0
BAWAL GORENG PANAS & SAMBAL BELACAN KICAP UTARA


30 September 2019, Isnin

Setiap kali ke Penang pasti tak lepas peluang singgah makan di Warung Bawal Goreng Kelapa Sawit Juru. Kadang tu bukan takat makan je... siap tapau lagi bawa balik. Selain bawal, kari sotong dia pun sedap. Kari yang pekat likat. Dua lauk tu je yang saya suka layan kat situ. Sekali dah pekena situ balik mesti terbayang bawal goreng dia yang sangat sangat garing dengan pencicah sambal kicap yang sangat sedap. Sambil makan sambil tengok depa goreng ikan. Sama je macam kita goreng ikan selalu. Dengan selamba sempat bertanya pada tokey kedai resipi pencicah sambal kicap depa. Nasib saya baik. Tokey respon dengan ramah sekali tanpa selindung.

Mengambil inspirasi merangkap ubat rindu pada bawal goreng juru nun, saya cuba pula di rumah dengan koleksi yang ada. Ada kesempatan lain saya akan cuba pula sambal kicap versi tokey. Gandingan sepadan dengan Masak Lemak Cili Api Ketam haritu.


BAWAL GORENG PANAS
& SAMBAL BELACAN KICAP UTARA
by House of SSK

IKAN

Ikan Bawal
❀  bersihkan - lumur dengan serbuk kunyit + garam
❀  goreng deep fried sehingga garing - angkat - tos


SAMBAL BELACAN KICAP UTARA

BAHAN A :
  • Cili Padi Merah
  • Cili Merah
  • Belacan | dibakar dahulu
  • Bawang Besar | direbus dulu
  • Gula
  • Garam
BAHAN B :
  • Kicap Manis
  • Serbuk Pati Ikan Bilis
  • Jus Limau Nipis

CARA PENYEDIAAN :
❀  Kisar semua Bahan (A) tapi jangan halus sangat
❀  Tuang dalam bekas dan masukkan Bahan (B), kacau rata
❀  Hidangkan sebagai pencicah ikan bawal goreng


Note :
# semua bahan untuk sambal belacan kicap adalah agak-agak mengikut sesuai selera




0
MASAK LEMAK CILI API KETAM UTARA


27 September 2019, Jumaat

Hari ini lambat sikit bersiaran. Kebizian sikit kat dapur. Biar lewat tetap update. Nama pun dapur maya kesayangan, sesibuk mana tetap cari masa luangkan waktu.

Menu ketam ni dah banyak kali buat. Sampai dah jadi feberet keluarga dah. First time buat style utara nih, terus depa suruh buat lagi dan lagi. Saya sendiri pun puas hati akan rasanya sebab tu rajin ja buat bila ada permintaan. Kepedasan yang sedang elok tak pedas sangat. Yang ini masukkan sayur apa yang ada dalam fridge. Belimbing untuk beri rasa masam-masam manakala kacang panjang tambah rasa manis pada kuah selain manis ketam.

Ok sampai sini dulu. Nak bereskan sikit lagi kerja kat dapur. Adios!


MASAK LEMAK CILI API KETAM UTARA
by House of SSK

BAHAN A :
  • 4 ekor Ketam
  • 2 batang Serai | dititik
  • 1 helai Daun Kunyit | koyakkan
  • 250 gm Santan Pekat Segar | asingkan sedikit untuk dimasukkan akhir sekali
  • 12 biji Belimbing Buluh | belah 2
  • 3 batang Kacang Panjang
  • Asam Gelugor
  • Garam
  • Gula
BAHAN B (kisar) :
  • 21 biji Cili Padi
  • 1 labu Bawang Merah Besar (medium size)
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1.5 inci Kunyit Hidup
  • 1 inci Halia

CARA PENYEDIAAN :
❀  Masakkan dulu Bahan (B)
❀  Setelah agak kering, masuk garam dan ketam. Kacau rata, tutup periuk dan biar seketika sambil dikacau sekali sekala
❀  Masuk santan, sedikit air (sekadarnya saja), serai, daun kunyit, sedikit gula dan asam keping dengan api sederhana
❀  Dah sedikit didih masukkan belimbing sambil selalu dikacau supaya santan tak pecah
❀  Masukkan pula kacang panjang
❀  Akhir sekali setelah belimbing dan kacang agak lembut masukkan santan yang diasingkan tadi
❀  Kacau rata dan seimbangkan rasa
❀  Hidangkan panas bersama nasi putih




0
BAKWAN JAGUNG


26 September 2019, Khamis

Bakwan adalah adunan tepung bersama sejenis atau campuran sayuran seperti taugeh, hirisan kubis, karot, bawang dan kemudian digoreng secara deep fried. Lebih kurang cucur/jemput-jemput sayur/bilis/udang juga. Lebih sedap jika digoreng nipis sebab lebih terasa kerangupan. Walau rangup di luar tapi lembut di dalam. Asal resipi Chef Asma tapi saya olah sikit ikut kesesuaian.
Seperti biasa saya akan letak resipi asal dan olahan berasingan supaya tidak bercampur aduk. Jadi mudah untuk saya rujuk balik kemudian hari tanpa konfius.


BAKWAN JAGUNG
by House of SSK
source : Chef Asma

BAHAN-BAHAN :
  • 1 tongkol Jagung Segar | kikis ambil isi
  • 300 gm Tepung Gandum
  • 3 sdb Tepung Beras
  • 1 biji Telur
  • 1/2 sdt Garam Halus
  • 1 biji Cili Merah
  • 1 labu Bawang Merah Besar
  • 400-500 gm Air Suam atau secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

CARA PENYEDIAAN :
❀  Sebatikan semua bahan (adunan memang agak cair seperti waffle, kalau pekat tak rangup)
❀  Sudukan dalam minyak panas
❀  Goreng hingga garing
❀  Hidangkan dengan sos pencicah pilihan


Catatan HoSSK :
# telur (B)

# tepung beras... 40 gm
# air suam... 440 gm
# cili merah... 2 biji
# 1 kiub ikan bilis & sesuaikan rasa garam
# sedikit daun bawang
# lain-lain bahan sama




0
KERABU MAGGI THAI


25 September 2019, Rabu

Juga viral sekitar 2017. Masa tengah hot viral tu seru tak sampai lagi. Hajat hati nak rasa dulu kat mana-mana baru boleh buat. Lagipun maggi jenis tu tak nampak jual pun kat kedai-kedai (sekarang dah banyak jual). Sehinggalah jalan-jalan ke Utara tahun lepas. Ambil peluang merasa kat sana. Dengan pedasnya, masam-masam macam tomyam, berair-air mata makan kepedasan. Tapi sedapp! Langsung jumpa maggi siam kat sana terus rembat bawa balik. Bahan utama dah ada, rasa pun dah tahu baru senang hati buat.


