0
ASAM PEDAS KERISIK


19 September 2019, Khamis

Kelihatan makin tebal jerebu di luar.
Dah dua tiga hari petang hujan lebat namun keadaan jerebu masih tak berubah. Walaupun berada dikelilingi konkrit mata tetap terasa pedih. Kepala mula pening-pening dek bau asap yang makin ketara. Harap sangat keadaan ini akan bernoktah. Tak tahan... lemas! Apapun semua kuasa Allah. Kita tak mampu menahan. Kun Faya Kun.

Okay berbalik pada menu.
Dulu-dulu apa yang saya perhatikan kat kenduri kendara, mereka kalau masak kari ayam atau daging wajib masuk kerisik. Sebab itu kari nampak cantik pekat berkilat, wangi, sangat enak. Sampai sekarang saya terikut cara mereka masak kari bubuh kerisik. Tapi jika bubuh dalam asam pedas ikan ianya tanda tanya bagi saya. Pernah sekali dulu masak asam pedas buh kerisik. Entah mana silap, rasanya kureng tak menepati citarasa. Adat lah dalam memasak adakala menjadi adakala tidak. Kita tak boleh nak salahkan resipi seratus peratus. Kerana memasak ini lebih kepada air tangan. Biarpun resipi sama tapi bila dimasak oleh sepuluh orang berlainan maka akan ada sepuluh rasa berbeza.

Tetapi untuk asam pedas ini, menepati selera.
Istimewanya selain kerisik ia juga mengguna batang kesum yang selalunya kita buang sebab cuma ambil daunnya saja. Sebenarnya batangnya itulah yang memberi aroma wangi dan masakan jadi lebih lazat. Jadi lepas ni jangan buang batang kesum yer... pilih yang mana lembut masukkan ke dalam masakan yang memerlukan kesum.


ASAM PEDAS KERISIK
by House of SSK

BAHAN A :
  • 4 keping Ikan Tenggiri (sederhana besar)
  • 1/2 sdb Kerisik
  • 1 kuntum Bunga Kantan | belah 4
  • 3-4 batang Daun Kesum | asingkan batang dengan daun
  • 1 biji Terung Bulat
  • 1 biji Tomato
  • 4 batang Bendi
  • 1/2 sdb Pes Asam Jawa*
  • 1/4 cwn Air* | *bancuh
  • 1/2 sdb Serbuk Lada Hitam
  • 2 1/2 cwn Air (bergantung kepada kepekatan yang diingini)
  • Gula & Garam secukup rasa
  • Minyak Masak untuk menumis
BAHAN B (cili dengan bahan lain dikisar asing) :
  • 10 tangkai Cili Kering | rendam air panas
  • 1 inci Halia
  • 1/2 inci Kunyit Hidup
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1 labu Bawang Merah Besar
  • 1 biji Buah Keras

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak dalam kuali
❀  Tumis bahan kisar bawang, halia, kunyit, buah keras hingga wangi
❀  Masuk cili kisar, tumis sampai pecah minyak dan naik bau dengan api perlahan
❀  Masuk serbuk lada hitam dan kerisik, kacau
❀  Pastu masuk bancuhan asam jawa, batang kesum, bunga kantan dan tumis lagi
❀  Masukkan air dan biar mendidih
❀  Masuk ikan, bendi, terung, tomato dan daun kesum
❀  Kecilkan api biarkan merenih seketika
❀  Perasakan dengan garam dan gula



0 sweet comments: