam kehidupan mereka seharian. Bersamalah kita berdoa agar segala ibadah kita di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini mampu membasuh daki di hati, membersih dan menyucikan jiwa kita hendaknya.




Juadah manisan sama ada kuih, puding, bubur atau apa saja yang manis selain tamar wajib ada di kala iftar sebagai mengiringi juadah-juadah lain di meja hidangan. Tak tahulah orang lain macam mana. Tapi pada saya dan keluarga ia satu kemestian.....bak kata orang, tak boleh tidak. Sejenis pun dah memadai sebagai penyejuk tekak nak-nak cuaca panas pulak tu.....

Inilah Bubur Som Som.....favourite time berbuka. Rasanya yang lembut dan lemak-lemak itu bikin hati tergoda you.....bermandikan lagi dengan sirap pandan.....fuhhh, sedaapp!



Resepi BUBUR SOM SOM TROPICANA
by Iza Akma SSK


Bahan-Bahan :
2 cawan tepung beras
2 sudu besar penuh tepung ubi
7 cawan santan
1 sudu kecil garam
3 helai daun pandan ~ disimpul

Satukan semua bahan kecuali daun pandan dalam satu bekas. Kacau dengan whisk hingga adunan sebati. Tapis bancuhan ke dalam periuk. Masukkan daun pandan dan masak atas api kecil sambi terus mengacau hingga likat dan berkilat selama lebih kurang 20 minit.

Kemudian masukkan ke dalam bekas-bekas pilihan atau dalam loyang (sapu sedikit minyak) dan biarkan hingga sejuk.



Sirap Pandan :
1 cawan gula pasir ~ ikut sesuai selera
2 cawan air
Daun pandan ~ disimpul
Beberapa titik Pandan Pes

Masak hingga mendidih. Setelah mendidih, tutup api dan tambahkan pandan pes. Biarkan sejuk.



Sirap Gula Melaka :
1 ketul gula melaka
3/4 cawan gula pasir
2 cawan air
2 helai daun pandan ~ disimpul

Masak semua bahan sirap hingga mendidih dan gula larut. Biar mendidih perlahan-lahan untuk 2-3 minit lagi. Angkat, sejukkan dan tapis.


Hidangkan sirap bersama bubur som som.....Aduhhh nyamann sekali!!!




7
INDAHNYA RAMADHAN....DATANG LAGI !



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Marhaban Ya Ramadhan.....

Bertuah dan syukur kita kepada ALLAH sebagai umat Islam kerana dapat menyambut dan melaksanakan ibadah Ramadhan pada tahun ini. Semoga kita semua umat Islam dapat menunaikan puasa dan ibadah-ibadah lain dengan baik.

Kedatangan Ramadhan bulan yang mulia sememangnya dinantikan oleh umat Islam seluruh dunia. Ramadhan adalah bulan istimewa kerana ia satu-satunya bulan menuntut umat Islam berkewajipan menunaikan ibadah utama yang merupakan sebahagian daripada Rukun Islam dengan menahan lapar dan dahaga demi meraih cinta dan redha-Nya.

Inilah peluang terbaik untuk kita memperbaiki disiplin dari pelbagai aspek dan mendidik akhlak yang baik dengan akhlak terpuji dan murni. Muhasabah diri harus dilakukan agar kita dapat menjalani ibadah puasa tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu. Kerana dengan bermuhasabah diri dapatlah kita perbaiki kelemahan yang telah kita lakukan pada tahun-tahun sebelumnya dan berazam untuk lakukan yang terbaik. Firman Allah SWT, bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kalian puasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian, mudah-mudahan kalian bertaqwa." (Al-Baqarah:183)

Puasa seharusnya mendidik manusia menjaga hati dan juga lidah serta pancaindera lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya seseorang yang berbicara dengan kalimat yang mendatangkan keredhaan Allah dan dia tidak mengira kalimatnya itu mampu mencapai apa yang aku capai, maka Allah akan menetapkan untuknya keredhaan hingga kelak datang hari kiamat." (Riwayat Imam Malik).




Justeru, puasa Ramadhan sewajarnya mendidik umat Islam menuturkan kalimah yang baik dan ucapan yang baik. Sentiasa mengungkapkan kalimah mulia kerana amalan baik adalah sedekah yang digandakan pahalanya. Elakkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kesucian Ramadhan dan juga menyakiti hati orang lain sama ada dengan perlakuan mahupun pertuturan.