KERABU MAGGI THAI
by House of SSK

BAHAN A :
  • 3 bungkus Maggi Siam Perisa TomYam
  • 3 Serbuk Perasa (yang terdapat dalam bungkusan maggi)
  • Udang Segar 
  • Sotong
  • Crabstick (rebus dahulu kemudian hiris)
BAHAN B (tumbuk) :
  • Bawang Besar Merah | hiris halus
  • Karot | hiris halus
  • Kubis Ungu | hiris halus
  • Tomato Cherry | belah 2
  • Cili Padi | hiris
  • Daun Ketumbar | hiris
  • 1 batang Serai | ambil bahagian putih - hiris halus
CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan air dalam periuk bersama 1 serbuk perasa
❀  Celurkan dulu sekejap udang, sotong dan crabstick dalam air rebusan secara berasingan dan tos.
❀  Asingkan 7 sdb air rebusan tersebut ke dalam satu bekas lain untuk sos@kuah. Jika mahu lebih kuah boleh lebihkan air rebusan.
❀  Kemudian rebuskan maggi. Angkat, tos dan buang air rebusan.
❀  Setelah siap, masukkan kesemua bahan rebus ke dalam mangkuk
❀  Masukkan juga semua bahan sayur dan cili yang telah dihiris
❀  Ambil 2 lagi baki serbuk perasa, masukkan dalam bekas berisi air rebusan yang diasingkan tadi. Kacau rata
❀  Tuang ke dalam mangkuk berisi campuran maggi, gaul sebati
❀  Taburkan lagi sedikit daun ketumbar jika mahu
❀  Siap untuk dihidang


Note :
# Tak perlu tambah perasa lain sebab rasa daripada serbuk perasa dah cukup serasi dan seimbang.

# Jus limau kalau nak bubuh pun boleh tapi sedikitt saja ye sebab dah cukup rasa masam
# Banyak mana sotong udang sayur semua agak-agak ikut sesuai selera





0
APAM CHEESE


24 September 2019, Selasa

Citarasa purba macam saya ni mana lerr suka cheese sangat. Namun bila melibatkan kuih muih ya ampun tak mampu menolak. Lagi pun kuantiti cheese dalam kuih tak begitu banyak. Masih boleh diterima. Jumpa resipi ni kat satu group Fb tiga tahun lalu. Kegebuannya buatkan teruja untuk cuba. Sesudah dua tahun simpan keterujaan, terlaksana juga tahun lepas.

Kebetulan masa buat tu ada blueberry filling. So try bubuh sikit dalam konon sebagai inti. Pastu layerkan isian adunan menjadi tiga lapisan warna bertemakan warna filling. Alhamdulillah jadi. Cuma filling tu jatuh ke bawah. Mungkin sebab adunan terlalu ringan. Tak dapat menampung berat filling supaya terletak elok di tengah. Apam dah sedap. Next time mungkin boleh lorekkan saja kat atas berbanding bubuh dalam. Tak apalah... belajar daripada kesilapan. Jika tak pernah silap, tak pernah salah, kita tak akan pernah belajar. Apa pun simpan dulu resipi kat sini sesiap mana tahu esok esok boleh buat lagi.


APAM CHEESE
by House of SSK

BAHAN A:
  • 2 biji Telur A
  • 1 cwn Gula Kastor
  • 1 sdt Ovalet
  • 2 cwn Tepung Naik Sendiri
  • 2 sdt Esen Vanila
BAHAN B:
  • 1 cwn Susu Sejat
  • 2 keping Cheddar Cheese

CARA PENYEDIAAN :

❀  Panaskan kukusan
❀  Masak Bahan (B) dengan api sederhana sehingga cheese larut. Ketepikan
❀  Mixer telur, gula, ovalet, vanila hingga kembang dan gebu
❀  Masukkan Bahan (B) yang dimasak tadi, kacau rata
❀  Diikuti tepung sedikit demi sedikit sambil dikaup balik hingga sebati
❀  Isikan adunan ke dalam papercup
❀  Kukus dengan api sederhana 8-9 minit




1
GULAI LEMAK CILI PADI UDANG DENGAN DAUN SELOM


23 September 2019, Isnin

Ulam daun selom cicah sambal belacan memang tak asing lagi kepada penggemar lauk kampung.
Saya ni kalau beli seikat untuk ulam semata payah benar nak habisnya. Lepas jenjalan di google dapat idea. Apa kata terjunkan dalam gulai.

Terus terfikir apa rasa ye bubuh dalam gulai... tak pahit ke kuah nanti?

Projek apa rasa bermula.
Saya pilih untuk tumbuk cili, kunyit dan bawang. Kaedah tradisional gituu. Petua orang tua tua dulu jangan dilanggar. Masa tumbuk campurkan juga sedikit garam. Kalau dapat garam kasar lagi bagus.

Dah siap masak apa yang difikir tadi terjawab sudah.

Udang di laut, selom di darat, dalam periuk bersatu jua.

Pada saya paduan keduanya ngam sangat sebab udang manis. Kuah haruslah pekat biar bersalut dengan udang dan daun selom. Kalau ulam seikat susah nak bagi habis tapi buat gulai macam ni macam tak cukup pula seikat. Saya lebih suka cedok selom, udang dapat seekor dua pun cukup. Tak sangka daun selom yang selalunya sedap buat ulam, kerabu rupanya enak juga dibuat gulai.


GULAI LEMAK CILI PADI UDANG DENGAN DAUN SELOM
by House of SSK

BAHAN A :
  • 20 ekor Udang Sederhana Besar | bersihkan & tos
  • 1 ikat Daun Selom | patahkan kasar-kasar
  • 1 batang Serai | dititik
  • 1 keping Asam Gelugur
  • 500 gm Santan Pekat Segar
  • Gula secubit
BAHAN B (tumbuk) :
  • 7 biji Cili Padi Hijau
  • 4 biji Cili Padi Merah
  • 2 ulas Bawang Merah
  • 1 inci Kunyit Hidup
  • Garam secukup rasa

CARA PENYEDIAAN :
❀  Masukkan Bahan (B) bersama separuh santan dan serai ke dalam periuk
❀  Masak sehingga mendidih atas api perlahan
❀  Sentiasa kacau supaya santan tidak pecah
❀  Masukkan secubit gula, udang dan daun selom
❀  Biarkan anggaran 5 minit, masukkan baki santan
❀  Kacau rata dan seimbangkan rasa
❀  Dah mendidih tutup api
❀  Hidangkan panas bersama nasi putih



0
AYAM BALI BEREMPAH


20 September 2019, Jumaat

Satu lagi menu yang pernah viral satu malaya sikit masa lalu.
Biasanya gitu ler. Dah jadi viral baru nampak. Berlumba sakan semua follow. Jika tak duduk ler diam-diam kat tempatnya... tak siapa tau. Termasuk ler yang menaip ni hahha... masa tengah viral tu ler baru terhegeh nak buat. Sebab tertanya jugak macam mana rasa sampai boleh jadi letops. Siapa yang dah pernah buat mesti tau kan keenakan ayam bali. Cuma yang ini topup dengan rempah sikit.


AYAM BALI BEREMPAH
by House of SSK

BAHAN A :
  • 1 ekor Ayam | potong - gaul kunyit & garam - goreng separuh masak
BAHAN B (kisar asing cili dengan bahan lain) :
  • 8 tangkai Cili Kering (suka pedas tambah)
  • 6 biji Bawang Merah Besar
  • 1 labu Bawang Putih
  • Halia sedikit saja (hujung jari kelingking)
  • Belacan (sebesar setengah ibu jari)
BAHAN C :
  • 6 batang Serai | dititik
  • 8 tangkai Daun Kari
  • 3 sdb Gula Pasir
  • 1 sdb Serbuk Ketumbar | disangai
  • Kicap Manis (ikut kesesuaian warna)
  • Garam secukup rasa

CARA PENYEDIAAN :
❀  Guna minyak lebihan goreng ayam tadi, goreng serai sampai separa coklat
❀  Masukkan daun kari sampai garing guna api sederhana
❀  Masuk bahan kisar bawang, halia, belacan, tumis hingga wangi
❀  Masuk cili kisar, tumis sampai garing naik bau dan pecah minyak dengan api perlahan
❀  Masuk gula, garam, kicap 5 renjis (sampai dapat warna merah maroon) dan serbuk ketumbar, kacau rata
❀  Masuk sedikit air dan biar mendidih
❀  Masuk ayam, biar sampai kuah pekat sikit
❀  Siap untuk dihidangkan (nak lagi sedap lepas masak jangan terus makan biarkan dulu seketika)



0
ASAM PEDAS KERISIK


19 September 2019, Khamis

Kelihatan makin tebal jerebu di luar.
Dah dua tiga hari petang hujan lebat namun keadaan jerebu masih tak berubah. Walaupun berada dikelilingi konkrit mata tetap terasa pedih. Kepala mula pening-pening dek bau asap yang makin ketara. Harap sangat keadaan ini akan bernoktah. Tak tahan... lemas! Apapun semua kuasa Allah. Kita tak mampu menahan. Kun Faya Kun.

Okay berbalik pada menu.
Dulu-dulu apa yang saya perhatikan kat kenduri kendara, mereka kalau masak kari ayam atau daging wajib masuk kerisik. Sebab itu kari nampak cantik pekat berkilat, wangi, sangat enak. Sampai sekarang saya terikut cara mereka masak kari bubuh kerisik. Tapi jika bubuh dalam asam pedas ikan ianya tanda tanya bagi saya. Pernah sekali dulu masak asam pedas buh kerisik. Entah mana silap, rasanya kureng tak menepati citarasa. Adat lah dalam memasak adakala menjadi adakala tidak. Kita tak boleh nak salahkan resipi seratus peratus. Kerana memasak ini lebih kepada air tangan. Biarpun resipi sama tapi bila dimasak oleh sepuluh orang berlainan maka akan ada sepuluh rasa berbeza.

Tetapi untuk asam pedas ini, menepati selera.
Istimewanya selain kerisik ia juga mengguna batang kesum yang selalunya kita buang sebab cuma ambil daunnya saja. Sebenarnya batangnya itulah yang memberi aroma wangi dan masakan jadi lebih lazat. Jadi lepas ni jangan buang batang kesum yer... pilih yang mana lembut masukkan ke dalam masakan yang memerlukan kesum.


ASAM PEDAS KERISIK
by House of SSK

BAHAN A :
  • 4 keping Ikan Tenggiri (sederhana besar)
  • 1/2 sdb Kerisik
  • 1 kuntum Bunga Kantan | belah 4
  • 3-4 batang Daun Kesum | asingkan batang dengan daun
  • 1 biji Terung Bulat
  • 1 biji Tomato
  • 4 batang Bendi
  • 1/2 sdb Pes Asam Jawa*
  • 1/4 cwn Air* | *bancuh
  • 1/2 sdb Serbuk Lada Hitam
  • 2 1/2 cwn Air (bergantung kepada kepekatan yang diingini)
  • Gula & Garam secukup rasa
  • Minyak Masak untuk menumis
BAHAN B (cili dengan bahan lain dikisar asing) :
  • 10 tangkai Cili Kering | rendam air panas
  • 1 inci Halia
  • 1/2 inci Kunyit Hidup
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 1 labu Bawang Merah Besar
  • 1 biji Buah Keras

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak dalam kuali
❀  Tumis bahan kisar bawang, halia, kunyit, buah keras hingga wangi
❀  Masuk cili kisar, tumis sampai pecah minyak dan naik bau dengan api perlahan
❀  Masuk serbuk lada hitam dan kerisik, kacau
❀  Pastu masuk bancuhan asam jawa, batang kesum, bunga kantan dan tumis lagi
❀  Masukkan air dan biar mendidih
❀  Masuk ikan, bendi, terung, tomato dan daun kesum
❀  Kecilkan api biarkan merenih seketika
❀  Perasakan dengan garam dan gula



0
PIZZA BANANA KAYA


18 September 2019, Rabu

Pizza versi manis pisang dan kaya yang pernah menjadi viral.
Sebab tak larat nak tengok asyik lalu lalang terbuat juga sudahnya.