Jadikan puasa Ramadhan perisai diri dan masjid tempat mentarbiyahkan hati dan diri ke arah kebaikan serta ketaqwaan. Seperti ingatan Rasulullah, " Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki lapar dan hausnya." (Riwayat Al-Bukhari). Bermakna ucapan yang tidak baik seperti fitnah dan berdusta mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia sahaja.

Oleh itu, jadikan puasa sebagai ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah, mendidik sifat kemanusiaan dan kesederhaan, melakukan perubahan ke arah kebaikan dan juga memahami dan menghayati kesyumulan Islam.

Jadikan Ramadhan yang datangnya setahun sekali ini, sebagai bulan ke arah menjana taqwa dan meningkatkan keimanan. Justeru ucapan dan perbuatan sia-sia, tohmahan, maki, keji dan seranah, berbicara bohong dan menyebar fitnah sama ada melalui tulisan dan lisan adalah perbuatan yang patut dijauhi. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Demikianlah ajaran Allah dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (Al-Hajj:32)

Alangkah ruginya kita jika berpuasa tanpa mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah. Rasulullah SAW bersabda, " Barang siapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada (keredhaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat Al-Bukhari).





Khas buat semua rakan-rakan Muslim yang mengenali diri ini dan SSK, tak lupa juga pada semua pengunjung dan pembaca Muslim yang tidak jemu singgah, membaca dan melontarkan pandangan dan komen manis di blog ini.....terimalah kad ucapan yang tidak seberapanya ini istimewa daripada SSK dengan ucapan ikhlas.....' Salam Ramadhan Al-Mubarak'  dan ' Selamat Menjalani Ibadah Puasa '.

Moga puasa kali ini mendapat keberkatan dari-Nya dan lebih baik daripada sebelumnya. In sha Allah.




11
NUTELLA CHOCOLATE CHIP COOKIES



السّلا م عليکم ورحمةالله وبرکة  |
 Salam Sejahtera


Tak berapa hari lagi kita semua berkewajipan menunaikan tuntutan rukun Islam ke-4, berpuasa Ramadan. Semoga kita diberikan Allah SWT dengan kesihatan yang baik agar dapat menyempurnakan ibadah sebaik yang boleh, lebih baik daripada tahun sebelumnya. In sha Allah.




Walaupun raya masih jauh lagi perjalanan, ramai yang dah berkira-kira biskut apalah nak buat untuk raya kali ini. Jangan terkejut. Ini bukan biskut untuk raya tau. Ini saja-saja testing jer dulu. Sekaligus mempelbagaikan koleksi biskut chips yang sedia ada dengan aneka versi.

Biskut Coklat Chips Nutella ini berbaloi sungguh membuatnya.....tak rugi mencuba sebab rasanya memang mantap. Pada yang nak mencuba, sila lah ya. Pasti anda seisi keluarga akan menyukainya.





Resepi BISKUT COKLAT CHIPS NUTELLA
by Iza Akma SSK
adapted from Citarasawan with slightly changes



Bahan A :
200 gm butter
50 gm shortening
40 gm nutella
60 gm gula kastor
90 gm gula perang
1 tsp esen vanila
1 biji telur (gred C)
secubit garam

Bahan B :
330 gm tepung gandum*
10 gm serbuk koko*
1 tsp baking powder*
1 tsp soda bikarbonat* (*diayak bersama)
30 gm coffee-mate

Bahan C :
100 gm chocolate chips
100 gm chocolate button white ~ patahkan kecil
80 gm almond nibs ~ bakar dahulu
60 gm cornflakes ~ ramas kasar


Caranya :
Satu dan gaulkan Bahan (B) yang diayak dengan coffee-mate beserta Bahan (C). Ketepikan.
Pukul semua Bahan (A) dengan senduk kayu hingga sebati.
Masukkan campuran Bahan (B) dan (C) tadi. Gaul hingga jadi doh yang lembut.
Sudukan atau punjut-punjutkan adunan dengan hujung jari ke dalam dulang pembakar.
Bakar pada suhu 160C selama 20-25 minit.



Panduan Daripada SSK :
Biskut ini saya bakar pada suhu 125C menggunakan api atas dan bawah bersekali kipas selama 40 minit. Selepas 20 minit pertama pusingkan dulang. Jika membakar dua dulang sekaligus, selepas 20 minit pertama tukarkan dulang di rak bawah ke atas dan atas ke bawah. Teruskan membakar untuk 20 minit lagi.