Kisahnya masa tu, nak merasa punya pasal tak sanggup tunggu lama. Keluar gi cari pisang... cari kaya... cari bahan semua. Pusing mencari... kaya pandan pula tak ada. Kaya biasa ada tapi tetap juga nak hijau. So beli daun pandan buat kaya pandan sendiri. Banyak la kerja sikit tapi tak rugi apa aihh... dapat juga belajar buat homemade kaya. Part kaya settle, merasa jua akhirnya pizza viral. Kebetulan ada crumble lebihan buat Fruit Pastry Cake resipi Chef Asma. Guna juga tabur atas bagi perabih.
Selepas kejadian pertama bila terkenang sweet sweet nyer tu kombinasi pula dengan pizza yang gebu, dua tiga kali juga ulang buat.


PIZZA BANANA KAYA
by House of SSK

BAHAN DOH PIZZA :
  • 300 gm Tepung Gandum
  • 20 gm Marjerin Planta
  • 1 sdt Bread Improver
  • 1/4 sdt Garam*
  • 1 1/2 sdb Susu Sejat*
  • 1 sdt Gula Pasir* | *satukan - kacau rata
  • 70 gm Air Suam**
  • 10 gm Gula Pasir**
  • 6 gm Yis Mauripan**
  • 100 gm Air** | **satukan - kacau rata - biar kembang & berbuih

CARA PENYEDIAAN :
❀  Satukan tepung dengan marjerin.
❀  Uli dengan campuran susu * bagi rata
❀  Kemudian tuang campuran yis ** yang sudah kembang tadi.
❀  Uli hingga sebati dan doh tak lekat di tangan. Jika adunan melekit tambah lagi 1 sdb tepung gandum
❀  Perap 45 minit hingga naik sekali ganda dalam bekas bertutup kain lembap


BAHAN TOPPING :
  • 1 sdt Gula Pasir | untuk tabur atas doh
  • Kaya Pandan
  • Pisang Montel | hiris agak tebal
  • Mozarella Cheese
  • Sedikit Crumble

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan oven 170 C api atas bawah
❀  Gris pan pizza 12" yang berlubang di dasar dengan marjerin
❀  Setelah doh kembang, tumbuk doh dan ulikan sekejap
❀  Ratakan doh dalam pan
❀  Cucuk permukaan dengan garfu - tabur gula pasir - ratakan kaya - tabur sebahagian moza - atur pisang - tabur moza - tabur crumble
❀  Bakar suhu 160 C api atas bawah (no fan) selama 20 minit. Kemudian tukar api atas sahaja untuk 15 minit lagi. 5 minit terakhir tukar api grill untuk perangkan bahagian atas (cara bakar, suhu dan jangkamasa bakar mengikut cara dan oven masing-masing)
❀  Ayak snow powder waktu menghidang



0
UDANG SAMBAL HIJAU


17 September 2019, Selasa

Sesekali berlauk sambal dengan cili hijau memang menyelerakan.
Lagi pedas, lagi sedapp, lagi kaww!
Akan tetapi biarlah berpada-pada pedas supaya tak memudarat kesihatan perut.


UDANG SAMBAL HIJAU
by House of SSK

BAHAN A :
  • 15 ekor Udang Putih Besar (size XL) | bersihkan - gaul dengan serbuk kunyit - goreng separuh masak - tos - ketepikan
  • 2 keping Asam Gelugor
  • 3 tangkai Kacang Panjang | potong serong kecil-kecil
  • Garam & Gula secukup rasa
  • Minyak Masak secukupnya untuk menumis
BAHAN B (kisar) :
  • 12 biji Cili Hijau
  • 5 biji Cili Padi Hijau (jika ingin pedas)
  • 2 ulas Bawang Putih
  • 4 ulas Bawang Merah

CARA PENYEDIAAN :
❀  Menggunakan minyak gorengan udang, tumis Bahan (B) hingga wangi, garing dan pecah minyak
❀  Masukkan asam, garam dan gula secukup rasa
❀  Masuk pula kacang panjang, kacau rata
❀  Kemudian masuk udang dan masak sehingga kuah pecah minyak dan udang masak
❀  Angkat dan hidangkan



0
APAM GULA HANGUS


17 September 2019, Selasa

Juga dikenali apam karamel.
Resepi oleh sifoo kesayangan ramai bakers dan pengusaha kuih-muih nusantra, arwah Kak Pau Citra Klasik.


APAM GULA HANGUS
by House of SSK

BAHAN A :
  • 200 gm Gula Pasir
  • 200 Air Panas

❀  Masak gula dengan api perlahan dan kacau hingga gula cair kecoklatan
❀  Masuk air panas, biar mendidih hingga semua gula larut
❀  Sejukkan

BAHAN B :
  • 2 biji Telur (B)
  • 50 gm Gula Halus
  • 1/4 cawan Susu Pekat Manis
  • 50 gm Marjerin Cair
  • 225 gm Tepung Gandum*
  • 1 sdt Soda Bikarbonat*
  • 1 sdt Baking Powder* | *satukan
  • 1 sdt Esen Vanila

❀  Mixer telur dan gula hingga kembang
❀  Masukkan susu pekat manis dan tepung berselang seli dengan Bahan (A), gaul rata
❀  Akhir sekali masuk marjerin cair dan esen vanila
❀  Isi dalam acuan kecil-kecil yang telah disapu sedikit minyak, kukus 25 minit atau sehingga masak




0
PARU GORENG LIMAU PURUT BERLADA


13 September 2019, Jumaat

Rindu paru berlada air tangan arwah opah. Suka sangat sedap.
Arwah selalu masak untuk niaga. Tapi sayang waktu hayatnya tak pernah saya tanya resipi cuma tahu makan aje. Pernah sekali dua tengok arwah masak tapi tengok-tengok macam tu jela... tau tau dah siap masak. Jenuh selak buku resipi yang ditinggalkan kot ada tapi tak ada. Sampai sekarang saya boleh ingat lagi akan rasanya. Pergi makan mana-mana kat luar pun masih tak jumpa yang sama. Usahkan sama, mirip pun tak.

Sampai bertemu yang ini. Saya pun cuba mana tau kot sama.

Terubat jugak lah rindu sikit walau tak sepenuhnya.
Yela faham... air tangan lain, ramuan lain, cara lain tentulah tak sama. Tapi kan paru berlada ini pun sedap tau. Rasa pedas, masam manis semua cukup. Makan dengan nasi putih hangat hmmm mau tak cukup sepinggan. Tak cayer... try test tengok caner


PARU GORENG LIMAU PURUT BERLADA
by House of SSK
source : Irni Maizura

BAHAN A :
  • 500 gm Paru | rebus - potong agak-agak nipis - gaul dengan serbuk kunyit+garam - goreng - ketepikan
BAHAN B :
(bawang dengan cili dikisar halus berasingan)
  • 3-4 labu Bawang Merah Besar
  • 5 ulas Bawang Putih
  • 10-15 tangkai Cili Kering | ikut pedas
BAHAN C :
  • 1 batang Serai | titik
  • 4-5 helai Daun Limau Purut
  • 1 keping Asam Gelugur
  • Garam secukup rasa
  • Gula lebihkan sedikit

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak (lebihkan minyak untuk menumis)
❀  Tumis bawang merah dan bawang putih kisar hingga wangi
❀  Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak
❀  Masukkan paru, garam, gula, asam gelugur dan daun limau purut. Gaul-gaulkan sehingga mesra
❀  Sesuaikan rasa. Pastikan lebihkan sedikit gula seperti bersira tapi janganlah manis sangat





0
KACA MATA EGO vs CINTA


Kalau orang buat jahat pada kita, dan kita sakit hati, itu kerana kita melihat dengan kaca mata Ego.

Kalau kita melihat dengan kaca mata Cinta, yang terlihat adalah lebih tinggi, iaitu Tuhan sedang beraksi melalui orang tersebut.

Kalau di hayati, dada jadi lapang dan ikhlas, tidak sakit hati lagi.

Dengan berlapang dada dan ikhlas itu, kita juga akan dibalas dengan cinta, iaitu anugerah berlipat ganda. Selalunya begitu.

Hal yang sama terjadi apabila kita berbuat baik.

Kalau kita pandang dengan kaca mata Ego, kita melihat bahawa kita lah yang berbuat baik.

Lalu muncul di hati kita rasa bangga dan merasa lebih baik dari orang lain. Perasaan ini menghapuskan pahala kebaikan.

Tapi kalau kita melihat dengan kaca mata Cinta, kita akan sedar bahawa diri kita tidak lebih dari sekadar medium di mana Tuhan beraksi menyampaikan kebaikanNya kepada orang lain.

Hasilnya timbul ikhlas.
Dan dari ikhlas inilah rahmat berganda kita terima.

Selalunya begitu. Kalau tidak begitu, boleh jadi kita belum ikhlas


... Love no Limit ...
- Master Umar Paranorms



12 September 2019, Khamis

Selagi ada ego, semua tak menjadi. Yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar, puji jadi keji. Bila ada kanta ego di hati, kanta cinta akan menjauhi.

Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego beraja di jiwa.
Dalam pertelagahan, hanya dengan nur, perdamaian mudah menjelma semula. Tiada dendam berpanjangan. Sebab masam cuma sebentar dan pahit hanya sedikit. Ibarat ada gelombang tapi segera kembali tenang

Buanglah kerikil ego yang menghalangi. Sebab ego hanya membina tembok pemisah.

Bisikkan selalu di hati, bahwa Allah selalu mencintai orang yang merendah diri dan membenci orang yang meninggi diri.

Segemuk-gemuk ikan pasti ada tulangnya. Sekurus-kurus ikan pasti ada daging. Carilah kebaikan dalam diri semua orang.

Jadilah seperti hujan. Titisannya ikhlas memberi kebaikan kepada seluruh isi bumi.




0
LEMAK TAUCU IKAN TENGGIRI TAUHU GORENG

12 September 2019, Khamis

Hari ini nak share satu resipi daripada chef seberang tambak nun.

Beberapa tahun lepas tengok chef tayang masak taucu ni begitu menyelerakan tak fikir panjang terus kiv. Nak buat jap jap tu tak cukup bahan. Bagi saya kalau nak cuba sesuatu yang baru untuk pertama kali sebolehnya biarlah cukup semua bahan. Baru kita tahu dan dapat nilai rasa yang sebenar. Kali kedua ketiga boleh lah adjust ikut selera sendiri pula kalau nak.


Selepas percubaan yang pertama itulah membawa kepada kedua ketiga keempat dan asal teringin. Tak ingat berapa kali yang pasti dah banyak kali.
Rasanya lain tau daripada masak taucu biasa. Yang ini dia punya rasa lagi special campur sayur semua. Daripada cuba-cubaan, sekarang dah jadi feberet keluarga.
Secukup rasa dan sungguh sedap!

LEMAK TAUCU IKAN TENGGIRI TAUHU GORENG
by House of SSK
source : Chef Joha Hassan

BAHAN A :
  • 3 keping Ikan Tenggiri | bersihkan - gaul dengan serbuk kunyit + serbuk cili + garam - goreng - ketepikan
  • 3-4 keping Tauhu | potong segitiga kecil - goreng - ketepikan
BAHAN B :
  • 1/2 inci Lengkuas | hiris/titik saja
  • 1 labu Bawang Besar | hiris
  • 10 ulas Bawang Merah | hiris
  • 1 inci Halia | hiris
  • 4 ulas Bawang Putih | hiris
  • 1 biji Cili Merah | hiris
  • 1 biji Cili Hijau | hiris
  • 2 batang Serai | hiris
  • 3 sdb Cili Kisar
  • 100 gm Kacang Buncis | potong serong
  • 3 sdb Santan Pekat
  • 1/2 mangkuk Air Asam Jawa
  • 2 sdb Taucu | bilas supaya tak masin sangat - lenyek sedikit
  • Gula secukup rasa
  • Garam jika perlu
  • 1 kiub Ikan Bilis
  • Minyak Masak untuk menumis

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak dalam kuali besar
❀  Masuk bahan-bahan hiris serai, halia, bawang besar, bawang merah, lengkuas, cili hiris & cili kisar. Tumis hingga naik bau
❀  Tuangkan air asam, taucu, santan, sedikit air (jika perlu) dan kiub ikan bilis. Masukkan garam dan gula secukup rasa
❀  Rasa kuahnya (masam, masin, lemak dan manis)
❀  Bila mendidih masukkan ikan dan tauhu yang digoreng tadi. Gaul rata
❀  Kemudian masukkan sayur buncis, gaul dan tutup kuali sebentar
❀  Rasa kuahnya sekali lagi mengikut citarasa. Kuah mesti pedas, lemak dan masam manis
❀  Sajikan panas-panas bersama nasi putih




0
PADPRIK SEAFOOD


11 September 2019, Rabu

Menu all in one... ringkas, mudah, cepat dimasak sedap dimakan.
Oleh sebab tekak reject ayam jadi saya ganti dengan udang dan sotong. Setakat ni kalau rasa mengidam padprik memang ini resipi saya follow. Cuma kekadang ubah sikit ikut sedap tangan bergantung bahan apa ada dalam peti sejuk. Orang kata apa... campak-campak.

Resipi ini basic ya boleh adjust sesuai selera. Lain orang lain style. Disertakan sikit note dalam 'Catatan HoSSK' kat bawah sekali. Bukan apa... untuk ingatan sendiri juga mana tau terlupa boleh rujuk balik.

PADPRIK SEAFOOD
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 250 gm Udang
  • 250 gm Sotong
  • 2 biji Tomato | potong dadu
  • 100 gm Bunga Kobis
  • 100 gm Brokoli
  • 4 batang Putik Jagung
  • 1 batang kecil Karot
  • 2 helai Daun Limau Purut
  • 1 labu Bawang Besar Merah | potong bulat
  • 3-4 ulas Bawang Putih*
  • 1-2 inci Halia* |* tumbuk
  • 2 sdb Cili Kisar
  • 5 sdb Sos Tiram
  • 2 sdb Sos Cili
  • 1 sdb Kicap Manis
  • Sos Ikan secukup rasa

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan minyak
❀  Tumis bahan tumbuk sehingga wangi
❀  Masukkan 1 biji tomato yang dipotong dadu. Kacau goreng sehingga tomato hancur
❀  Masukkan bawang hiris, tumis sekadar layu sahaja
❀  Masuk cili kisar hingga naik bau diikuti sos ikan
❀  Kemudian masuk sos tiram, kacau sebentar
❀  Masuk pula sayur-sayuran dan daun limau kecuali tomato. Biar hingga masak
❀  Masuk udang, sotong, kicap, sos cili dan sebiji lagi tomato. Biar mendidih
❀  Seimbangkan rasa dan siap



Catatan HoSSK :
# cili kisar... bubuh banyak mana ikut suka untuk rasa pedas dan warna yang menarik

# bawang putih & halia... ikut banyak mana sotong & udang
# sos tiram... kena lebih daripada segala sos
# kicap manis... cukup seperti resipi tak perlu banyak
# sos cili... guna sos cili thai secukupnya ikut rasa
# sos ikan... ikut rasa masin sebab resipi tak memerlukan garam
# air tak perlu kerana bahan-bahan yang diguna mengeluarkan air
# banyak mana sayuran & jenis terpulang... yang ini cuma guna bunga kobis, snow peas dan 1-2 tangkai daun ketumbar
# buah tomato segar yang ditumis sampai hancur untuk memberi rasa masam-masam sebagai ganti sos tomato




2
NASI LEMAK MAMI TANJUNG BERLAUK SAMBAL AYAM SERAI & SAMBAL BILIS


10 September 2019, Selasa

Menu berserta pic yang saya muatkan sejak dapur ini bangkit semula dari lena kebanyakannya yang sudah dicuba tahun lepas. Waktu itu mood untuk snap pic tak tau terbang mana ntah semua ke laut. Asal dapat snap satu dua untuk simpan sendiri cukup. Sebab itu some pic live daripada periuk kuali pun ada. Maaf la noo... Oleh sebab puashati dari segi rasa up juga lah kat sini. Yang kureng dan tak puashati saya tak simpan sini. Kalau nak ulang buat baru snap pic baru adohaii lambat lagi la list yang panjang tu jadi pendek.

Sebenarnya hajat untuk buat nasi lemak ni dah melambai bertahun sudah. Lebih lebih lagi nama mami tanjung kat hujung tu buat teringin sungguh nak rasa apa specialnya. Resipi nasi lemak dengan ayam sambal serai saya ambil pakej daripada dapur Roslan Mamak Haji. Sambal bilis pula adalah versi saya.

NASI LEMAK MAMI TANJUNG
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 1 kg Beras Biasa
  • 200 gm Santan Pekat
  • 2 sdb Marjerin
  • 1 inci Halia | dititik
  • 1 labu Bawang Besar Merah | hiris halus
  • 2 helai Daun Pandan
  • 2 batang Kayu Manis
  • 2 kuntum Bunga Lawang
  • 2 sdb Gula Pasir
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya

CARA PENYEDIAAN :
❀  Basuh bersih beras dan tos
❀  Menggunakan rice cooker masukkan beras. Isikan air secukupnya (nisbah air dengan beras 1:1)
❀  Diikuti semua bahan lain dan masak seperti biasa
❀  Kacau nasi bila mula sejat dan tutup periuk semula. Biarkan masak sempurna
❀  Bila dah masak gemburkan nasi yang di bawah naik ke atas mengguna garfu supaya nasi masak dengan sekata
❀  Biar nasi dalam keadaan 'warm'
❀  Nasi anda siap


SAMBAL AYAM SERAI
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 1/2 ekor Ayam | bersihkan & potong kecil 1"x 1"
  • 100 gm Cili Kering | terpulang ikut kepedasan dan sambal yang diperlukan
  • 4 batang Serai
  • 2 inci Lengkuas
  • 1 inci Kunyit Hidup
  • 2 labu Bawang Besar Merah (medium size)
  • 3 ulas Bawang Putih
  • 100 gm Santan Pekat
  • 1 keping Asam Keping
  • 2 sdb Gula Pasir atau secukup rasa
  • 1 senduk Minyak Masak untuk menumis

CARA PENYEDIAAN :
❀  Lumur ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng separuh masak, angkat dan tos.
❀  Kisar serai, lengkuas, bawang merah, bawang putih dengan cili kering berasingan
❀  Panaskan minyak
❀  Tumis bahan kisar sehingga wangi dan air bawang sedikit kering
❀  Masuk cili kisar, tumis hingga pecah minyak
❀  Masuk gula (perang) dan asam keping (pes asam jawa)
❀  Masukkan ayam yang telah digoreng, biar masak sepenuhnya dengan api sederhana
❀  Perasakan dengan garam dan masukkan santan
❀  Bila sambal mula mendidih tutup api dapur dan sedia untuk hidangkan


Catatan HoSSK :
# santan... susu cair

# asam keping... pes asam jawa
# gula pasir... gula perang
# masukkan susu cair + air supaya dapat merenih sampai terbit minyak
# dah mendidih cantik terbit minyak boleh angkat


SAMBAL BILIS
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 65 gm Cili Kering | potong - buang biji - basuh bersih - rebus hingga lembut (bubuh sikit minyak masak dalam air rebusan) - tos - kisar halus buh minyak masak sikit
  • 1 labu Bawang Besar Merah | kisar kasar
  • 1 labu Bawang Besar Merah | potong bulat - goreng sekejap sekadar layu sahaja - angkat -ketepikan
  • 2 ulas Bawang Putih | hiris halus
  • 1 genggam Ikan Bilis | kisar kasar
  • 1 genggam Ikan Bilis | goreng garing - ketepikan
  • 1 inci Belacan
  • 3/4 keping Gula Melaka
  • 1 sdt Pes Asam Jawa
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya (untuk renihkan sambal sampai betul betul masak dan terbit minyak)
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA PENYEDIAAN :
❀  Gunakan minyak lebihan goreng ikan bilis untuk tumis sambal
❀  Masukkan dahulu belacan, gorengkan sekejap
❀  Masukkan bawang putih, tumis sampai wangi
❀  Masuk ikan bilis kisar. Biar garing sikit baru masuk bawang kisar. Tumis sehingga bawang benar benar masak dan pecah minyak
❀  Masuk cili kisar. Perlahankan api dan biar cili masak
❀  Setelah tumisan cili dah cantik pecah minyak, masuk garam dan pes asam jawa
❀  Tambahkan air dan biar didih
❀  Bubuh gula melaka dan teruskan renih sampai terbit minyak
❀  Masukkan bawang yang digoreng tadi berserta ikan bilis goreng. Kacau rata, angkat




0
KUIH KASWI PANDAN Yang Sedap


08 September 2019, Ahad

Melompat bintang lepas dapat buat kuih kaswi ni. Sebab apa tau... sebab ketemu jua akhirnya kaswi pandan pujaan. Nama pun pujaan dah tentu sayang. Dah sayang kena jaga simpan resipi baik baik jangan bagi hilang. Andai hilang tak mungkin ada ganti. Walau banyak yang serupa tapi tak sama.

Mungkin ada beranggapan apalah sangat kuih kaswi. Semua kaswi lebih kurang sama je rasa. Ya betul. Tapi bagi yang begitu teliti soal rasa mereka dapat bezakan antara serious sedap, biasa biasa sedap dan tak sedap. Keenakan kuih kaswi banyak bergantung pada banyak mana portion tepung, jenis tepung dan kuantiti air. Paling penting kapur kena betul betul terasa terutamanya kalau kaswi pandan.

Dan Kuih Kaswi Pandan ini bagi saya memenuhi dan menepati ciri-ciri yang saya sebutkan. Inilah rasa yang saya cari cari. Lembut... sedikit kenyal... ada gedik gedik sikit... dan terasa kapurnya. Tanpa kelapa sedap, golekkan kelapa lagi sedap. Memang bestt!


KASWI PANDAN
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 150 gm Tepung Gandum
  • 50 gm Tepung Ubi
  • 190 gm Gula Pasir
  • 750 gm Air
  • 200 gm Jus Pandan | kisaran 7 helai daun pandan + 200 gm air - tapis - tak cukup, cukupkan dengan air
  • 1/2 sdt Kapur Makan (kapur ye bukan air kapur)
  • Secubit Garam
  • 1 sdt Pewarna Hijau Epal + sedikit Pewarna Kuning/Lemon Yellow
  • Kelapa Parut Putih & Garam | untuk salutan

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan pengukus.
❀  Sediakan loyang 8 in sq, gris sedikit minyak di dasar dan keliling
❀  Sebatikan semua bahan dan tapis
❀  Masakkan sehingga naik wap
❀  Tuang dalam loyang, kukus sehingga masak




0
AYAM BIJAN KRISPI


06 September 2019, Jumaat

Cubaan last year. Hasil merempit di google.
Kat google ni kalau dapat resipi tepat puashati. Jika sebaliknya boleh tercabar kesabaran kemurungan satu hari. Dah terkena beberapa kali. Hairannya tak pernah serik pulak. Terus mencari dan mencari bagai orang lapaq. Walhal dalam peti besi tu resipi dah paras tak boleh tutup dah. Kalaulah peti tu boleh bercakap lama dah jerit kat tuannya kata tuannya haloba. Hik... hik... hik... Cheq bukan haloba naa tapi minat.
 
Tak sia-sia cuba. Makan pun seronok ja. Simple tapi rasa kelasss! Yang sibuk, yang malas masak lauk banyak jenis menu ini sesuai. Buat penggemar masakan ala-ala cina boleh try dan rasai sendiri. Anak anak suka, mak pak lagi suka. 


CRISPY SESAME CHICKEN With STICKY SAUCE
by House of SSK
source : Kitchensanctuary

BAHAN A :
  • 5 sdb Minyak Zaitun
  • 2 biji Telur | dipukul ringan
  • 3 sdb Tepung Jagung
  • 10 sdb Tepung Gandum
  • 1/2 sdt Garam
  • 1/2 sdt Lada Putih
  • 1/2 sdt Garlic Salt
  • 2 sdt Paprika
  • 3 keping Dada Ayam | potong dadu 
BAHAN B (Sos) :
  • 1 sdb Minyak Bijan
  • 2 ulas Bawang Putih | cincang
  • 1 sdb Cuka
  • 2 sdb Madu
  • 2 sdb Sos Cili Manis | bergantung pedas disukai
  • 3 sdb Sos Tomato
  • 2 sdb Gula Perang
  • 4 sdb Kicap
BAHAN C :
  • Nasi Putih
  • Bijan Putih
  • Hirisan Daun Bawang

CARA PENYEDIAAN :

Ayam
❀  Panaskan minyak dalam kuali
❀  Sementara minyak panas, satukan tepung gandum + garam + lada putih + garlic salt + paprika dalam satu bekas. Telur dan tepung jagung pula dalam bekas berasingan
❀  Salutkan ayam dengan tepung jagung - celupkan dalam telur - salut dengan tepung berperisa
❀  Goreng dalam minyak panas selama 6-7 minit sehingga kuning keemasan. Angkat dan tos

Sos
❀  Sebatikan semua Bahan (B)
❀  Tuang ke dalam kuali panas, masakkan sehingga memekat anggaran 2-3 minit

❀  Masukkan ayam yang digoreng tadi
❀  Kacau rata sehingga sos menyaluti kesemua ayam
❀  Angkat dan sajikan panas bersama nasi putih. Tabur bijan dan hirisan daun bawang


# Gandakan Bahan Sos jika mahu bersos lebih




0
BINGKA KUKUS KELEDEK UNGU


05 September 2019, Khamis

Sebut kuih bingka pasti fikir penyediaannya menggunakan kaedah bakar.
Tapi pernah dengar tak kuih bingka versi kukus?
Bagi saya ia suatu kelainan tapi bagi anda mungkin ada yang pernah dengar dan tahu.
Perbezaan inilah yang mengajak saya untuk cuba.

Saya ingat lagi rasanya.. lembutt, terasa lemak manis paduan keledek dengan santan
Cukup sedapp pada lidah saya yang merasa.
Andai perut tengah lapar tak sedar tau boleh habis separuh loyang seorang.

Aduuhaii cerita pasal rasa bingka pepagi nih teringin pula nak buat lagi
Apa-apa kena cari keledek ungu dulu nanti jumpa kita bingkakan ok..


BINGKA KUKUS KELEDEK UNGU
by House of SSK

BAHAN-BAHAN :
  • 250 gm Keledek Ungu | buang kulit - timbang - rebus hingga lembut - tos
  • 185 gm Tepung Gandum
  • 160 gm Gula Pasir
  • 200 gm Santan Kotak*
  • 300 gm Air* | *satukan
  • 1 biji Telur (B)
  • 1 sdt Garam / secukup rasa
  • Pewarna Ungu
  • Bijan untuk tabur atas

CARA PENYEDIAAN :
❀  Panaskan pengukus.
❀  Sediakan loyang 7 in sq, gris dengan sedikit minyak di dasar dan keliling loyang kemudian alas dengan baking paper.
❀  Kisar halus keledek, gula, telur, santan dan garam. Tuang ke dalam tepung. Kacau sebati.
❀  Tuangkan adunan, tabur bijan. Tutup loyang dengan aluminium foil supaya air tak menitis atas permukaan kuih
❀  Kukus selama 30 minit atau sehingga masak dengan api sederhana. Jika cucuk dengan lidi masih melekat maknanya belum masak.
❀  Sejukkan dahulu sebelum potong. Bila dah sejuk tepi-tepi kuih akan renggang sendiri daripada loyang.




0
BINGKA UBI KAYU


04 September 2019, Rabu

Kadang-kadang bila dah terikat dengan sesuatu yang dah lama kita ikut, sebolehnya tak nak ubah dah. Terutama bab resipi bila sudah menepati citarasa. Tapi tak salah mencuba. Macam kuih tradisi ini. Orang dulu-dulu buat bingka ubi kayu hanya guna bahan asas parutan ubi kayu, gula, santan dan garam. Bila tiba generasi baru ada tokok tambah. Contohnya resipi Chef Azahari Abdullah ini yang menurutnya pernah jadi kontroversi sebab tambah telur.

Tapi bila saya cuba ok je rasa. Sedap cuma lembut sikit. Dah sejuk pun maintain lembut. Part ubi, saya lebih suka kaedah lama iaitu parut sebab kalau blend tekstur jadi halus sangat. Untuk kuih tradisi jika ada santan fresh better guna fresh. 


BINGKA UBI KAYU
by House of SSK
BAHAN A :
  • 600 gm Ubi Kayu | parut
  • 200 gm Gula Pasir / secukupnya
  • 1 sdt Garam /secukup rasa
  • 2 biji Telur (size kecil)
  • 100 gm Santan Kotak*
  • 100 gm Air* | *satukan
  • 3/4 sdt pewarna kuning

CARA PENYEDIAAN :
❀  Dalam bekas adunan masuk bahan ikut urutan, gaul sebati dan ketepikan
❀  Sapu loyang dengan minyak/planta kemudian panaskan sekejap dalam oven
❀  Keluarkan loyang, tuangkan adunan dan sudukan atasnya 3-4 sudu makan planta/butter
❀  Bakar pada suhu 175C 30-40 minit api atas dan bawah. Bila cucuk lidi tak lekat maknanya dah masak
❀  Biar benar-benar sejuk baru potong



0
KERABU IKAN BERKANTAN


03 September 2019, Selasa

Sesuatu yang tak rugi diberikan percubaan.Setiap resipi ada keistimewaan sendiri. Ingin tahu gambaran rasa, jom intai bahan-bahan.


KERABU IKAN BERKANTAN
by House of SSK
source : Chef Norzailina Nordin
BAHAN A :
  • 2 keping Ikan Tenggiri | buang tulang - potong dadu besar - lumur kunyit & garam - goreng kekuningan - angkat - tos - ketepikan
BAHAN B :
  • 2 biji Cili Merah | hiris
  • 4 - 5 biji Cili Padi Merah | hiris
  • 1 kuntum Bunga Kantan | hiris
  • 40 gm Daun Ketumbar | hiris
  • 1 labu Bawang Besar | dadu
  • 1 biji Tomato | dadu
  • 1/3 cwn Sos Cili Thai
  • 1 - 2 sdt Jus Limau Nipis
  • 2 sdt Sos Nampla
  • 1 sdt Gula Perang
  • Garam & Gula Pasir secukup rasa

CARA PENYEDIAAN :
❀  Sebatikan semua Bahan (B)
❀  Gaul rata dengan ikan yang digoreng tadi
❀  Seimbangkan rasa
❀  Siap